DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 20 July 2020

Mutiara Dalam Debuan Kabus - Bab 10

KAMI segera menoleh dan aku melihat ibu tiri suamiku sedang tercegat di ambang pintu dapur. Tangan kirinya mencekak pinggang, sedang tangan kanan memegang beg kertas coklat berlogokan McDonald’s, yang tidak syak lagi mengandungi makanan segera untuk makan tengah hari Arianna.

“Mak cik sepatutnya tidak boleh keluar rumah selagi Aria belum pulang dari tadika,” Uzzam menegur.

Namun Puan Masirah mendengus.

“Maaf, aku bukan babu di dalam rumah ini, Zam. Lagipun, bukankah kita sudah ada orang gaji baharu sementara. Bahkan, Aria itu anaknya juga. Jadi, budak itu tanggungjawabnyalah.” Dia berjalan menuju ke meja makan, lantas meletakkan beg kertas McDonald’s di situ. “Nah, nenek ada belikan burger dan french fries untuk makanan tengah hari Aria,” tambahnya sambil memandang budak itu tetapi dengan renungan galak. Selepas itu dia pun berpusing dan keluar dari ruang dapur itu.

Arianna pula aku lihat segera melompat turun dari kerusi yang didudukinya tadi dan segera mendapatkan ayahnya sebaik sahaja kelibat Puan Masirah pergi. Dia berselindung di belakang kaki panjang ayahnya seolah-olah mahu menjauhkan diri daripada nenek tirinya itu. Adakah dia berasa takut atau benci terhadap wanita itu? Tidak dapat hendak aku duga. Bagaimanapun, aku akan cuba cungkil daripada Arianna jika ada masa yang sesuai.

“Ayah, Aria dah kenyang. Aria tak mahu makan McDonald’s yang nenek beli. Aria nak tidurlah,” Arianna mendongak memandang ayahnya. Sinar matanya sayu sahaja dan mulutnya mula menguap.

Uzzam tersenyum seraya mengusap-usap kepala anak perempuan kami itu.

“Tak apa, yang ini nanti ayah bawa ke tempat kerja dan kasi salah seorang pekerja ayah, hmm.” Lantas dia mendukung Arianna dan meninggalkan ruang dapur itu tanpa mempedulikan aku.

Aku melihat kedua-dua beranak itu pergi dengan hati yang hampa seolah-olah aku tiada di situ langsung. Tetapi perasaan itu aku segera tolak ke tepi. Yang penting, Uzzam dan Arianna suka dengan masakan aku.

 

AKU TIDAK boleh tidur malam ini. Puas aku cuba melelapkan mata yang awal tadi berasa cukup mengantuk sekali. Namun apabila kepala menyentuh sahaja bantal, tidak semena-mena fikiran aku berpusaran. Berbagai persoalan tentang diriku yang sebenar sekali lagi bergentayangan dalam kotak benakku.

Aku masih terkapar-kapar seperti seseorang yang akan lemas di lautan luas. Demi tidak mahu tenggelam dan berkubur di dasar laut itu, aku terpaksa tegarkan semangat dan tekad untuk terus berenang mencari daratan atau sebuah pulau. Aku tidak akan berputus asa.

Aku melepaskan keluh panjang seraya duduk di tengah-tengah katil dan terus mengelamun panjang dalam samar-samar malam yang mula dingin. Jam menunjukkan sudah pun pukul 2.15 pagi. Sekali lagi aku cuba buat fikiranku untuk ingat sesuatu tentang masa lampauku. Siapalah tahu dalam keadaan sekeliling yang senyap sunyi begini, aku dapat ingat sesuatu walaupun sedikit.

Maka aku pun duduk tegak, menarik nafas dalam dan pejamkan mata seperti sedang bertafakur. Kemudian aku cuba selak tabir hitam yang sekonyongnya menjadi semacam hijab menutup kenangan masa lampauku. Terutama sekali aku ingin kepastian sekiranya benar namaku ialah Aslin. Sementelah, satu sudut hatiku masih meragui bahawa itu bukan namaku.

Bagaimanapun, tabir hitam itu tidak dapat aku selak sama sekali. Yang mana apabila aku terus memaksa, itu cuma membawa mudarat kepada kepalaku sahaja. Luka di kepalaku mula berdenyut-denyut lantaran aku rasa sakit. Mungkin aku tidak harus menekan diriku dek tidak sabar ingin ingat semula.

Aku mengeluh lagi dan kali ini penuh keluh-kesah. Ada baiknya aku dengar sahaja nasihat doktor bahawa biarkanlah ingatanku kembali pulih dengan sendirinya.

Sesungguhnya, yang membuat aku payah hendak melelapkan mata ialah apabila teringatkan kata-kata Puan Masirah siang tadi. Wanita itu telah mendapatkan aku dengan wajah yang tegas dan sinar matanya yang memancarkan api marah, juga benci.

Justeru melihatkan kemunculan ibu tiri Uzzam itu, aku menggagahkan diri untuk apa sahaja kemungkinan. Bersedia untuk mendengar apa yang hendak diluahkan oleh wanita itu walaupun ia akan menggores pedih hatiku ini.

“Kalau kau fikir kau akan dapat memenangi hati Uzzam semula, hah... kau silap!” Puan Masirah menyerangku dengan nada suara yang parau. Dia berdiri tegak sambil mencekak pinggang. Matanya pula terjegil tatkala merenungku.

“Dan kau mesti ingat Aslin, bahawa kau dibawa balik ke rumah ini pun buat sementara saja. Yalah, nak pulihkan daya ingatan kau yang dikatakan tak dapat ingat masa lampau.” Nada suaranya mula agak tinggi. “Seperti yang pernah aku katakan dulu, entah-entah kau buat-buat hilang daya ingatan supaya dapat balik ke rumah ini. Dan aku yakin, tujuan kau tak lain adalah untuk pikat Uzzam semula. Mungkin setelah 4 bulan menghilangkan diri tanpa khabar berita entah dengan jantan mana agaknya, tapi selepas jantan itu bosan terhadap kau dan tinggalkan kau, kau pun terdesak untuk pulang. Mungkin, tak salah lagi, kononnya kau mengalami kecelakaan dilanggar lari adalah rancangan semata-mata.”

Serangan Puan Masirah itu yang agak bertubi-tubi, menuduh aku melulu begitu, aku pendamkan sahaja. Aku berdiam diri sahaja, tidak cuba melawan atau mencelah demi menegakkan kebenaranku. Sementelah lagi, dengan luka di kepalaku belum sembuh sangat, aku tidak mahu bergaduh atau apa. Biarlah wanita itu membuat prasangka dan andaiannya sendiri asalkan aku tahu bahawa apa yang sedang aku alami ini benar. Justeru aku menarik nafas panjang sambil beristighfar dalam hati agar aku dapat terus berdiri teguh dan imanku tidak goyah.

Seolah-olah mahu terus menyakitkan hatiku ini, Puan Masirah lantas telah bersuara lagi dengan ayat yang lebih tajam.

“Dan aku akan pastikan Uzzam tak akan ambil kau semula. Malahan, aku sungguh-sungguh berharap kau akan berambus dari rumah ini tak lama lagi. Lebih-lebih lagi, aku tak mahu hubungan Uzzam dengan Nora Asyikin yang kini semakin akrab menjadi renggang disebabkan kehadiran kau. Kerana untuk pengetahuan kau, mereka sudah bercadang untuk bertunang. Namun sebelum apa-apa yang tak diingini terjadi disebabkan kehadiran kau di sini, aku akan pujuk Uzzam agar terus bernikah saja. Bahkan sebelum itu, aku akan pastikan dia ceraikan kau dulu!” Dengan hujah-hujah yang cukup mendesingkan telingaku ini, dia pun telah berpusing dan masuk ke dalam rumah semula.

Aku mengeluh lagi sambil mengetepikan peristiwa siang tadi. Telah aku ingatkan diriku sendiri, bahawa aku mesti kuat. Malahan, aku akan menerima qadak dan qadar Allah andainya Uzzam akan menceraikan aku juga akhirnya. Mungkin hasratnya untuk memperisteri Nora Asyikin adalah yang terbaik untuk dirinya. Oleh itu, siapalah aku hendak menahan hasrat si Uzzam itu. Terutama sekali dengan sikapku yang tidak bertanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Bahkan, tanpa menceraikan aku pun Uzzam mampu berkahwin satu lagi.

Agak rimas duduk di tengah-tengah katil, sedangkan mata ini tidak juga mahu tidur, aku pun turun. Kemudian aku tuju ke bangku meja solek dan melabuhkan punggung di situ pula. Terdapat sebiji lampu meja kecil di situ dan aku pun nyalakan. Sekali gus membuat bilik yang kecil ini menjadi agak terang disimbah oleh cahaya lampu yang kekuningan.

Untuk beberapa waktu aku setakat duduk membatu sambil memandang imbasan bayangan wajahku di dada cermin meja solek itu. Aku masih mengenakan serkup berwarna hitam demi melindungi luka di tepi kepalaku. Kini rambutku sudah pun tumbuh semula. Mungkin dalam masa 3 atau 4 bulan lagi, rambutku ini akan panjang dan lebat semula.

Pada masa itulah aku teringatkan akan telefon pintar pemberian lelaki misteri itu. Maka aku pun mengeluarkannya dari laci tengah meja solek itu. Mungkin lelaki itu cuba menghubungiku melalui pesanan ringkas ketika aku sibuk siang tadi. Tetapi sekali lagi aku berasa hampa. Justeru tertanya-tanya juga aku, mengapakah lelaki itu memberikan aku telefon tersebut kalau masih senyapkan diri? Malahan aku rasa agak hairan juga, mengapa aku diberikan telefon pintar kalau perisiannya, lebih-lebih lagi aplikasi galeri kosong sahaja? Sebenarnya apakah agenda lelaki misteri itu agaknya? Haruskah aku mempercayainya? Sementelah sekali lagi aku ingin tahu, siapakah gerangan lelaki itu? Adakah kami ada pertalian antara satu sama lain?

Aku mengeluh panjang dan membelek sejenak alat komunikasi itu lantas mendapati kuasa baterinya sudah cukup rendah. Ia perlu dicas. Setelah melakukan begitu, aku sekali lagi duduk membatu di bangku bulat itu. Malam yang semakin larut membuat sekeliling senyap dan sunyi. Melainkan nyanyian cengkerik yang setia menemani malam. Nun di kejauhan kedengaran pula salakan beberapa ekor anjing. Mungkin sedang berkelahi. Namun begitu, aku senang mendengarkannya kerana hiruk-pikuk di luar sana meskipun kecil, membuktikan bahawa aku masih berpijak di bumi nyata.

Mataku lantas tertumpu pada almari pakaian. Pada masa yang sama aku teringat akan kitab suci Al-Quran yang tersorok di salah sebuah rak di sebelah bawah. Justeru mendapati tubuhku bersih dari sebarang hadas, aku pun bingkas, bercadang untuk ambil kitab suci itu. Sesungguhnya niat aku tidak lain, aku ingin tahu sekiranya aku tahu membacanya. Maklumlah kalau aku perempuan seperti yang dituduh oleh Uzzam, tentulah aku seorang yang jahil agama.

Setelah almari berdaun dua pintu itu aku kuak lebar-lebar, aku duduk di lantai seraya mencapai kitab suci Al-Quran itu. Menarik nafas panjang, lantas aku membuka Al-Quran itu tetapi dengan tangan yang terketar-ketar sedikit. Cahaya samar-samar dari lampu meja solek membolehkan aku membacanya. Dan aku setengah terpegun apabila aku dapat membaca surat Al-Fatihah dengan lancar. Selepas itu aku cuba membaca surat Al-Baqarah dan mendapati aku boleh membacanya dengan baik walaupun agak merangkak-rangkak.

Maka berasa lega dan puas hati yang aku sebenarnya tidaklah sejahil seperti yang aku sangkakan, aku pun menutup kitab suci itu. Setelah aku simpan semula kitab suci itu, aku terus duduk di situ, termangu sejenak. Kini aku sedang terfikir tentang soal solat. Pernahkah aku melakukan solat fardu lima waktu?

Sebaik sahaja perkara itu terlintas dalam benakku ini, tiba-tiba hatiku tergeletak untuk melakukannya. Memandangkan waktu dini hari adalah masa yang dikatakan cukup baik untuk melakukan solat sunat, bahkan dengan keadaanku sekarang ini, tentu inilah masa yang elok untuk memohon petunjuk dan hidayah daripada Ilahi. Pada masa yang sama aku akan tahu sendiri sekiranya aku seorang yang beribadah ataupun tidak.

Apabila keputusan itu aku capai, aku pun tidak berlengah dan bingkas ke bilik air. Aku setengah terpegun juga apabila mendapati aku tidak sedikit pun rasa kekok ketika mengambil wuduk. Seolah-olah aku sudah biasa melakukannya. Selesai berwuduk, aku pun mengenakan telekung yang ada bersama-sama dengan kitab suci Al-Quran itu. Bagaimanapun, selepas itu aku dalam dilema pula. Di manakah arah kiblat?

Justeru aku terkial-kial sejenak. Mungkin kerana niat aku murni, tiba-tiba gerak rasa naluriku seperti mengarahkan agar aku memeriksa salah sebuah laci di almari pakaian itu. Maka aku pun buka satu per satu. Alangkah bersyukurnya aku apabila aku menemui kompas petunjuk arah kiblat.

Setelah berjaya menemui arah kiblat, aku pun berdiri tegak di atas sejadah sahaja, seolah-olah tidak tahu bagaimana hendak memulakan. Mataku setakat merenung lama-lama gambar Kaabah yang ditenun indah pada sejadah itu. Namun akhirnya aku melafazkan niat, tetapi dalam bahasa Melayu, dan lantas memulakan solat. Tanpa aku sedari sendiri, aku dapat membaca setiap bacaan dalam solat tanpa teragak-agak.

Sebaik sahaja salam akhir aku beri, air mata yang telah bergenangan tatkala aku melakukan sujud yang agak lama, mengalir lesu ke pipiku. Selepas itu aku menadah kedua belah tangan dan mula berdoa dengan air mata yang terus berlinangan.

“Ya Allah, sesungguhnya kau saja yang mengetahui siapakah gerangan diriku ini yang sebenar. Justeru aku pohon kepada-Mu oh ya Allah, sembuhkan ingatanku ini semula. Andainya aku sememangnya seorang isteri yang curang dan inilah balasan yang aku terima demi ingin menyedarkan aku, aku reda oh ya Allah. Namun aku berharap Kau lembutkan hati suamiku agar dia memaafkan aku. Kerana tanpa kemaafan daripadanya, aku tahu Kau tak akan terima taubatku ini. Bagaimanapun, aku berharap Kau berikanlah aku petunjuk dan hidayah.”

“Sesungguhnya, aku sedar juga bahawa setiap kejadian ada iktibarnya. Oleh itu, berikan aku bimbingan agar aku dapat menjadi seorang perempuan, juga isteri, yang sebaik dan semurninya dari dulu. Dan aku reda juga andainya ketentuan-Mu aku terpaksa berpisah dengan suamiku. Memang aku hamba-Mu yang kerdil, oh ya Allah. Mungkin ada baiknya aku ditakdirkan hilang daya ingatanku ini kerana aku berasa malu akan apa yang telah aku lakukan pada masa lalu sekiranya aku akhirnya dapat ingat semula. Apa pun, terimalah taubatku ini oh ya Allah, agar hatiku tidak terus ditujah oleh perasaan serba salah dan berdosa.”

“Berikanlah aku jalan keluar dari apa saja masalah yang sedang dan akan aku hadapi. Kuatkanlah imanku agar aku tidak melakukan sesuatu yang melanggar akidah. Teguhkan semangatku supaya aku dapat menempuh masa depan dengan ketakwaan. Sesungguhnya, hanya kepada-Mu saja aku berserah supaya aku akhirnya mendapat rahmat-Mu. Amin.”

Namun aku tidak terus bingkas dari tikar sejadah itu. Aku terus duduk antara dua sujud, pejamkan mata seraya mengayun-ayun kecil tubuhku ini kerana hatiku berasa cukup damai sekali tika dan saat ini. Seolah-olah aku sedang dirangkul oleh perasaan sesuatu yang indah yang payah hendak aku gambarkan. Hingga air mata mengalir semula ke pipiku dan aku biarkan ia kering dengan sendirinya.

Aku mungkin telah terlelap sejenak di atas sejadah itu kerana tiba-tiba aku seperti dikejutkan oleh suatu bunyi yang datang dari arah pintu. Aku pun menoleh ke arah itu, tetapi pintu itu tetap tertutup rapat. Kemudian aku melepaskan keluh kerana mungkin itu setakat bunyi dalam mimpiku tatkala aku terlelap sejenak tadi.

Aku lantas melepaskan keluh panjang seraya menanggalkan telekung. 
 

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN JULAI 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

No comments:

Post a Comment