DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 July 2020

Lara Cintamu - Bab 9

SEBAIK saja Zerlindah buka pintu bilik air, matanya disimbahi kilauan cahaya yang menyilaukan mata. Lantas, kepala dikalihkan ke sisi seraya sebelah tangannya diangkat menutup separuh penglihatannya.

Klik! Klik! Klik!

“Adam, this is not a joke! Please...” pinta Zerlindah, masih gagal mengangkat muka dari kilauan cahaya itu. Adam mengambil gambarnya? Kegilaan apakah lagi yang lelaki itu sedang lakukan saat ini?

“Cik, tolong berikan kerjasama. Keluar sekarang!” arah satu suara asing.

Zerlindah terpanar. Kepala terus dihalakan ke hadapan. Mata yang sedikit silau dipicingkan kecil. Melalui imej yang terbias di kornea matanya, dia dapat melihat ada beberapa orang lelaki separuh umur memakai serban di kepala.

“Kami dari jabatan agama Islam,” kata salah seorang daripada mereka.

Prang! Dunia Zerlindah seakan berhenti berpusing. Dadanya berdetak hebat. Peluh dingin merecik di dahinya. Secara automatik, kakinya longlai ke bumi. Apakah yang sudah jadi ini?

“A... Adam?” panggil Zerlindah bersama juraian air mata di pipi. Nanar fikirannya kala ini. Musibah apakah yang menimpa dirinya hari ini? Anak matanya melilau mencari kelibat Adam di celah keramaian itu.

“Indah... I’m sorry,” pinta Adam lembut. Dia kembali berdiam hanya mampu melihat keadaan Zerlindah yang kelihatan amat rapuh saat ini. Silapnya kerana berani membawa gadis itu pulang ke kamar hotel. Tapi, nasi sudah menjadi bubur.

Zerlindah menangis semahunya di situ. Di sebalik matanya yang terpejam rapat, dia dapat bayangkan kariernya sebagai seorang model bakal hancur begitu saja selepas berita penangkapan khalwatnya ini tersebar di media massa.

“Indah...” panggil Adam lembut. Zerlindah yang sedang duduk berdiam di sisinya diberikan sepenuh perhatian. Tak dapat dinafikan, dia gusar melihat gadis itu diam mengalahkan patung cendana semenjak tubuh itu masuk ke dalam keretanya.

Adam tahu dia yang bersalah sehingga menyebabkan mereka ditangkap khalwat sedemikian. Dia tahu, dia telah meranapkan hampir keseluruhan masa depan gadis itu. Tapi rasa simpati seolah-olah tidak wujud dalam kamus hatinya saat ini. Yang dia tahu, dia punya misi untuk dilaksanakan.

 

“INDAH,” PANGGIL Adam sekali lagi. Asyik benar gadis itu merenung jauh ke luar. Entah sudah sampai di mana agaknya lamunan gadis itu.

“I nak balik.” Zerlindah bersuara secara tiba-tiba. Kepalanya masih disandarkan di kerusi penumpang.

“We need to talk. About us!” pintas Adam laju. Dia tidak mahu melepaskan Zerlindah pergi selagi tiada kata sepakat yang dicapai antara mereka.

“Tak ada apa yang nak dibincangkan, Adam. I nak balik,” putus Zerlindah lagi. Jujur, matanya hanya merenung kosong ke luar tingkap. Otaknya beku, tidak mampu berfikir. Tubuhnya lesu setelah seharian menguruskan hal penangkapan mereka di pejabat agama.

“Kita kahwin!” Adam buru-buru membuat keputusan. Dia tidak boleh alpa walau sesaat sekalipun dalam cubaan memiliki Zerlindah.

“Tak perlu,” bidas Zerlindah pendek.

“You tahu kan, kerjaya you bakal hancur kalau berita ni tersebar nanti?” provoke Adam lantang. Dia tahu kerjaya adalah segala-galanya bagi Zerlindah. Masakan Zerlindah boleh berdiri teguh jika satu-satunya mata pencarian gadis itu selama ini musnah begitu saja.

“I tahu. Tapi dengan mengahwini you, kerjaya I akan tetap hancur. Tak mengubah apa-apa pun Adam,” tutur Zerlindah lemah. Saat ini dia seakan-akan telah berputus asa.

“You silap! Kahwin dengan I dan berita penangkapan ni akan lenyap macam itu aje. I boleh selamatkan kerjaya you dan you boleh tolong selamatkan reputasi syarikat I daripada jatuh merudum,” pujuk Adam bersungguh-sungguh.

Berkerut dahi Zerlindah. Lelaki itu punya syarikat? Perlahan-lahan dia berkalih pandang ke sisi kanannya. Merenung wajah tampan itu dengan riak keliru.

Adam melirik senyum senang, sedar kata-katanya tadi berjaya menarik perhatian Zerlindah.

“You ada syarikat? Syarikat apa? Kalau betul you berkemampuan untuk lenyapkan berita buruk ni, kenapa you tak buat aje? Tak perlu utarakan hal kahwin dengan I,” soal Zerlindah penuh hairan.

“Tak semudah tu, Indah. I tak boleh tutup mulut semua orang walaupun I mampu. Please, just agree with me!” Adam separuh merayu. Sedikit sebanyak, hatinya mula geram dengan kedegilan yang Zerlindah tunjukkan.

“Sama macam I, tak semudah tu untuk I kahwin dengan you Adam,” tolak Zerlindah sekali lagi. Lelaki ini bercakap soal perkahwinan seperti membeli ikan di pasar.

“Kenapa you degil sangat ni?” soal Adam geram. “You tak rugi apa-apa pun kalau kahwin dengan I! I boleh tanggung you! You tak perlu risau pasal kerja lagi,” tambah Adam lagi sedikit berang.

“Kahwin ni satu perjudian, Adam. I akan hilang semuanya kalau I kahwin dengan you! I tak kenal you, asal usul you. Kerjaya I, kebanggaan I! I tak perlukan duit you untuk suap nasi ke mulut I, Adam. Susah macam mana pun, I percaya... I boleh berjaya,” luah Zerlindah lantang.

“Kerja dengan I!” tegas Adam memberi usul. Zerlindah dipandang tajam. Ini idea terakhirnya untuk mengikat gadis itu di sisi. Jika cara ini pun tidak membuahkan hasil, dia perlu menjadi lebih agresif.

“Hantarkan I ke hotel semula, please. I nak balik,” pinta Zerlindah buat sekian kalinya. Dia memilih untuk diam daripada bersetuju dengan tawaran gila Adam.

Adam menghidupkan enjin kereta bersama kepala yang tergeleng-geleng dengan sendirinya. Tak sangka Zerlindah boleh jadi sekeras ini sedangkan masa depan gadis itu sudah kelam kelabu.

No comments:

Post a Comment