DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 10

“Aku sayang sangat dengan dia dan ingin lihat
dia bahagia dengan pilihan dan kehidupannya.”
Nasuha yang sedang termenung di balkoni sambil
memerhati tetamu yang mula beransur pulang tersentak
apabila terasa bahunya ditepuk. Seorang gadis cantik berdiri
di sebelahnya.
“Awak siapa?” soal Nasuha.
“Tengku Rania. Sepupu Afnan,” balas Tengku Rania.
“Hai,” ucap Nasuha kemudian menghulurkan salam.
Sepupu Afnan bermaksud sepupunya juga kerana mereka
sudah sah menjadi pasangan suami isteri siang tadi.
“Aku tak ada benda nak cakap dengan kau, Suha.
Aku cuma nak cakap, kalau kau kecewakan dan membuatkan
hidupnya menderita, aku takkan teragak-agak balas balik apa
yang kau buat tu,” tegas Tengku Rania. Namun huluran salam
Nasuha tetap disambut malah dibalas dengan genggaman
erat.
“Maksud awak? Saya tak fahamlah.” Apa yang tak
kena dengan Tengku Rania ni? Tiba-tiba datang dan memberi
amaran begitu kepadanya. Nasuha terpinga-pinga tidak
mengerti.
“Abang aku cinta habis pada kau,” ucap Tengku
Rania. Dia teringat bagaimana bercahayanya wajah dan mata
Tengku Afnan setiap kali berbicara tentang Nasuha.
“Saya juga akan belajar mencintai dirinya,” ucap
Nasuha ikhlas.
“Aku tak nak tahu perasaan kau. Apa yang aku tahu,
kau mesti bahagiakan hidup dia. Jangan kecewakan cinta
dia. Abang aku tak pernah jatuh cinta tau dan kau tu cinta
pertama dia.”
Seingat Tengku Rania, Tengku Afnan belum pernah
jatuh cinta. Kalau berkawan biasa, memanglah ada. Tapi
abang sepupunya itu bukanlah jenis yang mata keranjang dan
hidung belang. Susah nak cari lelaki seperti sepupunya itu
zaman sekarang ni. Lagi-lagi kalau lelaki yang jenis berduit.
“Insya-Allah,” ucap Nasuha sepatah.
“Entah apalah istimewanya kau ni sampai dia boleh
tergila-gilakan kau.” Tubuh Nasuha dipandang atas bawah.
Nak kata wajah cantik jelita, biasa-biasa aje. Tiada pesona yang
menarik pada pandangan matanya, tapi… apabila Nasuha
tersenyum, lesung pipit di sebelah kiri pipinya terserlah.
Agaknya kecacatan itu yang memikat Tengku Afnan.
“Wah... belum sempat abang kenalkan, korang
berdua dah berkenalan, ya? Suha, kenalkan ni adik sepupu
abang yang sangat nakal tapi manja mengalahkan budak
umur 5 tahun. Tengku Rania,” tegur Tengku Afnan. Tanpa
segan silu dia mengambil tempat di sisi Nasuha. Selamba
tangannya merangkul bahu isterinya.
“Kami dah kenallah tadi.”
“Eh, cepatnya korang dah berkenalan? Tak tunggu
abang kenalkan pun. Sayang nilah kan…” Wajah Nasuha
dipandang. Dia ketawa kecil apabila melihat raut wajah
Nasuha bertukar merah. Gadis itu masih belum dapat
membiasakan diri barangkali.
Nasuha menggeliat. Tidak tahu macam mana
hendak memberitahu Tengku Afnan yang dia tidak selesa
dengan perbuatan lelaki itu. Malu kepada Tengku Rania pun
ya juga.
“Sayang kenapa? Letih ya? Nak masuk rehat dalam
bilik dulu ke? Mesti penat dengan majlis kita tadi, kan?”
soal Tengku Afnan ambil berat. Bahu Nasuha dielus lembut.
Rasa sayang dan cinta semakin membuak-buak sebaik sahaja
mereka sah menjadi suami isteri.
Siang tadi hanya dengan sekali lafaz dia dan Nasuha
sah menjadi pasangan suami isteri. Gembira hanya Tuhan saja
yang tahu. Tak sangka cintanya berbalas. Nasuha bersetuju
dengan lamarannya. Hampir sebulan dia bertungkus lumus
membuat persiapan untuk majlis yang berlangsung pada hari
ini. Akhirnya dia dapat menarik nafas lega. Majlis berjalan
seperti yang dirancang.
“Suha diam aje? Kenapa? Penat sangat ke sampai
hilang mood nak bercakap dengan abang ni?” Kening
dijongketkan. Hairan dengan kebisuan isterinya itu.
“Macam mana budak tu tak diam, dia malulah kau
ajak dia mesra-mesra depan aku ni, bang.” Tengku Rania
menyampuk.
“Apa budak-budak?” tegur Tengku Afnan agak keras.
“Ops, sorry... maksud Nia, Kak Suha.”
“Hah, kalau kau dah tahu dia malu, apa kau tunggu
lagi tu, Rania?”
“Apanya?” soal Tengku Rania kurang faham.
“Tunggu apa lagi? Pergilah turun ke bawah sana.
Tolong kemas apa yang patut. Jangan nak kacau daun dengan
pengantin baru yang nak bermesra macam kami ni.”
“Amboiii... menghalau nampak.” Tengku Rania terus
tarik muncung apabila mendengar kata-kata Tengku Afnan
itu. Nampaknya tempatnya di sisi lelaki itu sudah dicuri oleh
Nasuha.
“Apa-apalah. Dah, pergi sana cepat. Jangan kacau
abang dan Kak Suha nak berdating. Cuba belajar jadi rajin
sikit. Ringankan tulang tu sikit,” bebel Tengku Afnan.
“Yalah, yalah… Nia pergilah ni. Tak payahlah nak
membebel. Hah, Kak Suha ingat tau apa yang I cakap tadi.”
Bahasa bertukar lembut. Sebenarnya dia tidak membenci
Nasuha pun. Dia sengaja nak menguji gadis itu. Nak tengok
bagaimana reaksi gadis itu dengan sikap kasarnya tadi.
Nampak pilihan sepupunya itu tidak salah. Gadis itu seorang
yang tenang dan tidak mudah melenting.
“Ingat… dan jangan bimbang, Nia. Saya akan cuba
sebaik mungkin.” Sebuah senyuman manis dihadiahkan
kepada Tengku Rania.
“Nia cakap apa dengan Suha?” soal Tengku Afnan
ingin tahu. Dia memandang Tengku Rania dan Nasuha.
“Adalah… rahsia orang perempuan. Kan Kak Suha?”
“Alah, cakaplah Suha. Takkan dengan abang pun nak
berahsia?”
“Kalau saya beritahu dah tak jadi rahsialah nanti,”
balas Nasuha selamba.
“Cakaplah sayang… please…” pujuk Tengku Afnan.
“Kalau dah dinamakan rahsia memang tak boleh
beritahu orang lain. Kan Kak Suha?” Laju Tengku Rania
menjawab bagi pihak Nasuha.
“Abang tak tanya Nia. Abang tanya isteri abang tau.
Dah, jangan menyampuk,” balas Tengku Afnan.
“Alah, tak salah pun kalau Rania nak jawab bagi
pihak saya ni,” bela Nasuha.
“Aik, sejak bila pula korang jadi sahabat baik ni?”
“Sejak tadi.” Mata dikenyitkan ke arah Nasuha
sebelum Tengku Rania berlalu meninggalkan pasangan
pengantin baru itu.
“Betul ni tak nak kongsi rahsia dengan abang?” soal
Tengku Afnan. Kalau tadi tangannya berada di bahu Nasuha,
kini sudah beralih pula. Dia memaut pinggang isterinya itu.
Nasuha menggeleng dengan senyuman kecil. Terasa
bertambah keras tubuhnya dek perlakuan Tengku Afnan.
Ingin menolak perbuatan lelaki itu, takut berkecil hati pula.
Tak mahulah pada hari pertama bergelar isteri dia sudah
mengutip dosa.
Tubuhnya dipusingkan. Suasana sekeliling
yang hingar-bingar bertukar sepi. Hanya bunyi degupan
jantungnya saja yang kedengaran. Nasuha tertunduk malu
apabila pandangan matanya berlaga dengan mata Tengku
Afnan.
“Lantai tu lagi kacak daripada wajah abang ni ke
sampai Suha lebih rela pandang lantai daripada tatap wajah
abang?”
Kelu lidah Nasuha hendak membalas bicara lelaki
itu.
“Isteri abang ni malu-malu pulak. Nampak makin
comel tau muka Suha. Abang rasa nak cium aje.”
“Hah?” Bulat mata Nasuha mendengar bicara
Tengku Afnan itu.
Tengku Afnan ketawa besar melihat riak terkejut
yang terukir jelas di wajah Nasuha. Seronok dapat mengusik
isterinya.
“Ouch!” Tengku Afnan laju menggosok lengannya
yang terasa pedih. Entah bila tangan Nasuha mencubit pun
dia tak perasan.
“Rasakan!”
“Amboi sayang… diam-diam, ya. Tak sangka isteri
abang ni keturunan ketam.”
“Sakit sangat ke?” soal Nasuha. Serba salah pula
apabila melihat wajah suaminya berkerut-kerut. Dia
mengusap bekas cubitan di tangan lelaki itu.
“Suha ni cantiklah. Buat abang rasa geram tau. Jom
masuk bilik,” ajak Tengku Afnan dengan senyuman nakal
memekar di hujung bibir.
“Hah? Nak buat apa? Awal lagilah. Takkan dah nak
masuk tidur? Saya tak mengantuk pun. Lagipun tetamu masih
ramai yang belum balik lagi.” Nasuha sempat memandang
sekeliling.
“Alah, biarkanlah tetamu tu. Kita kan pengantin
baru. Jomlah masuk bilik. Takkan nak bermesra dekat sini?
Malu kat orang.” Tengku Afnan jongketkan kedua-dua belah
keningnya sambil memandang Nasuha. Wajah mulus itu
direnung tanpa rasa jemu.
“Gila!” balas Nasuha. Dia mula dapat menangkap
maksud ajakan suaminya itu.
Ketawa Tengku Afnan kembali bergema apabila
melihat wajah Nasuha yang berubah kelat itu.
“Memang abang rasa abang dah gila tau. Abang
gilakan Suha. Siang malam hanya Suha aje yang mengisi
ruang fikiran abang ni.”
“Amboi... sampai macam tu sekali.”
“Suha bomohkan abang, ya?”
“Awak... tolong jangan mengarut boleh tak?” soal
Nasuha.
“Dah tu?”
“Manalah saya tahu… tanyalah hati awak tu.”
“Kalau abang tanya hati abang, jawapannya memang
tak tahu. Sebab hati abang ni memang hilang kawalan
semenjak jumpa Suha.”
“Macam-macamlah awak ni.” Nasuha ketawa kecil.
“Dari tadi abang dengar Suha asyik berawak-awak
aje. Suha tak sudi nak panggil abang ni abang ke?”
“Saya… saya bukan tak sudi, cuma…” Nasuha
menelan air liur. Sengaja membiarkan ayatnya tergantung.
“Cuma apa Suha?”
“Cuma saya rasa janggallah. Tak biasa lagi.” Sungguh
keras lidahnya untuk cuba membahasakan lelaki itu dengan
panggilan abang.
“Sebab janggal dan tak biasalah Suha kena gunakan
panggilan abang mulai sekarang. Kita dah jadi suami isteri
kan. Bukan untuk sehari dua tau hubungan kita ni. Abang
harap berkekalan hingga ke hujung nafas kita.”
“Baiklah. Nanti Suha cuba,” balas Nasuha sambil
menunduk menekur lantai.
“Tak sangka minah yang selalunya garang waktu
abang kenal ni pemalu sangat rupanya. Lebih rela tengok
lantai daripada tengok wajah suami sendiri. Hai... untunglah
kau lantai… tak kacak pun tetap dipandang.”
Nasuha tergelak kecil. Tercuit dengan kata-kata
Tengku Afnan.
“Gelak pulak dia. Abang tak buat lawak tau.”
“Tak kata pun abang ada buat lawak.”
“Ha… kan sedap panggil abang macam tu. Sejuk
hati abang mendengarnya,” ujar Tengku Afnan. Berbunga
hatinya mendengar panggilan Nasuha.
Perlahan-lahan Nasuha mengangkat wajah apabila
Tengku Afnan menjawab panggilan telefon yang berbunyi
tiba-tiba. Lama dia menilik segenap inci wajah Tengku Afnan
yang asyik menjawab panggilan telefon. Memang kacak lelaki
itu.
Laju Nasuha alihkan pandangan apabila Tengku
Afnan memandangnya tiba-tiba. Lelaki itu mengenyitkan
mata ke arahnya.
“Malu-malu tapi curi-curi pandang kita,” ujar
Tengku Afnan selepas menamatkan telefon.
“Mana ada,” nafi Nasuha.
“Alah, macamlah abang tak sedar yang Suha tu
pandang abang lama sangat tadi. Abang baru jawab telefon
sekejap, Suha dah rindukan abang. Macam manalah kalau
Suha kena berjauhan dengan abang? Mesti Suha menangis
rindukan abang, kan?”
“Eh, boleh tak jangan nak perasan? Kuat sangat
perasan tau.”
“Perasan dengan hak abang saja. Bukan dengan
orang lain pun. Isteri sendiri.”
“Sudahlah.”
“Apa yang sudahnya? Kita belum mula lagi tau.”
Tengku Afnan tersenyum lebar.
“Saya nak masuk bilik tukar baju. Lepas tu nak
tolong dekat bawah tu.”
“Bawalah abang sekali.” Mata dikedip-kedip laju.
Tengku Afnan buat muka comel.
“Bawa ke mana?” soal Nasuha kurang faham.
“Tadi kata nak masuk bilik. Bawalah abang sekali.
Abang boleh temankan Suha. Tolong apa yang patut…
Tolong tukarkan…”
“Sudah. Suha cubit abang lagi nanti,” potong
Nasuha.
“Apa? Abang maksudkan lain tau. Suha tu yang
faham lain.”
“Yalah tu... tolong tukarkan apa maksud abang?”
“Tolong tukarkan baju.”
“Hah, tengok! Eh, saya bukan budak kecil tau. Tak
payah tolong pun saya boleh buat sendiri.”
“Memanglah Suha bukan budak kecil. Kalau Suha
budak kecil, tak adalah abang nak kahwin dengan Suha.
Maksud abang, tolong tukarkan baju dari dalam beg Suha
tu ke dalam almari. Tukarkan tempat baju tu. Hah, tengok...
Suha tu yang fikir hal bukan-bukan, lepas tu kata abang.
Apalah Suha ni. Lain kali dengar orang cakap sampai habis
dulu. Gopoh.”
“Wah... pandainya abang pusing ayat,” balas Nasuha.
“Betullah. Mana ada pusing ayat. Abang kata yang
betul. Abang tak ada niat lain tau. Lagipun abang tak suka
tengok barang sepah-sepah. Sakit mata memandang. Semak
pun ya jugak.”
“Yalah, yalah... Suha malaslah nak bergaduh dengan
abang.” Nasuha cuba mengalah.
“Bagus… dengar cakap abang. Sebab abang ni suami
tau.”
“Eleh…”
“Tengok... tadi kata tak nak bergaduh. Tapi tu
tercebik-cebik macam itik tercekik tu kenapa? Tak puas hati?”
sakat Tengku Afnan. Seronok melihat isterinya bengang.
“Dahlah. Bye…” Laju Nasuha melangkah menuju
ke bilik pengantin. Pantas tangan memulas tombol pintu dan
meloloskan tubuhnya ke dalam bilik. Lagi lama dia melayan
Tengku Afnan, lagi bertambah tak betul otaknya dengan
kerenah lelaki itu. Ada saja nak mengenakan dirinya.
“Suha, nanti…” Belum sempat Tengku Afnan
menghabiskan kata-kata, pintu bilik telah ditutup. Nasib dia
lambat beberapa saat. Kalau tak, mesti dia dah tercedera pada
hari pertama bergelar suami. Suha… Suha…

No comments:

Post a Comment