DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 21 July 2020

Lara Cintamu - Bab 7

“ZEL, sini!” teriak Sofia, merangkap jurumekap Zerlindah untuk sesi fotografi yang bakal berlangsung.

Cepat-cepat Zerlindah menapak ke arah gazebo yang telah lengkap dipasang dengan berbagai peralatan penggambaran.

“Hai, Sofi. You dah breakfast?” sapa Zerlindah sekadar berbasa-basi.

“Dah, sorry lambat. Dah lama ke you sampai?” soal Sofi pula seraya lincah memulakan kerja menata rias wajah modelnya.

“Lamalah jugak. Sempat sarapan sekejap kat hotel tadi. Perut I bukan kenyang dengan makanan, tapi sebu dengan ayat manis kasanova ego yang tak sedar diri!” adu Zerlindah penuh emosi.

“Amboi Zel... marah benar nampak? Kasanova mana yang you kenal pulak ni? You jangan tau... silap hari bulan, salah kasanova yang you kenal, you kena jadi perempuan simpanan pulak nanti,” kata Sofi lagi.

“You ni Sofi... choi! Ke situ pulak dia! Jangan merepeklah, I tahu jaga diri. Jangan risau,” pesan Zerlindah yakin. Ya, dia harus berhati-hati dengan anasir-anasir luar dalam lingkungan dunianya ini. Ramai yang bijak mengambil kesempatan terhadap dirinya. Lihat saja tadi, nyaris-nyaris dia terbuai hanyut dengan belaian lembut di bibirnya. Mujur dia cepat tersedar dari khayalan.

Sambil menunggu wajahnya siap disolek, Zerlindah mengelamun sendiri. Siapakah Adam dan kenapa tiba-tiba mahu berkenalan dengannya? Pertemuan malam itu pula menunjukkan seolah-olah lelaki itu sudah kenal dia lama. Pelbagai persoalan muncul di benaknya sehingga wajahnya selesai ditatarias. Namun, satu jawapan pun tidak muncul untuk menjawab persoalan itu.

“Zel, dah siap make-up? Cepatlah pakai baju renang tu, sesi dah nak mula,” gesa Haikal merangkap jurukamera bagi sesi fotografi yang bakal berlangsung.

“Kejap, I pergi salin baju!” kata Zerlindah lalu dia terburu berlari-lari anak ke arah bilik persalinan.

Saat matanya melihat koleksi pakaian renang yang berada di rak pakaian, darahnya terus naik mendidih kepanasan. Sepantas kilat juga dia berlari menuju ke arah Haikal di tepi kolam renang bersama beberapa pasang baju renang di tangan.

“Haikal, pakaian renang apanya macam ni? I ingatkan photoshoot pakaian renang Muslimah... tapi ini bikini! Too sexy dan terdedah sana sini! I tak nak pakailah! Batalkan aje photoshoot ni! Pakaian yang you bawak ni tak macam yang dinyatakan dalam kontrak yang I tandatangan hari tu!” marah Zerlindah. Wajahnya yang ayu bertukar masam sekelip mata.

“Zel, you jangan buat gila! Photoshoot ni tak boleh dibatalkan macam tu aje. You dah tandatangan kontrak dengan penganjur dan I difahamkan yang you setuju untuk peragakan koleksi yang ditaja. You tahu kan, pakaian renang tentulah seksi. You angankan pakaian renang yang macam mana sebenarnya?” soal Haikal pula. Hendak runtuh jantungnya apabila Zerlindah mula mengugut sebegitu.

Bukan niatnya hendak menganiayai Zerlindah, tetapi selaku model tentu gadis itu lebih maklum dengan situasi dunia permodelannya.

“I mati-mati ingat ni sesi photoshoot pakaian renang Muslimah yang ala-ala BAkini tu. Kalaupun bukan BAkini, tapi janganlah sampai yang jenis seksa macam ni!” protes Zerlindah lagi. Geram dia dengan situasi yang bijak mengeksploitasi dirinya.

“Zel, penganjur tengok you... diaorang tak nampak yang you ni Melayu atau gadis timur. Yang mereka nampak you model yang sosial dek rupa campuran you tu. Faham? Dah, cepat pergi siap! Makin lama kita tunggu, payah I nak menjawab dengan bos nanti kalau sesi photoshoot ni tak sempat dihabiskan,” arah Haikal lagi dengan lantang.

“Tak habis-habis nak salahkan muka I! Muka Bollywood ni bukan tiket mereka ambil kesempatan atas diri I, you tahu tak!” protes Zerlindah lagi. Dia terduduk geram di atas sofa gazebo itu. Lelah dengan kerenah penaja. Tak habis-habis dengan isu rupa Pakistannya setiap kali dia diambil bekerja.

Bukan dia minta lahir dengan wajah sebegini. Tuhan dah kurniakan dia wajah yang sempurna dan dia sangat bersyukur kerana pertembungan dua budaya Melayu-Pakistan ini menjadikan rupa paras punca rezekinya. Tapi kenapa ada saja anasir luar yang hendak mengambil kesempatan seolah-olah dia bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam?

“Zel, please... I tahu you marah, tak puas hati. Tapi photoshoot ni memang kena jalan. Apa kata lepas photoshoot nanti you jumpa semula agen syarikat penaja, selidik semula kontrak yang you dah tandatangan. You marah-marah I masalah tak selesai pun. Kita orang ni hanya cari makan je, Zel. Tolonglah kita orang!” rayu Haikal tidak putus-putus agar Zerlindah segera bersiap untuk menjalankan sesi fotografi secepat yang mungkin. Mereka kesuntukan masa.

Zerlindah jeling wajah Haikal sekilas.

“Panas betul hati I dengan sikap penganjur tau! Mati-mati hidup I ditipu. Mujurlah mulut I ni pun perlu disuap jugak. Kalau I kaya, I langgar je kontrak! Bencilah dapat job macam ni!” jerit Zerlindah dengan suara yang tinggi. Kemudian, dia bangun mengatur langkah ke arah bilik persalinan dengan kaki yang sengaja dihentakkan kuat ke lantai.

Dia dikuasai memori silam sekali lagi. Kalaulah arwah bapanya tahu apa yang perlu dia hadapi demi sesuap nasi hari ini, pasti arwah bapa sedih akan nasibnya. Sudahlah dahulu arwah bapa diejek dan dibuang keluarga kerana berkahwin dengan wanita Pakistan. Kini, anaknya pula dipergunakan demi kepentingan orang lain.

Jujurnya, Zerlindah tidak pernah merasa kasih sayang seorang ibu sejak dilahirkan. Ibunya meninggal dunia sebaik saja selesai berjuang melahirkan dia di dunia. Tak pernah menatap wajah cantik arwah ibu seperti yang selalu arwah bapanya ceritakan. Sekeping gambar pun tak dia miliki.

Dia fasih berbahasa Urdu pun berkat hasil ajaran arwah bapa yang mahukan dia mahir menguasai bahasa ibunda arwah ibu. Kata bapa lagi, kerana wajahnya mirip arwah ibu, jadi bila dia bertutur dalam bahasa Urdu, sedikit sebanyak ia membantu meleraikan rindu arwah bapa kepada arwah ibu. Mengingatkan kedua orang tuanya yang telah pergi, buatkan mata Zerlindah digenangi air mata.

“Zel rindu ayah dan ibu!” rintih Zerlindah sendirian.

Kusss... semangat! Nasib baik dia nak. Kalau tak, mati I Sofi!” rungut Haikal sambil mengurut dada, tanda lega pujukannya mengena.

Peluh yang menitis di dahi, dilap dengan belakang tangan. Baginya, angin Zerlindah Jawhara bukan mudah hendak diramal.

Sofia memandang wajah Haikal dengan pandangan yang tajam.

“You pun satu! Kalau you dah tahu pakaian renang tu seksi macam minah salih, kenapa you tak beritahu Zel awal-awal lagi? You bukan tak tahu prinsip Zel dalam modeling ni macam mana, kan?” soal Sofia dengan galak. Dia juga turut merasa tidak puas hati apabila modelnya ditipu hidup-hidup.

“Masalahnya, I pun tertipu jugak. I tak tahu perihal baju tu sampailah cik adik manis kita tu tadi mengamuk. Kalau I tahu, takkan I sengaja nak dajalkan Zel pulak? Tak baik tau you bersangka buruk dengan I!” tutur Haikal, sedikit berjauh hati dengan kata-kata Sofia.

Sofia seperti menyalahkan dirinya, walhal dia juga di pihak yang tidak tahu-menahu akan keadaan sebenar. Dia hanya dibayar untuk mengambil gambar, bukan menyelidik pakaian yang disediakan.

“Sudahlah you, tu Zel dah keluar. Baik you siapkan kamera cepat sebelum you... dengan kamera-kamera you dicampakkan sekali kat dalam kolam renang tu!” gesa Sofia lagi tatkala melihat wajah cemberut Zerlindah telah keluar dari bilik persalinan.

Zerlindah cekalkan hati. Mata dikerdipkan untuk mengusir sedih yang bertandang sebentar tadi. Beberapa pasang mata lelaki yang berada di sekitar kolam renang tersebut mudah saja melekap tajam di tubuhnya. Semua memandang dia dengan pandangan yang amat ghairah.

Shawn Adam juga tidak ketinggalan. Dia menjadi penonton tidak bergaji sewaktu Zerlindah memperagakan pakaian renang yang menjolok mata di tepi kolam renang tersebut.

Koleksi baju renang pertama yang diperagakan oleh Zerlindah dikenali sebagai monokini. Merupakan pakaian renang yang mendedahkan belakang badan dan juga pangkal pahanya. Koleksi baju renang yang kedua merupakan pakaian renang ala ‘korset’ yang mendedahkan pangkal dadanya dengan ketara.

Pakaian renang ketiga merupakan bikini jenis bertali yang diperbuat daripada kain net hitam yang jarang dan berjarak di bahagian dada. Pakaian renang keempat merupakan sejenis bikini putih yang nipis, bersama pareo yang terikat di pinggang. Dan koleksi baju renang yang terakhir pula merupakan sejenis bikini tube top yang lebih dikenali sebagai bandeau.

Terserlah keindahan tubuh milik Zerlindah tatkala dia galak memperagakan pakaian renang itu di luar kolam renang mahupun di dalam air. Belum lagi dikira aksi-aksi modelnya ketika itu. Mujur sesi fotografi ini diadakan bagi majalah negara barat dan bukan di tanah air sendiri. Jika tidak, pasti teruk seorang Zerlindah Jawhara dikecam netizen!

Walaupun Zerlindah terpaksa memperagakan pakaian renang yang seksi dan menjolokkan mata itu, dia bijak memadankan setiap koleksi pakaian renang tersebut dengan kain pareo dan juga kardigan kimono miliknya sepanjang sesi fotografi tersebut.

Dia buat begitu supaya tubuh badannya tidak terdedah sepenuhnya dalam gambar seperti yang diingini oleh individu yang cuba untuk menganiayainya. Entah siapa dalang itu!

Adam berjalan perlahan-lahan, mengatur langkah mendekati Zerlindah yang sedang leka berposing. Punggung dilabuhkan di tepi kolam renang, memerhatikan tubuh seksi itu dengan pandangan yang amat sinis dan tajam.

Entah mengapa, melihat gadis itu memperagakan pakaian tersebut membuatkan hatinya berasa teramat jengkel dengan Zerlindah. Anak matanya seakan pedih menanggung api kemarahan. Tapi sehabis daya dia pamerkan riak bersahaja.

Situasi yang disajikan di hadapan matanya kini tidak ubah seperti apa yang telah terjadi beberapa tahun yang lalu. Adam menarik nafas dalam-dalam.

No comments:

Post a Comment