“MAK, Sara gerak dulu.” Sara mendekati emaknya yang sedang sibuk mengacau rendang daging. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman. Sambil itu matanya memerhatikan deretan bekas plastik yang sudah disusun di atas meja.
“Banyak ke tempahan hari ni?” tanya Sara. Penuh meja makan dengan bekas plastik.
“Alhamdulillah. Adalah sikit. Rendang dah masak tapi tak kering lagi. Nak mak bungkus buat bekal ke?”
“Tak apalah mak. Mak simpan sikit untuk Sara makan balik nanti.” Usai bersalam, Sara memeluk dan mencium kedua-dua belah pipi emaknya.
“Ha, yalah. Hati-hati kat jalan.”
Sara mengangguk dan tersenyum sebelum dia berpaling dan keluar daripada kawasan dapur. Langkah diatur melalui ruang tamu sebelum menuju ke pintu masuk. Kasut dikeluarkan daripada almari dan pintu dibuka. Seperti biasa dia akan berjalan kaki ke tempat kerja yang jaraknya hanya 15 minit dari rumahnya.
Satu per satu anak tangga dipijak untuk turun ke tingkat bawah. Dia hanya tinggal berdua dengan emaknya. Ayahnya sudah lama meninggal sejak dia di sekolah rendah lagi. Emak membesarkannya dengan menjual pulut kuning.
Nama dia Kaisara Humaira. Dia bekerja di kafe sahaja walaupun ada ijazah. Belum ada rezeki mendapat kerja yang sesuai dengan kelulusannya. Jadilah daripada tak ada kerja langsung. Bukan dia tidak boleh bantu emaknya membuat pulut kuning, tapi emak yang menyuruh dia bekerja mencari pengalaman.
Mereka tinggal di rumah pangsa empat tingkat. Memang kurus dia hari-hari naik turun tangga. Kafe dibuka pada pukul 8 pagi. Waktu kerjanya bermula pukul 9 pagi. Itu sebabnya dia memilih kerja ini. Tidak perlu tergesa-gesa hendak pergi ke tempat kerja.
Dari jauh dia melihat kereta BMW berwarna hitam di hadapan Butik Qaseh Nora. Meleret senyum diukir. Sengaja melangkah lambat-lambat. Sebenarnya dia menunggu pemandu kereta BMW itu keluar.
Sepertimana yang dijangka, keluar seorang pemuda bertubuh kurus dengan memakai pakaian pejabat sambil membukakan pintu di sebelah tempat duduk penumpang.
“Baiknya dia.”
Sara melangkah ibarat perempuan Melayu terakhir. Sedikit masa sahaja lagi dia akan bertembung dengan lelaki itu. Jantungnya berdegup kencang walaupun setiap hari dia melihat lelaki itu. Boleh dikatakan setiap hari mereka bertembung.
“Assalamualaikum Puan Nora. Selamat pagi,” sapa Sara. Sambil itu bibirnya menghadiahkan senyum buat wanita separuh umur itu. Matanya melirik ke arah lelaki tadi dan dihadiahkan senyum. Lelaki itu membalas!
Terasa dia hendak tumbang di situ. Manisnya senyuman lelaki itu. Cepat-cepat kepala dihalakan ke hadapan. Karang terlihat pula muka merahnya.
“Kaisar pergi kerja dulu ya ma. Assalamualaikum.”
Alahai suara dia... Bercakap dengan emak pun lemah lembut. Kalau bercakap dengan makwe, sah romantik banget! Sara tersengih lebar sambil membayangkan lelaki itu bercakap dengannya.
Tiba-tiba...
“Aduh mak aku meletup batu!” Sara menutup mulutnya. Adoilah! Dia melatah pula. Kakinya terpijak batu kecil dan hampir terpelecok. Batu kecil tadi disepak ke arah jalan raya. Daripada biasan cermin kafe, terlihat dua beranak itu melihatnya. Bukan mereka sahaja, dua tiga orang pengunjung yang sedang bersarapan di luar kafe turut melihatnya.
Malu! Sara buat tidak tahu dan terus masuk ke dalam kafe. Langkahnya dituju ke bilik pekerja. Dibuka lokar dan diletakkan beg galasnya. Telefon dan apron dikeluarkan terlebih dahulu sebelum pintu lokar ditutup. Telefon dimasukkan ke dalam poket. Selesai memakai apron, dia terus ke dapur.
“Kenapa muka kau merah? Panas sangat ke kat luar tu?”
Pertanyaan Marina membuatkan Sara meraba pipinya. Merah ke?
“Dia ada kat luarlah tu.” Sheila pula mengusik.
Terus terukir sengih di bibir Sara. Sheila memang tepat. Tapi ada perkara lain yang buat pipinya merah.
“Aku terpijak batu. Elok-elok aku jalan kontrol ayu... tiba-tiba aku termelatah depan dia. Melatah, kau tahu tak!”
Meletus ketawa Sheila dan Marina di situ. Patutlah merah pipi Sara. Seperti udang kena bakar. Melatah di depan crush merupakan satu bencana besar. Sangat memalukan. Jatuh sahamnya.
“Apa agaknya pandangan Mr. Crush kau tadi ya?” tanya Marina.
“Bukan Mr. Crush, Mr. Destiny... sebab dia lelaki yang ditakdirkan untuk aku.”
“KAISAR MAKNANYA raja atau pemimpin. Seorang raja perlukan seorang permaisuri dan permaisuri tu ialah aku, Kaisara. Macam kebetulan sangat, kan? Kaisar dan Kaisara... raja dan permaisuri.” Dari dalam kafe Sara memerhatikan lelaki yang sedang tersenyum sambil membelek telefon itu. Kacaknya dia. Senyuman menikam hati para gadis. Walaupun berkali-kali dia memandang wajah itu, perkataan
jemu itu tidak pernah wujud!
Kaisar Hidayat, putera tunggal Puan Nora, pemilik butik di sebelah kafe mereka. Setiap hari pasti Kaisar akan muncul dan minum di kafe mereka sebelum pulang bersama Puan Nora. Nama sahaja sudah saling melengkapi. Alangkah indahnya jikalau betul lelaki itu pelengkap hidupnya.
“Kaisar Hidayat... Kaisara Humaira... ermm... jodoh dari syurga.” Sara tidak lepas memerhatikan lelaki itu.
“Hmmm... yalah tu. Jodoh dari syurga apanya kalau dia tengok kau pun tak. Nak berangan tu sedar diri boleh tak?” Sheila yang sedang mengelap meja menjeling ke luar. Memang lelaki itu kacak, tetapi bukan putera idamannya.
“Suatu hari nanti, pasti dia akan tengok aku. Pasti...”
“Tengok ajelah... berjodohnya belum pasti.” Selamba sahaja Sheila menyindir Sara.
Semua pekerja kafe tahu Sara memang ada hati kepada anak Puan Nora. Tapi sekadar jatuh hati. Meluahkan perasaan memang tak berani.
“Tak baiklah kau ni.” Sara cemberut.
“Apa kata kau pergi depan dia. Cakap saya suka awak.” Entah sudah berapa kali dia mencadangkan perkara itu kepada Sara. Namun sahabatnya itu hanya buat tidak tahu. Tidak berani.
Merudum terus mood Sara. Cakap depan-depan saya suka awak pada lelaki itu, memang tiada dalam perancangannya. Bagaimana kalau dia ditolak? Mana hendak letak muka dia yang sememangnya tidak cantik ini.
“Tak nak pulak. Mesti kau takut kena reject, kan?”
Sara mengangguk.
“Sekarang balik ke dunia nyata. Pergi cuci pinggan kat belakang. Kejap lagi kafe nak tutup.” Sheila memberi arahan.
Dengan langkah longlai, Sara ayun langkah ke belakang. Dunia nyatanya adalah sebagai pencuci pinggan di Kafe Oh Lala. Bukan permaisuri hati Kaisar Hidayat. Tiba-tiba dia berpaling dan kembali ke sebelah Sheila.
“Kau dah kenapa?” Sheila memandang muka sahabatnya dengan roman hairan. Ingatkan sudah berada di hadapan singki.
“Aku nak tengok vitamin cinta aku. Buat bekal aku tidur nyenyak malam ni. Oh my Mr. Destiny.” Tersengih-sengih Sara.
“Ya Allah!” Sheila tepuk dahi. Ditunjukkan sepit ketamnya ke arah gadis itu. “Baik kau pergi buat kerja sebelum aku tarik telinga kau.”
“Sepit ketam... takutnya!!! Baik Cik Sheila, cik supervisor.” Sara tergelak melihat gelagat Sheila.
“Sara!!!” Sheila mencekak pinggang.
No comments:
Post a Comment