DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 20 September 2021

Dear Mr. Crush - Prolog

 

 

BATU kecil dicampak ke atas tanah. Sudah beberapa kali dia mengeluh. Sejak berpindah ke sini, dia masih belum mempunyai kawan. Terasa rindu pula kehidupannya di bandar.

Tangan kanannya yang terdapat kesan parut, dibelek seketika. Mencebik bibirnya menahan tangis. Setiap kali dia melihat parut itu, pasti dia akan teringatkan arwah kedua ibu bapanya bersama kakak kesayangannya. Dalam sekelip mata, dia kehilangan seluruh ahli keluarganya akibat kebakaran.

Dia bernasib baik kerana sempat  diselamatkan oleh jiran tetangga. Hampir setiap hari dia menangis rindukan ahli keluarganya. Sekarang, dia terpaksa tinggal bersama Nek Jah disebabkan tiada siapa yang mampu menjaganya. Nak bersekolah, dia masih perlu menunggu luka di tubuhnya sembuh terlebih dahulu.

“Mak, ayah, along... adik rindu. Kenapa tak bawa adik ikut?” Air matanya yang mengalir di pipi diseka perlahan. Sekali lagi dia mencampak penuh geram batu di tangannya.

Auch!”

Mendengar jeritan seseorang, dia terus berdiri tegak. Tertelan air liurnya. Tak sedar ada seorang remaja lelaki berpakaian baju sekolah sedang berjalan di kawasan rumahnya.

“Adik ke yang baling batu ni?”

Safiya menjatuhkan kepalanya sedikit. Dia sangkakan remaja lelaki itu akan memarahinya. Pelik. Boleh pula lelaki itu tersenyum manis kepadanya sambil berjalan mendekatinya. Disebabkan tubuh Safiya yang kecil, terpaksalah remaja lelaki itu duduk mencangkung di hadapannya.

“Abang selalu nampak adik duduk sini. Tunggu siapa?”

Safiya menggigit bibirnya. Malu-malu dia memandang wajah remaja lelaki itu. Rasanya, ini kali pertama mereka bertemu.

“Tak tunggu sesiapa.”

“Abang duduk rumah sebelah Nek Jah. Itu rumah abang.”

Safiya pandang ke arah jari telunjuk remaja lelaki itu. Hampir ternganga Safiya. Jadi selama ini, lelaki ini tinggal di sebelah rumah tok ma. Tak pernah pula dia nampak.

“Umur berapa?”

“6 tahun.”

Ermm... sebaya dengan adik abang. Dia pun jarang keluar sebab tak ada kawan. Kalau adik nak berkawan dengan dia, nanti abang bawa adik jumpa dia.”

“Adik abang tu perempuan ke?” Laju Safiya menyoal. Matanya sudah bersinar. Ada kawan, tak adalah dia bosan sangat.

“Ya. Dia sorang aje adik abang. Nama dia...”

“Along!”

Terperanjat Safiya. Mereka sama-sama menoleh ke arah suara itu. Muncul seorang budak perempuan bertubuh gempal berlari ke arah mereka.

“Nak aiskrim. Along ada beli tak?”

Terkebil-kebil mata Safiya. Lama dia menatap wajah budak perempuan itu. Sah budak ini adik lelaki tadi.

“Along lupa beli.”

Mencebik bibir budak gempal itu. Hampir saja dia hendak menangis. Safiya yang perasan dengan keadaan itu segera mencelah.

“Awak nak makan aiskrim ke? Rumah tok ma kita ada banyak aiskrim. Kalau awak nak, jomlah makan sekali.”

“Banyak ke?” Terus ceria wajah budak gempal itu.

Safiya mengangguk laju. Makin lebar senyuman di bibirnya.

“Nak. Along, adik nak makan aiskrim dekat rumah Nek Jah.”

“Ya. Pergilah. Nanti along beritahu ibu dan abah. Tapi sebelum tu, abang tak tahu lagi nama adik ni. Siapa nama?” Pipi Safiya dicuit sedikit.

Safiya tersengih.

“Safiya Auni. Panggil Fiya.”

Terangguk-angguk remaja itu.

“Nama kita Ilaini. Panggil Lani. Dekat-dekatlah nama kita.” Ramah Ilaini memperkenalkan diri. Lengan Safiya dipeluk mesra.

Tidak mahu membuang masa, Safiya segera menarik tangan Ilaini masuk ke dalam rumah tok ma. Remaja lelaki tadi ditinggalkan begitu saja.

Di dapur, Nek Jah sedang sibuk memasak. Terjongket keningnya melihat anak jiran di sebelah rumah dibawa masuk ke rumahnya.

“Tok ma, Fiya nak ajak Lani makan aiskrim. Boleh?”

“Boleh. Pergi ambil dalam peti sejuk.” Melihat wajah cucunya yang ceria, hati tuanya melafaz syukur. Sekurang-kurangnya, Safiya tidaklah terlalu bersedih jika mempunyai rakan di sini.

Safiya segera mengeluarkan bekas aiskrim dan diletakkan di atas meja dapur. Dua biji cawan diambil bersama sudu. Ilaini masih setia menunggu di meja makan.

“Tadi tu abang awak ke?”

“Haah. Abang kita tu pandai. Dia cakap nak jadi doktor.”

Doktor? Tersenyum sumbing Safiya. Memang sesuai kalau lelaki tadi bergelar doktor suatu hari nanti. Safiya menghulurkan aiskrim yang sudah dimasukkan ke dalam cawan kepada Ilaini. Bukan main berselera lagi budak itu menjamah aiskrim tersebut.

“Abang awak nama apa?” Kali ini Safiya memberanikan diri untuk bertanya. Nak juga dia tahu nama remaja tadi. Nak tanya dengan tuan badan, dia malu.

“Ian... Ian Hanif.”

No comments:

Post a Comment