DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 20 July 2020

Mutiara Dalam Debuan Kabus - Bab 3

KINI sudah pun seminggu aku berada di National University Hospital (NUH). Aku beransur pulih meskipun masih mengalami hilang daya ingatan. Nama Aslin, yang sering dipanggil oleh para doktor dan jururawat di sini sudah mula dapat aku terima, namun dengan hati yang berbelah bahagi. Entah mengapa, aku masih ragu-ragu. Mengapakah aku boleh berperasaan begitu? Tetapi itulah hakikatnya kerana satu sudut dalam hatiku seperti membangkang yang itu bukanlah nama sebenarku.

Tetapi siapakah gerangan aku yang sebenarnya? Hati kecilku sering kali mengeluh begitu, berasa kecewa dengan keadaanku ini.

Balutan di kepalaku telah pun dibuka oleh doktor semalam. Aku cukup terkejut. Kepalaku telah dibotakkan. Ini disebabkan luka yang agak panjang telah aku alami di kepala sebelah kiri dan memerlukan sepuluh jahitan. Mungkin disebabkan itulah aku hilang daya ingatan. Aku sedar, sebaik luka itu sembuh, ia akan meninggalkan parut walaupun rambutku akan tumbuh semula dan menutup parut itu kelak. Bagi menutup parut yang kurang elok dipandang itu, Jururawat Sharifah atau kini lebih mesra aku panggilnya Kak Sharifah telah memberikan aku beberapa helai tudung.

Aku mengambil kesempatan itu untuk bertanyakan tentang apa yang telah diberitahu oleh jururawat yang bernama Magdalena itu kepadaku tempoh hari.

“Memang Puan Aslin ditemui oleh seorang pemandu teksi Cina di tepi jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan penuh dengan darah. Terutama di kepala puan tu,” jelas jururawat bertumbuh gempal dan manis itu. “Tentang langgar lari, kami cuma syak saja. Yalah, memandangkan cara puan ditemui di tepi jalan begitu pada dinihari. Dan...”

Kak Sharifah berhenti sejenak seolah-olah berasa ragu-ragu untuk meneruskan bicaranya sambil mengelak daripada merenung ke mataku.

“Dan apa, Kak Sharifah?” soalku dengan dahi berkerut.

Kak Sharifah akhirnya melepaskan keluh panjang.

“Tubuh puan berbau arak, menunjukkan bahawa puan telah mabuk pada malam tu.”

Aku telah mabuk? Alangkah terperanjatnya aku mendengarkan keterangan Kak Sharifah itu. Hatiku menjerit dek kurang percaya. Membulat mataku tatkala merenung wajah bulat itu. Namun akhirnya aku mengangguk juga dengan keluh-kesah dan gelisah. Sekali lagi aku berfikir panjang tentang apakah sebenarnya yang telah terjadi kepada diriku ini. Sementelah lagi, satu sudut hatiku sendiri seperti mengiakan bahawa aku sememangnya seorang yang misteri.

Aku telah minum arak dan mabuk?

Tidak mungkin!

Tidak mungkin!

Hati kecilku begitu keras menidakkan walaupun Kak Sharifah telah berlalu keluar dari wad ini.

Kak Sharifah ada juga memberitahu bahawa kes langgar lariku itu kini dalam perhatian dan siasatan pihak polis. Tetapi disebabkan aku disahkan mengalami hilang daya ingatan, maka pihak polis tidak dapat membuat sebarang pertanyaan. Setakat ini...

Aku mengeluh lagi. Kini aku melamun pula tentang suamiku yang bernama Uzzam itu. Sesungguhnya, semenjak aku sedar daripada koma tempoh hari, dia tidak lagi berkunjung. Malahan, tiada sesiapa pun yang datang melawatku sama sekali. Aku seolah-olah tiada sebarang saudara-mara atau kenalan pun. Bahkan, aku mengharapkan kunjungan ayah dan ibuku – adakah mereka masih hidup? Juga, seorang kawan yang mungkin tahu akan kemalanganku ini, lantas memberi aku semangat.

Tetapi nampaknya aku tiada saudara-mara apatah lagi kawan baik atau sahabat sama sekali. Jadi, memang benarlah seperti kata pepatah, bahawa kawan ketawa senang dicari, sedangkan kawan menangis susah diperoleh.

Lamunanku kembali kepada lelaki yang bernama Uzzam itu. Tentang mengapa dia tidak lagi mengunjungiku, aku sedia maklum akan sebab musababnya. Lagipun, bukankah dia benci terhadapku disebabkan oleh apa sahaja perkara ‘melampau’ yang telah aku lakukan. Jadi, tidak hairanlah kalau dia seboleh-bolehnya mahu menjauhkan diri daripada diriku ini.

Apa agaknya telah aku lakukan sehingga membuatkan suamiku itu bersikap dingin seperti dinginnya air batu di kutub utara, hatiku terus tercari-cari puncanya.

Tiba-tiba satu perasaan yang agak menakutkan menujah hatiku. Adakah Uzzam akan menceraikan aku sebaik sahaja aku sembuh? Dan satu sudut hatiku pula tidak dapat menafikan tentang itu apabila teringatkan kembali bagaimana dia merenung tajam dan seperti ingin membunuhku tempoh hari. Adakah sikap ‘melampauku’ yang dia maksudkan disebabkan keadaan aku yang telah mabuk? Mungkinkah aku telah bersikap curang?

Memikirkan tentang itu sudah cukup menggerunkan sanubariku. Pada masa yang sama, tiba-tiba juga membuat hatiku menjadi setengah terkilan dan sedih. Aku seolah-olah tidak mahu diceraikan, malahan mengharapkan agar diberi peluang kedua. Mungkin selepas kemalangan ini aku akan terus berubah dan menjadi seorang isteri yang baik dan patuh kepada perintah suami.

Aku mengeluh lagi sambil berdiri di depan jendela wad kelas satu ini yang tabirnya telah aku selak ke tepi. Dahi kulekapkan ke dada kaca jendela itu. Rasa dingin kaca itu dek diserap oleh hawa dingin penyaman udara di dalam wad itu agak melegakan juga. Sedikit sebanyak menghilangkan sejenak rasa pening-pening yang masih berdenyut di kepalaku ini.

Pada masa itulah fikiranku ini terlontar pada beberapa malam yang lalu di mana aku telah mengalami satu mimpi yang agak aneh. Dalam mimpi itu kononnya aku sedang berdepan dengan seorang wanita bertubuh kecil molek, bertudung dan berwajah ayu. Tiba-tiba wajah ayu itu berubah sengit. Dia menanggalkan tudung kepalanya. Terpamer rambut pendeknya yang telah diperangkan.

Kemudian mimpi itu berubah. Aku tiba-tiba berdepan pula dengan seorang wanita lain. Wanita itu seorang yang cantik menawan dan seksi. Pun begitu senyum yang tersungging pada ulas bibir tebalnya penuh kesinisan. Sinar matanya liar sahaja. Dan tidak semena-mena dia menolakku sambil menampar wajahku ini hingga aku terjelepok ke lantai.

Aku telah terjaga daripada tidur dengan tubuhku dibasahi oleh keringat. Di tepi katil berdiri seorang jururawat. Katanya aku telah mengigau dan meracau di dalam tidur. Sedar bahawa aku sedang mengalami satu mimpi yang buruk, dia pun segera mengejutkan aku.

Kini, mengenangkan kembali tentang mimpi itu membuat aku tertanya-tanya sekiranya wanita-wanita dalam mimpi anehku itu ada kena-mengena dengan diriku. Kalau benar, siapakah gerangan mereka? Soalnya sekarang, adakah mereka memang wujud dalam hidupku atau mereka setakat mimpi sahaja, yang dikatakan permainan tidur. Mimpi begitu selalunya sering berlaku terhadap seseorang yang hatinya dibelenggu oleh masalah atau perasaan bersalah dan berdosa.

Tiba-tiba daun pintu wad dikuak. Aku segera menoleh. Kelihatan seorang wanita muda bertubuh langsing sepertiku dengan keterampilan yang menarik tetapi tampak setengah angkuh. Solekannya menampakkan dia kelihatan lebih jelita dan menawan. Begitu juga pakaian yang dikenakannya yang nampak seksi. Dipadankan dengan kasut tumit tinggi. Usianya lantas aku duga tentu sebaya denganku.

Aku tidak bersuara terlebih dahulu malahan merenung wanita itu dengan dahi yang berkerut. Mungkinkah dia salah seorang kawanku? Tetapi kalau dia seorang kawan, mengapa bibir yang bergincu merah dan comel itu tidak pun mengukir senyum sebaik sahaja dia masuk ke wad ini? Atau segera mendapatkan aku dan berikan aku satu pelukan kerana merasa lega bahawa aku tidak apa-apa. Sebaliknya wajah yang cantik itu merenungku dengan sinar seteru di matanya. Malahan dia berdiri sahaja di tengah-tengah ruang antara katil dan pintu.

“Kau mungkin tak kenal aku, Aslin. Tapi Uzzam beritahu aku yang kau mengalami hilang daya ingatan kerana kemalangan tu. Nama aku Nora Asyikin. Tujuan aku ke sini adalah untuk beritahu bahawa kau dah tak layak jadi isteri Uzzam. Dia sekarang dah jadi kekasih aku. Kalau kau nak tahu, dah 3 bulan kami berteman setelah kau menghilangkan diri begitu saja tanpa khabar berita. Kau telah buat dia dan keluarga dia bimbang. Yalah, entah-entah kau dah mati tanpa seorang pun tahu.”

“Bukan itu saja, tindakan kau tu jugak telah membuatkan Uzzam marah dan berang. Kau telah buat dia seperti suami dan lelaki yang tak berguna dan menjatuhkan egonya. Disebabkan itulah dia bercadang untuk berkahwin dengan aku sebaik saja urusan dia dengan kau selesai. Kalau kau faham maksud aku, bersedialah untuk apa saja yang akan Uzzam bincangkan dengan kau kelak. Aku cukup simpati terhadap kau, Aslin. Pada masa yang sama, aku merasa berterima kasih kerana kelakuan kau yang tak bertanggungjawab sebagai isteri, aku akhirnya dapat memiliki Uzzam juga nanti.”

Panjang sungguh hujahnya, aku dengar sahaja. Usai itu dia pun berpusing untuk keluar. Tetapi dia berhenti sebaik tangan kanannya menyentuh tombol pintu dan menoleh kepadaku semula.

“Aku harap apa yang telah aku beritahu tadi tak menjejaskan kepala kau, yang aku diberitahu cedera, hingga membuat kau nak pitam,” tambahnya dengan nada sindiran dan senyum sinis. Pintu dikuak dan wanita itu melangkah keluar tanpa menoleh ke arah aku lagi.

Masih berdiri di depan jendela, aku terus terpaku dan termangu mengingati kembali akan kenyataan wanita bernama Nora Asyikin itu. Tiba-tiba hatiku seperti dicengkam kuat oleh perasaan terkilan dan kesedihan serta remuk-redam. Terutama apabila memikirkan bahawa Uzzam memang berura-ura hendak menceraikan aku agar dapat berkahwin dengan wanita itu. Jadi, andaian aku tadi memang benar belaka. Aku mengeluh-kesah.

3 bulan aku tidak pulang ke rumah? 3 bulan aku telah tinggalkan suamiku tanpa khabar berita pun? Tapi mengapakah aku buat begitu? Ke manakah agaknya aku telah menghilangkan diri selama itu dan dengan siapa? Atau aku ada kekasih dan telah mengikut kekasihku dek terpedaya dengan kata-kata janji manisnya? Apakah memang betul aku seorang isteri yang curang?

Bagaimanapun, sebarang jawapan jauh dari gapaianku. Bahkan, ketika ini kepalaku mula berdenyut-denyut seperti dipalu bertubi-tubi. Maka segera aku bergerak perlahan-lahan ke arah katil.

Sebaik sahaja kepalaku menyentuh bantal, aku pun menutup mata sambil mengurut-urut dahiku dengan tangan kanan untuk melegakan sakit di kepalaku. Lantas aku terlelap...

 

AKU DIGUGAH tidak lama kemudian oleh seorang jururawat berbangsa India yang bertugas untuk memberi aku ubat dan melakukan pemeriksaan rutin terhadapku.

Waktu aku dapati sudah pun jam 3.15 petang. Menunjukkan bahawa aku telah tertidur selama 3 jam lamanya. Aku dapat ingat lagi akan jam berapakah wanita bernama Nora Asyikin itu berkunjung ke wad ini. Iaitu sekitar jam 12 tengah hari. Aku lantas dapati tabir jendela wad ini telah ditutup agar cahaya matahari petang tidak menyimbah masuk.

Sebaik sahaja jururawat India itu selesai dengan tugasnya dan beredar, aku mengeluh seraya bingkas. Sakit di kepalaku telah pun reda dan terkawal. Mungkin tidur telah membantu merehatkan jiwa dan mindaku walaupun sementara.

Aku turun dari katil dan menuju ke jendela, lalu menyelak tabir itu ke tepi. Cahaya matahari memancar masuk sekali gus menyimbah wajah dan tubuhku, memberi semacam kehangatan yang indah dan agak menyegarkan. Maka aku pun mendongakkan wajahku sambil memejamkan mata. Untuk beberapa jenak aku berdiri begitu, melupakan kewujudan dunia dan dilema yang sedang aku alami. Ketenangan menyelubungi diriku seperti dakapan ibu yang penuh kelembutan...

Namun begitu, perasaan damai itu tidaklah lama apabila daun pintu kedengaran dikuak lagi hingga membuatkan aku hampir terkejut.

Mengeluh, aku pun menoleh ke arah pintu. Doktor Rahul masuk dengan ditemani oleh Kak Sharifah. Tersenyum lebar doktor itu menghampiriku.

“Puan Aslin akan dibenarkan pulang esok. Menurut rekod kami, puan bertambah baik dan stabil. Tentang hilang daya ingatan puan tu, tak perlulah risau, kerana kami yakin ingatan puan akan kembali semula kalau puan berada di persekitaran yang biasa dengan puan, iaitu di rumah sendiri. Tapi puan tetap disarankan ke sini setiap 3 minggu sekali untuk kami periksa dan pantau keadaan puan.” Doktor Rahul menjelaskan, masih tersenyum lantaran menayangkan gigi yang rata dan putih.

“Kami telah pun menghubungi suami puan, beritahu tentang perkara ni,” kata Kak Sharifah dengan senyum kecil. Namun dari sinar matanya, aku dapat lihat perasaan simpatinya terhadap diriku ini.

Aku hanya mengangguk dengan senyum kecil yang tidak sampai ke hati.

 

BERSENDIRIAN LAGI, aku pun duduk di tepi katil menghadap muka jendela. Disebabkan matahari mula terbenam dek hendak menyambut kedatangan malam, cahaya yang menyinar masuk ke wad ini redup sahaja.

Lantas aku terfikir, adakah suamiku itu akan datang esok untuk membawa aku pulang? Yalah, dia tidak lagi datang berkunjung melihat-lihat keadaanku sebaik sahaja aku sedar, sebaliknya yang melawat aku ialah kekasihnya yang cantik dan seksi bernama Nora Asyikin. Itu pun hanya datang untuk mengenalkan siapakah gerangan dirinya dan hubungannya dengan Uzzam. Atau si Nora sengaja buat begitu agar aku rasa tertekan lantas menjejas keadaan dan kesihatanku?

Juga, ketidakhadiran Uzzam sudah cukup memberi semacam maksud bahawa dia tidak mahu ambil kisah langsung apa sahaja yang terjadi kepadaku. Maklumlah, dia kini sudah pun ada orang baharu dalam hidupnya. Namun, aku tidak boleh menyalahkan perasaan dan kelakuan lelaki itu memandangkan apa yang telah aku lakukan sebelum kecelakaan yang menimpaku.

Aku duduk semula di tepi katil dan termenung lagi. Apa yang aku sedang fikirkan ketika ini, apakah yang akan berlaku kepadaku sebaik sahaja aku dibawa pulang? Persoalannya, adakah aku akan dilayan seperti orang asing, tidak lagi seperti seorang isteri?

Aku terus mengelamun, memikirkan apakah akan jadi kepadaku selepas ini. Terutama sekali andainya benar Uzzam akan melepaskan aku dan berkahwin pula dengan wanita angkuh bernama Nora Asyikin itu. Dalam keadaanku begini, ke manakah harus aku pergi? Kepada siapakah harus aku mengadu? Maklumlah dalam keadaanku tidak dapat ingat apa-apa, aku tidak ubah seperti seorang yang sebatang kara sahaja. Adakah aku masih ada ayah dan ibu?

Aku terus termenung, memikirkan pula jalan keluar yang harus aku ambil sekiranya apa yang terlintas dalam benakku tadi menjadi kenyataan. Sesungguhnya, dalam sudut hatiku ini aku seperti dapat merasakan bahawa aku bukanlah seorang yang lekas mengalah ataupun putus asa. Aku bukan seorang yang mudah mengharapkan simpati. Dalam diriku ini juga aku seperti dapat merasakan semacam semangat dan jati diri yang kental. Aku agak hairan bagaimana perasaan demikian tiba-tiba boleh terbit dalam sanubariku ini.

Kalau benarlah bahawa sebelum kecelakaan itu aku adalah seorang yang liar sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri, aku sudah tentu tidak mudah dikotak-katikkan. Mungkin kalau ketika ini aku setakat cedera ringan dan waras, si Nora sudah aku jerkah sehendaknya agar tidak berdaya untuk membuat andaian.

Lagipun, kata putus belum aku dengar sendiri daripada mulut suamiku itu. Oleh itu, betapa aku berharap Uzzam akan berkunjung hari ini untuk aku melihat sendiri reaksinya. Lebih-lebih lagi, aku ingin tahu juga sikap dan kelakuannya terhadapku. Adakah sama seperti tempoh hari; marah dan benci terpancar pada wajah yang tampan itu? Jikalau kelakuannya kelihatan agak tenang dan boleh dibawa berbincang, aku tidak akan ragu-ragu untuk bertanya apakah keputusannya yang sebenar terhadapku. Sementelah, tiba-tiba sahaja terbit perasaan agar dia memberikan aku peluang yang kedua.

Sekali lagi aku terdengar pintu wad dibuka. Kali ini aku tidak menoleh kerana menduga bahawa yang masuk itu tidak lain ialah salah seorang jururawat yang bertugas melakukan rutinnya.

“Maaf kerana mengganggu,” kedengaran suara Kak Sharifah.

Aku segera menoleh dan melihat jururawat bertubuh gempal itu sedang merapati katil dan di tangannya sedang memegang bungkusan berwarna coklat. Dan bungkusan tersebut diserahkan kepadaku sebaik sahaja dia berdiri di sisiku.

Namun aku tidak terus menyambut bungkusan itu, sebaliknya merenung wajah bulat itu dengan dahi yang berkerut.

“Susah-susah sahaja akak beri buah tangan untuk saya.”

Namun Kak Sharifah menggelengkan kepala dengan senyum kecil.

“Ini bukan buah tangan daripada akak, Puan Aslin. Sebenarnya, ada seorang lelaki yang bawa bungkusan ni. Dia hanya berdiri di luar wad ni. Akak lihat dia macam ragu-ragu nak masuk. Dan bila dia lihat akak datang, dia pun minta pertolongan akak agar serahkan bungkusan ni kepada puan. Selepas itu, tanpa banyak cakap lagi, dia pun beredar dengan agak tergesa-gesa.”

Penjelasan Kak Sharifah itu membuat aku terpegun dan terpisat-pisat juga. Ada seorang lelaki telah berkunjung ke sini tetapi tidak berani untuk masuk dan berdepan denganku? Siapakah gerangan lelaki itu agaknya?

“Bagaimana orangnya atau rupanya, Kak Sharifah?”

Kak Sharifah sekali lagi menggelengkan kepala.

“Maafkan puan, akak tak dapat nak cam mukanya kerana dia pakai topi, berkaca mata hitam dan agak berjambang. Dia seolah-olah sengaja mahu merahsiakan dirinya.”

Aku mengeluh seraya mengangguk-anggukkan kepala. Mataku menyorot bungkusan yang masih dipegang oleh jururawat gempal itu. Aku agak ragu-ragu untuk menerimanya.

“Oh ya, dia ada juga berpesan sebelum bergegas pergi tadi yang puan harus terima juga bungkusan ni.”

Mendengarkan itu, aku mendongak dan menatap wajahnya yang bulat dan comel. Lambat-lambat aku menyambut bungkusan berwarna coklat itu dari tangan Kak Sharifah.

“Dan dia sempat juga berpesan bahawa puan tak boleh buka bungkusan tu sekarang. Tapi dia sarankan agar puan buka saja di rumah,” beritahu Kak Sharifah sebaik sahaja aku mahu membuka bungkusan itu. Maklumlah, tidak sabar ingin melihat apakah isi kandungannya.

Sekali lagi aku menyorot wajah bulat Kak Sharifah. Dahiku berkerut lagi.

“Akak ada beritahu dia yang saya telah hilang daya ingatan?” soalku.

Kak Sharifah mengangguk.

“Akak ada beritahu, bahkan akak ajak dia masuk agar bertemu dengan puan sendiri. Tapi dia menolak.”

Aku mengetap bibirku seraya fikiranku berpusaran ingin tahu, siapakah gerangan lelaki itu?

Tumpuanku kini pada bungkusan coklat itu. Sebenarnya ia berbentuk seperti sebuah kotak kasut budak yang telah dibungkus dengan kain berwarna coklat dari jenis sutera. Ikatan kain itu diikat rapi dan mati. Memberi maksud bahawa aku tidak boleh atau mudah membukanya dengan tangan melainkan menggunakan gunting ataupun pisau.

Agak lama aku merenung bungkusan itu sambil mengusap dan bermain-main dengan ikatannya sedangkan hatiku terusan ingin tahu dan mahu sahaja membukanya. Mungkin terkandung sesuatu tentang gerangan diriku ini.

Seolah-olah sedar bahawa aku mahu bersendirian, Kak Sharifah mula melangkah untuk keluar. Tetapi sebaik sahaja dekat dengan pintu, dia berhenti dan menoleh kepadaku semula.

“Oh ya, akak baru teringat, puan...” Tiba-tiba Kak Sharifah bersuara. “Jambang lelaki itu ada yang dah memutih, menunjukkan dia dah agak berumur jugak. Mungkin usianya dalam lingkungan awal 50-an.” Dan dengan kenyataan itu, dia pun melangkah keluar.

Bersendirian lagi, aku terus memberikan tumpuanku pada bungkusan berkain sutera coklat itu. Namun sekali lagi hatiku dipagut oleh pertanyaan, siapakah gerangan lelaki misteri itu?

No comments:

Post a Comment