DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 2

PAGI itu selepas saja menjamah sarapan
pagi, Nasuha terus menuju ke tali air. Sesekali tangannya
menghalau nyamuk yang curi-curi menjamah tubuh
kurusnya.
‘Isy, manalah pergi ikan-ikan ni? Dari tadi seekor
pun tak dapat lagi. Rasanya dah berjam-jam duduk di sini.
Umpan tepung uli ni tak menaikkan selera ikan-ikan ni ke?’
omel Nasuha dalam hati.
Dia menarik nafas panjang. Memancing memang
memerlukan kesabaran yang tinggi. Kalau nasibnya baik
hari ini, banyaklah dia dapat ikan. Tapi kalau nasib tak baik,
seekor pun susah nak lekat di hujung mata kail.
Tiba-tiba Nasuha melihat tali pancingnya
bergerak-gerak.
“Hiappp!” Nasuha menarik batang pancingnya
dengan sekuat tenaga. Tak sia-sia menanti dengan sabar.
Seekor ikan tilapia hitam sebesar tapak tangan orang dewasa
berjaya dinaikkan. Riang tak terkata hatinya.
‘Masak sambal goreng kering sedap ni.’
“Wow! Bestnya dapat ikan. Tersengih sampai telinga
tu.”
Nasuha tersentak. Mati terus senyumannya. ‘Siapa
pula yang tak tahu malu, datang tak berjemput ke sini ni?’
“Memancing ke?” tegur Tengku Afnan. Dari jauh dia
melihat gadis itu begitu gembira dengan hasil tangkapannya
itu.
“Taklah. Saya tengah masak nasi ni. Dah nampak lagi
nak tanya. Sengajalah tu sebab tak ada topik nak berbual.”
Tengku Afnan tergelak kecil mendengar jawapan
yang keluar dari mulut gadis itu.
“Oh... masak nasi. Saya ingat awak tengah toreh
getah,” usik Tengku Afnan.
‘Ewah-ewah... dia kenakan aku balik nampak.
Okey... tak apa. Sampai masa nanti siaplah kau, aku kenakan
cukup-cukup.’
“Awak nak apa ni? Kalau datang sini sebab nak
bising-bising, baik tak payah. Nanti lari ikan-ikan dekat sini.”
“Saja… tak boleh ke saya datang sini? Lagipun tempat
ni tak ada tulis nama sesiapa dan tak ada tanda larangan. Jadi
semua orang boleh datang ke sini,” balas Tengku Afnan sinis.
Eh... eh... sindir orang pula. Nasuha merenung
tajam tubuh lelaki itu.
Uikkk... apa yang hitam-hitam melekat dekat kaki
mamat tu? Lama dia perhatikan sehinggalah dia perasan
sesuatu… Pacat!
“Awak... tu... tu...” Nasuha menelan liur. Panjang
muncung bibirnya menunjuk ke kaki Tengku Afnan.
“Apanya tu... tu... tu? Cuba cakap terus terang.”
Tengku Afnan kehairanan.
“Tu... kaki awak tu... saya rasa ada pacatlah,” ujar
Nasuha.
“Hah?” Terus mata menilik ke kaki. Bukan rasa lagi,
tapi ini memang pacat pun. Peluh kecil mula merecik di dahi.
Macam mana nak buang binatang ni? Puas dia menepis-nepis
tapi seekor pun tak jatuh ke tanah. Kuat melekap. Nak pegang
dia tak sanggup. Lagilah geli-geleman.
Nasuha yang memerhati dari tadi tersenyum kecil.
Orang bandar macam itulah. Padan muka! Pakai lagi seluar
pendek. Kan dah kena ngap dengan encik pacat!
Ranting kecil yang bertaburan di atas tanah dikutip
lalu Nasuha berjalan menghampiri lelaki itu.
“Meh sini saya tolong awak. Hesy, pacat pun takut.
Apalah awak ni... badan saja besar macam lembu, tapi
penakut.” Selamba Nasuha menyindir lelaki itu.
“Besar macam lembu awak kata? Hei, awak ni tolong
saya ikhlas ke tidak? Sindir-sindir orang pulak.”
“Ikhlas ke tidak, itu hak saya. Hah, tengok ni macam
mana saya buat. Lain kali bolehlah buat sendiri kalau kena
lagi.”
Dengan menggunakan ranting, Nasuha menguis
pacat-pacat itu dari betis Tengku Afnan. Darah merah meleleh
dari bekas gigitan pacat.
“Errr... kenapa darah ni tak berhenti mengalir
pulak?” soal Tengku Afnan, panik. Kalau berterusan begini,
mahu kering darahnya nanti.
Tanpa menjawab soalan lelaki itu, Nasuha memetik
beberapa helai daun hijau berbentuk seperti love yang
tumbuh meliar di situ. Kemudian dia lumatkan daun tersebut
menggunakan kedua-dua tapak tangannya.
“Nah... tampalkan dekat luka awak tu. Nanti seminit
dua berhentilah darahnya tu.” Nasuha menghulurkan daun
yang telah dilumatkan itu.
“Ambillah… daun ni bukan beracun pun. Hesy,
ni daun olan. Daun ni boleh menghentikan pendarahan.
Ini bukan petua saya tau, tapi ni petua orang-orang tua
turun-temurun.”
Lambat-lambat Tengku Afnan mengambil daun
tersebut lalu ditampalkan di kakinya. Tak sampai lima minit,
darah terus berhenti mengalir.
‘Pandai juga budak ni,’ pujinya dalam hati.
“Eh, kenapa awak tak kena gigit pacat pulak?” soal
Tengku Afnan.
“Sebab saya dah sapukan kaki saya dengan air garam
dekat rumah tadi. Pacat ni takut dengan garam,” jawab
Nasuha selamba.
“Dahlah, awak pergilah balik. Nanti kena gigit pacat
lagi, kan susah.”
“Eh, menghalau pulak dia ni.”
“Saya bukan menghalau. Terpulanglah... Saya cuma
tak nak darah awak kering kena hisap dengan pacat-pacat ni.
Lagipun awak ada dekat sini bisinglah. Habis semua ikan ni
lari,” balas Nasuha selamba.
“Yalah, yalah... Saya balik dululah. Terima kasih
tolong saya. Pasal kemalangan hari tu saya minta maaf,” ucap
Tengku Afnan sebelum meninggalkan gadis itu.
Tengku Afnan termenung sambil menongkat dagu di
meja. Semua kerja yang dibuat rasa serba tidak kena saja hari
ini. Ingatannya asyik sangat tertumpu pada pertemuan demi
pertemuan tanpa dirancang dengan gadis itu.
‘Dah kenapa pula aku ni? Takkan dah terpikat dengan
budak tu? Takkan dah jatuh cinta? Jatuh cinta? Eh, biar betul
aku ni?’ Hati kecil rancak bertanya.
Badan ditegakkan. Terkejut dengan persoalan dalam
hatinya. Kemudian dia bersandar di kerusi empuk berwarna
coklat gelap itu. Sejak dia meninggalkan desa itu, dia asyik
teringat pada satu wajah itu tanpa perlu dipaksa-paksa.
“Agaknya kalau ada bom yang akan meletup dekat
sini, tentu kau akan mati sekali kan bang? Langsung tak sedar
keadaan sekeliling.” Satu suara halus menegur.
“Rania?” Bulat mata Tengku Afnan melihat tetamu
tanpa diundangnya itu duduk bersilang kaki di hadapan. Bila
masa gadis ini muncul? Berkerut dahinya.
Rania mencebik melihat reaksi Tengku Afnan.
Dia mengurut tangan kanannya yang terasa sengal kerana
mengetuk pintu kayu jati berukir indah itu berkali-kali tanpa
ada sahutan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk
masuk sendiri tanpa perlu dipelawa.
“Tu yang cebik-cebik bibir tu, kenapa? Nak kena
sepit dengan klip kertas ni?” tegur Tengku Afnan. Macam
dia tak tahu yang sepupu nan seorang itu sedang panas hati.
Marahkan dia agaknya. Tapi marah sebab apa?
“Abang tulah!” Jelingan tajam dihadiahkan oleh
Rania.
“Abang kenapa pulak? Abang rasa abang tak buat
salah pun dengan Rania.”
“Yalah tu. Orang ketuk pintu sampai naik sengal
tangan ni, dia buat tak tahu saja. Sakit tau,” adu Rania. Ada
nada rajuk dan manja.
“La... sakit ke? Meh abang tengok. Ada cedera tak? Ke
nak abang call doktor untuk rawat tangan awak tu?” sindir
Tengku Afnan.
“Huh, sakit hatilah layan abang ni!”
“Siapa suruh layan? Abang tak suruh pun. Ni nak apa
muncul tiba-tiba dekat sini?”
“Eh... eh... tadi pagi dia yang beria-ia call ajak lunch
sama. Sekarang dia tanya pula kenapa kita datang ke sini.
Ini yang rasa macam nak balik saja ni.” Tengku Rania tarik
muncung panjang. Kemudian dia berpeluk tubuh.
“Hahaha... merajuk pulak dia. Sorrylah, abang gurau
saja. Abang tak lupa. Saja nak usik Rania,” ucap Tengku Afnan.
Sebenarnya dia benar-benar lupa janji temunya dengan gadis
itu. Ini semua gara-gara budak kampung tu. Tengku Afnan
garu kepala.
“Yalah tu tak lupa. Kalau betul tak lupa, kenapa
masih tercegat lagi dekat situ? Eh, abang ni dah kenapa? Gaya
macam orang angau aje. Siapa gadis bertuah yang dah cuit
hati kau tu? Ceritalah kat aku ni?” soal Tengku Rania.
Hubungan mesra yang sudah terjalin antara mereka
sejak kecil membuatkan mereka senang beraku engkau.
Namun begitu pangkat sebagai panggilan hormat tetap tidak
tinggal.
“Mana ada aku angau. Dah! Kau jangan nak
mengarut.”
“Eleh, tak nak mengaku konon. Eh abang, umur
macam kau ni normallah kalau dah mula tangkap cinta
dengan anak dara orang.”
“Rania… eh, kau makan apa sarapan pagi tadi?”
“Makan apa? Makan roti dengan mentega kacang
macam selalulah,” balas Tengku Rania. Wajah Tengku Afnan
dipandang penuh hairan. Pelik.
“Aku ingat kau sarapan buntut ayam. Pot-pet...
pot-pet... tak henti-henti. Dah macam mak nenek hilang gigi
palsu pun ada jugak.”
“Weh, ada ke perumpamaan gitu? Sengetlah kau ni!
Eh, kau nak lunch ke tidak ni bang? Aku ada appointment
jam 2.30 nanti. Karang lewat pula.” Jam di pergelangan
tangan diperhati.
“Yalah. Kejap, aku save kerja aku ni. Karang hilang,
mati aku kena marah dengan bos.”
“Aku hairanlah dengan kau ni, bang. Ayah Syuk ada
perniagaan sendiri, tapi kenapa kau nak juga kerja dengan
orang lain?” soal Tengku Rania. Sudah berapa kali dia
mempersoalkan tindakan sepupunya itu.
“Aku tak hairan pun dengan diri aku ni, Rania. Aku
nak keluar dari kepompong keluarga akulah.” Acuh tak acuh
saja jawapan Tengku Afnan.
“Habis, kalau kau tak nak kerja dengan ayah kau,
siapa pula yang akan mewarisi perniagaan dia nanti?”
“Alah, apa susah? Cucu dialah.”
“Cucu? Anak siapa?”
“Anak akulah. Aku ni ada adik-beradik lain ke Rania?
Bonda Lia tu pun bukannya boleh beranak lagi,” balas Tengku
Afnan selamba. Ayahnya melangsungkan perkahwinan
dengan Syarifah Azulia ketika wanita itu berusia di awal 40-
an. Bertahun sudah perkahwinan itu dan nampaknya rezeki
ayahnya ingin mendapatkan anak bersama wanita itu tidak
kesampaian. Tengku Afnan kekal menjadi anak tunggal
sehingga kini.
“Anak kau? Maksud kau? Kau nak kahwin ya, bang?
Dah ada calon ke? Cakap dengan aku, siapa wanita yang
bertuah tu? Eee... tak sabarnya aku nak dapat anak buah,”
ucap Tengku Rania. Bercahaya wajahnya. Dia pula yang
terlebih gembira bagi pihak sepupunya itu.
‘Calon? Errr…’ Entah kenapa terlintas wajah gadis
kampung itu.
“Weh abang, termenung lagi? Betul-betul kronik dah
sakit angau kau ni.” Tengku Rania memetik jari berkali-kali
di hadapan wajah Tengku Afnan namun lelaki itu tetap juga
membatu.

No comments:

Post a Comment