TERPISAT-PISAT Lara buka mata. Mata yang kecil dibesarkan. Hairan tengok semua orang ada. Mak, ayah dia pun ada sama. Eh, ini bukan rumah Hilmi ke?
“Kau buat apa ni?” Tidak sempat sesiapa halang, Syafiq sudah menampar pipi kiri Lara. Tidak puas hati, satu lagi tamparan diberi pada pipi kanan adiknya itu.
Ketika mahu melayangkan tamparan ketiga, Pak Seman lantas memegang tangan Syafiq.
“Sudahlah Syafiq. Ini bukan penyelesaiannya. Benda dah jadi pun.” Pak Seman melepaskan tangan Syafiq.
“Rasa nak terajang pula. Dia degil sangat, Pak Seman. Perempuan pergi cari lelaki. Dasar muka tak tahu malu. Kenapalah aku ada adik macam kau ni!” jerkah Syafiq.
Encik Latif, ayah Lara diam. Kalau dia buka mulut, sekali dengan sepak terajang singgah pada badan Lara. Menggeletar tubuhnya menahan marah ketika diberitahu tentang ini. Memalukan!
“Teruk sangat perangainya. Datang dari mana budak ni?” Puan Sanisah mundar-mandir di depan Anas.
“Apa semua ni?” Lara merenung wajah Anas yang redup. ‘Apa hal dengan abang si Hilmi ni?’
“Kau ni sedar ke tak? Mabuk dadah kamu ni,” Puan Sanisah berkata.
“Heh, apa mak cik merepek?” marah Lara.
“Kau kata aku merepek? Kau sedar tak apa kau buat sekarang?”
“Apa saya dah buat?” Lara memegang kepala yang rasa berdenyut. Rasa sakit sangat. Lalu dia duduk di sebelah Anas.
“Tak nampak ke? Budak ni tengah lalok agaknya,” selar Puan Sanisah lagi.
“Awak ni lebih sudu daripada kuah. Biarlah Pak Seman buat kerjanya.” Perlahan Encik Maarof menegur isterinya.
“Tak malu ke apa anak awak dah buat? Conteng arang pada muka mak bapak. Ustaz konon. Tapi memalukan mak bapak.” Puan Sanisah marah sungguh.
Lara rasa kepalanya kian sakit. Mata dipejam dek terlalu sakit.
“Apa yang berlaku ni?” tanya Lara.
“Eh, buat-buat tanya pulak budak ni. Mari aku beritahu, kau dengan Anas kena tangkap basah dalam rumah aku. Apa yang kau buat dalam rumah aku? Budak perempuan muka tak malu!” Puan Sanisah merenung tepat wajah Lara.
“Kena tangkap basah dengan Anas? Saya tak kawan pun dengan dia.” Lara mendekati Anas, memandang lama wajah itu.
Anas tidak beri sebarang reaksi. Dari tadi duduk saja di situ. Encik Maarof yang datang memberikan baju untuk dipakai oleh anaknya itu. Semasa rumah diserbu, Anas hanya memakai boxer.
Lara rasa kepalanya semakin sakit.
“Tak payah pura-pura sakit sangatlah. Macam mana ni Pak Seman?” sergah Puan Sanisah.
Wajah Encik Maarof nampak bengang. Segan juga kepada orang lain dengan sikap isterinya.
“Mereka ni dah berzina,” kata Puan Sanisah lagi.
“Siapa yang berzina?” tanya Lara. Kepala semakin sakit. Tekak terasa loya.
“Uwekkk!” Lara termuntah di atas paha Anas.
“Eii, belum apa-apa, dah ada isi? Hah, ni mesti dah selalu buat.” Puan Sanisah menambah bara lagi.
“Kau diam boleh tak?” Encik Latif menjerkah Puan Sanisah. Geram sungguh dia. Dari tadi hanya Puan Sanisah yang banyak bunyi.
“Ini rumah aku, biarlah aku nak cakap apa pun!” Puan Sanisah tidak mahu kalah. Dia menjerkah Encik Latif semula.
“Uwekkk!!!” Lara muntah lagi.
Anas tergamam. Bau muntah sangat busuk. Semua orang menutup hidung masing-masing.
“Mari balik. Jaga kau kat rumah nanti.” Syafiq merentap kuat lengan adiknya.
Lara yang masih pening, akur. Memang dia separa sedar.
“Heh, kau nak bawa dia pergi mana? Bersihkan muntah tu dulu. Siapa nak bersihkan?” herdik Puan Sanisah.
“Rumah mak cik, kan? Mak cik cuci sendiri,” kata Syafiq. Kalau bukan fikir Puan Sanisah itu orang tua, mahu diberinya penampar pada mulut celopar itu.
“Sakit...” Lara menangis. Lengannya ditarik terlalu kuat. Rasa macam nak putus saja.
“Sanisah, kau ni lantang sungguh bercakap. Anas tu anak kau. Jangan sampai tepuk air dalam dulang, terpercik muka sendiri.” Puan Zaharah menghampiri Puan Sanisah sebelum pulang.
“Eleh, ingat aku hairan sangat dengan kata-kata kau? Bawa balik anak dara kau tu. Ajar dia beradab. Jangan suka sangat datang rumah lelaki.”
Puan Zaharah menahan sabar. Mendidih hatinya dengan kata-kata Puan Sanisah.
“Macam mana, Pak Seman?” Encik Latif bertanya sebelum beredar.
“Perkara ni tak habis lagi. Tapi kau bawalah anak kau balik dulu. Dia pun macam tak sedar nak tanya apa-apa. Esok kita bicarakan lagi hal ni,” Pak Seman selaku ketua kampung berkata. Pening juga dia. Tidak pernah ada kes begini sebelum ini.
Itulah, Encik Latif lemakkan sangat si Lara. Lara bebas ke sana sini dengan Hilmi. Siang malam melepak sama-sama. Hairan juga dia. Encik Latif dengan Puan Zaharah tak marah Larakah?
Sudah lama dia dengar Lara dan Hilmi bebas sangat. Bukan sekali dua orang kampung nampak Hilmi membawa Lara pulang ke rumah semasa Puan Sanisah dan Encik Maarof tiada di rumah. Sekali dua ada dia menasihati Encik Latif tentang hal ini. Tetapi macam tidak ada tindakan daripada Encik Latif. Encik Maarof pun sama juga. Hanya mengangguk apabila diberitahu. Kadang-kadang Encik Maarof membela anaknya itu pula.
Hah, sekarang mendapatlah. Inilah akibat terlampau bebas sangat. Tapi yang dia tidak faham, Lara berkasih dengan Hilmi, yang tertangkap Lara dengan Anas, abang si Hilmi. Kenapa boleh jadi begitu?
No comments:
Post a Comment