DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 28

“TIFFANY? Kenapa, sayang?”
“Daddy...” Tiffany cuba senyum tapi senyumannya
hambar. Jiwanya merana.
“Apa yang tak kena? Cerita dengan daddy.”
Tiffany bangun dan mendekati tingkap kaca. Alam
mula diselimuti malam. Lampu-lampu neon mula menyala
menerangi ibu kota England ini. Hujung jarinya menyapu air
mata yang mengalir di pipi.
Soalan daripada daddynya dibiarkan tak terjawab.
Dia tenggelam dalam perasaannya sendiri. Tuan Standford
mendekati anak perempuan tunggalnya itu. Dia sanggup
lakukan apa sahaja untuk memberikan kebahagiaan kepada
anaknya itu. Satu-satunya harta bernilai peninggalan arwah
isterinya, Melissa. Dia tidak kisah berapa harus dibayar atau
dikeluarkan agar Tiffany bahagia. Dia sanggup berkorban apa
sahaja untuk satu-satunya anak yang dia ada.
“Beritahu daddy, kenapa gadis kecilku ini bersedih?”
“Saya dah dewasa, daddy. Bukan lagi gadis kecil,
daddy,” bantah Tiffany dalam merambu air mata yang
mengalir.
“Awak sentiasa menjadi gadis kecil kesayangan
daddy sampai bila-bila, sayang.”
Tiffany berpaling dan memeluk daddynya. Dia
teresak di dada daddynya. Daddy telah menjadi orang kedua
sejak kehadiran Ferhad. Tetapi dia sentiasa menjadi gadis
pertama kesayangan lelaki itu. Daddy sentiasa ada saat-saat
diperlukannya.
“Ferhad.”
“Kenapa dengan Ferhad?”
“Dia dah berubah. Dia tak seperti dulu lagi.”
Tuan Standford kerut dahi. Tidak faham apa yang
anaknya maksudnya. Di matanya, Ferhad seperti biasa. Malah
Ferhad nampak lebih bersemangat dan semakin komited
kepada kerjanya. Hasil kerjanya pun semakin menakjubkan.
Sentuhan emas Ferhad sentiasa ditunggu.
“Daddy tak faham. Ferhad berubah? Daddy tengok
dia seperti biasa malah semakin komited pada kerjanya.”
“Dia pertimbangkan nak balik ke Malaysia buat
selama-lamanya. Habis tu bagaimana dengan Fany, daddy?
Saya tak boleh kehilangannya. Saya tak boleh...”
Tiffany memeluknya daddynya erat. Melepaskan
segala kesakitan yang ditanggungnya. Tuan Standford tepuk
belakang Tiffany untuk menenangkannya. Buat seketika, dia
membiarkan Tiffany meluahkan rasa di dadanya.
“Ferhad tahu perasaan Fany yang sebenarnya?”
Tiffany geleng kepala. Selama ini Ferhad anggap
dia sebagai kawan baik sahaja. Kawan yang memahami
cita-citanya dan juga kawan yang mempergunakan satu
sama lain untuk faedah yang dinikmati bersama. Tidak lebih
daripada itu.
“Jadi, sayang patut luahkan apa yang sayang rasa.
Biar dia tahu dan pertimbangkan perasaan Fany.”
“Tapi bagaimana kalau dia tolak? Fany takut
persahabatan kami terputus.”
“Fany mesti berani. Kenapa harus mengalah
sebelum berjuang? Sikap Fany ini, membuatkan Fany sudah
kehilangan dia. Mana tahu selama ini Ferhad juga cintakan
Fany. Tapi masing-masing tak berani meluahkan sebab takut
ikatan persahabatan ini terputus, korang memendam rasa.”
“Saya tak ada keyakinan untuk meluahkan perasaan
saya.” Tiffany tunduk. Dia bergerak menuju ke sofa di hujung
biliknya. Dihempaskan tubuh langsingnya di situ.
Tuan Standford mengeluh dengan sikap anaknya.
Dalam urusan perniagaan tidak dinafikan kewibawaannya
mengemudi setiap urusan dan projek. Semuanya berjaya
dan kebolehannya diiktiraf. Tetapi dalam urusan peribadi,
sikap Tiffany sebaliknya. Dia tidak berani meluahkan atau
mendapatkan apa yang dicintai.
Ferhad. Pemuda Melayu itu tanpa sedar telah menjadi
cinta pandang pertama anaknya. Sejak terpandangkan
Ferhad, anaknya sentiasa bercerita tentang pemuda itu.
Dia dengan senang hati mendengarnya. Berkenalan dan
mengenali Ferhad, dia yakin pemuda itu seorang lelaki yang
baik. Dia tidak ragu-ragu menyerahkan Tiffany kepadanya.
Namun dia kecewa apabila Tiffany memberitahu bahawa
mereka hanya berkawan baik. Ferhad anggap Tiffany sahabat
baiknya. Walaupun hubungan mereka sampai ke bilik tidur,
hakikatnya status perhubungan mereka tidak berubah.
“Tak apa daddy, saya dah miliki tubuhnya. Itu sudah
cukup bagi saya. Saya yakin Ferhad akan sedar tentang
cintanya terhadap saya suatu hari nanti.” Itulah kata-kata
Tiffany setelah dia menyerahkan keperawanannya kepada
Ferhad.
“Nak daddy tolong? Daddy beritahu Ferhad tentang
perasaan Fany yang sebenar.”
“Jangan, daddy. Saya tak mahu. Saya mahu dia
cintakan saya tanpa paksaan sesiapa. Saya tahu daddy
sayangkan saya. Mahukan yang terbaik untuk saya. Tapi soal
hati, saya akan uruskan sendiri. Daddy tak perlu risau. Saya
yakin dia juga cintakan saya.”
Tuan Standford senyum.
“Itulah semangat dan keyakinan yang daddy mahu
dengar. Daddy juga yakin Ferhad cintakan anak daddy ni.”
“ASMA, AWAL bangun?”
“Terjaga nak buang air kecil tadi Kak Pah, tengok
jam dah pukul 5.30 pagi. Bangun solat subuh teruslah. Nak
tidur semula tak mengantuk pulak,” jawab Asma.
“Oh... rindukan cik abam lagi?” tanya Syarifah. Dia
sudah duduk di bucu katil.
Asma garu kepala. Dia malu tapi itulah yang
dirasakan.
“Rindu tu tak pernah hilanglah, Kak Pah. Semakin
hari semakin rindu walaupun setiap hari berSkype dan
WhatsApp,” akui Asma.
“Agaknya itulah yang dirasakan oleh isteri-isteri
yang terpaksa berjauhan dengan suami, kan?”
Asma angguk.
“Kalau Kak Pah kahwin nanti, tak sanggup Kak Pah
nak berjauhan dengan suami macam Asma ni. Tak kuat iman
dan juga tanggung rindu,” kata Syarifah.
Asma ketawa mengekek mendengar kata-kata kawan
sebiliknya itu.
“Kak Pah ni belum ada pakwe dah cakap tak sanggup
berjauhan dengan suami pulak.”
Syarifah sengih. Dia segera berlalu ke bilik air untuk
mengambil wuduk kemudian solat subuh. Muna masih lagi
terbongkang di atas katil. Sebab Allah bagi dia cuti, jadi
mereka berdua bagi dia peluang tidur sampai ke lewat pagi.

“MELUKIS LAGI?” tegur Syarifah setelah menyidai
telekungnya. Dia intai apa yang sedang dilukis oleh Asma.
Bertuah Asma sebab ada bakat melukis.
“Cantik Asma lukis. Pemandangan dekat mana tu?”
“Rumah ibu, kak. Orang berdua ni saya dan adik.
Teringat dulu, kami suka duduk di laman rumah ibu sambil
melihat ke tengah sawah. Masa tu padi tengah menguning.
Ada banyak burung datang makan. Sebab itulah ada
orang-orang diletakkan di tengah sawah.”
“Teringin Kak Pah nak pergi jalan-jalan ke rumah
Asma.”
“Boleh. Cuti mid sem nanti boleh ikut Asma balik.”
“Tak boleh. Kak Pah rindu dengan kampung Kak
Pah. Cuti akhir semester ni boleh. Sebab cuti lama.”
“Okey, tak ada masalah. Boleh kita balik naik kereta,
nanti ajak Kak Muna sekali. Asma boleh bawa pusing-pusing
Kota Bharu nanti.”
“Set.”
Syarifah duduk di meja belajarnya. Dia buka nota
kuliahnya. Dia mahu mengulang kaji subjek untuk hari ini.
Dia jeling Asma yang sedang ralit mewarna.
“Asma tak nak cuba jual lukisan Asma ni? Kak Pah
tengok banyak dah Asma lukis.”
Terhenti tangan Asma seketika.
“Seganlah, kak. Saya melukis ikut sedap hati je. Tak
ikut peraturan langsung. Mesti tak ada orang nak beli nanti.”
“Belum cuba belum tahu. Lagipun tak rugi Asma
cuba jual lukisan ni secara online. Mana tahu ada rezeki,
ada orang suka dan nak beli lukisan Asma. Asma cuba juga
melalui eBay.”
“Macam mana? Saya tak tahu.”
“Kak Pah boleh ajarkan. Mari Kak Pah tunjukkan.”
Asma menghampiri Syarifah yang telah tolak ke tepi
nota-nota kuliahnya. Laptopnya dibuka untuk ditunjukkan
kepada Asma.
Melihat setiap jenis lukisan yang dijual di eBay,
timbul rasa ingin cuba.
“Bolehlah saya nak cuba jual, kak. Nampak macam
lukisan saya lebih cantik daripada yang dijual kat dalam tu.”
“Itulah Kak Pah cakap. Kita kena ambil gambar
cantik-cantik. Kemudian baru boleh muat naik dalam eBay.”
“Aku boleh jadi tukang ambil gambar,” sampuk
Muna secara tiba-tiba.
Hampir terlompat Asma dan Syarifah apabila
berpaling melihat wajah Muna yang comot dengan kesan
bedak sejuk yang dipakainya semalam.
“Kau ni memang sebijik puntianak sesat siang hari.”
kata Syarifah. Serentak mereka ketawa termasuklah Muna.

No comments:

Post a Comment