DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 20 July 2020

Mutiara Dalam Debuan Kabus - Bab 8

ALANGKAH terpegunnya aku apabila melihat Uzzam sedang berdiri di ambang pintu belakang yang telah aku lewati tadi. Bahu kanannya sedang bersandar pada birai pintu itu sambil memeluk tubuh, menunjukkan bahawa dia telah berdiri di situ agak lama memerhatikan tindak-tandukku dalam diam. Dia masih mengenakan pakaian yang sama ketika mengambil aku dari hospital siang tadi.

Dahi Uzzam berkerut dan bibirnya datar sahaja. Renungannya bak seekor harimau yang mahu menerkam membuatkan aku tidak keruan. Apatah lagi, aku telah ditangkap masuk ke ruang dapur ini, atau lebih tepat lagi ke dalam rumah besar ini tanpa kebenaran.

Aku terpaku di depan dapur itu. Demi tidak berani menentang matanya, aku memandang lantai dan bibir aku ketap rapat-rapat. Dadaku terus berdebar-debar dengan hebat. Aku seolah-olah menanti suara marah dan jerkahannya atas perbuatanku itu.

Apabila dia terus senyap dan bersandar begitu tanpa hendak bersuara terlebih dahulu, aku semakin kerisauan. Keringat mula membasahi tangan-tanganku. Akhirnya tidak sabar untuk menunggu Uzzam berkata sesuatu, aku yang terlebih dahulu memecah.

“Sa... saya tahu saya tak sepatutnya masuk ke dalam rumah ini tanpa kebenaran. Tapi saya rasa sangat lapar kerana sejak keluar dari hospital siang tadi, saya belum makan apa-apa pun,” aku memberanikan diri untuk menjelaskan.

Namun Uzzam tetap membisu dan terus merenungku tanpa berkerdip. Kemudian dia bergerak, berdiri tegak seraya mengorak langkah gontai masuk ke ruang dapur ini. Melihatkan dia berjalan ke arahku bak kucing jantan mahu memerangkap sang tikus sahaja, semakin membuatkan aku berasa cemas. Terutama sekali melihatkan wajahnya yang tampan itu tegas dan kejang begitu.

Tubuhku kaku, tidak dapat hendak bergerak seolah-olah kakiku terpasak di lantai. Pun begitu, apa yang menghairankan aku, mengapakah satu sudut hatiku cukup terpesona dengan caranya berjalan? Sesungguhnya, arah fikiranku ini terhadap si Uzzam itu tiba-tiba membuatkan aku merasa malu. Sikapku ini seperti menggatal sahaja. Memanglah tiada salahnya memandangkan dia adalah suamiku. Malahan, tiada salahnya juga kalau aku tanpa segan-silu cuba menggodanya. Namun aku teringat akan syarat dan status perhubungan antara kami berdua. Sementelah dia sudah ada kekasih baharu dalam hidupnya.

Bagaimanapun, langkah Uzzam rupanya tidak tuju ke arahku, sebaliknya dia menuju ke salah sebuah kerusi meja makan itu lalu duduk.

“Aku pun belum makan lagi. Jadi, apa saja yang kau masak tu, kita kongsi sama-sama,” akhirnya Uzzam bersuara tanpa memandang kepadaku. Nada suaranya dingin sahaja.

Aku yang terus terpegun setakat memandang belakang kepalanya. Adakah aku tidak tersalah dengar?

“Kau dengar tak apa yang aku cakapkan tadi, Aslin?” hambur Uzzam sambil menoleh ke arahku. Dahinya berkerut.

Tentu sahaja aku tersentak. Seperti seseorang yang baru sahaja tersedar daripada lamunan, tiba-tiba sahaja aku sudah pun menghidangkan Nasi Goreng Belacan itu di depan Uzzam. Mujurlah nasi yang aku goreng itu agak banyak. Jadi, cukuplah untuk kami berdua.

Sebaik sahaja aku meletakkan segelas air oren sejuk, Uzzam telah pun menyuap nasi goreng itu ke dalam mulutnya. Begitu berselera sekali dia menikmati nasi goreng itu sehingga tiada sebarang komen pun dilemparkan tentang masakan aku itu. Sedap ataupun tidak. Justeru menunjukkan dia benar-benar lapar. Aku tidak diendahkan langsung seolah-olah dia seorang sahaja di dalam dapur itu.

Menyedari Uzzam tentu mahu bersendirian, senyap-senyap aku menuju ke satu sudut; berdekatan dengan singki dan menikmati nasi gorengku secara berdiri.

“Duduk! Kau tak pernah diberitahukah bahawa tak bagus makan berdiri?” tiba-tiba kedengaran suara suamiku menegur, parau.

Tentu sahaja aku setengah tersentak dan nyaris pinggan yang sedang aku tatang terlepas. Bahkan nasi goreng yang sedang aku kunyah, tersedak di tekak sehingga aku terbatuk-batuk.

Sebaik sahaja batukku reda, aku mendongak dan agak terpisat-pisat apabila mataku bertemu dengan mata Uzzam yang sedang merenungku. Dahinya berkerut. Malahan, aku dapati renungannya lain macam sahaja, yang tidak dapat aku duga apa.

“Aku tahu kau tak pekak, Aslin,” ujarnya lagi. Nada suaranya tidak berubah. “Ayuh duduk. Lagipun, perbincangan kita siang tadi masih belum selesai lagi.”

Tidak mahu Uzzam semakin marah, aku pun segera menuju ke salah sebuah kerusi yang bertentangan tetapi tidak yang berdepan dengannya. Maklumlah, aku tidak mahu naluri wanita aku tergugat dan jadi tidak menentu kalau duduk betul-betul di depannya. Kesan tarikan besi berani yang seolah-olah dimiliki olehnya, entah mengapa membuatkan fikiranku membayangkan yang tidak-tidak. Adakah aku seorang perempuan yang bermata keranjang sebelum kemalangan itu?

“Mengapa duduk jauh-jauh, hah?” Uzzam lantas menjerkah dengan nada suara yang ketat. “Duduk di kerusi depan aku ni, Aslin. Aku tak suka tinggikan suara apabila berbincang, sedangkan hanya kita berdua saja di sini,” tambahnya dengan renungan yang terus tajam. Matanya lantas dialihkan ke kerusi yang berada di depannya, mengarahkan aku agar duduk di situ.

Aku pun buat begitu, tetapi dengan gaya yang ragu-ragu.

“Habiskan nasi goreng kau tu,” arahnya sambil meneguk air oren sehingga habis.

Sememangnya aku rasa agak janggal makan berdepan dengan suamiku. Sementelah lagi, dia terus merenung aku makan dengan dahi yang masih berkerut. Oleh itu apabila dia buat begitu dan tidak pula mahu berkata sesuatu, membuatkan seleraku hilang untuk menghabiskan Nasi Goreng Belacan itu. Namun begitu, aku sedar selagi aku tidak habiskan makanan itu, selagi itulah dia tidak akan memulakan sebarang perbincangan. Jadi, aku paksa diriku untuk menghabiskan nasi goreng itu juga.

Usai menghabiskan nasi goreng, aku pun bingkas, tetapi terpaku apabila Uzzam menegur.

“Kau nak ke mana tu, Aslin?”

“Cu... cuci tanganlah,” jawabku dengan dahi berkerut. “Tak bagus biarkan sisa-sisa makanan yang melekat pada tangan dibiarkan kering tanpa membasuhnya segera,” tambahku, seolah-olah memulangkan paku buah keras sahaja.

Seperti sudah menjadi kebiasaan, aku capai juga pinggan yang telah digunakan oleh suamiku itu dan tanpa menghiraukan renungannya yang semakin galak, aku menuju ke singki. Untuk beberapa jenak, aku berada di situ, mencuci pinggan-pinggan dan peralatan memasak yang telah aku gunakan tadi.

“Kau dah habis mencuci, Aslin?” suara Uzzam memecah dan aku hanya mengangguk.

“Kalau macam gitu, ayuh... duduk sini semula agar kita boleh berbincang selagi rumah ini masih kosong,” tegasnya.

Aku mengeluh sambil mengesat tanganku. Selepas itu tanpa membuang masa aku pun bergegas ke kerusi yang telah aku duduki tadi. Pun begitu, setelah aku labuhkan punggung, aku mula merasa tidak betah semula. Apakan tidak, kerana Uzzam tidak terus memulakan perbincangan, tetapi sebaliknya merenung wajahku lama-lama dengan air muka yang payah hendak aku baca. Dan perbuatannya itu semakin membuatkan aku kegelisahan.

“Sejak bila kau pandai memasak, Aslin?” Uzzam mengajukan pertanyaan itu dengan tiba-tiba.

Tentu sahaja aku tidak mengharapkan pertanyaan itu. Aku merenung wajah tampan itu setengah tercengang. Maklumlah, memandangkan aku ketika ini sedang mengalami hilang daya ingatan, maka aku tidak dapat menjawabnya. Bahkan aku sendiri hairan, aku tidak sedikit pun rasa janggal tatkala memasak Nasi Goreng Belacan tadi. Sesungguhnya, ia datang dengan sendirinya, seolah-olah ia seperti tidak asing bagiku sama sekali.

Aku mengeluh seraya menggelengkan kepala.

“Saya tak dapat nak jawab soalan itu, Uzz... Encik Uzzam, kerana encik tentu tahu yang saya masih tak dapat ingat apa-apa pun tentang masa lampau saya. Naluri saya yang seperti mengarahkan saya, memandangkan saya rasa cukup lapar tadi.”

Uzzam terus merenung wajahku seolah-olah kurang yakin akan jawapanku itu. Aku menundukkan mataku merenung permukaan meja itu kerana tidak sanggup menentang matanya. Namun degupan jantungku terus menghentam dalam dadaku dengan hebat. Perasaan gementar mula mengegarkan sukmaku.

“Kalau aku dapat tahu yang kau pura-pura hilang daya ingatan hanya kerana kau nak kembali ke rumah ni, aku tak akan ragu-ragu untuk halau kau dari sini, tahu?” ujar Uzzam setengah mengancam dengan nada suara yang mendesis.

Aku setengah terpisat-pisat oleh pernyataan suamiku itu. Aku mendongak semula untuk memandang wajahnya. Renungan tajam dan sinar matanya tampak dingin sahaja, cukup membuat wajahku merah padam.

“Me... mengapa saya nak bu... buat begitu? Lagipun, saya... saya tak terfikir pun encik akan bawa saya pulang,” jawabku perlahan. Namun begitu, satu sudut hatiku agak terkilan juga apabila Uzzam menyatakan bahawa dia tidak ragu-ragu untuk menghalau aku dari rumah ini. Tergores juga hatiku ini. Terutama sekali memikirkan bahawa dia sanggup berbuat begitu sedangkan aku masih isterinya yang sah.

“Ta... tapi kalau encik... encik tak suka saya berada di sini, saya rela encik hantar saya ke tempat lain saja,” namun aku lantas menyuarakan, bernada setengah sebak.

Uzzam tiba-tiba mendengus, seolah-olah tidak suka dengan jawapanku itu. Aku tersentak dan mengecilkan diri. Mata aku tundukkan semula.

“Mungkin aku boleh pertimbangkan tentang itu,” ujarnya sebentar kemudian, ketat.

Aku mengangguk tetapi dengan hati yang masih ditujah hampa. Tidak tahulah mengapa aku mesti berperasaan demikian. Pun begitu, aku lantas menarik nafas panjang seraya mendongak semula untuk menatap wajah suamiku itu.

“Encik tuduh saya mungkin pura-pura hilang ingatan kerana nak belas ihsan encik, agar saya dapat diterima semula di sini. Dengan berkata begitu, seolah-olah kemalangan yang telah terjadi kepada saya, kononnya saya yang sengaja rancangkan. Tapi saya bukanlah perempuan yang cetek fikiranlah, Encik Uzzam. Yalah, macam mana kalau jadi sebaliknya, iaitu saya menemui maut? Bukankah itu satu perbuatan yang sia-sia? Malahan, kalau saya pura-pura, encik fikir saya nak lukakan kepala saya sendiri sehingga terpaksa menerima sepuluh jahitan? Luka yang akan meninggalkan parut sepanjang umur saya...” Sekali lagi aku memberanikan diri untuk menyuarakan demi menegakkan kebenaranku.

Uzzam menautkan kening lebatnya, memberikan renungan sempit seperti seekor helang yang mahu menyambar mangsa. Bibir eloknya diketap, datar.

Tidak tahan direnung begitu, mungkin dia tidak suka aku berani menjawab, aku segera menundukkan kepalaku. Detapan jantungku belum mahu reda.

“Aku terima kenyataan kau setakat ini. Tapi bersiaplah untuk menerima akibatnya andainya kau berbohong, Aslin,” Uzzam berkata, setengah mengancam.

Kami lantas senyap buat seketika. Masing-masing seolah-olah sedang mencari cara yang terbaik untuk memulakan perbincangan yang diketengahkan oleh Uzzam tadi. Hanya kedengaran pernafasan kami dan nyanyian cengkerik di luar sana.

Aku terus menundukkan kepalaku tetapi naluriku dapat merasakan bahawa mata suamiku terus memerhatikan aku, tidak salah lagi menilai diriku sekali lagi. Membuatkan aku tidak tentu arah sehingga tergerak mahu sahaja bingkas dan segera meninggalkan dapur ini. Namun tubuhku tidak mahu berganjak langsung. Aku seperti seseorang yang sedang menantikan hukuman. Atau Uzzam sengaja buat begitu demi hendak melihat reaksiku?

Menduga bahawa itulah tujuan suamiku itu, aku bertekad tidak akan memberi dia kepuasan untuk mengotak-ngatikkan diriku ini. Aku akan duduk dengan sabar sehinggalah dia bersedia untuk berbincang.

Akhirnya aku mendengar Uzzam melepaskan keluh panjang. Kedengaran dia bergerak, membuatkan tubuh sasa itu bersandar pada sandaran tinggi kerusi makan.

“Kau tentu masih ingat lagi apa yang telah aku katakan di dalam kereta siang tadi, bukan? Iaitu aku bawa kau pulang ke sini kerana atas arahan doktor demi membuatkan kau dapat ingat semula. Tapi kau tak akan tinggal di sini secara percuma, tahu? Kau harus gunakan tulang empat kerat kau itu sepanjang menetap di sini untuk mendapatkan duit. Terus terang aku katakan bahawa kau akan dilayan seperti orang gaji di sini. Hak istimewa yang pernah kau nikmati dulu sebagai isteriku sudah tiada lagi. Malahan, seperti aku telah katakan juga siang tadi, antara kau dengan aku sudah tidak seperti suami isteri lagi apabila kau menghilangkan diri tanpa khabar berita selama 4 bulan adalah perbuatan yang melampau dan tak boleh aku terima.”

“Jadi, hingga ingatan kau kembali pulih, kau akan tinggal di sini sebagai orang gaji. Sementelah lagi, kami kekurangan dua orang gaji. Seorang, yang biliknya kau duduk sekarang, terpaksa diberhentikan dan dihantar pulang ke Indonesia kerana melakukan perkara sumbang. Sementara seorang lagi, tukang masak kami, terpaksa pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang sedang sakit tenat. Dan memandangkan kau boleh masak, kerana aku dapati nasi goreng kau tadi cukup sedap, mengapa tidak kau jadi tukang masak juga sehingga Mak Leha kembali bertugas.”

Setelah mendengar pernyataan Uzzam itu, aku agak terpaku. Aku mendongak semula dan merenung wajah eloknya tanpa berkerdip dek merasa kurang percaya. Apabila mendengar sendiri daripada mulutnya bahawa tarafku telah diletakkan sama dengan orang gaji, membuatkan hati kecilku cukup terkilan dan remuk-redam. Aku benar-benar rasa kecewa.

Pada masa yang sama, perasaan marah mula menyelinap juga. Lebih-lebih lagi dalam memikirkan bahawa aku sepatutnya berehat dek kemalangan yang telah menimpaku. Sementelah, aku juga tidak ingat apa-apa pun kisah masa lampauku, apatah lagi namaku sendiri. Nama Aslin masih rasa janggal pada diriku ini. Tetapi aku terpaksa menerima nama itu setakat ini.

Aku merasakan diriku ini seperti dipergunakan sahaja. Aku harus menegakkan pendirianku. Memanglah aku yang berdosa dan aku telah berjanji kepada diriku sendiri bahawa aku akan cuba menebus segala kesalahanku itu, tetapi memperlakukan aku sebagai orang gaji itu sudah keterlaluan. Aku tidak dapat menerimanya begitu sahaja dan terpaksa ungkal.

Duduk aku tegakkan, menentang wajah suamiku itu.

“Kini fahamlah saya mengapa encik sudi bawa saya pulang. Rupanya ada agenda tertentu. Tak salah lagi cuba menyeksa saya atas apa yang telah saya lakukan. Tak ada perasaan belaskah di hati encik melihatkan keadaan saya yang belum sihat ni? Malahan, baru saja keluar dari hospital. ”

Nampaknya keberanian aku bersuara tidak disenangi oleh Uzzam sama sekali. Dia melemparkan renungan dengan wajah yang sengit. Namun begitu, aku menentang renungannya demi menegakkan kenyataanku itu. Tidak kisahlah apa yang dia anggap diriku sekarang.

“Dalam keadaan kau begini pun, kau masih memiliki sikap ungkal dan kepala batu ya Aslin,” sindir Uzzam, setengah mendesis. Dahinya berkerut. “Ini yang membuatkan aku musykil akan keadaan kau yang sebenar. Betulkah kau benar-benar mengalami hilang daya ingatan?”

Aku terpaksa menarik nafas panjang. Sempat juga beristighfar dalam hati.

“Saya dah agak encik akan berkata begitu. Anggaplah apa yang encik mahu, saya tak dapat hentikan pendirian encik. Lagipun, saya berada di sini seperti yang encik telah jelaskan, taklah lama. Jadi, saya sudah tak kisah akan pandangan encik terhadap saya.”

Aku lantas bingkas.

“Sebagai menebus kesalahan yang telah saya lakukan, dan kesanggupan encik untuk bawa saya pulang, sekali gus memberikan saya bumbung untuk berteduh, saya rela menjadi orang gaji di rumah ini. Tapi tak lebih daripada itu. Maksud saya, saya tak akan jadi tukang masak juga. Yalah, saya takut kalau-kalau terjadi keracunan makanan, saya taklah dituduh cuba membinasakan keluarga encik. Cari saja orang lain. Atau biarkan dapur ini tak berasap sehingga Mak Leha balik. Kalau tak ada apa-apa lagi yang encik nak bincangkan, baiklah saya pergi dulu. Selamat malam.” Dengan hujah-hujah itu aku pun terus membuka langkah menuju ke pintu belakang, arah di mana aku telah masuk tadi.

Aku dapat merasakan kelakuanku cukup memeranjatkan Uzzam dan dia dalam keadaan tercengang dek tidak mahu percaya akan apa yang telah aku hamburkan tanpa ragu-ragu. Malahan, tidak teragak-agak pula angkat kaki sebelum mendapat kebenarannya. Pun begitu, aku sudah tidak kisah. Sementelah aku sudah tidak dianggap sebagai isterinya lagi; yang mana memikirkan tentang itu, hatiku seperti merasa cukup pilu sekali...

Pada ketika itu juga, aku lantas terfikir, bagaimanakah perkahwinan aku dengan Uzzam agaknya? Tidak mungkin bahagia. Lebih-lebih lagi, kalau aku boleh berubah menjadi isteri yang ‘melampau’ sehingga sanggup meninggalkan rumah agam dan kemewahan ini. Tetapi apakah yang menyebabkan aku bertindak dan berkelakuan begitu? Hatiku terus ditujah kemusykilan.

“Aslin! Aslin! Aku belum habis berbincang dengan kau lagilah!” Uzzam memanggil dengan nada suara yang lantang dan marah.

Namun, aku terus melangkah, tidak peduli langsung seolah-olah tidak mendengar apa-apa.

No comments:

Post a Comment