DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 24

MALAM yang cantik. Bintang-bintang bertebaran
di angkasa raya. Berkerlip-kerlipan di atas sana. Suasana
malam yang cukup mendamaikan. Alangkah indahnya jika
ada Asma yang menemaninya ketika ini. Malam ini, dia
tidur di rumah ibu Asma. Mahu melepaskan rindu terhadap
isterinya. Di sini ada bau Asma. Di sini juga seolah-olah dia
tidur bertemankan isterinya itu. Ah... parah jiwanya kini.
Macam mana dia mahu berpisah sedikit masa lagi jika baru
sehari mereka terpisah, dia sudah tenggelam dalam rindu?
Malas nak layan rindu dalam hati, dia sengaja pilih
untuk merenung bintang dan bulan di laman rumah. Laman
ini landskapnya cantik. Asma dan ibunya pandai mendekorasi
laman rumah ini seperti taman bunga dan sayur. Ada sayur
tersusun ditanam secara hidroponik. Ada juga yang ditanam
di dalam bekas dan pasu dan disusun teratur. Pelbagai jenis
bunga juga tidak ketinggalan di taman. Bunga harum sundal
malam pun ada. Ia memang berbau wangi pada waktu malam.
Bunganya pula berwarna putih.
“Ferhad...”
Ferhad berpaling ke pintu rumah. Ibu mentuanya
berdiri di situ sambil memandangnya. Di tangannya ada
dua biji mug. Segera dia bangun dan menghampiri ibu
mentuanya.
“Ibu ada buatkan air teh O panas ni. Malam-malam
macam ni sejuk sikit. Jadi eloklah minum air panas,” ujar
Rohani sambil menghulurkan mug yang berisi air panas itu.
“Terima kasih, ibu.”
Mereka duduk bersila di atas tangga sambil melayan
perasaan. Ibu mentuanya kelihatan pucat dan lelah sejak
mereka sampai pagi tadi. Sebab itu juga dia mahu tidur di
sini, untuk menjaga ibu mentuanya. Pagi esok pula dia akan
menolong ibu mentuanya mengemas pakaian untuk dibawa
ke rumah neneknya. Ibu mentuanya akan tinggal bersama
dengan neneknya sementara ketiadaan Asma. Jadi mereka
boleh saling menjaga antara satu sama lain.
“Tak dapat tidur? Rindukan Asma?”
Ferhad tarik sengih sambil pandang ibu mentuanya.
Dia angguk mengakui apa yang dirasakan dalam hati.
“Ibu pun rindukan anak ibu tu. Kami tak pernah
berpisah. Bila dia tak ada ni, terasa sangat sunyinya.”
“Asma ni suka usik ibu. Dia tak benarkan ibu duduk
diam. Ada-ada sahaja perkara yang dia buat nak tarik perhatian
ibu. Tak kisahlah ibu nak marah ke, pukul ke, asalkan ibu tak
diam,” cerita Rohani tentang sikap anak tunggalnya.
“Dia takut ibu rindukan ayah dia. Dia tak nak tengok
ibu menangis. Sebab itulah bila kat depan dia, ibu selalu
senyum dan ketawa. Ibu tak duduk diam sebab tak nak dia
risau.”
“Sebab itu juga ibu sembunyikan sakit ibu?” soal
Ferhad perlahan.
Ibu mentuanya angguk.
“Ibu tak nak dia risau sampai dia tak nak sambung
pelajaran. Sedangkan ilmu sahaja ibu mampu tinggalkan
untuk Asma. Ibu tak ada banyak harta nak bagi dia.”
“Tapi ibu tak boleh rahsiakan selamanya tentang
sakit ibu ni. Saya takut dia tidak dapat terima kenyataan
nanti.” Ferhad cuba memberikan pendapatnya.
“Tak apa. Ferhad dah ada dengan dia. Ibu tahu
Ferhad boleh pujuk dan jaga dia bila ibu tak ada nanti.”
“Ibu...”
“Ibu dah tak ada ada banyak masa lagi, Ferhad. Ibu
nak Ferhad jaga dia sebagaimana ibu jaga anak ibu itu. Asma
ni selalu tunjukkan diri dia kuat tapi ibu tahu dalamnya rapuh.
Ibu tahu sebelum tidur dia selalu merenung lukisan yang ayah
dia lukis kat dalam bilik tu. Ibu tahu dalam diam-diam, dia
menangis. Sebab itu ibu nak Ferhad bahagiakan dia. Jangan
tinggalkan dia walau apa pun terjadi. Sayangi dan cintailah
dia, Ferhad. Dia sahaja harta ibu di dunia ini,” pinta Rohani.
Matanya berair. Rindu kepada anak yang sedang berjuang
menuntut ilmu, jauh daripadanya.
Ferhad terdiam seketika. Hatinya juga sebak
mendengar pesanan ibu mentuanya.
“Insya-Allah, ibu. Ferhad janji.”
Rohani pegang dadanya. Dia tiba-tiba sesak nafas.
“Ibu... ibu tak apa-apa?” Ferhad mendekati ibu
mentuanya. Dia pegang bahu ibu mentuanya bila Rohani
tiba-tiba batuk dengan kuat. Dia usap belakang mentuanya
sehingga batuk itu reda.
Sebaik saja ibu mentuanya mengelap mulutnya
dengan sapu tangan, dia lihat sapu tangan di tangan
mentuanya itu ada setompok darah.
“Masuk ke dalam ibu, udara malam ni tak baik untuk
ibu.” Ferhad pegang badan ibu mentuanya dan dipimpin
masuk ke dalam.
“Ibu rehatlah. Kalau ada apa-apa, saya ada dekat
depan.”
“Ferhad...”
“Ya, bu.”
“Ferhad kena jaga Asma baik-baik. Jangan biarkan
dia menangis lagi. Bahagiakan dia. Janji dengan ibu.”
“Saya janji, ibu. Saya sayang dan cintakan Asma.
Saya akan bahagiakan dia.”
Rohani senyum puas. Dia lega. Kini kalau Allah
menjemputnya pergi, dia boleh pergi dengan tenang.

“ABANG TENGAH buat apa?” soal Asma sebaik sahaja
salamnya dijawab. Malam ini, programnya habis pada
pukul sebelas malam. Sebaik sahaja sampai di bilik, tanpa
bertangguh dia terus menelefon Ferhad. Dia berharap sangat
suaminya belum tidur lagi.
“Abang tengah kira berapa banyak bintang di langit.
Nak tidur tak lena sebab bantal peluk seksi abang tak ada.”
Senyum Asma melebar. Bukan dia sahaja yang rasa
terseksa sebab tak dapat tidur, suaminya juga.
“Abang ada dekat laman rumah ibu. Sejuk malam
ni. Kalau sayang ada, confirm tak lepas.” Ferhad mula
membayangkan apa yang akan dibuat bila Asma berada di
sisinya.
“Naughtylah abang ni. Dengar dek ibu baru tahu,”
bisik Asma.
“Ibu baru masuk. Dia penat lagi tu,” kata Ferhad.
“Ibu tak boleh kena angin malam, nanti batuk dan
semput.”
“Sebab tulah abang suruh ibu masuk berehat. Malam
ni abang temankan ibu tidur kat sini. Esok abang akan tolong
ibu pindah ke rumah nenek,” beritahu Ferhad.
Asma rasa terharu dengan keprihatinan suaminya
itu.
“Terima kasih, abang.”
“Itu dah tanggungjawab abang, sayang. Ibu sayang,
ibu abang juga.”
Mereka diam seketika. Asma penat tapi hatinya
masih lagi mahu mendengar suara suaminya.
“Abang tak takut?”
“Takut apa?”
“Bau wangi depan rumah tu?”
“Bau bunga harum sundal malam. Memanglah
malam-malam berbau wangi.”
“Orang tua kata, bila bau bunga tu maknanya ada
puntianak kat situ.”
“Hahaha...” Ferhad ketawa besar.
“Puntianak abang dah lari ke UPM. Tak sempat nak
paku leher pun,” sambungnya lagi.
Asma ketawa. Dia disamakan dengan puntianak?
“Asma puntianak? Hahaha... sure Asma hisap darah
abang je.”
“Hahaha... memang Asma saja yang boleh hisap dan
gigit abang.”

No comments:

Post a Comment