DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 20 July 2020

Mutiara Dalam Debuan Kabus - Bab 5

AKU seorang ibu kepada anak perempuan yang aku anggarkan berusia 4 tahun rupanya. Wajahnya yang mirip wajahku ini cukup mengagumkan aku. Mungkin aku dan Uzzam telah pun berkahwin lebih kurang 5 tahun lamanya.

Oleh kerana aku hilang daya ingatanku, maka hatiku ingin tahu juga, adakah aku ini seorang ibu yang baik dan penyayang? Apakah yang telah mendorong aku meninggalkan rumah selama 4 bulan? Sedangkan aku memiliki anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang ibu. Apa yang telah membuatkan aku berubah agaknya? Mungkinkah perubahan itu ada kena-mengena dengan suamiku? Aku tidak ingat langsung bagaimana sikap dan kelakuan suamiku itu.

Namun daripada apa yang sedang aku pandang sekarang, dia sedang memujuk dengan senyum sambil mengelus-elus kepala anak kami. Tidak dinafikan bahawa dia adalah seorang ayah yang penyayang. Budak itu tidak lagi menangis, sebaliknya kini tersenyum menatap wajah Uzzam dengan sinar sayang terpancar di matanya.

Melihatkan itu, tiba-tiba satu sudut relung hatiku tercuit dan rasa setengah cemburu juga. Lebih-lebih lagi daripada apa yang aku lihat, jalinan kasih sayang antara anak dan ayah begitu kuat sekali.

Kalau aku sanggup ‘menghilangkan diri’ selama 4 bulan tanpa menghiraukan keluarga, tidaklah menghairankan kalau anak sendiri tidak menghiraukan ibunya ini. Apatah lagi merinduiku. Membuktikan juga bahawa aku bukanlah seorang ibu contoh dan bertanggungjawab. Malahan, budak itu tidak juga dibawa menziarahiku tatkala aku berada di hospital.

Aku mula rasa terkilan pula kerana tidak ingat akan nama anak perempuanku itu. Namun alangkah terkejutnya aku apabila budak itu memandang kepadaku dan merenungku dengan mata yang membulat. Wajah comelnya yang tadinya tampak ceria apabila melihat ayahnya tiba-tiba sahaja berubah menjadi pucat. Malahan, air wajahnya juga memancarkan ketakutan dengan tubuhnya disembunyikan di balik kedua-dua belah kaki Uzzam.

Apakah yang telah aku lakukan terhadapnya sebelum aku dikatakan ‘menghilangkan diri’ selama 4 bulan? Ibu seperti apakah aku yang sebenarnya sebelum ini agaknya? Jahat macam ibu tiri seperti dalam cerita dongeng kanak-kanak Cinderella? Hati kecilku berbisik setengah terkilan. Malahan aku terasa gelisah juga dek renungan budak itu.

“Ayah, apasal ibu balik semula ke rumah ni?” adu budak itu dengan wajah yang panjang dan bibir menjebik. Dari nada suaranya juga membuktikan bahawa dia tidak suka aku berada di situ. Tidak suka aku pulang sama sekali.

Justeru itu, jelaslah bahawa aku sememangnya bukan seorang ibu yang penyayang dan bertanggungjawab. Tiba-tiba juga aku berasa malu dan berdosa terhadap sikapku yang dulu itu. Namun pada masa yang sama, hatiku lantas berjanji dengan tekad bahawa aku akan cuba tebus segala kesilapanku itu sepanjang aku melalui pemulihan bagi kecederaan yang telah aku alami.

Uzzam lantas mencangkung di depan anak perempuan kami itu agar ketinggiannya lebih kurang separas dengan budak itu. Sedang tangan kanannya mengelus-elus anak rambut budak itu, yang kiri pula memegang bahu kecil itu.

“Ayah terpaksa ikut arahan doktor, Aria sayang. Ibu hilang daya ingatannya akibat kemalangan. Jadi, untuk memulihkan semula ingatannya, ibu harus berada di tempat yang dia pernah tinggal. Tapi Aria jangan bimbang, ibu tak akan lama di sini. Sebaik saja dia sembuh dan dapat ingatannya semula, dia tak akan tinggal di sini lagi.”

Aku terpaksa menarik nafas panjang mendengarkan penjelasan Uzzam kepada anak perempuan kami. Sesungguhnya aku cukup sedar, suamiku sengaja bercakap dengan agak kuat agar aku dapat mendengarnya. Seolah-olah dia mahu aku tahu akan kedudukanku yang sebenar di rumah ini. Ya, sementara sahaja sehingga aku sembuh sepenuhnya.

Mendengarkan pernyataan suamiku itu telah cukup menggores hatiku ini walaupun sejak di hospital lagi aku sudah dapat menduga akan perkara itu, sekali gus bagai memadamkan tekad yang baru sahaja aku semat dalam jiwaku tadi. Sekarang jelaslah bahawa perhubungan kami sebagai suami isteri sudah tiada sebarang makna lagi.

Kali ini sebak menikam sanubari dan hatiku bagai disayat sembilu sahaja. Sekali lagi air mata tiba-tiba mahu bergenangan, tetapi sedaya yang mampu aku tahan. Sementelah aku sudah berjanji kepada diriku sendiri bahawa aku harus kuat dan akan mengharungi apa sahaja kemungkinan yang akan aku hadapi kelak.

Setelah mendapat tahu bahawa aku memiliki seorang anak perempuan, satu tamparan yang tidak aku duga pula timbul. Anakku tampaknya benci terhadapku. Bagaimanapun, aku tidak dapat menyalahkan anak itu memandangkan aku bukanlah ibu yang baik suatu masa dahulu. Memikirkan tentang itu, aku merasa malu.

Aku terus berdiri di tepi kereta, menunggu arahan seterusnya daripada suamiku itu. Bahkan aku cukup berharap sekali Uzzam akan mengenalkan nama anak kami itu, yang telah aku lupa akan kewujudannya.

Seolah-olah dapat membaca perasaan hatiku ini, Uzzam lantas bingkas dan berdiri semula. Pada masa yang sama anak kami itu didukung.

“Ini Arianna, atau lebih senang dipanggil Aria, anak kita, Aslin,” dia lantas mengenalkan. Nada suaranya kedengaran acuh-tak-acuh sahaja. Menunjukkan dia keberatan untuk mengenalkan budak itu kepadaku.

Walaupun Arianna masih melemparkan renungan tidak percaya terhadapku, namun aku memberikan senyuman dan anggukkan kepala. Renungannya yang keras itu aku balas dengan kelembutan.

Tiba-tiba juga hatiku dicuit oleh semacam iltizam bahawa aku akan cuba memenangi hati anak perempuanku itu. Aku akan buktikan kepada budak itu bahawa aku benar-benar telah berubah. Apa sahaja yang pernah aku lakukan terhadapnya, hingga dia ‘tidak suka’ kepadaku, tidak akan aku ulangi.

Pintu depan rumah itu terbuka lagi dan melangkah keluar kini ialah seorang wanita bertubuh kurus dan agak tinggi. Dia mengenakan blaus berwarna ungu dipadankan dengan kain lepas berwarna hitam. Wajahnya yang bujur dibirai oleh rambut yang pendek dan kerinting. Tetapi solekan wajahnya agak tebal seolah-olah ingin menyembunyikan umurnya yang sebenar. Atau sengaja mahu kelihatan cantik. Aku anggarkan usianya dalam lingkungan lewat 40-an. Mungkinkah itu mak cik Uzzam?

“Nenek pukul Aria sebab Aria rosakkan telefon dia. Tapi Aria tak sengaja, ayah,” budak itu lantas memberitahu ayahnya dan membenamkan wajahnya pada bahu kanan Uzzam, cuba melindungi diri daripada kemarahan wanita itu.

Nenek? Kalau wanita itu ialah ibu Uzzam, aku tidak lihat sebarang persamaan pun antara kedua-duanya. Atau DNA suamiku itu ikut lebih kepada sebelah ayahnya?

“Anak kau tu perlu diajar agar jangan cuba ambil barang orang lain tanpa kebenaran, Zam.” Wanita itu bersuara dengan nada suara yang seperti menderam sahaja. Dari sengit yang bermain di wajahnya itu menunjukkan bahawa dia benar-benar marah. “Nah, tengok ni... muka iPhone aku ni dah retak kerana anak kau tu hempaskan ke lantai. Kau sepatutnya jangan manjakan budak tu keterlaluan sangat. Satu hari nanti dia pijak kepala kita, tahu!” tambahnya.

“Tak, ayah! Aria tak pecahkan telefon nenek!” Budak itu menegakkan dengan gelengan kepala. “Aria nampak telefon tu dekat atas meja. Aria nak telefon ayah. Tapi nenek kejutkan Aria. Telefon tu terlepas dari tangan Aria dan jatuh.” Kini wajah budak perempuan itu kembali murung dan dia mahu menangis lagi.

Mendengarkan keterangan Aria itu dengan petahnya, aku setengah kagum juga. Menunjukkan bahawa anakku itu seorang budak yang pintar.

Uzzam mengeluh. Dia lantas mendakap Aria lebih erat dalam dukungannya dengan membenamkan wajah yang comel itu pada bahu kanannya.

“Saya akan gantikan yang baharu, mak cik. Tapi saya nak ingatkan mak cik, jangan sesekali angkat tangan pada anak saya ni,” tegas Uzzam memberi peringatan. Renungannya tajam.

Mak cik? Sekali lagi aku terpegun. Jadi, siapakah gerangan wanita itu dalam keluarga ini? Berapa ramaikah ahli keluarga suamiku ini?

Wanita itu akhirnya perasan akan kehadiranku. Dahinya dikerutkan sambil bibirnya yang bergincu merah pulasan itu mengetap datar, melemparkan aku pandangan yang sangat tajam.

“Eh Zam, kenapa kau bawa balik betina celaka tu ke rumah ni, hah???” Lantang suaranya.

Hatiku bagaikan dihiris apabila dipanggil begitu. Berdesing juga telingaku ini. Tetapi sekali lagi aku beristighfar dan menguatkan semangatku. Sementelah aku sememangnya bersalah dalam perkara ini. Jelas sangat wanita itu tidak suka aku berada di dalam rumah agam ini, membuatkan aku sedar bahawa dia akan menyusahkan hidupku. Lebih-lebih lagi apabila dia tahu taraf kedudukan aku dengan Uzzam kelak.

Aku menarik nafas panjang dan berdoa agar imanku akan terus kukuh. Maklumlah dalam keadaanku begini, lupa segalanya, aku tiada tempat hendak mengadu. Maka aku amat berterima kasih atas belas ihsan Uzzam yang sanggup membawa aku pulang. Tidak mengapalah aku tidak akan dilayan sebagai seorang isteri lagi, asalkan aku ada juga tempat berteduh walaupun hanya sementara sahaja. Bahkan aku akan cuba memenangi hati anak perempuanku agar akhirnya dia sudi menerimaku semula. Tidak mengapalah kalau budak itu belum mahu memanggilku ibu.

Apa pun, aku akan cuba menjadi seorang ibu yang terbaik untuk anakku itu. Dan bermula dari sekarang...

“Saya bawa dia pulang atas nasihat doktor, mak cik,” Uzzam lantas menjelaskan. Dari nada suaranya yang parau, aku dapat merasakan bahawa dia tidak begitu suka wanita itu. Mengapakah agaknya ya?

“Dia telah mengalami kemalangan yang agak serius sehingga dia hilang daya ingatan. Jadi, mak cik tak perlu berasa hairan kalau dia tak dapat ingat apa-apa tentang masa lampau dia. Terutama sekali apa yang telah dia lakukan.” Matanya sempat menjeling ke arahku sejenak.

Entah mengapa, pernyataan Uzzam yang akhir itu agak menggores hatiku pula. Sesungguhnya aku dapat merasakan sindiran pada nadanya itu. Sementelah cara dia menjeling aku begitu.

Wanita itu merenung ke arahku. Alis tipisnya ditaut memberi aku renungan sempit seolah-olah aku ini seekor lalat yang mahu dihapuskan.

“Kalau begitu, kau tak kenal lagilah siapa aku, Aslin?” dia pun bersuara.

Aku menggelengkan kepala. Mataku tidak ragu-ragu untuk menentang renungannya itu.

Wanita itu mendengus kecil.

“Nama aku Masirah. Dan untuk pengetahuan kau, aku ni ibu tiri Uzzam. Oleh itu kau boleh panggil aku Ibu Sirah. Semoga kali ini kelakuan kau lebih baik dari yang dulu,” ujarnya setengah menyindir juga.

Aku mengangguk. Tetapi tiba-tiba sahaja aku rasa pandanganku mula berpinar-pinar. Mungkin dalam keadaanku yang belum sihat, aku tidak seharusnya berdiri terlalu lama. Apatah lagi dengan sinar mentari yang agak terik, membuatkan kepalaku mula bengang dan berdenyut-denyut.

Pada ketika itulah aku merasakan seperti kedua belah kakiku seperti menjadi longgar, lalu aku rebah ke bumi. Sekali gus pandanganku menjadi gelap...

 

APABILA AKU membuka mata, aku dapati diriku sedang dalam keadaan terbaring di atas sebuah katil. Yang pertama aku lihat ialah sebuah kipas siling yang berputar laju. Kepala aku masih berdenyut-denyut, terutama sekali di bahagian luka yang telah menerima sepuluh jahitan itu. Tetapi ia tidaklah begitu hebat.

Aku menggagahkan diri untuk bangun dan duduk. Selepas itu aku meninjau bilik yang agak kecil itu. Nampak ringkas dan kurang serinya. Lantas aku teringat akan pernyataan Uzzam ketika di dalam kereta tadi bahawa aku akan ditempatkan di bilik orang gaji. Maklumlah dia sudah tidak lagi memandangku sebagai isteri. Aku sudah tiada kepentingan dan hak dalam rumah agam ini.

Aku melepaskan keluh panjang. Kini aku mula mengerti cara Uzzam cuba membalas dendam. Meskipun aku rasa kecewa dan sedih, namun aku terpaksa menerima hakikat. Sekali lagi aku ingatkan diriku agar kuat. Lebih-lebih lagi, kalau aku mahu lekas sembuh dan dapat ingatanku semula.

“Baguslah kau dah sedar semula,” tiba-tiba suara lelaki memecah.

Aku setengah terkejut dan segera menoleh. Sudah terpacul di muka pintu dengan bahu kanannya disandarkan pada birai pintu itu ialah suamiku, Uzzam. Caranya berdiri begitu dengan kedua belah tangannya dilipat pada dada bidangnya, gaya santai seolah-olah dia sedang bergaya untuk muka depan sebuah majalah sahaja.

Tetapi, mengapakah dadaku tiba-tiba sahaja berdebar-debar seperti gendang dipalu apabila melihatnya? Atau dia sememangnya memiliki daya penarik semula jadi seperti besi berani sahaja terhadap semua wanita?

No comments:

Post a Comment