ASMA peluk Ferhad erat. Dengkuran kecil dan
degupan jantung Ferhad bagaikan muzik latarnya malam
ini. Matanya tidak ingin lelap walaupun badannya letih.
Kalau boleh malam ini dia mahu merenung wajah suaminya
sehingga pagi. Dia berat hati mahu pulang esok. Bulan
madu mereka akan berakhir. Bererti masa mereka bersama
semakin singkat. Padahal dia mahukan masa mereka bersama
dipanjangkan lagi.
Tanpa sedar, air mata Asma mengalir. Dia tongkat
dagu di dada Ferhad dan terus merenung suaminya. Lama dia
merenung wajah yang semakin memenuhi hatinya.
“Kenapa tak tidur lagi, hmmm?” bisik suara garau
milik Ferhad. Matanya tidak dibuka. Tapi dia dapat rasa
isterinya sedang merenungnya.
“Lepas abang balik UK nanti, abang mesti akan
lupakan Asma, kan?” luah mulut Asma tanpa dirancang akal.
Ferhad paksa matanya terbuka. Selepas mendengar
kata-kata Asma, terus hilang kantuknya. Dia bangkit
bersandar di kepala katil. Tubuh Asma ditarik bersama.
Comforter dibetulkan agar terus menyelimuti tubuh Asma.
Asma palingkan wajahnya ke sisi. Walaupun samar-samar
cahaya lampu tidur, dia dapat lihat pipi merah itu berair.
“Isteri abang yang cantik dan manja macam ni, mana
boleh lupa. Kalau boleh abang nak tarik ikut abang balik UK
sekali,” balas Ferhad.
Namun Asma hanya diam. Wajahnya basah. Hatinya
sebak mengingatkan sikit masa lagi mereka harus berpisah.
Hatinya takut. Hatinya juga sakit.
“Pandang abang, sayang,” pinta Ferhad.
“Asma takut abang lupakan Asma sebaik saja tiba kat
sana.”
“Isteri abang... mana mungkin seorang suami akan
terus melupakan isteri sebaik saja dia meninggalkannya,
hmmm?”
“Sebab Asma bukan isteri pilihan abang. Abang
kahwin sebab nenek.”
Ferhad mengeratkan pelukannya. Dirapatkan
wajahnya pada wajah Asma.
“Biar apa pun sebab perkahwinan ini terjadi, Asma
telah dipilih untuk menjadi isteri abang sejak di lohmahfuz
lagi. Asma jodoh yang Allah tetapkan untuk abang. Betul,
abang tak ada pilihan selain mengahwini Asma. Tapi jika
betul juga bukan jodoh kita, pernikahan ini tak akan terjadi.
Jadi sayang jangan sesekali persoalkan tentang bagaimana
kita kahwin. Sebab Allah SWT dah tetapkan Asma isteri
abang. Abang tak sempurna, sayang. Ada banyak kelemahan
tapi abang ada sayang untuk sempurnakan abang.”
Suasana sunyi seketika. Masing-masing melayan
perasaan.
“Abang tak dapat bawa Asma bersama abang sebab
ibu dan nenek perlukan Asma di sini. Lagipun kerja abang
menuntut abang selalu travel, berhari-hari malah makan
masa berbulan. Abang tak dapat jaga Asma. Keselamatan
Asma lebih penting. Jadi Asma lebih selamat berada di sini.
Asma kena sabar tunggu abang. Lepas kontrak kerja abang
tamat, abang akan balik kerja kat Malaysia. Nanti kita akan
bersama dan tak akan berpisah lagi. Boleh tunggu abang,
kan?” tanya Ferhad sambil tersenyum manis, cuba memujuk
isterinya itu.
Asma cuba membalas senyuman itu. Hatinya lega
bila mendengar penjelasan suaminya itu.
‘Aku akan terus setia menanti,’ nekadnya.
Kemudian dia peluk suaminya. Kepalanya diletakkan
ke dada Ferhad. Terdengar laju degupan jantung Ferhad.
“Asma dah kejutkan abang bangun. Jadi Asma kena
layan abang lagi,” pinta Ferhad sambil tersenyum nakal
kepada Asma yang sedang memandangnya. Mendengarkan
itu, sekali lagi Asma sembunyikan wajah di dada suaminya.
Ferhad menarik nafas kemudian menghembusnya
perlahan. Dia sentiasa bersemangat dan bertenaga apabila
bersama Asma. Pelik. Tapi itulah nikmatnya apabila berkahwin.
Sesekali terlintas dalam fikiran tentang perhubungannya
dengan Tiffany. Friend with benefit. Mungkin sudah sampai
masanya untuk dia mengakhiri perhubungan itu.
Dia tahu ada banyak yang Asma ingin tahu tentang
dirinya. Kalau boleh dia mahu beritahu Asma satu per satu
tentang kehidupannya. Tapi boleh ke Asma menerimanya
dengan hati dan minda terbuka? Fikiran isterinya itu masih
lagi suci, maka dia tak mahu meninggalkan Asma dengan
hati yang tercarik apabila mendengar ceritanya. Dia mahu
meninggalkan Asma sebagai isteri yang bahagia memilikinya
sebagai suami.
“Tapi Asma penatlah. Abang tak penat ke?” Terdengar
bisikan Asma yang bersembunyi di dadanya. Desahan nafas
itu membuatkan dia kembali senyum. Penat tapi tangan
tetap memainkan peranan. Ah... isterinya sudah mula pandai
menakal.
“Ya ke?” Dia tangkap tangan Asma yang meliar itu.
“Abang rasa macam tak pun.” Ditarik tangan itu dan
dibawa ke bibirnya. Spontan Asma angkat wajahnya, bibirnya
digigit tanpa sedar.
“Asma macam ni, lagi bersemangat abang...”
Tanpa perlu berkata lagi, tangan dan mulutnya
memainkan peranan. Mereka tenggelam lagi dalam
kenikmatan bulan madu.
ASMA TERKEJUT apabila terdengar bunyi lagu daripada
iPhone milik Ferhad. Dia capai iPhone di atas meja sisi katil.
Dilihat nama pemanggil.
Tiffany.
Dia lihat jam. 4.30 pagi. Bunyi telefon tiba-tiba
berhenti. Beberapa saat kemudian, ia berbunyi lagi. Masih
lagi orang yang sama. Mata yang mengantuk terus segar.
Hatinya rasa cemburu. ‘Siapa Tiffany ni?’
“Dalam rumah tangga, syak wasangka hanya akan
memakan bahagia yang sedang dikecapi. Asma kena yakin
dengan suami Asma. Selagi dia melayan Asma dengan baik.
Jaga kebajikan Asma sebagai isterinya, maka jauhkan hati
dari sebarang syak wasangka. Tak semua tentang suami
kita perlu tahu. Ada perkara yang kita kena butakan mata,
pekakkan telinga untuk terus merasai bahagia. Suami ada
egonya. Jadi jangan sesekali Asma cabar ego seorang suami.
Kita kena yakin, setiap yang berlaku itu Allah SWT sudah
merancang sebaiknya untuk kita. Jadi jangan sesekali kita
ubahnya gara-gara mendengar bisikan syaitan yang sentiasa
cemburu melihat suami isteri yang bahagia.” Pesanan ibunya
itu masih Asma ingat.
“Ibu tahu, Ferhad kahwin dengan Asma sebab Nek
Som. Tapi ibu juga tahu, Ferhad kasihkan Asma sebagai
isterinya. Dia akan jaga anak ibu ini sebaiknya. Jadi jangan
jadi isteri kuat cemburu dan tidak percayakan suami.
Sebaliknya jadilah seorang isteri yang sentiasa memahami
dan percayakan suami. Sentiasa setia untuk suaminya.”
Asma teringatkan nasihat ibunya itu sebelum
mereka memulakan perjalanan ke Cameron Highlands.
IPhone Ferhad terus berbunyi dengan panggilan Tiffany.
“Kau tu tak layak jadi isteri abang aku. Abang aku dah
ada kekasih. Tiffany namanya. Sebaik sahaja dia tinggalkan
kau, nama kau terus terhapus. Sedar diri tu sikit.”
Asma teringat juga kata-kata Fatin Nur pada malam
pernikahannya. Kata-kata yang membenihkan syak wasangka
ke dalam hatinya. Semakin membuatkan dia menjeruk rasa.
Padahal baru beberapa jam tadi Ferhad memujuknya.
Asma beristighfar berkali-kali. Dia tidak mahu
hatinya terjerumus ke dalam syak wasangka yang memakan
bahagianya nanti. Puas berperang dalam hati, akhirnya Asma
kejutkan Ferhad di sebelah.
“Abang... bangunlah. Ada orang call ni. Dekat 5 kali
dah missed call.”
“Hmmm... biarlah. Esok abang call semula.”
“Tapi pemanggil ni call tak berhenti sejak tadi.
Macam mana nak tidur... bising,” rengek Asma.
“Tiffany call.”
Ferhad mendengus. Dia bangun juga. Diambil
iPhonenya, kemudian terus ditutup.
“Sleep.” Ferhad tarik Asma ke dalam pelukannya.
Dalam diam, Asma tersenyum lega.
Namun, mata Ferhad terbuka luas. Ada tanda tanya
dalam hatinya. Kenapa Tiffany bertalu-talu menelefonnya?
Dia bermasalah ke?
No comments:
Post a Comment