DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 17 April 2017

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 11

Melihat Naim yang berjalan berseorangan
pulang daripada berjoging di kompleks sukan, Shida
menyusun langkah seribu untuk mendekati lelaki itu. Mahu
mengambil peluang terakhir untuk memujuk lelaki itu.
“Naim,” seru Shida dengan suara yang ditinggikan
sedikit agar bisa ditangkap telinga lelaki itu.
Naim berpaling. Langkahnya terhenti. Peluh di dahi
dikesat dengan lengan baju.
Terkedek-kedek Shida berjalan. Lebar senyuman
yang tertampal di bibirnya. Mata yang bercelak serta beralit
turut melirik ke arah Naim. Shida berhenti lebih kurang dua
kaki di hadapan Naim.
“Ada apa?” soal Naim malas.
“Naim baru balik joging ya? Kenapa Ara tak
temankan?” Shida sedar, untuk merapati Naim dia perlu
memainkan peranannya dengan baik. Dia tidak boleh lagi
memburukkan Azzahra di hadapan Naim. Itu rancangan
yang tidak akan menjadi. Maka dia perlu lebih bijak untuk
mengambil tempat di antara Naim dengan Azzahra.
“Macamlah kau tak tahu yang dia tak suka joging.
Rasanya dia pergi main badminton.”
“Oh...” Kepala diangguk laju.
“Errr... Naim nak minum? Shida ada air mineral,”
tawar Shida sambil tangan sibuk menyeluk beg besar gedabak
di bahu.
“Tak payah. Aku baru habiskan sebotol air,” tolak
Naim. “Aku balik bilik dulu. Nak mandi.” Naim ingin berlalu
namun pantas dihalang oleh Shida.
“Nak apa?” Naim menahan sabar. Tahu yang jika Shida
tidak berpuas hati dengannya, gadis itu akan melepaskannya
pada Azzahra. Entah mengapa Shida begitu mencemburui
hubungan akrab yang terjalin antara dirinya dengan Azzahra
sedangkan Shida tahu mereka sudah berkawan sejak sekolah
menengah lagi.
“Naim, malam ni boleh ya, temankan Shida?” manja
Shida melantunkan suara. Bahu digoyang ke kiri dan ke
kanan sedikit untuk menarik perhatian Naim. “Shida janji
kita pergi ke majlis tu kejap je. Lepas tu, kalau Naim nak
tengok bola dengan Ara, Naim tengoklah. Shida tak kisah.”
Bergaris dahi Naim. ‘Dah kenapa pulak dia ni nak
kena kisah ke tak aku nak tengok bola dengan Ara? Bila masa
dia ni jadi girlfriend aku?’
“Lagipun, boleh Shida tengok bola sama-sama
dengan Naim dan Ara malam ni. Kita lepak sama-sama nanti.”
“Sorry, Shida. Aku tak mahu. Game start pukul
8.00. Sikit pun aku tak nak miss tengok.” Sekali lagi Naim
menolak.
Shida semakin terdesak.
“Alaaa...” rengek Shida. “Please, Naim, please?”
Mata sudah terkebil-kebil ke arah Naim. Kedua belah tapak
tangan bercantum di hadapan dada. Merayu lelaki itu agar
bersimpati terhadapnya. “Sampai bila-bila Shida takkan lupa
kalau Naim temankan Shida malam ni. Nanti Shida akan
balas balik pertolongan Naim ni. Just name it! Nanti Shida
akan turutkan apa je yang Naim nak. Boleh?”
Permintaan yang penuh makna tersirat. Walaupun
Naim masih muda, dia bukan bodoh untuk menangkap
kata-kata Shida itu.
‘Hesy! Susah betul dengan orang yang tak faham
bahasa ni. ‘No’ tu maksudnya nolah! Lainlah macam orang
pompuan. Kadang-kadang ‘no’ tu maksudnya ‘ya’!’ dengus
Naim di dalam hati.
“Kau carilah orang lain untuk temankan kau. Aku
tak senang.” Naim berpaling sekali lagi. Lekas-lekas mahu
melarikan diri daripada Shida. Dia rimas. Dan dia khuatir
yang kesabarannya tidak dapat dipertahankan sekiranya
Shida berterusan berdegil begini.
“Naim!” Suara yang manja tadi berubah tegang.
Terhenti langkah Naim. Shida berjalan dan sekali lagi berdiri
di hadapan Naim.
“Terus terang dengan Shida, Naim suka kat Ara ya?
Sebab tu Naim sikit pun tak nak bagi peluang pada Shida?”
Naim mengeluh berat.
“Aku memang suka kat Ara. Aku sayang gila pada
dia!” luah Naim dengan nada serius.
Berubah wajah Shida. Seperti mahu menangis pun
ada.
“Tapi aku suka kat dia dan aku sayang kat dia sebab dia
sahabat aku, tak lebih daripada itu. Ara takde kena-mengena
dengan kenapa aku tak nak bagi peluang kat kau. Aku datang
sini nak belajar, Shida. Aku belum bersedia nak bercouple ni
semua. Bukan masanya untuk aku. Aku harap kau faham.”
Wajah mendung Shida mengundang rasa bersalah di
dalam hati Naim.
“Kalau kau nak berkawan dengan aku, buat cara
macam nak berkawan. Kalau kau nak lebih-lebih, aku tak
berminat.” Naim mahu menyambung langkahnya, namun
dia kembali berhadapan dengan Shida. “Dan kalau kau nak
berkawan dengan aku, kau jangan burukkan kawan-kawan
aku yang lain. Aku lebih tahu hati budi kawan aku sendiri.”
Naim melayangkan amaran dengan cara yang berlapik. Tidak
perlu dia menamakan orang yang dimaksudkan. Cukup
sekadar status yang dibuat secara umum.
Shida kekal berdiri di tempatnya. Terasa terpukul
dengan kata-kata Naim. Jelas pada pendengarannya yang
Naim begitu menghargai persahabatan yang terjalin antara
dirinya dengan Azzahra. Dan jika Shida ingin meneruskan
niatnya untuk mendapatkan Naim, dia perlu mengubah
strateginya. Tidak boleh tidak!
Azzahra mematikan talian. Perbualannya dengan
Iman sebentar tadi benar-benar menduga perasaan. Tidak
habis-habis dengan gosip!
“Kak long, mak long merajuk dengan Abang Farouk
sebab Abang Farouk tak nak dengar cakap mak long,” cerita
Iman. “Kak long calllah mak long tu. Mak long kan sayang
pada kak long!”
“Kenapa mak long merajuk?” Terpaksa juga Azzahra
bertanya.
“Sebab Abang Farouk tu ikutkan sangat kemahuan
tunang dia tu nak majlis yang macam-macam. Mengalahkan
retis, kak. Mak long tak suka membazir. Semalam mak long
datang rumah, mengadu dengan mak. Kesian mak long.
Menangis dia masa cerita pada mak,” cerita Iman.
Mak longnya menangis? Sampai hati Farouk!
“Kak long malaslah nak masuk campur. Biarlah
diaorang settle anak-beranak,” putus Azzahra akhirnya.
Tidak mahu niat untuk membantu disalahertikan nanti,
terutamanya oleh sepupunya itu. Tidak sanggup telinganya
menadah tuduhan lelaki itu nanti. Tapi hati tidak tenang
membayangkan mak long yang tersayang mengalirkan air
mata.
Hailah! Iman ni kalau menelefonnya, tidak lain
mahu bergosip tentang Farouk. Penat betul mahu melayan
adiknya yang sorang ini. Macamlah dia ada apa-apa hubungan
dengan sepupunya itu.
“Naim mana?”
Tangan yang menongkat dagu terlepas tiba-tiba
mendengar suara garau yang menyapanya. Azzahra
mengangkat mata. Zayn sudah menarik kerusi lalu
melabuhkan duduk bertentangan dengannya.
“Oh, dia pergi solat kejap,” jawab Azzahra.
Zayn mengangguk. Seorang pekerja restoran datang
menghampiri meja bulat mereka untuk mengambil pesanan
Zayn.
Wajah sugul Azzahra membuat Zayn tertanya-tanya
sendiri. Dengan siapa agaknya gadis itu bercakap melalui
telefon sebentar tadi? Perbualan yang tidak lama, tetapi bisa
mengubah mood gadis itu... daripada ceria dengan mata yang
tidak berkalih daripada layar skrin bersaiz besar di kaki lima
restoran mamak ini, kepada masyghul secara tiba-tiba. Sirna
sudah cahaya di mata gadis itu.
“Eh, pak cu dah sampai?” Naim mengambil tempat
di antara Azzahra dengan Zayn. Tangan Zayn dikucup mesra.
“Esok pak cu balik KL. Minggu depan mungkin pak
cu datang sini semula. Tapi tak pasti lagi. Tengok macam
mana.”
Naim mengangguk.
“Tak lama lagi pun abang dah nak semester break.
Kejap je dah nak habis semester 3.”
“Dah nak examlah ni ya?”
“Hmmm... malam ni je kita orang break daripada
study kejap,” sengih Naim. “Stres arr, pak cu! Tengok bola
release sikit stres.”
“Yalah tu...”
Pelayan tadi datang semula untuk menghidangkan
mi goreng dan nasi goreng Cina yang dipesan Azzahra dan
Naim awal tadi.
“Pak cu tak order ke?”
“Dah... tengah buat kut,” balas Zayn.
“Kita orang makan dulu, pak cu,” ujar Naim. Nasi
yang masih berasap digaul perlahan.
“Eh Ara, game dah nak mula tu!” teruja suara Naim.
Tidak sedar perubahan yang melanda temannya itu.
Azzahra memaksa diri untuk menghalakan mata
ke layar skrin. Perbualan dengan Iman tadi cuba dilupakan
buat seketika, namun bukanlah mudah kerana ia melibatkan
mak longnya. Hati berbelah bahagi sama ada dia perlu
menghubungi mak longnya atau tidak. Perlukah dia memujuk
seperti yang disarankan oleh Iman tadi?
Tangan menguis mi goreng di atas pinggan. Tawar
saja terasa di lidah. Hilang sudah keterujaan yang dirasakan
sebentar tadi.
“Tak sedap ke mi tu, Ara?” soal Naim.
Terkejut Azzahra. Terangkat sedikit bahunya.
Nampak sangat fikirannya sudah melayang entah ke mana.
“Okey je.”
“Mintak-mintak Arsenal boleh menang malam ni,”
doa Naim.
Azzahra hanya mengangguk tanda sokongan.
“Hai Naim...” meleret panggilan yang dibuat.
Naim menoleh. Dia mengeluh perlahan sambil
mata sudah menjeling ke arah Azzahra. Riak Azzahra sama
berubah sepertinya.
Zayn turut berpaling. Melihat gadis yang sama ketika
berada di Restoran KFC tempoh hari bersama seorang lelaki
lain berdiri di sebelah meja mereka.
“Boleh kita orang join?” soal Shida sambil tersenyum
lebar.
Belum sempat Naim bersuara, Shida sudah
mengambil tempat di sebelah Zayn.
“Duduklah Abang Zack,” pelawa Shida. Sengaja dia
tidak mengambil tempat di sebelah Azzahra. Mahu Zack
duduk di antara Azzahra dengan dirinya.
“Hai Ara,” seru Zack mesra.
Azzahra membalas sapaan daripada lelaki itu.
Naim memperkenalkan Zayn kepada Zack. Mereka
berjabat tangan. Zayn perasan mata lelaki yang bernama Zack
itu seakan tidak mahu melepaskan wajah Azzahra. Dia ni dah
kenapa? Takkan tidak pernah tengok perempuan?
Si pelayan datang lagi. Sambil menghidangkan
makanan yang dipesan oleh Zayn, dia mengambil pesanan
Shida serta Zack pula. Shida menahan rasa geli. Dia tidak
suka makan di tempat-tempat begini sebenarnya. Dahlah
duduk di kaki lima. Kotor benar dirasakannya. Sudahnya, dia
hanya memesan air mineral.
Shida kebosanan. Mata Naim tidak berkalih dari
skrin. Sambil menyuap nasi, dia menonton perlawanan
bola. Begitu juga dengan Azzahra. Tiba-tiba Naim bersorak.
Begitu juga dengan Azzahra. Mereka berdua saling berbalas
senyuman lebar.
“Yes! Gol!” jerit Naim suka.
Shida mencemik. Apalah yang seronoknya menonton
bola ni ek? Ada 22 orang pemain di atas padang yang
mengejar satu bola. Tak ke bodoh? Okeylah. 20 orang pemain
yang mengejar satu bola. Penjaga gol duduk tercongok je kat
depan pintu gol tak buat apa-apa. Buang masa je!
Zack ralit memandang ke arah Azzahra. Suka dia
dengan pemandangan yang menyapa matanya. Tidak tahu
mengapa dia begitu tertarik ingin mengenali Azzahra dengan
lebih dekat. Nak kata cantik, taklah cantik sangat. Ramai lagi
gadis-gadis yang lebih menawan daripada Azzahra di kampus
mereka. Nak kata comel, ada sikitlah. Seksi langsung tak.
Tapi... Azzahra menarik. Mungkin kerana di kampus mereka,
Azzahra saja yang tidak cuba untuk menarik perhatiannya
atau menggodanya. Azzahra seakan langsung tidak kisah akan
kewujudannya sedangkan dia salah seorang jejaka hangat di
kampus mereka. Pelik betul Azzahra ni!
“Ara sokong Arsenal ke?” soal Zack perlahan.
Azzahra menoleh seketika sebelum pantas melarikan
mata. Tidak suka dengan cara Zack merenungnya.
“Naim yang sokong Arsenal ni. Saya sokong
Liverpool. Tapi kalau Arsenal main, saya tak kisah... sokong
je.”
“Oh... Liverpool tak main ke malam ni?”
Azzahra menggeleng.
“Diaorang main malam esok.”
“Jadi malam esok Ara akan datang sini lagi ke?” Zack
sudah teruja. Ada peluang untuk menemani Azzahra lagi
nampaknya.
“Entahlah... takut tak sempat. Saya ada assignment
nak kena submit hari Isnin ni,” balas Azzahra.
“Kalau Ara nak Abang Zack tolong, cakap je. Bila-bila
pun boleh,” Zack menawarkan perkhidmatan. Apa guna
menjadi seorang pelajar senior dalam jurusan yang sama
seandainya dia tidak dapat membantu? Semoga dia akan
nampak bernilai di mata Azzahra.
“Terima kasih.” Itu saja yang mampu Azzahra
ucapkan. Geli tekaknya mendengar Zack membahasakan
dirinya ‘Abang Zack’. Walaupun rakan-rakan sekelas
memanggil pelajar-pelajar senior dengan panggilan ‘abang’
atau ‘kakak’, tapi sukar untuk Azzahra mencontohi tindakan
mereka. Hendak panggil ‘kakak’ takpe lagi. Nak panggil
‘abang’? Aduh, malam sikit ya! Dia lebih selesa menggunakan
‘saya’ dan ‘awak’ saja dengan Zack.
Shida menyembunyikan senyuman. Pandai taktiknya
untuk mengajak Zack ke mari. Singgah ke majlis hari jadi
temannya tadi sekejap saja. Tatkala melihat Zack ada di majlis
yang sama, laju minda merencanakan rancangan. Dan dengar
saja nama Azzahra, Zack tidak menolak. Pandai dia mencari
peluang untuk mendekatkan Zack dengan Azzahra.
Zayn hairan melihat reaksi Azzahra dan juga Naim.
Azzahra tidak langsung kelihatan cemburu melihat Shida
cuba menggoda Naim dan Naim pun begitu. Langsung tidak
hiraukan Zack yang sedang cuba mengurat Azzahra. Kenapa
mereka tak rasa apa-apa? Dan mengapa dia pula yang rasa
tidak senang melihat Zack yang duduk terlalu rapat dengan
Azzahra?
“Naim minat siapa kat dalam group Arsenal ni?”
Shida bertanya konon-konon berminat. Soalan daripada
Shida membuatkan Zayn melarikan mata daripada dua objek
di hadapannya.
Group? Aduh... ingat pasukan bola ni kumpulan
muzik ke?
“Ozil,” jawab Naim sepatah.
“Ozil? Peliknya nama...” gumam Shida.
Pelayan datang semula untuk menghidangkan
pesanan yang terakhir. Shida sudah mengilas jam di
pergelangan tangan. Lama lagi ke nak habis? Dahlah pakai
cantik-cantik macam ni. Seksi sudah tentu seksi, tapi Naim
tidak perasan pun. Hendak puji dengan kata-kata indah, jauh
sekali. Sakit hati betullah!
Naim hanya berbual dengan Zayn serta Azzahra
tentang perlawanan bola yang sedang ditonton. Banyak yang
mereka ulas tentang perlawanan itu. Sekali-sekala Zack turut
memberikan komen. Tiada ruang untuk Shida mencelah.
Tidak tahu hendak komen pasal apa pun. Si Azzahra pula, ada
je benda hendak balas. Setiap nama pemain dia tahu. Tercabar
betul Shida melihat betapa selesanya Naim bertukar-tukar
pandangan dengan Azzahra.
Shida mengetuk meja dengan jari-jemarinya. Kepala
ligat berfikir cara untuk menarik perhatian Naim.
Sedetik itu, telefon Azzahra berbunyi. Dia mengangkat
telefon bimbit yang terletak di sebelah pinggannya. Melihat
nama si pemanggil, dia mengeluh perlahan. Dia bangun lalu
berjalan menjauhi kawasan kaki lima.
Lama juga Azzahra berbual dengan si pemanggil.
Akhirnya, dia kembali ke meja.
“Naim, aku balik dulu. Aku tak dapat nak tunggu
sampai habis game. Nanti aku call kau,” ujar Azzahra dengan
suara yang tergesa-gesa.
“Kau okey tak ni Ara?” soal Naim.
Mata Azzahra yang sedikit berkaca tidak lepas
daripada pandangan Zayn. ‘Dah kenapa pulak dengan budak
kecik ni?’
“Okey je.”
“Eh, kau nak balik macam mana ni? Aku hantarlah,”
tawar Naim lagi. Tawaran yang membuat hati Shida panas.
Panas sangat. Demi Azzahra, Naim sanggup melupakan
perlawanan bola pasukan kegemarannya, sedangkan
dengannya, Naim tidak mahu melakukan perkara yang sama.
Azzahra rasa bersalah. Memanglah dia datang tadi
dengan Naim. Tapi perlawanan bola tidak habis lagi. Baru
selesai separuh masa pertama. Tidak sampai hati pula dia.
“Game tak habis lagi tu. Takpelah. Tahulah aku
camna nak balik,” tolak Azzahra. “Aku pergi bayar makanan
aku kejap.”
Berkerut dahi Naim. Kenapa dengan Azzahra?
Bingkas dia bangun. Ingin mengejar langkah Azzahra yang
laju ke kaunter pembayaran.
“Naim, aku boleh je kalau nak tolong hantarkan Ara
balik,” Zack bersuara.
Mencerlung mata Naim.
“Sorry bro, takkanlah Ara nak naik motor dengan
kau?” tangkis Naim. Biar benar Zack ni!
“Apa salahnya, Naim?” celah Shida. “Shida naik
dengan Abang Zack tadi okey je.”
Mahu saja Naim membalas kata-kata Shida dengan
suatu sindiran yang cukup pedas. Dia amat kenal akan
Azzahra. Jauh benar jika mahu dibandingkan dengan Shida.
Azzahra seorang yang tahu dan amat menjaga batas-batasnya
sebagai seorang perempuan. Potong jarilah kalau Azzahra
boleh bersetuju untuk membonceng motor Zack.
“Abang, biar pak cu yang hantar,” Zayn akhirnya
bersuara setelah asyik diam sedari tadi. “Abang duduk sini
habiskan game abang tu.”
“Betul ke pak cu?”
Zayn mengangguk.
Azzahra kembali ke meja untuk mendapatkan beg
sandangnya. Dompet disumbat kembali ke dalam beg.
“Aku gerak dulu,” ujar Azzahra.
“Tunggu! Aku hantar,” tahan Zayn. Belum sempat
Azzahra membalas, Zayn sudah masuk ke dalam restoran
untuk membuat pembayaran.
“Naim...” Bulat mata Azzahra.
“Takpe, Ara. Biar pak cu aku hantar kau balik. Kau
tak payah risau.” Tahu saja apa yang berlegar dalam kepala
Azzahra.
“Abang Zack pun boleh hantar Ara kalau Ara sudi.”
Sekali lagi Zack menawarkan perkhidmatan.
“Errr... takpe, takpe. Saya balik dengan pak cik
Naim,” laju Azzahra menolak. “Terima kasih.” Daripada
berdua-duaan dengan Zack, dia lebih rela bersama Zayn
walaupun jika difikirkan betul-betul, Zack menyukainya
sementara Zayn tidak.
Naim menyembunyikan senyuman. Shida mencebik
di dalam hati, namun dia tetap puas Naim tidak jadi
menghantar Azzahra pulang ke kampus. Inilah peluang yang
dinanti-nantikan. Sudah tentu dia boleh menumpang kereta
Naim nanti. Tidak sabar dia mahu berdua-duaan dengan
Naim!

No comments:

Post a Comment