DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 7

Malam itu dia rasa macam hendak pengsan
kerana terlalu lapar. Dia sudah makan biskut bersama air tin
Milo yang dibeli siang tadi, tapi perutnya sudah biasa makan
nasi. Makan biskut memang tidak mampu mengalas perut.
“Laparnya... nak keluar tak boleh. Tak ada kunci. Nak
tak nak minum air paip ajelah.” Suhaila ambil mug dan tadah
air dari paip di singki. Kenapa dia rasa sayu sangat sekarang?
Dia yang punya segala-galanya tiba-tiba jatuh tersungkur.
Suhaila tarik kerusi dan menghenyakkan
punggungnya. Mug diletakkan ke atas meja makan.
Berseorangan di kondo besar ini membuatkan dia berasa
sunyi. Khalis sudah keluar entah ke mana selepas maghrib
tadi.
Dagu ditopang. Dia tidak pasti apa yang harus dia
buat selepas ini. Bagaimana dia mahu mencorakkan hidupnya
yang tiba-tiba bertukar 360 darjah?
“Ya Allah... kuatkanlah hati hamba-Mu ini...”
“Kenapa ni sayang? I nampak you macam ada masalah
aje.” Kedua belah tangannya melingkar di leher Khalis yang
sedang duduk di bar.
Paradise Lounge saat ini belum ramai pengunjung.
Bartender yang bertugas menjeling mereka berdua. Farah
buat tidak tahu. Dia harus tundukkan Tengku Kaz malam ini.
Hidung digesel-geselkan ke pipi Tengku Kaz.
“Farah... please. You tahu I tak suka, kan?” Khalis
menolak badan Farah Hana. Tidak faham bahasa betul
perempuan itu. Hendak ditengking karang, musnah pula
reputasinya.
“Farah Hana!” Hanya dengan pandangan mata, Shidi
berjaya menghalau Farah Hana daripada terus mengganggu
sahabat baiknya. Shidi mengambil tempat duduk Farah Hana
tadi. Dia menggamit bartender untuk meminta minuman.
“Kenapa ni? Lagu pun sentimental malam ni. Ada
masalah ke?” tanya Shidi. Rambut panjang separas pinggang
diselak ke belakang.
“Memang masalah. Tapi nantilah aku beritahu.
Sekarang ni aku tengah fikir macam mana nak buang masalah
aku ni.” Jawab Khalis. Serabut kepalanya memikirkan apa
perlu dia buat dengan hidupnya sekarang. Semalam dia
masih menikmati hidup bujang. Tapi malam ini dia sudah
jadi suami orang. Kenapa papa paksa dia kahwin dengan
perempuan begitu? Perempuan tidak ada maruah. Sama
macam perempuan yang tergedik-gedik tadi.
“Kalau ada masalah, kenapa minum fresh orange?
Minum tu ha... syurga duniawi tu.” Shidi tergelak sambil
memuncungkan mulut ke arah deretan botol yang tersusun
di rak.
Khalis pandang Shidi tajam. Dia belum gila lagi
hendak meneguk air kencing setan itu.
“Okey, sorry bro... aku tahu kau ada prinsip.
Aku hormat prinsip kau.” Shidi rasa dia bergurau, bukan
keterlaluan sangat. Memang sah Khalis ada masalah besar.
Biasanya dia bergurau macam itu juga, tidak pernah pula
kena pandangan maut Khalis.
Khalis meneguk fresh orange.
“Tak ada penggambaran ke hari ni?” Khalis sengaja
memesongkan perbualan. Shidi pasti punya banyak cara
untuk membuatkan dia bercerita pasal masalahnya.
“Hari ni cuti. Lusa ada penggambaran... kat Medan.
Besok flight aku. Kau jangan nakal-nakal pulak.”
“Kau ingat aku ni apa? Kau pesan macam ni...”
Shidi gelak. Takkan usik pun tidak boleh? Memang
besar juga masalah Khalis ini.
“Aku nak balik.” Khalis mengeluarkan not lima
puluh dan diselitkan ke bawah coaster.
“Aku baru sampai ni, takkan kau nak balik? Bukan
ada isteri pun tunggu kat rumah tu.”
Khalis buat tidak tahu. Memang dia ada isteri
di rumah. Entah apa yang perempuan itu buat agaknya.
Entah-entah tengah seronok menghuru-harakan rumahnya.
Baik dia balik sebelum rumahnya hancur.
Khalis melangkah perlahan masuk ke dalam rumah.
Ruang tamu gelap-gelita, tapi lampu dapur terang benderang.
Kakinya terus laju menuju ke dapur. Apa pula yang Suhaila
buat sekarang? Jam sudah pukul sebelas malam. Takkan tidak
tidur lagi?
Khalis terkejut melihat Suhaila sedang duduk
tertidur di meja makan. Dia mendekati Suhaila perlahan.
Bagus juga perempuan ini, kat rumah pun pakai tudung.
Hendak tunjuk baiklah tu!
Tangan Khalis mencapai mug di sebelah kepala
Suhaila. Air kosong aje. Tapi rumahnya mana ada air mineral?
Nak masak air pun tiada pemanas air ataupun cerek. Mata
Khalis terpandangkan singki. Takkanlah perempuan ini
minum air paip aje? Terbit rasa kasihan dalam hatinya. Dia
pun tidak terfikir perempuan ini dah makan atau belum tadi.
Khalis segera mengeluarkan handphone dari kocek.
Sudah pukul sebelas malam, malas pula dia hendak keluar
cari makanan. Nak tak nak, terpaksalah dia order McDonald's
untuk Suhaila. Kalau kebulur nanti, habis pula jari-jemari
orang hendak dimakannya.
Khalis tinggalkan Suhaila di meja makan. Dia
menonton televisyen sementara menunggu penghantaran
sampai. Walaupun dia benci isteri segeranya itu, sebagai
manusia dia bukan kejam hingga sanggup membiarkan
orang lain kelaparan.
Selepas setengah jam, pintu kondonya diketuk.
Penghantaran dari McDonald's. Khalis mengambil bungkusan
dan membuat pembayaran. Setelah selesai urusan, dia
membawa beg kertas berisi makanan ke ruang makan.
“Weh, bangun makan!” Khalis menggerakkan badan
Suhaila. Selepas kali kedua dikejut, barulah badan Suhaila
bergerak-gerak.
Suhaila angkat kepala.
“Bangun, makan...” ujar Khalis lembut. Bungkusan
kertas berwarna coklat didekatkan kepada Suhaila.
Mata Suhaila terkebil-kebil melihat Khalis. Tanpa
menunggu reaksi Suhaila, Khalis terus berlalu masuk ke
bilik.

No comments:

Post a Comment