DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 16 April 2017

Adel... I Love You!- Bab 8

“KAK Hawa...” panggil Firas yang tercari-cari
kelibat kakak iparnya itu.
“Ya, Firas. Kenapa?” sahut Hawa dan keluar dari
ruang dapur. Aisyah dikeleknya di pinggang. Apabila Aisyah
terlihat saja wajah Firas, kedua-dua belah tangan dihulurkan.
“Nak bawa Aisy pergi memancing?” duga Hawa
sebelum Firas menyuarakan keizinan.
Firas tersengih-sengih dan mengangguk kecil.
Huluran Aisyah tetap disambutnya. Dalam sekelip mata saja,
Aisyah sudah berada di dalam dukungannya. Pipi Aisyah
dicium tipis. Sayang benar dia kepada kedua-dua orang
anak saudaranya itu. Aisy dan Aisyah sajalah yang selalu
menceriakan hari-harinya.
“Memancing je, okey. Bukan menjala!” Tegas sekali
pesanan Hawa. Risau pula dia jika Aisy pulang ke rumah
dengan pakaian basah. Pastinya Fatih akan mengamuk
jika dapat tahu Aisy terjun ke kolam semata-mata mahu
menangkap ikan.
“Baik. Janji!” akur Firas.
“Ecah?” Hawa ingin perhatian daripada Aisyah
semula. Tetapi, dibalas dengan gelengan kepala.
“Firas bawa Ecah raun naik motor dululah
sebelum bawa Aisy pergi memancing.” Terpaksalah Firas
mengalah dengan kehendak Aisyah yang mahukan perhatian
daripadanya pula. Tanpa menunggu jawapan daripada
Hawa, Firas mengorak langkah keluar dari rumah sambil
mendukung Aisyah.
“Pak su, nak ikut!” Laju saja Aisy muncul dari dalam
rumah sebaik saja Firas sudah pun melabuhkan duduk di
atas motosikal. Dengan pantas, Aisy memanjat dan duduk di
belakang Firas.
“Dah beritahu mama ke?”
“Dah!” Kepala turut diangguk, mengiakan
pertanyaan bapa saudaranya itu.
“Yeayyy!!!” Aisyah bersorak gembira. Kedua-dua
belah tangan erat memegang cermin pandang sisi di kiri dan
juga kanan. Dan dia berdiri tegak di dalam bakul meletak
barang.
Firas memandu motosikal dengan penuh berhati-hati
membawa kedua-dua orang anak saudaranya itu mengelilingi
kawasan kampung. Seronok tak terkata Aisy dan juga Aisyah.
Becok saja mulut Aisyah bercerita itu dan ini kepada Firas
dengan bahasanya sendiri. Firas layankan saja keletah Aisyah
yang baru saja mencapai umur setahun lima bulan itu.
“Firas!” sapa Haji Zakaria, beramah mesra apabila
motosikal anak muda itu melewati di hadapan rumahnya.
“Imam!” Firas menyahut sapaan itu. Senyuman
turut dilemparkan kepada Haji Zakaria yang berada di
beranda rumah.
“Aisy!” Bukan saja Firas disapa mesra, malah Aisy
turut disapa apabila terserempak dengan rakan-rakannya.
“Mail!” sahut Aisy dengan nada separuh menjerit.
Malah, tangan turut diangkat sebagai tanda sapaan.
“Macam YB melawat kawasan,” perli Firas. Senyum
geli hati.
“Pak su! Jom makan ABC,” ajak Aisy, tiba-tiba.
“Boleh! Tapi, kena cancel memancing.” Sengaja
Firas memberi kata dua kepada Aisy. Jikalau mereka bertiga
makan ABC pasti memakan masa yang lama. Rancangan
memancing terpaksa dibatalkan.
“Okey. Kita pergi memancing hari lain.” Laju saja Aisy
bersetuju tanpa berfikir panjang. Tekaknya yang dahagakan
ais batu campur perlu diutamakan terlebih dahulu.
“Okey,” akur Firas dengan senyuman lebar.
Macam-macam perangai anak saudaranya itu. Semakin besar,
semakin panjang akalnya.
AGAR-AGAR PANDAN disuap ke mulut lalu Aisyah berhenti
meronta seketika di atas ribaan Firas. Ais batu campur yang
menjadi santapan Aisy menjadi perhatian Firas. Aisy tak akan
dapat menghabiskan ais batu campur yang tinggi itu. Maka,
terpaksalah dia berkongsi dengan Aisy daripada membazir
dan terbuang begitu saja.
“Nanakkk...” Aisyah kembali meronta kecil.
Kedua-dua belah tangan yang berada di atas meja cuba
menggapai mangkuk ais batu campur. Cepat-cepat Firas
menolak mangkuk tersebut sedikit jauh dari capaian Aisyah.
Agar-agar pandan kembali disuap ke mulut kecil itu.
“Sedap?” soal Firas.
“Dap!” Aisyah mengangguk kecil.
“Macam tulah sayang pak su.” Firas mencium nipis
tepi dahi Aisyah.
“Firas...” sapa Tok Embun lalu terus berlabuh semeja
dengan Firas.
Kepala dipanggung. Firas sedikit terkejut dengan
sapaan itu. “Tok?”
“Tok datang dengan siapa? Wan ke?” Anak mata Firas
melingas tercari-cari kelibat Tok Wan Hassan.
“Wan kamu tu ada di dalam kereta. Tok datang
dengan cucu tok yang datang dari Shah Alam tu.” Anak mata
Tok Embun memandang wajah Firas, Aisy dan juga Aisyah
silih berganti. Firas langsung tidak kekok untuk melayan
kedua-dua orang anak saudaranya itu. Kedua-duanya
bukanlah tahu duduk diam. Aktif selalu!
“Ooo... Cucu tok.” Mulut Firas membulat. Dia
mengiakan saja walaupun dia tidak mengenali gerangan cucu
Tok Embun itu.
Tok Embun seakan memahami respons Firas itu.
Memang tak kenal pun! Sama saja responsnya dengan Adel.
Ooo... mulut membulat!
“Dia ada di sana, tengah beli cendol.” Tok Embun
mengalihkan pandangan ke arah kelibat Adel yang sedang
membeli cendol.
Firas yang tertarik untuk mengetahui gerangan cucu
Tok Embun turut memandang ke arah gerai yang menjual
cendol. Kelihatan tiga orang sedang beratur menanti giliran
untuk membeli cendol. Ketiga-tiganya wanita. Seorang
daripadanya memakai tudung dan dia mengenali wanita
tersebut.
Dua orang wanita lagi, tidak memakai tudung. Dia
mengenali salah seorang daripadanya. Cikgu taska Aisy! Dua
hari lepas, dia dan cikgu tersebut beradu pandangan mata
ketika dia menghantar Aisy. Dan wanita yang ketiga ini...
pertama kali dia melihat wajah itu di kawasan kampung.
Barangkali dialah cucu Tok Embun yang datang dari bandar.
Dek tekak ingin merasa cendol, dia menggunakan
kuasa veto sebagai cucu kesayangan untuk mengajak tok
dan wannya. Disebabkan gerai tersebut sarat dengan para
pengunjung, tak ada lagi meja kosong untuk mereka bertiga.
Adel sanggup membeli cendol bungkus untuk dibawa balik
ke rumah saja.
Anak mata Adel memandang sekeliling kawasan
gerai tersebut. Kot-kot ada meja yang baru saja dikosongkan.
Tetapi, hampa! Tiba-tiba, anak mata Adel terlekat pada kelibat
Tok Embun yang leka berbual dengan seseorang. Adel amati
gerangan seseorang tersebut. Macam kenal! Hmmm... dia...
Ayah Aisy? Ha! Ayah Aisy!
Mata dia tidak silap lagi. Sememangnya Tok
Embun sedang berbual dengan ayah Aisy. Malah, Aisy turut
bersama-samanya. Tetapi... bayi tu? Anak dia ke? Boleh tahan
kacak. Tapi, anak dah dua orang. Dia kahwin muda ke? Tapi,
mana isteri dia?
Anak mata Adel kembali meliar, tercari-cari
seseorang yang mungkin boleh dikatakan isteri kepada
lelaki yang mempunyai pandangan mata seredup pohon
rendang itu. Dia akui, dia sukakan dengan pandangan mata
lelaki itu. Berbeza! Redup pandangan mata lelaki itu mampu
mencairkan hati mana-mana wanita. Adel? Hampir-hampir
juga tewas pada kali pertama mereka berdua berpandangan
mata.
Apabila dua pasang mata saling berpandangan. Adel
sedikit menggelabah. Terus bibir menarik senyuman kepada
lelaki itu. Seketika kemudian, anak mata kembali dilarikan.
Melindungi rasa debaran di dalam dada.
‘Adelia Zahra... laki orang tu! Jaga mata! Jangan
gatal merenyam!’ marah Adel kepada dirinya sendiri.
Tetapi, kata hati tetap ‘menderhaka’ dengan larangan
kawalan otak. Anak mata kembali berkalih ke arah lelaki
yang sedang melayani Aisy dan juga seorang bayi perempuan
comel di atas ribaannya.
Lelaki itu menyuap agar-agar ke mulut bayi
perempuan tersebut. Kemudian, bibirnya pula mendarat di
tepi dahi bayi itu. Malah, mulut Aisy turut dilap menggunakan
tisu. Begitu kasih sekali dia melayani kedua-dua orang
anaknya tanpa berasa janggal atau kekok sedikit pun. Untung
wanita yang menjadi isteri kepada lelaki itu.
‘Waaa... ada lagi tak lelaki macam ni? Kalau
masih ada lagi, temukanlah kami berdua. Nak juga merasa
berlakikan lelaki seperti dia,’ kata hati Adel.
Usai membuat pembayaran, mata Adel kembali
mencari kelibat Tok Embun di meja yang dihuni oleh lelaki
kacak, si ayah Aisy. Tiada! Mata Adel memandang ke arah
kereta yang diparkir di bahu jalan, kelihatan Tok Embun
sudah pun membuka pintu untuk masuk ke dalam perut
kereta.
Adel kembali ke kereta lalu memandu semula.
Fikirannya mula menerawang teringatkan si ayah Aisy.
Berapa umur dia ketika berkahwin eh? Aisy dah berumur lima
tahun. Lelaki tu pula nampak macam berumur dua puluhan.
Takkanlah berkahwin selepas SPM pula? Mustahillah!
“Tapi... tak mustahil juga!” Tiba-tiba, mulutnya
bersuara.
“Apa yang tak mustahil?” soal Tok Wan Hassan,
terpinga-pinga.
“Entah! Apa yang tak mustahilnya?” Tok Embun
pula mencelah. Masing-masing tertanya-tanya.
“Tak ada apa-apalah.” Cepat-cepat Adel berdalih.
‘Kacau macam ni! Laki orang tu, Adel! Jangan
fikirkan dia lagi. Tak baik! Berdosa! Jaga mata. Karang tak
pasal-pasal kau kena serang dan kecam nanti. Sini, kampung.
Bukan macam di bandar sana!’ Berkali-kali dia mengingatkan
hatinya.
“Ha! Betul tu!” Sekali lagi mulut Adel mengiakan
bualan hati kecilnya.
“Apa yang betul ni, Adelia Zahra?” Tok Wan Hassan
semakin tertanya-tanya. Apalah yang difikirkan oleh cucunya
itu?
“Teringatkan siapa ni? Fokus kepada memandu
dulu. Dah sampai rumah, nak sambung angau pun boleh.”
Tok Embun mencelah lagi. Siapalah yang membuatkan cucu
kesayangannya itu angau, asyik teringatkan dia saja?
“Eh! Eh! Tak ada apa-apalah.” Adel berdalih lagi.
Senyuman turut diberikan sebagai menutup rasa gelabahnya.
“Siapa yang buat cucu wan angau ni?” Adel ketawa
besar dengan seloroh Tok Wan Hassan. Angau? Siapa? Lelaki
mempunyai dua orang anak sebentar tadi ke? Mustahillah!
“Adel kenal tak siapa lelaki yang tok berbual tadi?”
Adel menggelengkan kepala. “Tak kenal.”
‘Lelaki kacak tu... siapakah dia, tok? Berdebar-debar
jantung Adel ni, ha! Astaghfirullahalazim! Adel... suami
orang tu! S.U.A.M.I. Kau dah gila ke apa, Adelia Zahra? Jangan
bermimpikan atau mengangankan hak orang lain. Tapi,
macam mana kalau dia duda? Hmmm... kalau duda hot dan
still nampak handsome boleh je proceed.’
Tok Embun senyum nakal. Sebentar tadi dia nampak
saja Adel dan Firas saling berpandangan dan juga bertukar
senyuman. Hati dia pula yang berbunga-bunga dengan
respons daripada kedua-duanya. Tetapi, berbungakah hati
pasangan itu?
“Dialah...”
“Adelia Zahra!!!” Belum sempat Tok Embun
menghabiskan perkataan terakhir, Tok Wan Hassan sudah
menjerit nyaring.
“Allahuakbar!” Kaki kanan pantas bertindak menekan
brek. Kereta Honda Jazz yang dipandu oleh Adel berhenti
mengejut di hadapan sekumpulan kerbau yang melintas
di jalan raya. Jantung Adel berdegup laju. Bertambah laju
daripada berpandangan dengan lelaki beranak dua sebentar
tadi.
“Wan? Tok? Okey ke?” Air liur yang ditelan, cuba
melepasi kerongkong. Dia benar-benar terkejut! Dia langsung
tidak menyedari akan sekumpulan kerbau yang melintasi
jalan raya. Fikirannya asyik teringatkan lelaki beranak dua
itu saja.
“Macam nak bergolek keluar jantung wan ni,” luah
Tok Wan Hassan, cemas.
“Abang!” Tok Embun pula cemas di tempat duduk
belakang.
Adel dan Tok Wan Hassan sama-sama menoleh
ke belakang. Tok Embun meraba-raba mulut kemudian
menekup mulutnya pula. Jantung Adel semakin bertambah
debar. ‘Ya Allah... Janganlah tok cedera di mana-mana.’
“Kenapa, Embun?” tanya suaminya.
Wajah Tok Embun bertukar panik pula. Anak mata
melingas, mencari sesuatu. Bawah kerusi pemandu dan juga
sebelah pemandu diintai.
“Kenapa Embun?” soal Tok Wan Hassan, sekali lagi.
Nada suara pula sudah bertukar cemas.
“Gigi tercabut. Tolong carikan,” jawab Tok Embun,
bersusah payah cuba menutur kata tanpa gigi palsu.
“Tok!!!” Adel terkejut. Gigi palsu tercicir di dalam
kereta? Waaa...
Ketawa besar Tok Wan Hassan dibuatnya. Padanlah
cemas semacam.

No comments:

Post a Comment