DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 23 August 2021

Pengantin Untuk Dia - Bab 1


DISEBABKAN terkejut dengan sekeping surat yang baru diterima daripada seorang kanak-kanak perempuan, dia bangkit dengan wajah berang. Dia sudah tidak peduli pada mata-mata yang memandang. Tok imam yang baru sahaja melabuhkan punggung untuk majlis akad nikah itu tercengang.

"Kenapa ni? Tak jadi nak kahwin ke?" soal tok imam kepada tetamu yang ada di ruangan itu.

"Ya. Saya minta maaf tok imam. Saya memang tak jadi kahwin," tegas lelaki itu bersuara membuatkan suasana di ruangan tamu itu mula bising dengan pelbagai suara. Masing-masing sudah membuat andaian.

"Pasal apa pulak tak jadi kahwin?" Tercengang tok imam.

"Sebab pengantin perempuan dah lari." Ayat itu laju meluncur keluar daripada mulut lelaki yang segak berpakaian baju Melayu berwarna putih dan bersamping itu.

"Hah, pengantin perempuan dah lari! Kenapa lari?" terlopong mulut tok imam menerima berita itu.

Suasana ruang tamu itu kembali kecoh. Masing-masing dah mula bertanya antara satu sama lain kerana mahukan jawapan.

"Zaquan, kenapa ni?" Encik Hafsham terus memegang bahu Zaquan.

"Uncle baca surat ni. Surat yang ditulis oleh anak perempuan uncle."

Zaquan segera menyerahkan surat yang dibacanya tadi kepada Encik Hafsham, merangkap bapa mentua tak jadinya.

Berubah terus air muka Encik Hafsham saat matanya membaca setiap baris ayat yang tertera pada kertas putih itu. Terus kertas itu digumpal sehingga renyuk.

"Salmah, apa kena dengan anak awak ni? Awak tahu apa yang dia dah buat?" Suara Encik Hafsham naik tinggi memarahi isterinya di hadapan semua tetamu yang ada. Dia sudah tidak pedulikan semua orang. Yang penting dia mahukan jawapan.

"Kenapa ni, abang? Apa yang Hanna dah buat?" Puan Salmah terpinga-pinga.

"Haah, betul tu Encik Sham. Apa sebenarnya yang berlaku?" Datin Fatimah mencelah.

"Hanna dah lari sebab tak nak berkahwin dengan Zaquan," jelas Encik Hafsham bersama dengusan kasar. Mukanya sudah bertukar merah. Malu dia kepada semua tetamu yang hadir dengan sikap anak perempuannya itu yang melarikan diri pada malam perkahwinannya.

Puan Salmah mengetap bibir. Resah gelisah. Selepas itu, dia terus meluru ke bilik anaknya, diikuti oleh beberapa orang tetamu lain yang merupakan saudara terdekat.

Datin Fatimah memandang wajah suaminya, Datuk Badaruddin.

"Sham, anak perempuan kau dah malukan kami sekeluarga. Mana kami nak letak muka kami selepas ni?" Datuk Badaruddin selaku bapa pengantin lelaki sudah masuk campur. Dia tak tahu mana nak letak muka kalau hal ini diketahui oleh orang luar nanti. Pasti hal ini akan menjadi berita terhangat untuk sanak saudara, sahabat handai, kenalan dan juga pekerjanya. Kalau dia tahu hal ini akan berlaku, takkan sesekali dia menyatukan Zaquan dengan anak sahabatnya ini.

"Din, aku minta maaf. Aku betul-betul minta maaf dengan kau dan juga keluarga kau. Aku tak tahu benda ni nak jadi. Kalau aku tahu benda ni nak jadi, awal-awal lagi aku tak setuju nak satukan anak aku dengan anak kau," ujar Encik Hafsham.

Encik Hafsham sendiri benar-benar rasa malu dengan apa yang dilakukan oleh anak gadisnya. Dia ingatkan semua berjalan dengan baik hari ini. Tak sangka pula anak perempuannya buat hal sehingga menimbulkan masalah begini. Memalukan mereka sekeluarga.

"Papa, mama, jom kita balik sekarang. Zack tak nak duduk sini lagi." Berang wajah Zaquan. Dia terus berlalu ke muka pintu tanpa menghiraukan sesiapa. Tangannya masih lagi dikepal kemas sewaktu berada di dalam kereta. Songkok yang dipakainya diletakkan di atas dashboard.

"Zack." Izwan selaku kawan baiknya tiba-tiba duduk di sebelahnya.

Belum pun sempat dia menutup pintu kereta, Zaquan terus menukar gear dan kereta mula bergerak meninggalkan pekarangan rumah itu.

"Hoi, kalau ya pun kau marah sebab tak jadi kahwin, janganlah bawa kereta ni laju mengalahkan pelesit. Karang tak pasal-pasal menjanda pula bini aku kat rumah tu nanti," tutur Izwan. Dada Izwan dah berdebar-debar. Nafasnya juga semput bila melihat meter kereta yang dibawa oleh Zaquan.

"Kau diam, boleh tak? Aku tengah bengang ni!" marah Zaquan sambil mengetap bibir. Wajahnya juga tegang.

"Ya, aku tahu kau tengah bengang sekarang, tapi boleh tak kalau kau cuba bertenang, bawa bersabar dan mengucap?" Izwan cuba bersuara dengan harapan dapat menenangkan perasaan temannya.

"Kau boleh diam tak, sekarang? Jangan cakap apa-apa kalau kau tak nak aku tumbuk muka kau tu!" tegas Zaquan tanpa memandang wajah Izwan tapi suaranya jelas memberi peringatan agar temannya tidak membuka mulut.

Akhirnya Izwan terdiam. Risau juga kalau Zaquan makin menekan minyak, harus kereta ini terbang naik ke atas. Dia pula yang akan masuk kubur selepas ini.

 

HANNA KERESAHAN di dalam bilik yang sederhana besar itu. Bilik yang ditempah oleh teman lelakinya. Teringat pula majlis perkahwinannya yang tak jadi itu. Entah apa yang berlaku di rumahnya ketika ini. Pasti suasana kecoh apabila mengetahui yang pengantin perempuan telah melarikan diri. Entah apa yang orang tuanya akan fikirkan. Begitu juga dengan keluarga bakal suaminya yang tak jadi itu. Belum lagi termasuk sanak saudara yang hadir pada masa ini.

"Man, sampai bila kita nak berkurung kat sini?" luah Hanna. Hanna memandang wajah lelaki yang memakai T-shirt lengan pendek berjalur serta seluar jean lusuh yang sedang melayan telefon di atas kerusi.

Hanna berjalan mundar-mandir di sekitar bilik hotel bajet murah itu dengan perasaan resah. Dahi yang tidak gatal digaru-garu. Mulut pula mendecit tak berhenti.

"Man, you dengar tak apa yang I cakap ni?" soal Hanna.

Hanna mula bercekak pinggang di depan Yusman. Sakit hatinya melihat gelagat lelaki itu yang masih bersikap endah tak endah. Macam tak ada apa-apa yang berlaku. Pasti Yusman tak rasa apa-apa sebab bukan lelaki itu yang mengalami situasi sepertinya.

Yusman menjadi penyebab utama dia meninggalkan majlis perkahwinannya. Majlis yang dia tak inginkan. Mana mungkin dia akan akur, kerana dia dipaksa menerima seseorang yang dia tak pernah kenal. Dia ada perasaan, takkan dia nak terima semua aturan yang ditetapkan tanpa diberikan pilihan.

Dari awal lagi dia menolak untuk dijodohkan dengan anak kawan papanya. Namun papanya tetap bertegas mahu dia menerima. Bukan setakat bertegas, tapi dah sampai tahap memaksa. Dia teringat yang dia pernah mengugut akan menggagalkan perkahwinan ini jika mereka meneruskannya.

"Hanna dah ada pilihan sendiri. Hanna cintakan Yusman. Papa dan mama pun tahu pasal hubungan kami. Tapi kenapa mama dan papa tetap paksa Hanna terima lelaki yang tak pernah Hanna kenal? Hanna tak mungkin mencintai lelaki tu kerana cinta Hanna hanya untuk Yusman. Yusman satu-satunya lelaki yang layak untuk mencintai Hanna," tegas Hanna apabila orang tuanya terus-terusan memaksa.

"Yusman tu tak sesuai dengan Hanna. Dia takkan boleh berikan kebahagiaan dan kemewahan untuk Hanna. Hanna tengok sendiri kehidupan dia. Tak terurus. Kerja pun tak tetap. Macam mana dia nak sara hidup Hanna nanti?" tekan Puan Salmah.

Dia cukup setuju dengan saranan suaminya yang mahu menjodohkan Hanna dengan anak kawannya semata-mata mahu memisahkan Hanna dengan teman lelakinya itu. Dia hanya mahukan kehidupan yang baik untuk satu-satunya anak perempuan yang dia sayang.

"Hanna cintakan Yusman. Hanna pasti bahagia kalau kami hidup bersama nanti," tegas Hanna. Orang tuanya takkan faham perasaannya. Mereka hanya ikutkan kehendak mereka sahaja tanpa memikirkan perasaan dia. Dia yang akan lalui semua itu nanti.

"Bahagia? Hanna ingat dengan cinta sahaja boleh buat Hanna bahagia? Hanna sedar tak apa yang lelaki tu ada? Pekerjaan pun entah apa-apa. Keluarganya juga porak-peranda. Itu yang Hanna nak, Hanna pilih? Papa tak yakin Hanna akan bertahan lama kalau Hanna memilih nak hidup dengan lelaki tak guna tu." Encik Hafsham melepas geram.

Sengaja dia ulang semula apa yang dinyatakan oleh isterinya tadi semata-mata mahu Hanna sedar bahawa pilihan anaknya itu salah. Sebagai ibu bapa, mereka mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Sebab itu dia bersetuju untuk menerima lamaran daripada kawan rapatnya itu. Dia tahu keluarga Datuk Badaruddin mampu memberikan kehidupan yang terbaik kepada Hanna.

"Hanna tak peduli. Hanna tetap tak nak kahwin dengan lelaki pilihan papa. Dan Hanna tetap akan berkahwin dengan Yusman. Kalau papa dan mama terus memaksa, Hanna akan lari dari rumah ni. Hanna tak main-main." Hanna tetap dengan keputusannya.

Dan sekarang, dia telah mengotakan kata-katanya. Membuat rancangan untuk melarikan diri dengan kekasih hati pada malam perkahwinannya dan akhirnya di sini dia berada sekarang. Hanya beberapa helai baju sahaja yang dia bawa. Duit pun hanya yang ada dalam beg duitnya. Mana dia ada banyak duit. Dia belum bekerja lagi. Sedang mencari peluang kerja. Hidupnya masih bergantung kepada orang tua.

Yusman juga belum bekerja tetap, tapi setahunya, Yusman banyak buat kerja sambilan. Demi cintanya kepada lelaki itu, dia tak kisah. Dia yakin suatu hari nanti Yusman mampu memberi kesenangan kepadanya jika lelaki itu mendapat pekerjaan yang elok nanti.

"Hanna sayang." Yusman bangkit mendekati Hanna. Kedua-dua bahu Hanna dipegang dan diusap lembut dengan harapan Hanna akan lebih bertenang.

"Man, sampai bila kita nak macam ni? I tak nak kita hidup macam pelarian," ujar Hanna.

"Sabar sayang. Nanti I carilah kerja yang sesuai supaya kita dapat tempat tinggal yang sempurna," pujuk Yusman.

"Bagaimana dengan hubungan kita? Kita belum ada ikatan yang sah tau. Berdosa kalau kita terus tinggal berdua macam ni." Hanna menzahirkan rasa gusar.

             Yusman gelak.

"Tak perlulah you nak serabutkan fikiran pasal benda tu. Orang muda zaman sekarang mana nak fikirkan pasal tu bila dah bersama macam kita ni. You jangan risau, I akan jaga you dengan baik," tutur Yusman sambil mengusap pipi teman wanitanya.

"Tapi Man, I tak nak kita hidup tanpa ikatan. I tak nak tanggung dosa. Takkanlah you tak fikirkan pasal benda ni," ujar Hanna.

Yusman tarik nafas.

"Kalau bukan sebab you, I tak akan malukan keluarga I tau." Mata Hanna tepat memandang wajah Yusman yang nampak tenang menghadapi situasi sekarang.

"You jangan risau. I tengah cari jalan nak selesaikan hal ini. I dah minta tolong kawan I carikan tempat yang sesuai untuk kita berdua nanti. Takkanlah kita nak terus tinggal di hotel ni. I pun tak mampu nak bayar kalau kita terus tinggal di sini berhari-hari," ujar Yusman.

Hanna mendengus kasar. Dia kembali berjalan mundar-mandir di sekitar bilik itu.

"Habis tu, malam ni you nak tidur kat mana?"

Langkah Hanna tiba-tiba berhenti.

"Mana lagi, kat sinilah. Kan kita dah sewa bilik ni." Yusman menjawab selamba.

"Hah, takkan kita nak tidur berdua kat sini? Kalau kena cekup nanti macam mana?" Hanna melahirkan kegusaran.

"Tempat ni selamat. You jangan risau. Kalau kena cekup, senang. Kita nikah terus," pujuk Yusman.

"I tak nak tidur sebilik dengan you. I nak you sewa bilik lain," tegas Hanna.

Yusman mendekati belakang Hanna. Dia berbisik perlahan di telinga teman baiknya.

"Sayang, buat apa nak membazir duit? Kalau kita berkongsi, kan jimat. Bukan saja berkongsi bilik, tapi kita berkongsi katil, selimut. Malah berkongsi apa saja."

"You gila?" Hanna terpekik.

"Alah, sayang. Nanti you akan jadi milik I juga kan? Apa salahnya kalau kita berkongsi sekarang?" Yusman menjongket keningnya bersama sengihan penuh makna.

"Man, I tak nak. Selagi kita belum ada ikatan sah, I takkan izinkan you sentuh I," tegas Hanna.

"Sayang, jangan naif sangat, boleh tak? You ingat orang tua you akan percaya kalau you mengaku yang kita tak buat apa-apa walaupun tinggal sebilik macam ni? Itu orang tua you, lelaki yang bakal jadi suami you pun tak mungkin akan terima you kalau dia tahu kita macam ni. Mana ada lelaki yang sanggup terima perempuan yang pernah bersekedudukan dengan lelaki lain? Jadi, apa salahnya kita buat apa yang sepatutnya. I janji kita akan kahwin juga nanti," ujar Yusman dan cuba menarik tubuh Hanna ke dalam dakapannya.

"Man, I tak nak."Hanna menolak tubuh Yusman.

"Hanna, you dah ada dengan I sekarang. Kita dah tinggal sebilik pun. Takkan I nak lepaskan begitu aje. Susah payah I pujuk you untuk melarikan diri dan bawa you ke sini, takkan I nak tengok aje. Benda dah ada depan mata, I kenalah ambil peluang. You pun belum pernah rasa macam mana nak habiskan malam berdua," tutur Yusman seraya merangkul kemas tubuh Hanna.

"Yusman, janganlah macam ni." Terkial-kial Hanna menolak tubuh Yusman. Dia tak sangka Yusman mempunyai niat tidak baik. Sangkanya lelaki ini ikhlas membantu, tapi rupa-rupanya Yusman berniat untuk mengambil kesempatan.

"Come on, sayang. Kita cuba aje dulu. Tak rugi pun. Just for fun. You happy, I pun happy," pujuk Yusman.

Yusman mengukir senyum manis. Kedua bahu Hanna dipegang kemas. Dan ketika itu juga dia cuba mencium bibir Hanna. Sudah lama dia mahu mendapatkan Hanna, tapi Hanna yang sering mengelak. Kali ini dia tak akan lepaskan. Dia tak nak menyesal nanti melepaskan peluang yang terbaik ini. Walau apa pun yang berlaku, dia akan tetap berusaha memiliki tubuh Hanna malam ini juga. Itu tekadnya!


No comments:

Post a Comment