SEKALI lagi hati wanitaku ini tidak dapat hendak mengelak akan perasaan terpesona dengan ketampanan suamiku itu. Jiwa ragaku bergejolak dengan hebat sekali sehingga aku rasa tidak menentu. Apa sudah kena dengan diriku ini? Aku bagaikan budak perempuan yang baru kenal erti jatuh cinta buat kali pertama.
Aku menjadi bingung dan terpegun. Mengapa aku boleh berperasaan begitu? Bukankah aku ini isterinya? Mungkin hilang daya ingatan yang sedang aku alami ini merubah sikap serta perasaanku.
Agak lama juga Uzzam berdiri di ambang pintu itu dan memberi aku renungan berkerut sehingga aku jadi tidak keruan. Namun tidak lama kemudian dia melepaskan keluh seraya berdiri tegak.
Dia masuk ke bilik ini sambil menutup daun pintu di belakangnya. Dia bergerak gontai dengan kedua belah tangannya diseluk ke dalam saku seluar panjangnya itu. Dia lantas berhenti, berdiri di tengah-tengah bilik kecil ini.
Wajah tampan suamiku itu kini serius semula. Dia tidak bersuara. Sekali lagi sinar matanya dingin. Bibirnya datar. Membuatkan aku semakin tidak selesa dan gelisah, seolah-olah dia sedang menilai diriku ini.
Tetapi disebabkan hatiku sudah pun bertekad untuk bersikap teguh dengan pendirianku, aku sedaya upaya mengawal perasaan yang ketika ini bagai dilanda badai sahaja. Malahan degupan jantungku masih terus berderap-derap.
Tidak lama kemudian dia mengeluh lagi.
“Aku fikir ada baiknya kita bincangkan tentang hal kita sekarang ni. Aku tahu kau baru saja sedar daripada pengsan, tapi persoalan tentang hala perkahwinan kita harus dibincangkan juga. Nak tunggu masa yang sesuai, itu mungkin payah memandangkan aku kebelakangan ini sibuk dengan hal-hal pejabat.”
Aku setakat mengangguk, seperti sedang menanti hukuman sahaja. Lama aku menunggu Uzzam meneruskan bicaranya, namun dia terus membisu.
“Apa yang Encik Uzzam nak bincangkan dengan saya? Janganlah bimbang tentang kesihatan saya andainya apa yang hendak Encik Uzzam jelaskan tu sesuatu yang kurang menyenangkan saya.” Sengaja aku berencik begitu demi memberi maksud bahawa aku sedar akan tempatku sekarang. Sementelah dia yang menyarankan aku memanggilnya begitu.
Wajah elok Uzzam itu tiba-tiba kejang apabila mendengar bicaraku. Alisnya ditaut seraya melemparkan aku renungan setajam pisau. Kekejangan otot-otot pada rahang pipinya itu menunjukkan dia sedang mengetap giginya rapat-rapat, menahan geram dan marah daripada meletus.
Entah mengapa, aku sedikit pun tidak ambil kisah. Lagipun, dia sendiri yang membuat peraturan dan syarat akan perhubungan kami. Sedar aku kini setakat menumpang sahaja di rumah agam ini sehingga aku betul-betul sembuh. Malahan, dia sudah pun ada calon yang akan menggantikan tempatku.
“Seperti yang telah aku beritahu di dalam kereta tadi, kau akan duduk di bilik orang gaji ini sepanjang kau di sini sehingga kau sembuh,” akhirnya Uzzam bersuara. “Kebetulan pula bilik ini kosong kerana orang gaji kami terpaksa dihantar pulang. Jadi, aku sarankan kau gunakan bilik ni sebaik yang mungkin.”
“Bagaimana kalau orang gaji baharu datang? Mana Encik Uzzam nak tempatkan saya? Atau saya perlu berkongsi bilik ini dengan dia?” aku lantas mengemukakan.
“Kau orang mungkin berkongsi bilik,” jawab Uzzam tanpa teragak-agak.
Aku tidak terkejut mendengarkan kenyataan suamiku itu. Bahkan aku seperti sudah tidak kuasa untuk membangkang atau apa. Terutama sekali dengan keadaanku yang kurang sihat ini. Apa yang aku kisah ialah, sekarang ini aku ada tempat untuk berteduh walaupun buat sementara waktu.
“Apakah yang akan terjadi kepada saya sebaik saja saya sembuh atau ingat semula, Encik Uzzam?” aku lantas mengajukan pula. Tidak guna berselindung tentang hal itu. Ketika ini adalah masa yang baik untuk membincangkannya. Lebih baik aku tahu sekarang daripada hati ini terus tertanya-tanya.
Aku perasan Uzzam menggerit giginya dan air mukanya seperti sengit sahaja, namun dia terus menahan diri. Tidak salah lagi, dia masih tidak suka aku terus berencik-encik dengannya. Kelakuan suamiku itu membuatkan aku terus hairan.
Uzzam mengerutkan dahi dan renungannya kini terarah ke wajahku. Bibirnya masih diketap tetapi dia tidak terus mahu memberikan jawapan. Dia seolah-olah tidak ada jawapan yang pasti saat ini. Mungkin juga dia tidak menyangka aku akan bertanyakan soalan itu.
Renungan Uzzam yang begitu rupa, sekali lagi membuatkan aku tidak betah dan detapan jantungku pula semakin hebat. Wajahku mula dibakar merah padam dan aku segera menundukkan kepala, menumpukan perhatianku pada kedua belah tanganku yang sedang aku ramas-ramas, kerisauan.
Namun sebentar kemudian aku menarik nafas panjang apabila teringat akan tekad yang telah aku pasakkan dalam hati bahawa aku harus kuat. Semangat kewanitaanku jangan goyah hanya disebabkan aku dalam keadaan kurang sihat dek kecelakaan yang membuatkan aku hilang ingatan sekarang.
Sebaik sahaja memikirkan tentang itu, aku pun mendongakkan kepalaku semula, memberanikan diri menentang renungan suamiku itu.
“Kalau tak disebabkan nasihat Doktor Rahul, saya tahu encik tak akan bawa saya pulang ke rumah. Dan saya juga yakin bahawa sebaik saja saya sembuh nanti, encik akan melepaskan saya tanpa berfikir panjang. Selepas itu bolehlah encik berkahwin dengan gadis yang bernama Nora Asyikin itu. Tekaan saya tak silap, kan Encik Uzzam?”
Apa yang aku telah ajukan membuat Uzzam setengah terpisat-pisat. Aku sedar dia tidak menduga sama sekali bahawa aku kenal akan gerangan kekasih baharunya yang bernama Nora Asyikin itu. Dahinya tidak lagi dikerutkan. Tetapi renungannya sempit semula.
“Dari mana kau tahu tentang si Nora?” Uzzam lantas ingin tahu. Nada suaranya ketat sahaja.
Aku mengeluh dan memberitahunya akan kunjungan gadis itu.
Uzzam mendengus kecil. Dia seperti berkata sesuatu tetapi aku tidak dapat hendak menangkap apa yang telah diungkapkan. Namun nada suaranya kedengaran geram sahaja. Sementelah otot-otot pada wajah yang elok itu dikejangkan lagi. Aku agak hairan juga dengan tindak balasnya itu.
Dia lantas mahu berkata sesuatu apabila telefon pintarnya berbunyi. Mendengus kecil lagi, dia pun segera menjawab peranti itu yang dikeluarkan dari saku seluar kanannya.
Dia berpusing membelakangkan aku tatkala berbicara dengan si pemanggil di talian sebelah sana. Ternyata ia soal perniagaan dan dari apa yang dapat aku curi dengar, dia perlu ke pejabat dengan segera.
“Kita berbincang lagi pada lain masa saja. Aku harus ke pejabat segera,” Uzzam lantas memberitahu, menoleh kepadaku semula sebaik sahaja perbincangan melalui telefon pintar itu berakhir. Wajahnya masih tegas. Selepas itu dia berpusing, menuju pintu dan keluar.
Aku setengah tersentak kerana Uzzam telah menutup daun pintu itu secara menghempas. Seolah-olah melepaskan geram sahaja. Terpinga-pinga aku dan hairan dengan kelakuannya. Mungkinkah dia tidak suka aku membangkitkan tentang kekasihnya itu?
Bersendirian di dalam bilik, aku mengeluh seraya mataku meninjau bilik kecil ini lagi. Aku mula teringat akan sampul surat daripada Kak Sharifah. Pasti yang kaki aku kuat untuk berdiri, aku pun bergerak dengan perlahan menuju ke meja solek, di mana beg kertas yang aku bawa pulang bersama-sama dari hospital tadi telah diletakkan.
Aku pun duduk di bangku bulat meja solek itu sambil mengeluarkan sampul surat tersebut dari dalam beg kertas itu. Aku membeleknya untuk beberapa jenak sebelum membukanya. Sekeping kad berwarna jingga dari dalam sampul itu aku bawa keluar. Ia merupakan kad ucapan agar aku akan sembuh segera dengan gambar sejambak bunga mawar.
Aku merasa terharu kerana menerimanya daripada Kak Sharifah. Kad itu lantas aku buka luas. Sesungguhnya, terdapat sepucuk surat yang dilipat kemas di dalamnya. Ingin tahu apakah yang telah ditulis oleh jururawat gempal yang manis dan comel itu, aku pun segera membacanya.
Assalamualaikum Aslin,
Tujuan kakak memberikan kad ini ialah kakak rasa kasihan dan simpati terhadap apa yang sedang Aslin alami. Tapi usahlah Aslin bimbang, kerana seperti yang telah dijelaskan oleh Doktor Rahul, hilang daya ingatan Aslin itu setakat sementara waktu saja. Kakak yakin Aslin akan dapat ingat semula.
Sebenarnya, tujuan kakak menulis kad ini ialah ingin memberi semacam bantuan. Kakak benar-benar ikhlas dengan niat kakak ini. Lagipun, kakak ada adik yang pernah mengalami nasib serupa seperti Aslin setelah dia ditimpa kemalangan jalan raya. Tapi kini dia sudah pun sembuh sepenuhnya.
Bagaimanapun, bukan pasal itu yang ingin kakak kongsi di sini. Sebaliknya tentang masalah yang sedang Aslin alami. Lebih-lebih lagi, ketika Aslin dimasukkan ke hospital dengan diri Aslin bukan saja berlumuran darah tapi berbau arak, kakak sedar bahawa Aslin adalah seorang wanita yang bermasalah.
Tak salah lagi, kalau kakak dapat menduga, ialah rumah tangga Aslin. Dari apa yang kakak dapat perhatikan, sikap dan kelakuan Aslin telah membuatkan suami Aslin yang bernama Uzzam itu marah dan benci terhadap Aslin.
Namun begitu, kakak kagum dengan sikapnya yang sanggup mengunjungi Aslin setiap hari ketika Aslin koma. Wajahnya bengis saja hingga kakak ingatkan dia seorang yang sombong. Rupa-rupanya kakak dapat tahu dia sedang memendam perasaan marah terhadap Aslin. Kakak akhirnya dapat tahu mengapa.
Kakak juga telah terserempak dengan seorang gadis yang cantik dan seksi. Kakak diberitahu dia ialah kekasih suami Aslin. Dan dari situ jugalah kakak membuat semacam andaian bahawa perhubungan Aslin dengan suami Aslin itu tak akan kekal lama. Begitulah selalunya terjadi kepada sesebuah rumah tangga apabila muncul orang ketiga. Harap kenyataan kakak ini tak buat Aslin terkilan, kecil hati ataupun bersedih.
Oleh itu, kakak berharap Aslin mampu kuatkan iman dan perasaan untuk sebarang kemungkinan atau tamparan yang bakal suami Aslin itu ambil kelak. Jangan patah semangat, sebaliknya cuba baiki diri sendiri agar kita dapat bangkit semula sebagai orang baharu.
Cuba berdikari dan buktikan kemampuan Aslin untuk berubah. Kerana ingatlah, setiap kejadian ada rahmat dan iktibar di sebaliknya. Setiap insan diuji oleh Allah kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Jadi, apa yang dapat kakak sarankan di sini, bertaubatlah Aslin.
Kakak yakin Aslin akan dapat menjadi seorang wanita yang terbaik selepas ini. Tapi andainya Aslin perlukan bantuan, jangan ragu-ragu untuk menghubungi kakak melalui nombor telefon yang kakak catatkan di bawah ini. Insya-Allah, kakak akan menolong Aslin sedaya yang kakak mampu.
Sampai di sini saja yang dapat kakak tuliskan. Moga Aslin akan sembuh sepenuhnya dan dapat ingatan semula.
Wassalam.
Yang benar,
Sharifah Zainuddin.
912XXXX
Begitulah yang telah ditulis oleh Kak Sharifah. Penuh satu muka kad itu. Mujurlah tulisannya kecil sahaja.
Aku membaca tulisan itu sebanyak dua kali sebelum aku tutup dan menarik nafas panjang. Aku termangu sejenak sambil memandang wajahku sendiri di dada cermin meja solek itu. Apa yang aku lihat ialah wajah seorang wanita yang cantik tetapi pucat. Tudung kepala yang aku kenakan telah ditanggalkan. Tetapi penutup berkain getah lembut masih di kepalaku.
Aku lantas melepaskan keluh panjang sambil cuba menilai diriku sendiri melalui bayangan di cermin itu. Aku masih kurang percaya bahawa aku adalah seorang wanita seperti apa yang telah diberitahu kepadaku. Mengapa aku buat begitu? Malahan, anak perempuanku yang bernama Arianna juga tidak suka dan percaya kepadaku.
Dalam keadaan aku hilang daya ingatan, fikiranku terus berpusaran dengan berbagai persoalan. Terutama sekali aku agak musykil akan mengapakah Uzzam sanggup mengahwiniku kalau dia tahu aku ini jenis perempuan yang ‘tidak baik’? Atau perubahan pada diriku berlaku selepas kami berkahwin dan aku melahirkan Arianna?
Tetapi malangnya, semua persoalan itu terkunci dalam kotak fikiranku ini. Juga, ada pada suamiku. Pokok tidak akan bergoyang kalau tiada angin yang menghembusnya. Disebabkan aku seperti terdesak memaksa diri ini cuba ingat semula akan masa lampau yang aku lupa, sakit di kepalaku menyerang kembali. Denyutnya agak kuat hingga air mataku bergenangan dek menahannya.
Bimbang aku akan pengsan sekali lagi, aku segera menarik nafas panjang, dan kemudian aku meletakkan kepala di permukaan meja solek itu. Pada masa yang sama aku urut dahi dan tengkukku untuk meredakan sakit itu. Aku pejamkan mata barang sejenak.
Aku telah dinasihatkan oleh Doktor Rahul dan Kak Sharifah agar jangan cuba memaksa diri sendiri untuk ingat semula. Biarkan ia kembali kepadaku dengan sendirinya. Tetapi andainya aku cuba dan kepalaku rasa sakit, aku disarankan supaya menenangkan hati dan fikiran sambil membayangkan gambaran yang indah-indah.
Lebih kurang 15 minit kemudian, sakit di kepalaku akhirnya reda. Aku melepaskan keluh lega. Lantas aku teringat bahawa terdapat juga beberapa plastik berisi ubat yang telah dipreskripsi oleh doktor yang perlu aku ambil.
Ubat-ubat tersebut aku keluarkan dari beg kertas dan aku cari ubat untuk sakit kepala. Pada ketika itulah aku terpandang akan bungkusan kain sutera coklat di dasar beg itu. Sesungguhnya, aku telah terlupa tentangnya.
Aku lupakan niatku untuk makan ubat buat sementara. Apatah lagi, perasaan untuk mengetahui kandungan di dalam bungkusan kain sutera coklat itu cukup kuat sekali hingga membuat dadaku berdebar-debar.
Setelah aku keluarkan bungkusan berkenaan dan meletakkannya di permukaan meja solek itu, aku pun cuba membukanya dengan menggunting ikatan mati pada kain sutera coklat itu dengan dada yang berdebar-debar dan tangan yang agak terketar-ketar. Tidak lama kemudian, kain sutera itu terbentang, dan kini aku sedang merenung sebuah kotak berwarna biru. Ia merupakan kotak kasut kanak-kanak. Mungkinkah terdapat sesuatu tentang diriku di dalamnya?
Aku mengetap bibir dan dengan tangan yang masih terketar-ketar, aku pun membuka penutup kotak biru itu. Selepas penutup itu aku letak ke tepi, mataku meninjau ke dalam kotak. Alangkah terpisat-pisatnya aku apabila mendapati kandungan di dalam kotak biru itu adalah sebiji telefon pintar berjenama Samsung. Ia telah diikat di permukaan gabus putih berserta dengan pengecasnya. Hairan, mengapakah lelaki misteri itu memberikannya kepadaku?
Aku termenung sejenak sambil merenung telefon pintar itu. Namun apabila menyedari bahawa telefon pintar boleh menyimpan apa sahaja data seperti komputer, sedikit sebanyak aku akhirnya mula mengerti. Mungkin di dalam telefon pintar itu mengandungi data, mungkin juga gambar-gambar ataupun sesuatu tentang diriku.
Cara lelaki misteri itu ingin memberitahuku sesuatu tanpa ingin bertemu empat mata denganku membuat hatiku tertanya-tanya. Aku juga ingin tahu, siapakah gerangan lelaki misteri itu? Mengapakah dia tidak mahu terus berjumpa denganku dan serahkan sendiri bungkusan ini? Persoalannya sekarang, mengapakah lelaki itu mahu merahsiakan dirinya daripadaku? Apakah makna semua ini?
Aku melepaskan keluh panjang. Semua pertanyaan tentang lelaki misteri itu tidak akan aku dapat jawapannya melainkan dengan bertemu lelaki misteri itu. Tetapi mungkin rumit dan mustahil memandangkan aku tidak tahu orangnya bagaimana. Malahan menurut Kak Sharifah, dia sendiri tidak dapat mengecam wajah lelaki berkenaan kerana lelaki tersebut memakai topi seolah-olah sememangnya dia tidak mahu dikenali.
Pun begitu, aku setengah kagum dengan lelaki misteri itu. Bijak. Mungkin juga dia mahu aku menghubunginya melalui peranti itu tanpa sebarang pertemuan. Memikirkan sahaja tentang itu, aku pun mengeluarkan telefon pintar tersebut dari dalam kotak. Tanganku masih terketar-ketar, memikirkan pula apakah yang bakal aku temui dalam perisian telefon tersebut.
Mungkin aku mengalami hilang daya ingatan, tetapi aku masih ingat bagaimana hendak menggunakan satu-satu alat itu. Lagipun, aku masih mampu membaca dan menulis. Setelah lama membelek-belek telefon pintar itu, akhirnya berjaya juga aku menghidupkannya.
Skrin telefon itu bernyala dengan logo jenama Samsung muncul dan selepas itu digantikan dengan gambar daun hijau yang menjadi latar belakang skrin yang berukuran empat inci itu. Beberapa aplikasi seperti ‘Contacts’, ‘Phone’, ‘Messaging’ dan ‘Internet’ diletakkan di ruang itu untuk kemudahan menggunakannya dengan cepat.
Aku terpinga-pinga sejenak kerana kurang pasti apakah yang harus aku buat sekarang. Akhirnya aku bercadang untuk menekan aplikasi ‘Contacts’ yang mana pada masa itu juga telefon itu berbunyi dengan nada dentingan. Rupanya ia notifikasi bahawa aku menerima pesanan ringkas.
Aku setengah terkejut dan memandang skrin telefon itu dengan dahi yang berkerut. Pesanan ringkas yang tertayang, aku dapati dikirimkan oleh seseorang yang menggunakan nombor private.
Baru sahaja hendak membaca pesanan ringkas itu, daun pintu bilik tiba-tiba dikuak lebar tanpa aku dengar sebarang ketukan...
No comments:
Post a Comment