DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 20 July 2020

Mutiara Dalam Debuan Kabus - Bab 7

SESUNGGUHNYA tercegat di ambang pintu bilik orang gaji yang aku duduki ini ialah Puan Masirah dengan wajah yang tegas sahaja. Segera aku letakkan telefon pintar itu semula ke dalam kotak biru dan menutupnya dengan gaya santai agar wanita itu tidak merasa curiga. Harap dia tidak melihatnya kerana aku tidak mahu wanita itu bersangka buruk.

“Ibu Sirah mahu sesuatu?” suaraku lebih dahulu.

Puan Masirah agak ragu-ragu untuk melangkah masuk ke dalam bilik ini. Mungkinkah kerana ia bilik orang gaji dan menjejakkan kaki ke dalam akan menjatuhkan martabat wanita itu sebagai orang atasan?

“Sudah tentu, Aslin,” jawab wanita itu dengan nada suara yang parau sahaja. Dia masih berdiri di ambang pintu dengan kedua-dua belah tangan melipat di dada.

“Terus terang aku nak katakan, bahawa aku memang tak suka kau balik ke rumah ni lagi. Uzzam kata kau hilang daya ingatan dek kemalangan yang telah menimpa kau. Tapi aku seperti rasa ragu-ragu sama ada kau benar-benar hilang daya ingatan atau setakat pura-pura saja. Maklumlah, dengan cara begitu sajalah kau dapat pulang ke rumah ini. Mungkin kau cuba nak menangi hati Uzzam semula. Yalah, setelah 4 bulan kau menghilangkan diri tanpa berita. Perbuatan kau itu telah membuat semua orang di rumah ini bimbang, tahu? Apa pun agenda kau, aku pasti helah kau takkan berjaya. Uzzam dah tak percayakan kau, apatah lagi memaafkan perbuatan kau tu. Malahan, aku juga akan pastikan kau tak akan tinggal di sini lagi sebaik saja kau sembuh dan dapat ingatan kau semula.”

Aku menarik nafas panjang, mengetap bibir seraya mengangguk. Lagipun, aku tidak ada jawapan untuk membidas hujah-hujah wanita itu. Terutama sekali akan tuduhannya itu. Juga, aku mula yakin bahawa kehidupanku di rumah ini meskipun singkat, akan disukarkan oleh wanita itu.

“Oleh kerana buat sementara waktu ni kami tak ada orang gaji, kau harus gantikan tempat tu sehingga orang gaji yang baharu tiba. Kalau kau sangka nak duduk senang-lenang dengan alasan kau kurang sihat dan hilang daya ingatan, kau silap, Aslin. Sekarang, walau apa pun keadaannya, kau harus bekerja kalau mahu tinggal di sini. Mungkin kalau kau tak buat hal, kedudukan kau sebagai isteri Uzzam dalam rumah ini tak boleh dipertikaikan. Tapi semuanya dah berubah. Kau dah tiada kepentingan lagi dalam rumah ini. Dan seperti yang telah aku nyatakan tadi, aku akan pastikan kau tak jejakkan kaki di sini lagi sebaik saja kau sembuh.”

Puan Masirah berhenti sejenak seolah-olah mengumpul nafasnya.

“Oh ya, untuk pengetahuan kau, Uzzam dah ada kekasih baharu. Namanya Nora Asyikin. Mereka bercadang untuk berkahwin. Jadi, sebagai peringatan, kau harus bersedia untuk terima apa saja kemungkinan yang akan Uzzam ambil terhadap kau. Kalau dia mahu menceraikan kau, aku sokong dengan senang hati.”

Sekali lagi aku menarik nafas panjang, menahan sebak yang terus menujah ke dalam pucuk hatiku oleh penyataan wanita itu. Aku sendiri berasa pelik, mengapa aku harus bersikap sentimental begitu sedangkan aku sudah pun maklum akan tempatku di dalam rumah ini? Yalah, sepatutnya aku terima dengan hati yang reda.

Aku akan bekerja sebagai orang gaji di dalam rumah agam ini sementara menunggu orang gaji yang baharu tiba. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh suamiku tadi bahawa aku harus menggunakan tulang empat keratku ini sepanjang aku tinggal di rumah itu. Dengan perkataan lain, aku tidak akan menetap secara percuma.

“Disebabkan kau perlu rehat yang panjang kerana baru keluar hospital, kau terlepas daripada buat sebarang pekerjaan pada hari ini. Tugas kau akan bermula esok saja,” ujar Puan Masirah lagi. Dengan kata-kata itu juga dia pun berpusing dan meninggalkan ambang pintu itu tanpa mahu menutupnya semula.

Aku termangu buat seketika memandang ambang pintu yang kini kosong. Tiada kelibat Puan Masirah lagi.

Tidak lama kemudian, aku melepaskan keluh seraya bingkas dari bangku itu menuju ke pintu dan lantas menutup daunnya semula. Selepas itu aku bersandar pada daun pintu itu sambil menarik nafas dalam seraya memejamkan mata. Akhirnya, air mata yang bergenangan di bawah mata berlinangan juga ke pipi.

Sekali lagi aku berasa pelik akan perasaanku ini. Mengapakah aku harus berasa sedih setelah mendengar hujah-hujah Puan Masirah tadi? Bukankah aku sudah bertekad untuk kuatkan semangatku ini daripada sebarang kemungkinan yang bakal aku tempuh di dalam rumah agam ini?

Sebaik sahaja memikirkan tentang itu, aku segera menyeka air mata yang membasahi pipiku dengan hujung lengan baju. Tekad adalah tekad, lantaran itu aku tidak perlukan simpati. Lagipun, inilah masanya aku tebus segala kesalahan yang telah aku lakukan dengan berkelakuan baik hinggalah aku tinggalkan rumah ini. Aku berjanji kepada diriku sendiri bahawa apabila aku melangkahkan kaki keluar dari sini kelak, aku bukan lagi perempuan ‘melampau’ seperti yang Uzzam cap diriku ini. Aku akan jadi sebaik-baiknya perempuan dan memulakan hidup baharu.

Kaki melangkah menuju jendela yang tertutup rapat, lantas aku kuak daunnya lebar-lebar. Angin sepoi-sepoi bahasa yang berhembus masuk sebaik sahaja jendela itu aku buka memuput wajahku dengan lembut. Belaian angin itu seolah-olah menyalurkan semangat ke dalam sanubariku. Aku tiba-tiba diberikan semacam kekuatan untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang bakal aku tempuh, bermula esok.

Pandangan kulemparkan ke belakang bilik orang gaji ini. Terdapat sebuah kebun kecil sebesar sekangkang kera sahaja. Tetapi nampaknya ia tidak terurus sama sekali. Melihatkan keadaan kebun itu yang kini dipenuhi dengan rumput-rampai, maka hatiku tiba-tiba begitu teruja ingin membersihkannya. Aku akan cuba membuat pohon-pohon di kebun kecil itu segar dan subur semula. Sepertimana keadaanku sekarang ini, begitulah aku ingin memberi semacam nafas baharu kepada kebun berkenaan.

Siapalah tahu, dengan cara itu juga akan perlahan-lahan menyembuhkan diriku sekali gus mengembalikan ingatanku ini. Memikirkan sahaja tentang itu, aku tersenyum sendiri. Ia akan menjadi semacam terapi yang baik untukku juga.

Namun begitu, satu sudut hatiku tertanya-tanya, mengapakah kebun itu dibiarkan begitu sahaja? Sebagai seorang berada, tentu Uzzam mampu menggaji seorang tukang kebun untuk menguruskannya. Lebih-lebih lagi dengan rumah agam yang cantik. Malahan pekarangan hadapan rumah ini aku lihat begitu terurus dengan laman rumput yang berada di satu bahagian rumah. Maka, cukup menghairankan tiada seorang pun yang menjaga atau menguruskan kebun kecil sekangkang kera itu.

Bagaimanapun, aku terpaksa menangguhkan dulu untuk memeriksa lebih dekat lagi kebun kecil itu. Tetapi aku tetap akan lakukan sesuatu untuk membaikinya apabila dapat masa yang baik terutama sekali tanpa gangguan daripada wanita yang bernama Puan Masirah itu.

Aku mendekati meja solek semula. Laci panjang di bawah permukaan meja itu aku tarik. Terlihat kotak biru yang telah aku sorokkan di dalam laci itu sebaik sahaja diganggu oleh Puan Masirah tadi.

Mengetap bibir, aku pun keluarkan kotak itu dari laci dan meletakkannya semula di permukaan meja solek. Telefon pintar di dalamnya aku keluarkan. Sebaik sahaja aku sentuh butang yang terdapat di bawah skrinnya, ia pun bernyala, menayangkan halaman pesanan ringkas.

Salam. Aku tahu kau pasti tertanya-tanya,

siapakah pengirim bungkusan & sms ini, bukan?

Tapi tak usahlah kau fikirkan sangat tentang itu.

Untuk setakat ini lebih baik kau tumpukan

pada kesihatan kau dulu. Percayalah, aku

akan perkenalkan diri aku yang sebenar

suatu hari nanti.

Juga, siapakah diri kau yang sebenarnya

apabila masanya tiba. Apatah lagi aku

diberitahu kau telah mengalami hilang

daya ingatan.

Jadi, buat masa ini bertenanglah & dapatkan

ingatan kau semula. Kerana aku pasti ia

setakat sementara saja.

Cuma, aku ingin nasihatkan di sini agar

jagalah diri kau baik-baik. Mengapakah aku

 kata begitu, kerana sebenarnya diri kau dalam

bahaya.

Oleh itu, jangan sesekali percaya kepada

siapa saja yang kau rasakan berkelakuan

mencurigakan.

Oh ya, sila padam sms ini sebaik saja

kau membacanya...

Aku termangu untuk beberapa jenak sebaik sahaja selesai membaca pesanan ringkas daripada pengirim misteri itu. Aku pasti orang itu tidak lain adalah lelaki yang memberi bungkusan itu juga. Terpegun aku apabila dia menyatakan bahawa sebenarnya aku dalam bahaya.

Bahaya? Bahaya dari segi apa dan siapa? Namun hati kecilku mula berbisik, setengah cemas dan gempar juga. Apakah rahsia yang ada padaku agaknya sehingga membuatkan aku dalam bahaya? Selama 4 bulan aku tinggalkan rumah ini tanpa khabar berita, sebenarnya apakah yang telah aku lakukan sepanjang tempoh itu? Persoalannya, ke manakah aku telah pergi dan dengan siapa?

Sesungguhnya pesanan ringkas itu menambahkan lagi tanda tanya tentang diriku ini yang tidak ingat apa-apa langsung. Tiba-tiba aku merasakan beban yang sedang aku pikul bertambah berat kiranya. Aku mengeluh kesah. Terutama sekali dalam memikirkan bahawa keadaanku yang semakin rumit.

Wajarkah aku terus tinggal di rumah ini? Kehadiranku di rumah ini mungkin juga akan membahayakan ahli keluarga yang lain, terutama sekali keselamatan anak perempuanku yang baru berusia 4 tahun itu. Aku tidak mahu apa-apa terjadi kepadanya kerana kesilapan yang pernah aku lakukan.

Oh, kalaulah aku dapat ingatanku semula ketika ini, tidaklah aku terpinga-pinga tentang apakah yang telah aku buat sehingga terjerumus dalam bahaya.

Aku mengetap bibir semula dan berfikir panjang dalam cuba mencari semacam huraian. Namun fikiranku terus buntu dan sakit pada luka di kepalaku ini kembali berdenyut-denyut. Memberi maksud juga bahawa aku harus berhenti daripada memaksa diri untuk terus berfikir.

Apabila sakit di kepalaku terus menyerang sehingga membuat aku menitiskan air mata kerana tidak mampu menahannya, aku pun segera mencari ubat sakit kepala yang telah dibekalkan oleh doktor. Aku ambil dua biji dan telannya begitu sahaja tanpa air. Lagipun, tiada kelihatan botol atau cawan berisi air putih tersedia.

Selepas itu aku pun menuju katil semula dan berbaring. Tidak lama kemudian, aku terlelap dengan air mata yang masih mengalir di tepi mata dan membasahi bantal yang mengalas kepalaku...

 

SEDAR SAHAJA daripada tidur, aku dapati hari sudah pun malam. Melalui jendela yang telah aku buka lebar siang tadi, keadaan di luar sana sudah pun gelap. Jam dinding yang berada di atas jendela itu sudah pun menunjukkan hampir pukul 8 malam. Menunjukkan aku telah tidur agak lama sekali. Namun rehat yang telah aku peroleh dan tanpa gangguan membuatkan aku lega dan puas juga. Mungkin disebabkan sakit di kepalaku sudah pun tidak terasa, sementelah aku rasa segar sekali.

Aku pun bingkas dan duduk secara perlahan dan berhati-hati. Namun sebaik sahaja aku duduk, tiba-tiba juga perutku berkeroncong. Seingat aku, sejak keluar dari hospital siang tadi, aku belum menjamah sebarang makanan pun melainkan susu yogurt yang disediakan oleh jururawat bertugas.

Bagaimanakah harus aku alas perutku yang mula lapar ini? Haruskah aku keluar dari bilik orang gaji ini dan menuju ke dapur untuk mendapatkan sesuap nasi? Tekak aku ini juga terasa dahaga sekali.

Aku pun bulatkan hatiku dengan perasaan berani untuk keluar dari bilik ini dan mencari apa sahaja makanan demi mengisi perut yang lapar. Namun terlebih dulu aku harus mencari di manakah ruang dapur berada.

Sebaik sahaja aku keluar daripada bilik, aku dapati bilik ini agak terpisah dari rumah besar itu. Ia berada di sebelah belakang. Pun begitu, ada sejalur jalan sepanjang kurang lebih 20 meter menghubungkan kedua-duanya. Tanpa membuang masa, aku pun menyusuri jalan itu. Lagipun, perutku semakin mengerang-erang dek kelaparan. Sementelah kedua belah tanganku mula terketar-ketar. Harap sahaja aku tidak pengsan di tengah-tengah jalan kerana kekurangan tenaga.

Aku dapati hujung jalan itu membawa aku ke sebuah pintu yang berukir segi empat. Aku cuba membukanya dan alangkah bersyukurnya aku kerana ia tidak berkunci sama sekali.

Kukuak daun pintu itu perlahan-lahan sambil menjenguk ke dalam. Sebuah lorong kecil. Melepaskan keluh, aku pun masuk dengan langkah yang senyap seperti pencuri sahaja dalam keadaan cahaya yang samar-samar.

Sekali lagi hatiku rasa berterima kasih dengan keluhan lega kerana ruang selepas aku melewati lorong pendek tadi tidak lain adalah sebuah dapur yang besar dan bersih. Tiada sesiapa pun di ruangan itu. Mungkin penghuni di dalam rumah ini awal-awal lagi telah menikmati hidangan makan malam mereka, ataupun mereka semua tiada di rumah.

Memikirkan sahaja tentang itu, aku bertambah lega kerana apa sahaja yang hendak aku lakukan di dalam dapur ini tidak akan mendapat sebarang gangguan. Lebih-lebih lagi daripada Puan Masirah. Pun begitu, demi kepastian bahawa semua ahli rumah agam ini tiada di rumah, aku pun membesarkan telinga untuk mendengar sebarang suara seperti orang berbual, televisyen, atau suara Arianna berceloteh di satu-satu bahagian rumah besar ini. Tetapi apa yang dapat aku dengar hanyalah nyanyian cengkerik dan salakan anjing dari kejauhan.

Setelah benar-benar pasti aku seorang diri di dalam rumah agam ini, bibirku tersungging senyum kecil. Lampu dapur itu kunyalakan dan tanpa membuang masa, segera aku menuju ke peti sejuk yang terletak di satu sudut berdekatan dengan dapur dan singki. Peti sejuk itu aku periksa, melihat bahan-bahan yang boleh aku masak dengan ringkas dan mudah.

Aku tersenyum lebar apabila menemui sebuah bekas berisi nasi yang tidak habis. Maka aku ambil keputusan untuk membuat nasi goreng sahaja. Tetapi demi mengisi perut yang kosong dan mendapatkan sedikit tenaga, aku makan beberapa biji buah anggur merah tanpa biji dan sekeping keju Kraft terlebih dahulu.

Tidak lama kemudian, aku mula memasak Nasi Goreng Belacan. Tidak sampai setengah jam, aku selesai menggoreng nasi. Namun, aku tiba-tiba termangu dan terpinga-pinga sejenak. Nasi goreng itu kurenung tanpa berkerdip dek merasa kurang percaya. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan bahawa aku sedikit pun tidak merasa kekok atau ragu-ragu ketika memasak tadi. Seolah-olah aku sudah biasa melakukannya.

Tiba-tiba aku dikejutkan oleh suara seseorang terbatuk-batuk di belakangku. Tersentak, aku segera mengawal diri. Tubuhku menegak seperti sebatang tiang sahaja. Sedangkan jantungku pula berdegap-degup dengan kuat, memukul dalam dadaku.

Sesungguhnya, aku cukup kenal suara batuk gerangan itu...

No comments:

Post a Comment