DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 8

“Suha... oh Suha…” panggil Mak Salwa
perlahan.
Nasuha yang sedang berada di dalam bilik bingkas
bangun apabila mendengar namanya dipanggil. Dia bergegas
mendapatkan Mak Salwa.
“Ya, mak nak apa-apa ke?” soalnya sebaik saja tiba di
muka pintu bilik Mak Salwa.
“Mak nak solat subuh ni. Suha tolong papah mak
ke bilik air. Mak nak ambil wuduk. Tak larat benar mak nak
bangun sendiri. Kepala rasa berpusing. Rasa macam nak
tumbang,” adu Mak Salwa.
Nasuha belas tapi dia kagum sebab dalam keadaan
badan lemah tak berdaya begini, emaknya masih tetap
tidak pernah lupa pada suruhan-Nya. Kemudian dia segera
membantu Mak Salwa mengambil wuduk.
Sementara menanti Mak Salwa selesai solat subuh,
Nasuha sibuk di dapur menyediakan sarapan untuk mereka
berdua.
“Suha dah siapkan sarapan. Mak nak makan sekarang
ke?” soal Nasuha. Dia hairan melihat Mak Salwa masih lagi
dalam keadaan sujud dan tidak bergerak-gerak. Lama dia
berdiri di muka pintu memerhati. Hati berbisik risau. Tak
tahu kenapa perasaan itu wujud.
“Mak?” Dicuit bahu Mak Salwa tapi perlahan-lahan
tubuh itu rebah ke lantai.
“Makkk!!!” jerit Nasuha apabila melihat wajah pucat
Mak Salwa.
“Mak… bangunlah mak... jangan tinggalkan Suha,
mak. Mak tak kasihan ke dengan Suha ni? Suha dah tak
ada siapa-siapa selain mak. Mak…” Air mata mengalir di
pipi apabila mengenangkan dirinya yang keseorangan kini.
Satu-satunya tempat dia bermanja sudah tiada.
‘Kenapa mak pergi tanpa tinggalkan apa-apa
pesanan? Ya Allah... kenapa semua ni mesti berlaku pada
aku?’ Pandangan Nasuha gelap secara tiba-tiba dan akhirnya
dia rebah di atas tubuh kaku milik Mak Salwa.
Prang!!! Cawan yang berada di tangan terlepas tiba-tiba.
Berkerut dahi Tengku Afnan dengan kejadian tidak diduga
itu.
“Hah, kamu kenapa pula ni Afnan? Kamu tak sihat
ke?” tegur Tengku Syukri. Dia bimbang melihat wajah
Tengku Afnan yang pucat itu.
Syarifah Azulia yang duduk di sebelah Tengku Afnan
terus bangun. Tangan mendemah dahi Tengku Afnan.
“Hurm... elok saja suhunya. Tak ada panas pun,” ujar
Syarifah Azulia.
“Errr… Nan sihat, ayah. Entah kenapa cawan
ni tiba-tiba boleh terlepas. Macam licin pulak.” Pelik!
Perasaannya rasa tak tenteram. Seolah-olah ada perkara
buruk yang akan berlaku. Berdebar-debar kuat hatinya.
“Kalau sihat, kenapa muka tu macam orang tak sihat
saja?” soal Tengku Syukri.
Nasuha! Entah kenapa sepotong nama itu terlintas
dalam fikirannya. Telefon bimbit dicapai. Dia mula mencari
nama Nasuha di dalam ruang daftar panggilan. Kemudian dia
menepuk dahi. Lupa, Nasuha tiada telefon.
“Budak ni... ayah tanya, dia boleh buat tak tahu saja.
Hah, kamu nak ke mana pula tu?” soal Tengku Syukri apabila
melihat Tengku Afnan bergegas bangun.
“Nan nak balik kampung, ayah.” Balas Tengku Afnan.
“Sekarang?”
“Yalah. Sekarang.” Hatinya kuat mengatakan Nasuha
berada dalam kesusahan.
“Kamu biar betul? Tak kerja ke hari ni?”
“Nanti Nan ambil EL,” balas Tengku Afnan kemudian
berlalu pergi.
“Apa kenalah dengan budak ni?” Tengku Syukri
memandang ke arah Syarifah Azulia. Wanita itu hanya
mengangkat bahu. Dia semakin tidak faham dengan perangai
anak bujangnya itu.
“Oiii... Buka pintu ni! Pekak ke apa? Tak dengar ke aku
panggil ni!” tengking Pak Mail.
Pekikan Pak Mail menyedarkan Nasuha daripada
pengsan. Dia terpisat-pisat dan sedikit terpinga-pinga. Dia
menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Ingatan yang kabur
sebentar tadi semakin jelas. Hati berdebar kencang. Jantung
berdegup laju tiba-tiba. Peluh mula membasahi dahi.
“Mak...” Mata terus terpandang tubuh Mak Salwa
yang terbaring kaku. Dia mengetap bibir menahan rasa sedih.
Air mata mengalir ke pipi. Lemah rasa seluruh jiwa raganya.
Segala semangatnya seolah-olah terbang bersama roh Mak
Salwa. Dia hanyut dalam perasaan sedihnya sehingga terlupa
kepada Pak Mail yang masih berada di luar.
Dengan langkah yang memberat, dia menuju ke
almari usang yang terdapat di penjuru bilik. Pintu almari
dibuka dan sehelai kain batik lepas separa lusuh diambil.
Perlahan-lahan dia menutup tubuh kaku Mak Salwa.
“Hoi, pekak ke? Aku panggil punyalah kuat, kau buat
tak dengar saja! Naik perit dah tekak aku ni!” sergah Pak Mail
sebaik sahaja Nasuha membuka pintu.
Geram! Ikutkan hatinya yang panas, memang teruk
dia kerjakan Nasuha. Sudahlah panas akibat kalah bertaruh
malam tadi masih tidak hilang sepenuhnya. Ini ditambah
pula dengan sikap Nasuha yang acuh tak acuh. Betul-betul
sengaja memarakkan lagi api panas yang membara. Matanya
tajam memerhati wajah tak bermaya Nasuha.
“Hoi, kau nak ke mana pula tu, Suha? Kau tak dengar
ke apa yang aku kata ni? Sejak bila kau dah jadi pekak ni?
Kurang ajar punya budak! Mati kau kalau kena dengan aku
nanti! Jangan buat aku panas hati! Jangan cabar kesabaran
aku pagi-pagi buta ni. Aku penat, tahu tak???” Marah sungguh
Pak Mail dengan kebisuan yang ditunjukkan oleh Nasuha.
“Pak cik... boleh tak untuk kali ni pak cik jangan
marah Suha?” soal Nasuha.
“Kau tu yang suka buat aku marah. Pandai pula
kata itu ini dengan aku. Macamlah aku seronok sangat
tengok muka kau tu. Lain kali kalau aku tanya, kau jawablah.
Bengap! Suka sangat cari pasal supaya aku marah kau!” Pak
Mail menunjal dahi Nasuha untuk melepaskan amarahnya.
Nasuha hanya diam sahaja. ‘Sabarlah Suha,’ pujuk
hatinya.
“Hei! Mak kau ke mana hah? Dari tadi tak
nampak-nampak muka dia. Tak bangun tidur lagi ke? Pergi
cari dia. Suruh dia buatkan aku kopi. Aku dahaga ni. Kering
tekak aku ni dibuatnya bila bercakap dengan kau.”
Tanpa dapat dikawal Nasuha teresak-esak di hadapan
lelaki itu. Dia terduduk di situ.
“Hoi! Aku tak suruh pun kau menangis depan aku ni.
Aku tanya emak kau mana? Itu pun nak menangis ke? Kau ni
betul-betul menyakitkan hati aku saja,” bebel Pak Mail.
“Emak... emak…”
“Yang kau tergagap-gagap ni kenapa?” tengking Pak
Mail geram.
“Mak dah tak ada, pak cik...” ucap Nasuha perlahan.
“Hah, mak kau tak ada? Dia pergi mana? Takkan
lari dari rumah pula? Takkan pasal aku ambil barang kemas,
dia terus lari dari rumah? Kau biar betul, Suha? Jangan nak
main-mainkan aku ni!” marah Pak Mail.
“Mak dah meninggal, pak cik. Mak dah pergi.”
“Hah, meninggal? Meninggal pergi mana? Pergi
dengan siapa? Eh, kau jangan nak buat lawaklah dengan aku.
Aku tak ada masa nak bergurau senda dengan kau,” balas Pak
Mail.
“Mana ada saya buat lawak. Saya cakap benda
yang betul. Lagipun perkara mati ni mana boleh dibuat
main-main.”
Pak Mail tersandar di dinding. Dia seperti tidak
percaya mendengar kata-kata Nasuha. Kemudian dia
memandang Nasuha yang ingin berlalu meninggalkannya.
“Eh, kau nak ke mana pula tu?” soal Pak Mail apabila
melihat Nasuha menunggang basikal buruk miliknya.
“Saya nak pergi beritahu orang kampung,” ucap
Nasuha lemah.

No comments:

Post a Comment