DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 December 2014

Sesaat Cukup Bagiku

Setahun yang lalu...


Aku gagal lagi. Untuk kali keberapa, sudah tidak terhitung lagi buatku. Sejak tiga tahun ini sudah beribu-ribu kali kekecewaan ini datang melanda. Sangkaku pada kali ini usahaku dan Abang Irfan akan berhasil. Sudah dua minggu lamanya aku menunggu saat kehadiran itu dengan penuh debaran. Dan selepas sepuluh hari, apa yang aku tunggu itu tidak hadir, hatiku melonjak riang. Lagi empat hari, aku sudah mampu mengesahkannya. Itu kata kawan-kawan yang berpengalaman. Kawan-kawan yang menyokong dengan memberi simpati, kata nasihat dan pelbagai petua. 

Namun malangnya pada hari yang kedua belas, saat yang ingin aku hindari itu tiba juga. Aku gagal lagi ruparupanya. Bagaimana agaknya untuk aku sampaikan berita kegagalan pada kali ini kepada Abang Irfan? Sudah acap kali sejak akhir-akhir ini, kecewa di wajahnya tidak lagi mampu dibendung setiap kali berita kegagalan ini singgah di telinganya. Jelas sekali dia berasa kecewa. Kalau dulu, dia pasti akan mengucapkan kata-kata perangsang untuk memujuk resahku. Tapi kini tiada lagi kata-kata itu. Hanya raut wajah kecewa yang menantiku setiap kali berita itu aku sampaikan kepadanya. 

“Macam mana Mai? Jadi?” 

Pertanyaan Abang Irfan pada malam tadi membuatkan aku rasa serba salah. Sudah hampir dua minggu dia ternanti-nanti keputusan daripadaku. Sudah lebih seminggu kami berharap seperti bulan-bulan yang lalu. 

Tak, bang...” jawabku kecewa. Lantas jelas kelihatan perasaan kecewa di wajah Abang Irfan. Kekecewaan yang dikongsi bersama. 

Bila datangnya?”

“Pagi tadi, kat sekolah.”

“Mai buat apa... Mai naik tangga ya?”

Tak... Mai tak naik tangga pun. Sejak dua minggu ni Mai dah minta excuse untuk buat kelas kat makmal komputer di tingkat bawah. Semua cikgu lain dah tahu dan sanggup bagi kerjasama...” 

Atau... semalam Mai makan apa-apa... buah nenas ke, air tebu ke?” 

Tak... Abang kan tau yang Mai dah lama elakkan daripada makan benda-benda macam tu... Mak kan dah pesan yang benda tu tajam, tak elok untuk Mai.” 

Apabila aku menengok Abang Irfan diam, aku jadi serba salah. Aku faham, Abang Irfan kecewa. Tapi, tahu tak Abang Irfan, yang aku lagi kecewa. Aku tak mampu untuk memenuhi satu-satunya impian yang diinginkan oleh setiap pasangan yang berumah tangga. Setiap kali aku mendengar  pasangan yang baru berkahwin sudah berjaya mengandung, hatiku jadi cukup hiba. Tertanya-tanya sendiri bilakah pula tibanya giliranku. 

Setiap kali tarikh haidku lewat, jantungku rasa berdebar-debar. Harapan menggunung tinggi terbina dalam hati. Dan akhirnya harapan itu hancur berderai, apabila saat yang ingin aku hindari itu hadir lagi seperti ini. Aku kembali menjadi hampa dan kecewa lagi. Kalaulah boleh aku laungkan perasaan kecewa ini, sudah pasti aku luahkan semuanya. Biar semua orang tahu kepedihan yang aku rasai pada saat ini. 

Abang, maafkan Mai. Dah pelbagai cara yang Mai lakukan. Dah pelbagai petua yang Mai ikut. Tapi, Mai tetap gagal. Doktor kata kita berdua tak ada masalah. Abang dan Mai normal, seperti pasangan lain. Cuma, rezeki masih belum berpihak kepada kita. Apa lagi yang patut Mai buat, bang? Setiap kali kawan-kawan memberitahu Mai tentang petua mendapatkan zuriat, Mai ikut. 

Ada yang menasihatkan supaya menjaga permakanan, Mai ikut. Ada yang cadangkan Mai pergi meminta air penawar dengan ustaz itu dan ustaz ini, Mai turut. Dan ada ketikanya Mai turut sama mengheret abang bersama apabila ada syarat yang mengatakan kita perlu bersama-sama pergi berjumpa mereka. 

Dah berpuluh-puluh kali juga Mai pergi berurut dengan bidan kampung yang dikatakan boleh menolong kita. Macam-macam mereka kata. Rahim Mai ini tinggi sangatlah, kedudukannya tak betullah, sengetlah. Masing-masing cuba menolong kita, menunjukkan kehandalan untuk membantu kita. Tapi, tetap juga gagal.  

Pergi berjumpa doktor, lain pula ceritanya. Habis satu persatu soalan-soalan daripada doktor yang terlalu peribadi terpaksa kita jawab. Cerita luar, cerita dalam, sampaikan cerita di atas ranjang pun kita terpaksa ceritakan kepada doktor. Kadang-kadang Mai rasa cukup malu nak menghadapi doktor tu. Apa lagi yang Mai boleh buat, bang? 

Nak buat rawatan secara permanian beradas iaitu satu kaedah di mana benih Abang Irfan yang telah dibersihkan atau diproses disuntik ke dalam rahimku waktu aku sedang subur, doktor kata tak sesuai. Proses yang juga dikenali dengan nama IUI (Intrauterine Insemination), kata doktor kurang sesuai untuk kami kerana Abang Irfan tak mempunyai ciri-ciri yang membuatkan kami perlu menjalani rawatan itu. 

Kata doktor, selalunya rawatan itu hanya untuk mereka yang mengalami empat masalah iaitu, pertama, jika benih si suami kurang, lemah atau bermasalah. Kedua, jika mandul tanpa sebab-sebab yang diketahui. Ketiga, jika isteri menghidap penyakit endometriosis tetapi saluran Falopionya tidak tersumbat dan yang keempat jika si suami lemah tenaga batin, tidak boleh menyetubuhi isteri. 

Tapi, masalah itu semua tak ada pada kami. Jadi, setakat ini doktor hanya menasihatkan kami supaya mencuba cara biasa dulu. Doktor kata kami hanya perlu mendapatkan nasihat tentang teknik mengesan waktu subur untuk meningkatkan kemungkinan aku hamil. Macam-macam nasihat yang diberi, termasuk nasihat seperti pemakanan, nasihat untuk mengurangkan tahap stres, memakan ubat-ubatan umum seperti multivitamin dan kaedah mencatitkan suhu badan bagi mengesan waktu subur iaitu waktu yang paling sesuai untuk kami mengadakan hubungan kelamin. 

Kami juga telah membeli alat pengukur suhu badan iaitu Fertility dan Ovulation Thermometer dari farmasi untuk tujuan itu. Siap menghadap ahli farmasi yang bertugas di farmasi itu lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang penggunaannya malah aku pun dah mengikut cadangan doktor untuk membuat ujian ultrabunyi yang dikatakan oleh doktor boleh mengesan penyakit dalam peranakan. 

Aku pernah mencadangkan kepada Abang Irfan supaya kami mengambil anak angkat. Sudah banyak aku mendengar kes-kes di mana pasangan-pasangan yang tidak  mempunyai anak, akhirnya berjaya mendapatkan anak sendiri selepas mengambil anak angkat. Apabila aku meminta penjelasan daripada doktor, katanya ini mungkin disebabkan oleh pengaruh psikologi atau emosi yang menyebabkan kemandulan berlaku, yang boleh dijauhkan dengan adanya anak angkat di samping mereka. Tapi Abang Irfan pula tak bersetuju. 

Egonya untuk menimang anak sendiri begitu tinggi sekali. Katanya walaupun dengan mengambil anak angkat boleh memenuhi kekosongan di dalam rumah tangga kami, namun ia tidak sama seperti anak sendiri yang mewarisi darah daging dan darjat kami sendiri. Doktor juga pernah bercerita di mana ada pasangan yang telah putus harapan setelah menjalani semua rawatan. Tetapi setelah beberapa tahun mengambil anak angkat, tanpa sebarang rawatan, si isteri berjaya hamil. Mungkin inilah yang dikatakan suratan takdir. 

Namun, takdirku pula bagaimana? Sampai bila aku pun tak pasti penantian ini akan berakhir. Aku yakin, kami sudah benar-benar bersedia sekarang. Tempoh tujuh tahun kami bersama sudah cukup lama untuk kami menghabiskan masa berdua sahaja. Kini aku inginkan kehadiran zuriat di antara kami yang mampu mengeratkan lagi hubungan kami berdua. Aku inginkan bukti cinta yang kami bina selama tujuh tahun ini. Aku ingin sekali membuktikan kepada dunia betapa aku mencintai Abang Irfan melalui bukti cinta itu. 

Tapi, bagaimana? Bagaimana untuk aku menzahirkan bukti cintaku untuk Abang Irfan kalau Allah masih belum merestuinya? Dah puas kami berusaha dan tanpa rasa letih aku terus-terusan memanjatkan doa kepadaNya. Orang kata, kalau Allah melambat-lambatkan doa seseorang hambanya, bermakna Dia ingin menguji kesabaran hamba-Nya. Dan kalau Allah tidak mengabulkan doanya bermakna Dia sedang merancang yang lebih baik untuk hambanya. Aku tak pasti apa maksudnya daripada kata-kata itu. Tapi yang aku pasti, sudah puas rasanya aku bersabar. Dan yang pasti Abang Irfan juga sudah cukup puas bersabar menyebabkan dia kini bagaikan sudah berubah. 

Waktu lapangnya sudah bagaikan tidak lagi mahu dikongsikan bersamaku. Dia banyak menghabiskan masanya di pejabat. Banyak kerja, itu katanya. Aku pun tak pasti benar ataupun tidak. Ada waktunya aku nekad untuk menyiasat.  Tapi apabila difikirkan semula, tak mungkin dia melakukan perkara yang tidak baik kepadaku. Dia cintakan aku. Sungguh-sungguh dia cintakan aku. Itu ikrarnya setiap kali  aku menuntut bukti cintanya terhadapku. 

Kalau tak kerana cinta, masakan dia sanggup menongkah arus, melawan badai untuk menjadikan aku isterinya sejak awal pengajian kami lagi. Dia sanggup menemui kedua-dua arwah emak dan ayahku untuk memiliki diri ini walaupun ketika itu kami masih lagi di peringkat awal pengajian. Dan akhirnya selepas pelbagai onak dan duri yang dilaluinya, dia dapat meyakinkan emak dan ayah untuk  memperisterikan aku. 

Seawal pada tahun kedua pengajianku lagi aku sudah menjadi isterinya. Dan dengan kesungguhannya dalam  membuktikan cintanya itu aku jadi berani membina istana cinta bersama Abang Irfan. Penuh harapan agar istana cinta ini berkekalan sampai ke akhir hayat. Tak mampu untuk aku fikirkan apa yang bakal berlaku seandainya istana cinta ini bertukar menjadi istana pasir. Tidak mampu dan tak sanggup untuk aku fikirkan kemungkinan itu.

No comments:

Post a Comment