DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 July 2020

Lara Cintamu - Bab 1


KAMAR pengantin yang dihiasi dengan tema ‘fairytale wedding’ itu diteliti penuh kagum melalui anak mata dia yang berwarna kelabu. Haruman bunga rampai yang mekar mewangi di kamar itu pula dihidu dengan perasaan teruja.

Ermmm, harumnya!” gumam dia sendiri.

Zerlindah Jawhara menilik penampilannya di cermin solek, sabar menunggu pintu bilik persalinan dibuka. Rambut ikal mayang yang kehitaman itu diurai dengan jari. Wajah yang dirias dengan solekan ringkas, dikemaskan lagi supaya sentiasa kelihatan segar di mata para tetamu.

Kini, alis matanya melirik ke arah baju yang tersarung di tubuh. Dia sangat suka dengan potongan dress moden yang digayakan ini. Warna latarnya ungu lembut diperbuat daripada kain satin. Di bahagian luar pula dilengkapi dengan salutan kain lace eksklusif dan di belakangnya pula kain satin dari rona yang sama direka seperti bentuk lipatan kipas yang meleret.

Zerlindah tersenyum puas. Ternyata tepat pilihannya kali ini. Sejak dia terpandangkan dress ini di laman sesawang NafDress beberapa bulan yang lepas, hatinya terus terpaut. Tanpa berlengah, sepantas kilat dia membuat pesanan untuk memiliki dress yang digelar sebagai 80’s Vintage Venice Wedding Dress ini.

Sedang leka menilik dress kegemarannya, dia terus menoleh ke belakang apabila terasa bahunya dicuit seseorang. Saat dia labuhkan pandangan kepada empunya diri, mata bundarnya terbuka luas.

You look... extremely gorgeous, Irene!” puji Zerlindah bersama senyuman manis yang tersungging di bibir. Dia teruja melihat kecantikan kawan baiknya itu, sesuai dengan gelaran raja sehari yang disandang.

Mendengar kata pujian Zerlindah, Irene turut mengukir senyuman bergula.

“Kau pun cantik sangat beb! Kau nampak lagi vogue daripada aku!” puji dia ikhlas.

“Aku? Vogue daripada pengantin? Banyaklah kau! Bridesmaid tak boleh lawan bride tau!” nafi Zerlindah. Kerja gila jika dia ingin bersiap mengalahkan pengantin. Nanti habis dicanang satu dewan tentang dirinya yang lebih sudu dari kuah!

“Jangan nanti Zafeeq tersilap pilih isteri sudahlah. Memang kau lagi cantik daripada aku. Aku ni bukan pilihan pertama dia. Kau pun tahu kan yang aku...”

Stop it, Irene! Yang sudah tu sudah. Terima qadak dan qadar yang kau memang jodoh Zafeeq sejak azali. Hari ni hari perkahwinan kau, so please... cheer up, Rene!” pujuk Zerlindah lagi. Belum sempat Irene menghabiskan kata, sengaja dia mencelah terlebih dahulu. Tak ingin sejarah pahit itu diungkit lagi.

“Kau memang baik, Zel. Thank you so much! Aku sayang kau. Sangat!” ucap Irene sambil menarik Zerlindah ke dalam pelukannya. Erat.

“Aku pun sayang kau jugak! Well, your Highness... are you ready? Your king awaits. Takkan nak bagi dia ternanti-nanti kut!” ujar Zerlindah usai pelukan mereka diuraikan. Mengikut perancangan, sudah tiba waktunya pengantin berarak ke pelaminan ketika ini.

“Kau ni, buat aku gelabah! Yalah, yalah... aku dah sedia ni. Jom kita keluar!” ujar Irene separuh teruja. Debaran di dadanya semakin menggila.

Melihat pada keramaian yang berada di dalam dewan itu membuatkan Zerlindah berasa sedikit canggung dan gementar. Dia bukan tidak biasa menjadi tontonan umum. Berjalan di khalayak ramai merupakan kepakarannya. Namun berjalan di khalayak ramai sebagai seorang pengapit? Dia malu. Dia tidak punya pilihan lain kerana dia telah mengukir janji untuk menjadi pengapit Irene.

Saat lagu Endless Love nyanyian Luther Vandross feat Mariah Carey berkumandang di udara, Zerlindah ikut berarak menuju ke arah pelaminan yang gah tersergam di hujung dewan. Tempat di mana pengantin lelaki sedang berdiri megah menunggu ketibaan pasangannya.

Ya, inilah majlis perkahwinan yang selalu diangankan dan diidam-idamkan. Tapi sayang, perkahwinan ini bukan miliknya untuk dibanggakan. Dia hanya mampu menumpang kegembiraan merpati dua sejoli yang diraikan.

Terkadang mata Zerlindah terlirik juga ke arah Zafeeq secara tak sengaja. Apabila tersedar yang renungannya mendapat balasan, cepat-cepat dia melarikan anak mata ke arah tetamu yang hadir.

Entah mengapa, dia terasa sedikit gentar dengan renungan Zafeeq. Seolah-olah mempunyai maksud yang tersirat. Mujur Irene tidak perasan akan sesi pandang-memandang itu. Kalau tidak bakal mengundang bala nanti!

“Eh, itu Zerlindah kan?” tanya Irfan kepada Zulie, kenalan kepada kedua belah mempelai.

Yup. She’s the one that everybody’s been talking about!” balas Zulie dengan yakin.

Wow, cantiknya dia! She’s really hot and beyond beautiful!” puji Irfan kagum sambil matanya tidak lepas menilik tubuh Zerlindah yang anggun berdiri di atas pelamin.

“Gadis secantik dia... I wonder why Zafeeq tegar lepaskan dia dan pilih Irene. Kalau aku dapat dia, jangan harap aku lepaskan! Sampai mati dia milik aku sorang!” ujar Irfan bersemangat.

“Sebab tu orang cakap cinta itu buta! Zafeeq ni dulu bercinta dengan Zerlindah. Entah macam mana, tak tahu mana silapnya... tiba-tiba dia nakkan Irene, kawan baik Zerlindah sendiri. Dan sekarang mereka dah kahwin dan Zerlindah pulak diminta jadi pengapit!” kata Zulie sambil menggelengkan kepalanya. Dia berasa simpati dengan nasib Zerlindah.

“Kalau akulah kan... mati hidup semula pun aku tak mengaku si Irene tu kawan! Tu bukan kawan, tapi gunting dalam lipatan!” sampuk Ayuni pula, rakan mereka. Ketiga-tiganya menganggukkan kepala, bersetuju dengan pendapat Ayuni.

Shawn Adam yang menghuni meja tersebut tekun menadah telinga. Dia talakan pandangan ke arah pengapit perempuan yang menjadi topik hangat perbualan para tetamu yang mengenali latar belakang mereka. Matanya tajam memerhatikan setiap gerak-geri gadis itu di atas pelamin.

Dalam pada leka menjalankan tugas sebagai pengapit, sempat juga mata Zerlindah meliar ke segenap wajah tetamu yang hadir. Semuanya kelihatan asyik berbual sesama sendiri. Entah mengapa, dia perasan ada sepasang mata bak helang yang tajam merenung ke arahnya melalui meja tetamu di barisan hadapan. Wajah lelaki itu pula tidak begitu jelas di matanya. Tak mahu melayan rasa, Zerlindah kembali tumpukan perhatian dengan tugasnya.

“Ada orang bagi ni pada cik.”

Tegur seorang pelayan katering sambil menghulurkan sehelai tisu yang terlipat kemas kepada Zerlindah. Tika itu, dia baru saja hendak mulakan suapan di meja makan beradap.

“Siapa?” soal dia hairan. Bersemarak rasa ingin tahu dalam hatinya. Pantas helaian tisu itu diambil.

“Saya tak tahu cik,” jawab pelayan itu jujur.

“Awak cam mukanya?” tanya Zerlindah lagi, mahu pelayan itu menunjukkan empunya tisu kepadanya.

“Alamak, saya tak cam pulak cik! Saya tergesa-gesa masa tu,” tutur pelayan itu sambil menggaru keningnya.

“Hesy, awak ni! Tak apalah, terima kasih,” balas Zerlindah. Dia berasa sedikit geram dengan telatah pelayan itu. Masakan tidak, semua yang ditanya pelayan itu tidak tahu. Pantas jemarinya membuka helaian tisu yang dilipat itu dengan cermat. Terkelu dia saat membaca tulisan yang tertera di atas tisu tersebut.

I’m watching you...” Berkerut dahinya apabila mengulang baca tulisan yang tertera di atas tisu tersebut. Pantas Zerlindah melarikan pandangan ke segenap ruang dewan, mencari mata yang sedang galak merenungnya sebentar tadi. Tiada! Malas mahu berteka-teki, dia teruskan suapan pertama yang terganggu sebentar tadi.

“Siapa pulak yang bagi I coklat ni?” tanya Zerlindah lagi saat pelayan yang lain pula muncul di sisi membawakan sebiji coklat Ferrero Rocher untuknya. Baru dua suap nasi masuk ke dalam mulut, dia diganggu lagi.

“Tak tahu cik,” jawab pelayan itu lantas berlalu pergi.

“Dia pergi macam tu aje? Huh, sabar jelah hati!” Zerlindah mendengus geram apabila pelayan katering tersebut selamba meninggalkan dia. Tak sempat dia mahu menyoal dengan lebih lanjut. Coklat di tangan kembali direnung.

What’s wrong, Zel?” tanya Irene ingin tahu. Bingung melihat Zerlindah terpegun diam di saat tetamu lain seronok menjamu selera.

“Aku dapat tisu, aku dapat coklat... tapi tak tahu daripada siapa!” keluhnya perlahan.

Wow, ada secret admirerlah pengapit aku ni!” ujar Irene teruja. Jika benar ada yang terpaut hati dengan kawan baiknya itu, dia tumpang gembira.

“Banyaklah kau punya secret admirer!” bidas Zerlindah dengan jelingan sekilas kepada Irene. Malas hendak melayan benda yang tak ada, dia kembali mengisi perut yang lapar dengan tertib.

Shawn Adam yang bertindak sebagai pemerhati sedari tadi dapat melihat dengan jelas jelingan yang Zerlindah berikan kepada Irene. Dia melirik senyuman manis di pipi.

“Menarik!” desisnya perlahan. Pavlova mini yang sedang dipegang elok, disuap cermat ke dalam mulut. Tanpa kenal erti jemu, dia kembali memerhatikan gerak-geri Zerlindah dari jauh sehingga majlis bersurai.

No comments:

Post a Comment