DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 July 2020

Lara Cintamu - Bab 3

“HEI, kau okey?” sapa Nur sebaik saja Zerlindah melangkah masuk ke dalam apartmen mereka.

“Okey je. Apa yang tak okeynya?” tanya Zerlindah semula. Tubuhnya dihenyakkan ke atas sofa empuk melepas kepenatan yang bersarang di tubuh sehari ini.

“Tak adalah, aku tengok muka kau macam orang tertelan biji getah. Kelat semacam!” usik Nur lagi. Dia yang tadinya hanyut menonton televisyen, kini memberikan sepenuh perhatian kepada Zerlindah.

“Tadi aku terjumpa seseorang...” cerita Zerlindah. Jemari runcingnya leka bermain dengan bibir mungilnya.

“Siapa? Beritahulah!” desak Nur separuh teruja. Tak sabar mahu mengetahui cerita yang sebenar.

“Aku rasa, aku terjumpa Liam Hemsworth!” beritahu Zerlindah jujur.

Melihat wajah serius temannya itu, Nur terus menghamburkan tawa. “Liam Hemsworth? Adik aktor Hollywood yang meletup dengan gelaran Thor tu?” tanya dia dengan rasa tak percaya. Melengking nada suaranya sambil menetapkan pandangan pada raut wajah Zerlindah.

“Kalau aku tak silap pandanglah. Bezanya, cuma dia ada sort of jambang nipis kat tepi rahang muka dia tu. Yang lain sebijik sama dengan Thor! No, no... actually dia lebih handsome daripada Thor!” terang Zerlindah sambil membayangkan perwatakan lelaki yang ditemui tadi. Tak sangka dalam diam dia mengakui kekacakan si jengkel itu.

“Hesy, mengarut apa kau ni Zel? Macam angau je aku tengok. Tengah-tengah malam buta ni...” sergah Nur seraya menggelengkan kepala. Tak percaya dengan kata-kata sahabatnya itu. Masakan Liam Hemsworth berada di Malaysia? Apatah lagi di majlis perkahwinan orang Melayu? Mustahil!

“Aku tak mengarut, okey? Ni cerita benar, bukan rekaan imaginasi aku tau! Dia fasih berbahasa Melayu. Aku tak kenal dia, tapi dia cakap dia kenal aku sebab aku famous kat majlis Irene,” cerita Zerlindah lagi. Dia melirik sekilas ke arah Nur yang kelihatan amat bersahaja mendengar ceritanya. Mungkin Nur menganggap dia sedang buang tabiat.

Hmmm... mahunya tak famous? Kau jadi pengapit bekas kekasih kau. Bekas kekasih kau tu kahwin pulak dengan kawan baik kau! Memang jadi bualanlah jawabnya!” tempelak Nur sedikit geram dengan perlakuan Zerlindah.

Puas dia nasihatkan sahabatnya itu supaya tak jadi pengapit di majlis Zafeeq dan Irene, tapi nasihatnya umpama mencurahkan air ke daun keladi. Natijahnya, nama Zerlindah yang dicanang merata. Diperkatakan hebat dalam kalangan para tetamu.

“Irene tu kawan baik aku sejak sekolah lagi, Nur. Takkanlah dia kahwin aku tak jadi pengapit? Dah tu, dia yang beria-ia nak aku jadi pengapit dia jugak!” Zerlindah terangkan dilema yang dia hadapi.

“Kau tu waras ke tak, Zel? Kawan baik yang kau iktiraf tu, rampas kekasih kau. Kau masih boleh nak soalkan tentang wajar atau tak kau jadi pengapit dia? Hai... sah fius otak kau dah terbakar hangus dek kena tinggal dengan si Zafeeq tu!” tempelak Nur lagi.

Shut up!” jerit Zerlindah sedikit tinggi. Tidak tahan dengan komen pedas Nur, sebiji bantal sofa dibaling ke arah Nur. Dia galak tertawa tatkala bantal empat segi itu mengena tepat di wajah temannya itu.

Anyway, kacak tak lelaki yang kau jumpa tu?” soal Nur penuh minat.

Lebih baik dia ambil tahu tentang jejaka asing itu daripada bercakap tentang hal Zafeeq dan Irene. Buat sakit jiwa saja mengimbau perbuatan mereka berdua. Tak ada sivik punya manusia! Suami dan isteri sama saja. Elok benarlah disatukan keduanya. Bantal sofa yang jatuh di ribanya, dia ambil lalu dipeluk sayang.

Hurm... memang kacak! Hot stuff sangat. Tapi perangai dia menjengkelkan! Kan aku dah cakap yang dia lagi kacak daripada Thor. But, he said I’m not his type though!” Zerlindah buat muka menyampah.

“Apalah masalah lelaki zaman sekarang ni ek? Muka kau punyalah cantik macam model Pakistan yang namanya Aisha Linnea tu. Terserlah darah Pakistan tu kat muka kau, tapi darah dengan muka Melayu tu jugaklah yang diaorang kejarkan. Betul, aku jadi pelik bin ajaib dengan lelaki zaman sekarang!” ujar Nur lagi, menyuarakan suara hatinya.

“Kau tak pelik ke Zel?” tanyanya penuh hairan. Wajah cantik milik Zerlindah yang sedang bermain dengan rambutnya yang tebal dan ikal itu, ditilik penuh rasa kagum.

“Nak pelik apanya Nur... dah suratan Tuhan. Mungkin diaorang ingat darah campuran macam aku ni tak reti makan sayur kangkung masak belacan kut. Tu yang diaorang tinggalkan. Mungkin jugak sebab diaorang takut kahwin dengan aku nanti, hari-hari kena makan capati kuah dal!” ucap Zerlindah bersama tawa halus.

“Hahaha... pandai kau buat lawak Zel!” Nur tertawa lepas. Geli hatinya mendengar kata-kata Zerlindah. “Itu belum lagi diaorang dengar kau cakap Hindustan! Mahu terketar-ketar bibir diaorang nak membalas,” tambah Nur bersama tawa yang panjang.

Zerlindah turut sama tertawa. Dia berasa lucu mengenangkan kebenaran kata-kata sahabatnya ini. Kalaulah lelaki-lelaki di luar sana tahu dia fasih berbahasa Hindustan dengan wajahnya yang mirip Aisha Linnea ini, mungkin sampai ke tua dia tak akan didekati. Kalau ada yang mendekat pun mungkin cuma lelaki Bangladesh dan Punjabis yang berani memikatnya.

Memiliki wajah dan tubuh yang cantik rupanya bukanlah tiket ekspres untuk dia mencari jodoh mahupun suami berketurunan Melayu kerana jejaka Melayu amat terikat dengan adat ketimuran dan mementingkan asal usul keturunan si gadis. Macamlah dia ini jahat sangat pula bila mempunyai darah campuran.

“Dahlah Nur, aku nak masuk rehat. Kau sambunglah tengok drama kau tu,” tutur Zerlindah lembut lantas berlalu menuju ke kamar.

“Zel!” teriak Nur kuat sebelum sempat tubuh Zerlindah membolosi ruang tengah apartmen mereka.

“Apa dia Nur?” Zerlindah yang ketika itu sedang rancak melangkah berhenti seketika dan menoleh ke arah ruang tamu semula.

“Minggu depan kau ada photoshoot tak? Kalau tak ada, jom ikut aku. Ada ekspedisi mendaki Gunung Tahan di Pahang,” ajak Nur bersungguh-sungguh.

“Gunung Tahan? Jauhnya... Tak terlarat aku nak ikut kau. Kau bolehlah berlasak-lasak, aku ni stamina tak cukup. Kau tengok badan aku ni kurus macam papan. Sekali angin Gunung Tahan tiup, terbang melayang aku jatuh gaung,” keluh Zerlindah panjang.

“Kurus macam papan? Tak ada maknanya, Zel! Badan kau hot setup tahu! Menggiurkan kat setiap lekuk! Kalau badan kau sebiji macam papan, tak adalah kau diterima jadi model,” tingkah Nur lantang. Kurus macam papan? Perbandingan yang tidak masuk akal baginya kerana tubuh sahabatnya itu amat cantik dan menawan.

“Haha, tengoklah macam mana nanti ya Nur. Aku fikir-fikirkan nanti. Nite!” ucap Zerlindah kemudian berlalu masuk ke bilik tidurnya.

Usai mandi, dia merehatkan diri di atas katil sambil membelek majalah-majalah yang memuatkan dirinya sebagai model. Kerjaya sebagai model tidak sesenang yang disangka oleh ramai gadis di luar sana. Jika tidak pandai membawa diri, karier yang diimpikan bakal bertukar menjadi igauan ngeri.

Apa tidaknya? Jika tidak kuat iman di dada, tawaran-tawaran oleh syarikat barat mampu saja memesongkan akidah dari landasan agama. Belum lagi dikira dari status sosial dan pergaulan bebas tanpa batasan.

Kadangkala Zerlindah sendiri terasa letih dengan dunia permodelan, di mana dia sendiri perlu bijak bertindak dalam mempromosikan dirinya sendiri kepada khalayak umum. Jika dia jenis kera sumbang, alamatnya mendidihlah perutnya kelaparan.

Bosan menilik majalah, dia mula melayan fikirannya yang melayang mengingati lelaki asing itu. Sengaja dia tidak menceritakan sikap ‘jengkel’ jejaka itu kepada Nur. Baginya, buang masa saja bercerita tentang lelaki tersebut.

No comments:

Post a Comment