DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 20 September 2021

Dear Mr. Crush - Bab 2

 

SAFIYA mengurut kedua-dua kaki Nek Jah. Sejak beberapa hari ini, wanita itu selalu mengadu sakit badan. Risau juga jika kesihatan neneknya semakin melarat.

“Bila keputusan SPM Fiya keluar?”

“Lusa.”

“Tok ma harap, keputusan Fiya baik-baik aje.”

Safiya sekadar tersenyum. Dia memang belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang baik. Tak cemerlang pun tak apa. Paling penting, dia sudah berjanji dengan Ian. Lelaki itu ada berjanji akan menghadiahkan sesuatu kepadanya jika dia mendapat keputusan yang baik.

Tentang rahsia hatinya, sudah lama dia lupakan. Biarlah dia menganggap lelaki itu sebagai abang saja. Betul juga kata Ilaini. Janji yang dibuat oleh lelaki itu suatu ketika dulu mungkin sekadar gurauan. Lagipun mereka masih kecil ketika itu.

“Termenung pula. Dah makan ke?”

“Dah, tok ma.” Tersengih-sengih Safiya.

“Ada pak long telefon Fiya?”

Safiya menggeleng. Selain tok ma, dia masih ada satu-satunya ayah saudara. Tapi dia jarang dapat berjumpa dengan pak longnya itu. Yang pasti, dia dapat rasakan orang tua itu seperti tidak suka dengannya.

“Pak long tu dah lama tak telefon tok ma. Dia dah tak ingat orang tua ni agaknya.”

“Pak long sibuk agaknya, tok ma.” Safiya cuba menyedapkan hati Nek Jah. Walaupun dia tidak rapat dengan keluarga pak long, Safiya masih berharap orang tua itu memberi perhatian kepada neneknya. Selepas kematian arwah ayah, hanya pak long yang tok ma harapkan. Bukan dia tak perasan, tok ma selalu termenung sambil melihat gambar arwah ayah dan pak long.

“Tok ma susah hati sebenarnya. Andai kata tok ma tak ada, siapa yang nak jaga Fiya?”

Tergamam Safiya. Jantungnya berdegup laju. Tak suka betul dia mendengar kata-kata tok manya itu.

“Tok ma ni... cakap macam nak tinggalkan Fiya aje.”

“Betullah. Tok ma ni makin tua. Bukan makin muda. Entah esok lusa, ajal tok ma sampai.”

“Tak naklah cakap macam tu. Tok ma sihat lagi ni. Jangan fikirkan sangat. Tok ma dah janji nak tengok Fiya belajar sampai masuk universiti. Lepas tu, tunggu Fiya dapat kerja. Tiap-tiap bulan Fiya bagi tok ma duit. Kan tok ma ada cakap nak tengok Fiya kahwin juga.”

Tergelak Nek Jah. Sampai terbatuk dia dibuatnya.

“Kahwin? Umur baru 17 tahun, dah fikir pasal kahwin. Belajar dulu,” tegas nada suara Nek Jah.

Tersengih-sengih Safiya. Niatnya hanya bergurau. Tak sangka tok ma menganggap kata-katanya serius.

“Siapalah nak kahwin dengan cucu tok ma  ni? Bukannya lawa. Ada parut lagi.”

“Siapa cakap cucu tok ma ni tak cantik?” tiba-tiba suara Nek Jah berubah tegang.

Terkelu Safiya. Habislah dia. Boleh pula dia tersalah cakap.

Errr... tak ada sesiapa.”

“Habis tu, yang Fiya cakap tentang parut tu kenapa?”

Terdiam Safiya. Memang sebab parut ini dia selalu diejek oleh orang kampung dahulu. Malah, disebabkan parut di tubuhnya, ramai rakan-rakan sekolah tidak mahu berkawan dengannya. Hanya Ilaini saja yang sudi berkawan dengannya.

“Tok ma tak suka Fiya cakap macam tu. Pergi masuk tidur. Dah lewat.”

“Yalah. Selamat malam tok ma.” Pipi Nek Jah dicium terlebih dahulu. Dia keluar dari bilik itu menuju ke biliknya.

Safiya gagal melelapkan matanya. Tiba-tiba dia rindukan ahli keluarganya yang sudah lama pergi.

“Tidur bilik tok malah.” Bergegas dia keluar dari bilik bersama selimut dan bantal. Malam ini dia mahu tidur di bilik Nek Jah.

Belum sempat dia menolak pintu bilik itu, dia terdengar suara Nek Jah sedang bercakap dengan pak longnya. Malah, dia dapat mendengar dengan jelas perbualan itu disebabkan Nek Jah bercakap menggunakan alat pembesar suara di telefon.

“Man sibuklah, mak.”

“Mak rindu dengan Man. Cucu-cucu mak yang lain tu, dah lama tak datang sini.”

“Mereka semua tu masih belajar, mak. Man ni ada banyak benda nak diuruskan. Tengoklah dulu kalau Man ada masa, Man balik.”

Safiya masih memasang telinga. Dia membuka sedikit pintu bilik itu. Dari jauh, dia dapat melihat dengan jelas raut wajah Nek Jah yang berubah keruh.

“Yalah. Kalau ada masa baliklah. Mak harapkan Man aje. Kalau mak tak ada, jagalah Fiya tu.”

“Kenapa pula dengan budak tu? Dia kan dah besar. Dah habis belajar. Tak reti nak berdikari?”

Tersentak Safiya. Bibirnya dikemam kuat. Pertama kali dia mendengar pak longnya bercakap kasar tentang dirinya. Sebelum ini, mereka jarang berbual.

“Kenapa cakap macam tu? Kalau Fiya dengar, kecil hati budak tu.”

“Man malaslah nak peningkan kepala pasal budak tu. Sesuka hati aje panggil Man ni pak long. Yang mak, sampai bila nak berahsia?”

Berderau darah Safiya.

“Dia tetap cucu mak. Fiya dan arwah ayah dia tak ada salah dengan mak.”

“Itulah mak, baik hati sangat. Sampai arwah bapak duakan mak pun, masih berdiam diri. Bila orang tua tu dah mati, mak yang kena jaga anak dia. Sekarang, cucu dia pula menyusahkan mak.”

Menggigil tubuh Safiya. Jadi ini puncanya pak long tidak pernah menganggap dia seperti anak saudara. Tanpa sedar, air matanya mengalir deras ke pipi. Mulutnya ditekup laju.

“Arwah Shafiq tu tetap adik Man. Dari benih yang sama.”

“Tapi Man tak pernah anggap dia adik Man. Dahlah mak, kalau mak nak cakap pasal budak tu, jangan telefon Man lagi. Assalamualaikum.”

Nek Jah pejamkan matanya. Teresak-esak dia menangis mengenangkan sikap anaknya yang semakin melampau.

Perlahan-lahan Safiya menutup pintu bilik. Dia kembali ke biliknya. Sebaik saja pintu bilik ditutup rapat, dia segera mencapai telefon bimbitnya. Menggeletar tangannya cuba mendail nombor lelaki itu. Saat ini, hanya lelaki itu yang dia mahu untuk meluahkan rasa sakit di dadanya.

“Kau nak apa?”

Terkejut Safiya. Dia memandang ke arah jam dinding. Hampir terlupa sekarang sudah pukul 11.30 malam.

Errr... Fiya...”

“Kau ni memang perempuan tak tahu malu. Orang yang kau telefon ni suami aku. Dari dulu lagi aku dah agak, kau memang ada niat tak baik dengan Ian.”

“Kak Erni dah salah faham...”

“Kau diam!”

“Erni, kenapa ni?”

Terdengar suara Ian di sana. Cepat-cepat dia menamatkan panggilan. Salahnya juga kerana berani menghubungi suami orang. Safiya segera merebahkan diri di atas katil. Matanya terpejam rapat. Cepatlah dia terlelap malam ini agar dia dapat melupakan apa yang berlaku sebentar tadi.

 

MELIHAT KEPUTUSAN peperiksaan SPM di tangannya, Safiya sekadar tersenyum hambar. Memang sepatutnya dia gembira. Tapi selepas apa yang berlaku beberapa hari yang lepas, dia sudah tiada hati untuk meraikan berita baik ini.

“Wah, kira okeylah keputusan kau ni. Nanti kita sambung belajar tempat yang sama nak?”

“Tengoklah dulu. Mungkin aku nak kerja dulu. Cari duit untuk belajar.”

Berkerut dahi Ilaini.

“Kerja?”

“Yalah. Nak sambung belajar, kenalah ada duit.”

“Tapi Nek Jah kan ada?”

“Tok ma aku mana ada kerja sangat. Harapkan duit dari hasil getah aje. Sesekali, pak long aku hulurkan duit,” kata Safiya sambil menyimpan keputusan peperiksaannya di dalam beg sekolah.

“Along boleh tolong. Kan dia dah cakap nak bagi hadiah dekat kau kalau kau dapat keputusan yang baik.”

“Hesy... tak naklah cari penyakit. Nanti apa pula kata Kak Erni.”

Ilaini julingkan biji matanya. Mendengar nama kakak iparnya disebut, mahu saja dia memaki hamun wanita itu.

“Along aku dah banyak berubah sejak kahwin dengan perempuan tu. Nak balik sini pun dah jarang. Ibu dan abah malas nak suruh along tu balik. Kalau balik, ada aje tak kena di mata Kak Erni. Mentang-mentanglah perempuan tu anak orang kaya.”

“Ada masalah ke?” Pelik pula dia mendengarnya. Sebelum ini, tak pernah pula Ilaini bercerita tentang masalah kakak iparnya itu.

“Biasalah. Dah setahun kahwin, baru nampak wajah sebenar. Aku rasa, Kak Erni tu tak suka balik sini. Selalu ajak along balik awal. Tak sampai sejam dah nak balik.”

“Mungkin dia ada kerja.”

“Kerjalah sangat. Dahlah, malas nak cakap pasal dia.”

Mereka berdua berjalan bersama menuju ke rumah masing-masing. Dari jauh, mereka ternampak ramai orang di hadapan rumah Nek Jah. Masing-masing saling berpandangan.

“Kenapa ramai orang dekat rumah tok ma?”

“Entah. Jom kita pergi.”

Makin laju mereka berjalan ke sana. Sebaik saja Safiya masuk ke dalam rumah, hampir saja tubuhnya melorot jatuh ke lantai. Mujur ada seseorang yang merangkul pinggangnya. Saat dia menoleh, terlihat wajah Ian di sisinya.

“Abang...”

“Sabar, Fiya. Nek Jah... dia dah tak ada.”

Pucat wajah Safiya. Kepalanya digeleng perlahan. Tak mungkin. Baru pagi tadi dia memeluk kemas tubuh orang tua itu sebelum pergi ke sekolah. Malah dia sudah berjanji untuk menghadiahkan keputusan peperiksaannya kepada orang tua itu. Hanya raungan yang bergema di rumah itu. Sekali lagi Safiya kehilangan ahli keluarganya.

 

No comments:

Post a Comment