DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 20 July 2020

Mutiara Dalam Debuan Kabus - Bab 4

MATAKU menjeling jam dinding dengan hati yang separuh berdebar dan setengah bimbang. Jam menunjukkan 15 minit selepas 11 pagi. Aku telah pun mengenakan pakaian basahan yang sekali lagi telah diberikan oleh Kak Sharifah; sehelai baju kurung berwarna lembut untuk dipadankan dengan tudung yang sedang aku kenakan demi menutup luka di kepalaku.

Ketika aku menukar ke pakaian baju kurung itu tadi dan kemudian melihat kesudahannya di dada cermin, alangkah terpegunnya aku. Aku tampak anggun, lembut dan menarik. Apatah lagi dilengkapi tudung hingga membuat wajahku yang cantik tambah berseri-seri. Seolah-olah aku telah dikurniakan cahaya keinsafan dan keimanan.

Mungkin musibah yang telah menimpaku ada semacam iktibar agar aku berubah. Mungkin juga ini adalah satu petunjuk daripada Ilahi supaya aku membetulkan segala kesilapan masa laluku yang dikatakan kurang elok. Terutama sekali terhadap suamiku. Ataukah suatu pembetulan untuk menyelamatkan rumah tangga kami itu sudah terlambat sekarang?

Kini aku sedang duduk di tepi katil memandang jendela menanti ketibaan suamiku untuk membawaku pulang. Atau dia akan hantar seseorang bagi pihaknya. Lebih-lebih lagi, setelah aku teringat akan renungan benci yang dilemparkan kepadaku tempoh hari dan selepas itu tidak lagi dia datang berkunjung. Jadi, tidak menghairankan kalau dia tidak akan datang langsung untuk membawa aku pulang.

Aku menarik nafas panjang sambil menegakkan tubuhku. Pandanganku terus aku lepaskan ke luar jendela dan mendapati cuaca hari ini cerah dan berawan. Aku membawa diriku jauh ke dalam fikiranku, cuba sekali lagi membuka kotak fikiranku yang seperti terkunci kuat sehingga aku masih tidak dapat ingat apa-apa tentang masa lampauku.

Yalah, aku ingin sekali tahu, apakah sebenarnya sudah terjadi kepadaku? Mengapa aku meragukan bahawa namaku ini ialah Aslin? Mengapa suamiku yang bernama Uzzam benci terhadapku? Dan kalau perasaannya begitu terhadapku, mengapakah kami berkahwin? Ataukah kami ‘terpaksa’ berkahwin atas sebab-sebab tertentu?

Tetapi fikiranku ini terus kosong. Aku masih dalam kegelapan tanpa sebarang sumber cahaya pun, meskipun yang samar, lantaran membuat aku terus teraba-raba. Sedar bahawa aku belum sembuh sepenuhnya untuk ingat apa-apa, sebaliknya akan membuatkan kepalaku sakit, aku pun berhenti untuk memikirkannya. Melepaskan keluh panjang, aku pun membongkokkan bahuku seperti seorang yang telah kalah dalam perjuangan sahaja.

Kini benakku terfikir, apakah akan jadi kepadaku sebaik sahaja aku berada di rumah kelak?

Aku terkejut daripada lamunan apabila mendengar daun pintu wad dikuak. Tetapi aku tidak menoleh kerana aku tahu, masa untuk aku meninggalkan wad dan hospital ini sudah pun sampai. Maka aku menarik nafas panjang semula dan cuba menguatkan semangat.

Sebaik sahaja aku sudah bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan, aku pun turun dari tepi katil dan berdiri. Kemudian perlahan-perlahan aku menoleh untuk melihat siapakah gerangan orang yang suamiku hantar untuk membawaku pulang.

Alangkah terpisat-pisatnya aku apabila mendapati bahawa yang berdiri di ambang pintu wad ini tidak lain ialah Uzzam sendiri. Bersama-samanya ialah seorang jururawat yang sedang menyorong sebuah kerusi roda.

Entah mengapa, melihat suamiku berdiri tinggi, gagah dan segak dalam pakaian eksekutif begitu, membuatkan dadaku berdebar-debar tidak terhingga. Rambutnya yang lebat dan ikal telah disisir kemas. Juga jambang dan misai yang seminggu lalu mula memanjang telah pun dicukur bersih, lantas membuat wajahnya semakin tampan dan menarik.

Sebaik sahaja mata kami bertemu, aku lihat wajahnya itu berubah, seolah-olah dia dalam keadaan terpegun. Malahan, sinar matanya pun bagai memancarkan cahaya yang lain macam sahaja, yang tidak dapat aku duga apa. Atau aku telah tersilap pandang, kerana wajah itu tiba-tiba berubah keras dan sinar matanya kembali dingin. Bibirnya mula diketap dan datar sahaja.

“Kau dah bersedia nak pulang?” dia lantas bersuara dengan nada yang datar.

Aku hanya mengangguk.

Jururawat itu pun menyorong kerusi roda, lantas mengarahkan aku duduk di situ. Dia sempat mengingatkan aku dan Uzzam agar datang dalam masa 2 minggu lagi untuk pemeriksaan lanjutku.

Tidak lama kemudian, aku pun disorong keluar sendiri oleh suamiku. Tetapi ketika sedang menuju pintu besar wad kelas satu ini, seorang jururawat muda yang kecil molek berbangsa Melayu menghampiriku. Uzzam terpaksa berhenti kerana jururawat itu hendak berbicara sesuatu denganku.

“Oh ya, saya diamanahkan oleh Kak Sharifah untuk berikan sampul ini. Dia tak sempat nak berikan sendiri kerana hari ini dia cuti,” ujar jururawat muda itu dengan senyum manis sambil menghulurkan sampul surat berwarna putih.

Aku menyambut sampul itu dengan senyum serta ucapan terima kasih. Lantas aku letakkan ke dalam beg kertas bersama-sama barang-barang peribadiku yang telah aku letakkan di atas riba.

Sampai sahaja di lobi masuk Hospital Universiti Singapura (NUH), Uzzam meninggalkan aku sejenak dengan meminta pertolongan salah seorang pegawai keselamatan yang bertugas untuk memerhatikan aku sementara dia mengambil keretanya.

Dia memandu kereta jenis BMW berwarna hitam. Melihatkan itu, sedarlah aku bahawa suamiku itu seorang yang berada. Cara keterampilan serta pakaian yang dikenakan membuktikan juga bahawa dia berjawatan tinggi. Apakah pekerjaan suamiku yang sebenar agaknya?

Sedang aku berfikir begitu, tiba-tiba tubuhku diangkat dan didukung oleh Uzzam dari kerusi roda itu. Terkejut aku. Dengan langkah yang tenang dan pasti, dia lantas membawa aku ke tempat duduk belakang kereta mewah itu yang mana daun pintunya telah dibuka oleh pegawai keselamatan yang telah menemaniku tadi.

Apa yang menghairankan, aku terus teringat-ingat bagaimana indahnya ketika didukung oleh Uzzam tadi. Bersentuhan tubuh dengannya cukup menggetarkan kewanitaanku. Lebih-lebih lagi, aku amat senang dengan bau cologne dan after-shave yang dia kenakan; membuat dia lebih gagah dan menawan.

Aku jadi terpesona sekali, dan entah mengapa, satu sudut relung hatiku tiba-tiba merasakan seolah-olah aku sudah jatuh hati. Perasaan itu terbit secara tiba-tiba seperti panahan petir sahaja. Tentu sahaja aku menjadi hairan, terpegun dan kurang percaya juga. Apakah ini bermakna aku telah jatuh cinta terhadap suamiku semula?

Sesungguhnya, disebabkan perasaan itu jugalah membuatkan aku seperti dipukau sahaja hinggakan hati ini tergerak mahu mengucup sekali gus menghidu lehernya yang beberapa inci sahaja daripada wajahku. Tetapi aku segera membuang niat ghairah itu sebaik sahaja teringat akan perasaan suamiku itu terhadapku. Pada masa yang sama, tiba-tiba juga aku merasa malu terhadap diri sendiri kerana berperasaan jalang begitu. Atau sememangnya aku perempuan sedemikian sebelum musibah yang membuat aku hilang daya ingatan ini?

Bagaimanapun, apabila aku fikirkan secara mendalam, apa yang aku ingin lakukan tidak ada salahnya memandangkan kami adalah mahram. Walaupun dia benci terhadapku, namun aku tetap isterinya yang sah. Jadi, aku berhak menggoda suamiku sendiri. Pun begitu, aku sedia maklum dia tentu tidak suka. Malahan, aku sudah tentu akan dijerkah dan dimarahi.

Aku mengeluh panjang sambil melemparkan pandangan ke luar jendela.

Entah mengapa, aku rasa aneh dan setengah janggal berada di dalam kereta ini meskipun keadaannya selesa dan berbau wangi yang lembut. Lantas cuba aku menyelam ke dalam fikiranku sekiranya aku pernah duduk begini dengan gaya yang angkuh suatu masa dahulu. Tetapi tidak satu bayangan pun tertayang. Aku mengeluh lagi kerana selagi ingatanku gelap dan kosong, aku ialah aku sekarang ini.

Sepanjang perjalanan menuju pulang, kami tidak bersuara pun. Lagipun, apa yang hendak kami dibicarakan? Sebenarnya, aku berharap suamiku yang lebih dahulu berkata sesuatu. Tetapi dia diam membisu sahaja. Memecah kesunyian dalam kereta itu hanyalah celoteh juruhebah di radio dan kemudian memainkan lagu.

Demi membunuh masa, aku pun memberikan perhatianku pada sampul surat daripada Kak Sharifah. Sampul itu lantas aku keluarkan dari dalam beg kertas. Aku tidak terus membukanya, tetapi setakat membeleknya sahaja. Namaku telah ditulis dengan tulisan tangan yang kemas di depan dan ia telah digam, oleh itu aku harus mengoyakkannya kalau mahu mengeluarkan isi kandungannya.

Akhirnya aku bercadang untuk membuka sahaja sampul itu kelak apabila sampai di rumah nanti. Maka sampul surat itu aku masukkan semula ke dalam beg kertas itu. Pada ketika itulah mataku tertumpu pula pada bungkusan yang dibalut dengan kain sutera coklat yang terdampar di dasar beg itu.

Sekali lagi hati kecilku tertanya-tanya, siapakah gerangan lelaki yang telah memberikan bungkusan tersebut melalui Kak Sharifah? Mengapakah dia berikan benda tersebut kepadaku? Tetapi yang paling aku mahu tahu ialah apakah yang terkandung di dalam bungkusan berkenaan?

Aku mengeluh panjang lagi dan memandang ke luar jendela semula. Tiba-tiba naluriku seperti merasakan bahawa diriku sedang diperhatikan. Kepalaku pun menoleh memandang ke hadapan dan setengah terpegun apabila mataku bertemu dengan mata suamiku di cermin pandang belakang. Ketika itu kereta yang kami naiki sedang berhenti kerana lampu merah.

Agak lama juga mata kami bertentangan hingga aku berasa janggal dan tidak keruan, lantas segera aku memalingkan wajahku semula ke luar jendela. Terasa berbahang mukaku, namun hatiku terpinga-pinga juga, sudah berapa lamakah Uzzam memerhatikan aku melalui cermin itu? Mengapakah dia sanggup buat begitu sedangkan dia benci terhadapku?

Renungannya tadi lain macam sahaja. Tiada sinar kecaman atau benci seperti tempoh hari. Apa yang dapat aku duga, renungan tadi seolah-olah sedang menilai diriku ini. Seolah-olah juga dia baru sahaja mengenaliku buat pertama kali. Adakah dia merenungku begitu oleh apa yang aku kenakan sekarang ini? Adakah dia menyenangi aku berpakaian sopan begini serta bertudung, menutup aurat?

Entahlah, aku lantas mengeluh kerana mungkin apa sahaja yang aku baca dari sinar mata lelaki itu silap. Mungkin juga dia cuma rasa simpati dan harus menjaga hatiku memandangkan keadaanku sekarang ini. Mungkin juga atas nasihat Doktor Rahul agar aku tidak mengalami sebarang trauma dek hilang daya ingatan.

Maka sepanjang perjalanan aku terus tumpukan perhatianku ke luar jendela. Aku tidak sanggup bertentang mata dengan suamiku melalui cermin itu lagi. Aku tidak mahukan simpatinya. Yalah, kalau benar bahawa sebelum aku ditimpa kecelakaan tempoh hari, aku bukan isteri yang baik, apa yang perlu aku buat mulai dari sekarang ialah membaiki sikap dan kelakuanku.

Terlintas sahaja tentang itu, tiba-tiba semacam tekad membara dalam jiwaku untuk cuba berubah. Mungkin ada baiknya aku telah didiagnosis sebagai hilang daya ingatan. Oleh itu, aku sekarang ini adalah orang baru. Aslin yang dulu, yang mungkin liar, suka berfoya-foya, suka ungkal dan angkuh terhadap suami sendiri, anggaplah sudah tiada lagi. Mati. Kini akan muncul Aslin yang baharu. Akan aku buktikan kepada Uzzam bahawa aku boleh berubah. Kalau boleh, aku akan cuba menyelamatkan rumah tangga kami.

Sebaik sahaja niat itu tercetus dalam hati dan benak, wajah cantik Nora Asyikin terbayang dalam fikiranku. Lagipun perempuan itu telah pun menjadi kekasih suamiku selama aku telah dikatakan menghilangkan diri tanpa khabar berita.

Kini memikirkan akan perkara itu, harapanku yang berkobar-kobar tadi meleset. Apa yang dapat aku lakukan sekarang ialah tawakal dan serahkan kepada takdir. Satu sudut hatiku yang lain pula begitu berharap, hilang daya ingatan yang aku alami ini akan terus kekal. Mungkin ada baiknya aku tidak perlu ingat kembali masa lampauku itu. Terutama sekali kalau ia tentang tingkah lakuku yang kurang baik sebagai seorang perempuan dan juga isteri.

 

KERETA YANG dipandu oleh Uzzam kini sedang menyusuri jalan yang berjajaran dengan rumah-rumah banglo dan teres di kanan dan kiri. Aku telah terpandang papan tanda Siglap tadi sebelum kereta itu membelok ke jalan yang agak kecil.

Jadi, memang benarlah suamiku seorang yang berada. Tambahan pula, apabila kereta itu diberhentikan di depan sebuah rumah sebandung dua tingkat. Sebaik sahaja pintu pagar besar terbuka, kenderaan pun masuk ke pekarangan rumah yang agak luas.

Aku terus terpaku di tempat dudukku dengan perasaan berbelah bahagi, apakah pandangan orang-orang di dalam rumah agam ini terhadapku? Tidak dapat diragukan bahawa kepulanganku tidak dialu-alukan sama sekali.

Namun, apa yang menjadi tanda tanya dalam fikiranku, yang kosong dari ingatan masa lalu, mengapakah aku melakukan perbuatan itu? Sedangkan aku memiliki suami yang tampan dan gagah serta hidup dalam kemewahan. Ataukah disebabkan memiliki kesenangan itulah yang telah membuat aku lupa diri, angkuh dan mengada-ada? Atau mungkin kehadiran orang ketiga yang bernama Nora Asyikin?

Bagaimanapun, perkara itu tidak akan terjawab sehinggalah aku pulih sepenuhnya. Ataukah aku harus bertanya sendiri kepada suamiku itu?

Aku mengetap bibir. Ya, mengapa tidak? Dalam keadaanku yang tidak ingat apa-apa sekarang, mungkin apa sahaja yang aku akan dengar daripada mulut Uzzam sendiri sekurang-kurangnya dapat membuka sedikit ingatanku ini.

Kereta mewah BMW itu akhirnya berhenti tetapi enjinnya masih dihidupkan. Uzzam aku dapati tidak juga berganjak dari tempat duduk pemandu. Kedua-dua belah tangannya memegang stereng sambil matanya sekali lagi memandangku melalui cermin pandang belakang kereta. Dia kelihatan ingin berkata sesuatu tetapi segera mengetap bibirnya.

Tidak dapat menentang mata Uzzam melalui cermin itu, kerana entah mengapa ia memberi semacam kesan yang cukup aneh pada jiwa wanitaku, aku segera menundukkan wajah. Kedua belah tangan di atas riba aku ramas-ramas. Sebenarnya, aku menantikan apa sahaja yang ingin dia katakan, yang mana aku dapat menduga sudah tentu pasal perubahan dan peraturan yang perlu aku turuti sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam rumah agam ini.

Disebabkan aku sudah berjanji pada diri sendiri bahawa aku akan dan sanggup mengharungi apa sahaja kemungkinan dengan hati waja, aku akan akur dengan semangat baharu. Yalah, aku akan cuba tebus segala dosa-dosa yang telah aku lakukan.

Akhirnya kedengaran Uzzam mengeluh panjang seraya mematikan radio dan lantas menoleh ke arahku. Wajah tampannya kelihatan kejang dan sinar matanya terus dingin.

“Dengar sini baik-baik, Aslin. Aku bawa kau balik ke rumah atas arahan doktor memandangkan kau kini dalam keadaan trauma kerana hilang daya ingatan dek kemalangan yang telah menimpa kau. Doktor beritahu aku, hanya apabila kau berada di persekitaran yang biasa dengan kau, itu dapat membantu untuk kembalikan ingatan kau. Jadi, dia sarankan aku bawa kau pulang saja kerana cara itu lebih berkesan.”

Uzzam diam seketika, memandang ke hadapan semula iaitu ke pintu depan rumah, seolah-olah mengharapkan salah seorang keluarganya keluar untuk menyambut. Kemudian dia mengeluh lagi dan menoleh kepadaku semula. Wajahnya tidak berubah langsung.

“Terus terang, aku tak mahu bawa kau pulang sama sekali. Tapi nak tak nak, aku turut dan akur dengan arahan doktor tu. Lebih-lebih lagi, kau sendiri yang tinggalkan rumah tanpa beritahu aku atau ahli keluarga aku. Malahan, selama lebih kurang 4 bulan kau menghilangkan diri tanpa khabar berita, hingga aku terpaksa membuat laporan polis. Kau tahu tak apa hukumnya meninggalkan rumah tanpa izin suami, Aslin?”

Kepala aku dengan sendiri mengangguk. Aku ketap bibirku rapat dan masih menundukkan kepala. Pernyataan terus terang Uzzam bahawa dia sememangnya tidak mahu aku menjejakkan kaki di dalam rumah ini cukup menusuk kalbuku. Sementelah perbuatanku itu juga telah menyusahkan dia dan keluarganya. Air mata yang mula bergenangan di bawah mata cuba aku tahan daripada berlinangan ke pipi. Rupanya aku telah meninggalkan rumah selama 4 bulan? Bukan 3 bulan?

Melihatkan aku mengangguk begitu, Uzzam mendengus keras.

“Kau tahu rupanya, tapi kau tetap lakukannya,” ujarnya lagi setengah menyeringai. “Aku cukup hairan dengan sikap dan kelakuan kau yang tiba-tiba saja menjadi perempuan dan isteri yang liar, tak menghiraukan rumah tangga lagi. Kau sememangnya jenis perempuan yang sebaik saja mendapat kemewahan mulalah lupa diri dan menjadi angkuh. Kalaulah aku tahu begini buruk sikap kau yang sebenarnya, aku bantah untuk bernikah dengan kau. Tapi...” Uzzam tidak habiskan kata-katanya itu. Dia menghela nafas dalam dan melepaskannya kuat. Kepalanya menggeleng. Dia senyap seketika. Pada raut wajahnya yang masih sengit kelihatan hampa bercampur kesal. Tidak salah lagi terhadap diriku ini.

Keadaan terus senyap, hanya kedengaran deruman enjin kereta, hembusan angin dari alat hawa dingin dan nafas Uzzam yang turun naik seolah-olah cuba mengawal kemarahan yang terus berbuku dalam dadanya. Mungkin kalau ketika ini aku dalam keadaan sihat, dia telah pun menyerangku dengan sumpah seranah seperti ledakan gunung berapi.

Aku terus membisukan diri, menantikan apa yang hendak diluahkan sebelum kami melangkah keluar daripada perut kereta itu. Lebih-lebih lagi aku ingin tahu, apakah keputusannya terhadap perkahwinan kami selepas ini?

“Disebabkan aku terpaksa ikut nasihat doktor untuk bawa kau pulang, aku pun setuju.”

Uzzam diam, lantas bersuara semula tidak lama kemudian.

“Sebaik kita keluar dari kereta ni, perhubungan kau dengan aku tak lagi seperti suami isteri. Kau akan tidur di bilik orang gaji. Kebetulan pulak bilik tu sekarang ni kosong. Kemewahan yang dulu dengan mudah kau peroleh daripada aku tak lagi boleh kau nikmati. Sumber kewangan kau sekarang aku kawal ketat. Jadi, mulai sekarang kalau kau nakkan sesuatu, kau kenalah gunakan tulang empat kerat kau tu untuk mendapatkan duit. Oh ya, kalau kau nak ke mana-mana, seperti keluar rumah, kau harus minta izin daripada aku dulu. Tapi dalam keadaan kau sekarang, aku tak perlu bimbang pasal tu buat sementara waktu ni.”

Pernyataan Uzzam itu membuatkan aku terus terpegun. Aku mendongak untuk menatap wajah tampannya dengan mata terjegil, kurang percaya dengan apa yang baru aku dengar. Dari wajahnya yang tegas begitu, aku sedar apa yang telah dijelaskan adalah muktamad. Oleh itu, aku hilang kata-kata untuk menjawab atau menyangkal. Mungkin kerana kecederaan yang sedang aku alami membuatkan tindak balas aku tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Kenapa? Kau terkejut?” Lelaki itu bersuara lagi dengan senyum sinis, menentang renunganku dengan mata yang sempit. “Sebenarnya, ada beberapa perkara lain yang nak aku katakan di sini, tapi kerana tak mahu menjejas kesihatan kau, baiklah aku tundakan saja. Mungkin bila kau sudah benar-benar sihat dan ingatan kau mula datang kembali, aku akan nyatakan. Oh ya, seperkara lagi, mulai saat ini kau harus panggil aku Encik Uzzam. Kau mengerti, Aslin?”

Aku hanya dapat mengangguk tetapi satu sudut hatiku seperti tercubit juga kerana harus berencik-encik dengan suami sendiri.

Dengan kata-kata itu, dia pun mematikan enjin kereta, menguak pintu dan melangkah keluar. Tetapi sebelum pintu itu ditutup semula, dia membongkok dan memandang kepadaku semula.

“Aku pasti kau mampu bangun dan berjalan sendiri tanpa minta aku mendukung kau lagi.” Selepas itu pintu kereta itu ditutup rapat.

Aku menarik nafas panjang dan tanpa aku sedari, hatiku mula beristighfar. Seperti yang telah aku janji kepada diri sendiri, aku harus kuat. Mungkin apa yang dilakukan oleh suamiku itu adalah untuk mengajarku. Oleh itu aku harus terima setelah apa yang aku lakukan terhadap Uzzam dan keluarganya. Selayaknya, aku dilayan sebagai orang asing sahaja. Taraf sebagai isteri tidak lagi aku miliki.

Aku pun mengetap bibir rapat-rapat dan berjanji lagi dalam hati bahawa aku akan tabah dengan apa sahaja tekanan yang bakal aku terima kelak. Malahan, aku akan pastikan kesihatanku tidak akan terjejas dan akhirnya aku dapat ingat semula.

Sebenarnya, aku dapat menduga apakah perkara lain yang hendak Uzzam katakan tetapi ditunda itu. Dan entah mengapa, satu sudut hatiku tidak sedikit pun rasa terkilan ataupun resah. Kalau dia mahu melepaskan aku dan berkahwin lagi, aku akan terima dengan hati yang terbuka dan rela. Aku tidak akan menghalang atau membuat pasal. Lagipun, aku yang mulakan dulu.

Jadi, inilah balasan yang harus aku hadap. Hendak menyesal pun sudah tidak ada gunanya. Bahkan harapanku untuk menyelamatkan rumah tangga kami tidak akan kesampaian kiranya. Sudah pun terbukti apabila aku harus memanggilnya dengan panggilan Encik Uzzam, membuktikan dengan kuat bahawa hubungan kami sebagai suami isteri sememangnya bukan sahaja sudah retak, malah sudah pun terbelah. Belah yang agak luas seperti jurang yang mustahil untuk dicantumkan semula.

Aku melepaskan keluh-kesah. Nampaknya tiada peluang kedua untukku. Menunjukkan juga bahawa kesabaran Uzzam sebagai suamiku sudah sampai ke tahap kerosakan yang tidak boleh dibaiki lagi.

Justeru itu, tidak guna aku hendak merasa sedih. Yang penting bagiku sekarang ini ialah cepat sembuh dan mencari diriku yang sebenar. Sudah tentu sebaik sahaja aku sihat dan dapat ingat semula, aku akan diarahkan agar keluar dari rumah agam ini. Kalau begitulah akhirnya, aku akan terima qadak dan qadar Allah dengan hati yang terbuka. Reda yang aku akan menjadi janda.

Sedar aku masih duduk di dalam perut kereta dan perlu segera keluar sebelum dimarahi oleh Uzzam, aku pun menguak daun pintu kereta. Secara gontai aku bawa kaki kananku menjejak bumi yang lantainya diturap oleh batu marmar kasar campuran warna kuning dan jingga. Mendapati kakiku agak kuat untuk berdiri tanpa sebarang bantuan, aku pun turunkan kaki kiriku pula. Perlahan-lahan aku keluar dari perut kereta itu dan berdiri sambil memegang erat birai atas daun pintu kereta.

Rasa bersyukur bahawa aku dapat berdiri tanpa rasa goyah, daun pintu kereta itu pun aku tutup. Namun aku berdiri sahaja di sisi kereta itu dek menunggu arahan seterusnya daripada suamiku itu. Juga, andainya aku tiba-tiba hendak rebah kerana belum mampu berdiri lama, maka bolehlah aku paut pada kereta itu sebagai sokongan.

Tiba-tiba daun pintu depan rumah agam ini terbuka dan sebentar kemudian berlari keluar seorang budak perempuan.

“Ayah!” Budak itu memanggil sambil meluru ke arah Uzzam. Wajahnya kemerah-merahan kerana dia sedang menangis.

Alangkah terpisat-pisatnya aku apabila memandang wajah comel budak perempuan itu yang kini sudah berada dalam pelukan suamiku, wajahnya dibenamkan ke dada bidang Uzzam dan terus menangis.

Sesungguhnya wajah budak perempuan itu cukup mirip wajahku ini!

No comments:

Post a Comment