DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 14 October 2021

Jiwa Yang Kau Takluki - Bab 2

 

HABIS barang dibaling Hilmi. Pecah dua buah pasu bunga kesayangan Puan Sanisah. Encik Maarof mati akal dengan tindakan Hilmi. Sudahnya dibiarkan saja si anak melepaskan kemarahan. Yang jahanam pun, pasu bunga emak si Hilmi itu juga.

“Kau ni kenapa? Tak tahu ke tu kekasih aku? Kau sedar diri ke tak ni?” Hilmi menjerkah Anas. Langsung tidak ada rasa hormat kepada si abang yang tua 10 tahun daripadanya.

Anas diam. Hilmi menumbuknya pun dia diam. Semasa kecoh di rumah tadi pun diam juga.

“Kenapa kau buat macam ni?” Hilmi menjerit di depan muka Anas.

“Sudahlah, Hilmi. Biarkan saja dia dengan perempuan tu,” kata Puan Sanisah.

“Tak boleh, mak. Lara tu awek Hilmi. Hilmi sayang Lara.”

Puan Sanisah mengherotkan wajahnya.

“Tak payah, Hilmi. Mak tak suka. Mak tak benarkan kau dengan Lara.”

“Tapi, kenapa mak? Lara tak pernah kacau mak pun.”

“Dia kacau anak mak. Dia tu tak sesuai dengan kau. Kau tu belajar lagi. Lara tu kacang hantu dalam kampung ni. Merayau sana sini. Naik motor dengan lelaki itu, lelaki ini. Hesy, mak tak berkenan.”

“Tu dulu, mak. Sejak Lara jadi kekasih Hilmi, Lara dah berubah.”

“Geli aku dengar. Kau tak payah nak pilih perempuan yang mak tak suka. Kau tu sekarang sedang ambil ijazah. Hah, kau cari perempuan yang ada ijazah macam kau. Perempuan yang layak bekerja. Bukan Lara yang tak ada apa pun. SPM pun gagal teruk.” Sedap sungguh Puan Sanisah mengata orang.

Hilmi mendengus. Dia dan Lara sudah cinta mati. Padanya, Lara paling baik dalam hidupnya. Lara sangat istimewa. Memang dia tahu ibunya tidak menyukai Lara. Ibunya selalu memperlekeh Lara. Bukan saja memperlekeh Lara, bahkan memperlekeh keluarga Lara. Entah apa yang ibunya tidak suka

sangat dengan keluarga Lara.

“Mak tak suka Lara jadi menantu mak?” tanya Hilmi.

“Kuku jari budak Lara tu pun mak tak suka.”

“Kalau dia kahwin dengan Anas, jadi menantu mak juga, kan?” Puan Sanisah tarik muka.

“Bukan. Tak sama. Dia bukan anak mak.”

“Apa yang tak sama? Anas anak ayah. Jadi menantu ayah, jadi menantu mak juga.”

“Kau jangan banyak cakap sangat, Hilmi. Sekarang, biar saja Anas kahwin dengan Lara. Yang kena tangkap basah, Anas dengan Lara.”

“Tak. Hilmi tak akan benarkan!”

“Kau nak buat apa?”

“Hilmi akan kahwin dengan Lara.”

“Jangan jadi bodoh, Hilmi.”

Encik Maarof dan Anas hanya menjadi pemerhati dua orang itu bercakap. Encik Maarof memang jenis tidak banyak cakap. Isterinya yang lebih dominan.

“Macam mana ni, abang? Orang tua ni takde pula beri pendapat dia,” rungut Puan Sanisah.

“Saya beri peluang awak bercakap. Dah nak bercakap sangat. Dari tadi sampai sekarang, tak berhenti lagi,” perli Encik Maarof.

“Macam mana hal ni?” Puan Sanisah memandang Anas yang menunduk. Langsung tak berbunyi. Geram juga dia dengan Anas yang hanya diam.

“Abang pun tak tahu. Tunggu Pak Seman esoklah,” kata Encik Maarof.

“Kalau Anas kena kahwin dengan Lara, kau kahwin, Anas.”

Anas tidak memberi sebarang reaksi.

“Heh, mana boleh Anas kahwin dengan Lara. Hilmi yang nak kahwin dengan Lara.”

“Heh!” Buntang mata Puan Sanisah memandang Hilmi. “Kau jangan nak buat hal. Dia kena tangkap basah dengan Anas, biar dia kahwin dengan Anas.”

“Mak, Hilmi ni kekasih Lara. Biar kami yang kahwin.”

“Kau tak dengar dia muntah-muntah tadi? Itu anak kau ke yang dia sedang kandungkan?” selar Puan Sanisah dengan mata terbeliak.

Hilmi terdiam. Dia pun ada tadi. Memang Lara nampak pening sehingga muntah-muntah. Tapi takkan

Lara mengandung? Dia yang ke sana sini dengan Lara. Tetapi mereka tak pernah buat ‘kerja dosa’ itu. Mereka dating, makan bersuap. Saling kait kelengkeng. Takkan macam tu pun boleh hamil kut?

“Budak dah biasa buat tu. Dia tu sebelum dengan kau, memang ke sana sini dengan lelaki itu ini. Satu kampung kenal anak Zah tu perangai macam mana. Macam bohsia.”

“Sedap sangat awak mengata, Sah.” Encik Maarof menggeleng. Apalah nak jadi dengan mulut isterinya itu.

“Eh, abang tak pernah nampak Lara tu sana sini naik motor dengan lelaki ke? Kan kita pernah jumpa dia bonceng motor Azwan sampai ke bandar.”

“Ya... betullah tu.” Encik Maarof mengangguk.

“Habis tu, apa yang tak kena dengan kata-kata saya?”

“Awak kata budak tu dah biasa buat. Awak tengok ke dia buat dengan sesiapa?”

Berubah sikit riak Puan Sanisah.

“Kalau dah gitu perangai, bersih lagi ke dia?”

“Parah mulut awak ni. Dengar dek Lara, dia hilang hormat kat orang tua macam awak.”

Selamba saja riak Puan Sanisah. Seperti tidak terkesan dengan kata-kata suaminya.

“Saya tak hairan sekuman pun dengan budak Lara tu, abang.”

“Hilmi kenal Lara. Dia tak macam yang mak fikir. Nakal-nakal dia pun, takde sampai nak tidur dengan lelaki.”

“Kau tahu luar dan dalam dia?”

“Mak kenal sangat dengan Lara?” balas Hilmi.

“Dahlah. Sekarang ni hal ni antara Anas dengan Lara. Mereka berdua yang tertangkap. Ayah tak faham, macam mana boleh jadi, Anas?”

Anas mengangkat muka. Memandang sang ayah.

“Anas pun tak tahu, ayah. Balik dari kandang kambing, Anas tidur kat sofa. Lepas tu Pak Seman, Bilal Jusoh, Pak Deris berdiri kat pintu. Tak lama lepas tu, Lara keluar dari bilik Hilmi.”

“Kau pergi mana? Apa hal kau suruh dia tidur kat bilik kau?” Encik Maarof memarahi Hilmi.

“Hilmi kan dengan ayah tadi. Hilmi tak tahu pun Lara dah sampai sini. Memang dia ada kata nak datang. Tapi Hilmi tak tahu macam mana dia boleh masuk rumah ni. Memang tak faham ni.”

“Siap Pak Seman boleh datang dengan orang surau. Semua jadi saksi dah. Malu!” Encik Maarof serba tak kena.

“Mak lagi tak faham. Tapi kenapa jadi macam tu?”

“Yang kau diam saja tadi tu, kenapa Anas?” jerkah Encik Maarof.

“Sebelum ayah balik, Anas dah beritahu pada semua yang Anas pun tak tahu kenapa jadi begini. Semua orang tak percaya, Anas diam ajelah.”

Eii, geramnya aku dengan kau.” Hilmi berdepan dengan Anas. Geram sungguh dengan si abang. Tetapi dia tahu, dalam hal ini Anas tidak bersalah. Yang masih menjadi tanda tanya, bagaimana Lara boleh berada di dalam rumahnya ketika dia tiada di rumah?

“Apa nak hairan, Lara kan selalu datang sini masa mak dan ayah tak ada. Tadi pun dia datang masa mak dan ayah tak ada. Inilah orang kata, sepandai-pandai tupai melompat, jatuh juga ke tanah. Selalu sangat datang rumah lelaki, mendapatlah sekarang. Anak dara tak tahu malu. Tak ada maruah!”

“Mak!” Sakit hati Hilmi ibunya mengata Lara.

“Apa?” jerkah Puan Sanisah.

“Mulut awak teruk sangat, Sah. Teruk. Kalau Lara teruk, dengan siapa dia teruk? Dengan Hilmi. Anak awak juga. Mengata Lara tak baik, sama macam mengata anak sendiri.”

“Tak sama. Anak kita lelaki. Lara tu perempuan.” Encik Maarof bengang dengan perangai isterinya. Puan Sanisah laju sangat mengata hal orang. Padahal anak sendiri bukan betul sangat pun.

“Bilal Jusoh...” desis Encik Maarof.

“Habislah kali ni. Bilal Jusoh sendiri tangkap kau dengan perempuan lain.” Bersahaja Puan Sanisah berkata. Senyum sendiri memandang Anas yang dari tadi nampak tidak keruan.

Anas tiada kata-kata mahu diluah. Semua bagai tersekat di kerongkong.

 

SEPERTI YANG dijangka, malam itu juga Bilal Jusoh dan isterinya Puan Kuntum bertandang di rumah Encik Maarof. Separuh daripada barangan hantaran pertunangan Anas dengan Naema

dikembalikan.

Masam wajah Puan Kuntum. Naema seperti orang tak betul selepas berita itu  diberitahu oleh suaminya. Bukan lagi fitnah mahupun khabar angin, kerana Bilal Jusoh sendiri yang menangkap Anas dengan Lara. Semua orang tahu Lara itu buah hati Hilmi, adik Anas. Tetapi, bagaimana Anas boleh tertangkap dengan Lara?

“Maafkan saya, mak cik, pak cik. Saya pun tak tahu macam mana boleh berlaku semua ni. Maafkan saya.” Anas nampak sedih.

“Senang minta maaf. Kamu dah bertunang dengan Naema, tapi masih nak menggatal dengan perempuan lain. Perempuan tak senonoh macam tu pula. Dia tu macam adik kamu sepatutnya,”

Puan Kuntum tidak berlapik kata.

“Saya tak tahu langsung fasal ni,” kata Anas.

“Kami terpaksa putuskan pertunangan antara Anas dengan Naema. Satu kampung dah tahu fasal ni.” Lantang suara Puan Kuntum.

“Macam mana Naema?” Perlahan suara Anas.

“Kamu rasa dia akan okey ke?” selar Puan Kuntum. Semasa mahu datang ke sini tadi, Naema masih menangis. Luluh hatinya melihat si anak begitu.

“Saya telefon dia, tak dapat pun.”

“Beri dia masa. Buat masa ni, pak cik rasa kamu jangan ganggu dia. Kamu pun dah tak ada apa-apa dengan dia,” kata Bilal Jusoh.

“Tapi saya rasa, ini salah faham. Saya percaya cerita Anas,” Encik Maarof bersuara. Dia kenal Anas. Anaknya itu tidak pernah buat hal. Lagi pula Anas bukan muda lagi. Usianya sudah 32 tahun. “Anas mana pernah buat hal. Dia tak melayan orang lain pun. Dia setia dekat Naema,” Encik Maarof membela anaknya.

“Kata Abang Maarof gitulah. Tapi pandangan orang kampung macam mana? Eh, kami tak akan izin Naema dengan Anas lagi. Jangan pula nama anak kami terpalit lumpur sama,” kata Puan Kuntum.

“Takkan sampai macam tu. Kedua-duanya kan dah bertunang.”

“Kalau Anas tak nikah dengan Lara sekalipun, saya tak izin dah Naema dengan Anas. Kami datang ni nak putuskan pertunangan. Kami pulang semula barangan hantaran pertunangan.”

“Awak ni, laju sangat bercakap,” Bilal Jusoh menegur tingkah isterinya. Dari rumah sampai sekarang, tidak pudar kemarahan isterinya.

“Kesian Naema.” Puan Kuntum tarik muka.

“Nanti saya jelaskan kepada Naema,” ujar Anas.

“Tak usah, Anas. Mak cik rasa dah selesai kat sini semuanya. Barang ni Naema yang minta kembalikan kepada kamu. Minta halal mana yang dah makan, mana yang diguna. Barangan yang diberi kepada kamu, Naema halalkan. Tak payah pulang balik. Dia tak nak tengok dah semua tu.”

Anas mengeluh. Faham sangat dia yang Naema sedang marah terhadapnya. Apabila marah, Naema memang akan tidak tentu arah. Tetapi dalam hal ini, wajar Naema marah. Tunangnya ditangkap basah dengan perempuan lain. Perempuan mana mampu senyum lebar? Jika dia di tempat Naema, marahnya juga begitu barangkali.

“Apa kata Pak Seman, Maarof?” soal Bilal Jusoh.

“Macam tadi itulah, esok nak berkira tentang ni. Tadi tu Lara macam tak sedar apa. Tak boleh cakap pun. Asyik muntah-muntah saja,” jujur Encik Maarof menjawab.

“Hah, muntah? Ada apa-apa ke budak Lara tu? Anas, kau buat apa dengan dia?” herdik Puan Kuntum.

“Heh, awak ni... laju sungguh bercakap.” Bilal Jusoh nampak bengang dengan reaksi isterinya.

“Buat apa lagi kalau dah muntah-muntah macam tu...” Puan Sanisah yang tadi diam, ketawa mengejek.

“Tak faham dengan budak Lara tu. Dari dulu suka buat hal. Itulah, sana sini bonceng motor dengan lelaki. Kalau aku ada anak lelaki, tak naklah aku ambil budak tu jadi menantu.” Reaksi Puan Kuntum seolah-olah jijik dengan Lara.

“Ya Allah, kenapa dengan awak ni, Tum? Jangan bercakap yang kita tak nampak; yang tak sahih. Dosa.” Bilal Jusoh benar-benar marah.

“Cakap benda yang depan mata, bilal...” Meleret suara Puan Sanisah.

Puan Kuntum mengangguk setuju, menyokong kata-kata Puan Sanisah.

“Memang Lara muntah-muntah tadi. Habis badan Anas dengan muntah dia.”

“Mungkin dia muntah sebab lain,” Bilal Jusoh berkata.

“Bersangka baik ya abang?” perli Puan Kuntum.

“Aku kena balik. Makin menjadi-jadi Tum ni. Datang nak selesai masalah, tapi bertambah pula saham dosa.” Bilal Jusoh bangun. Sedia mahu pulang.

Puan Kuntum dan Puan Sanisah sama-sama buat muka. Mengejek kata-kata Bilal Jusoh.

“Maafkan kami atas apa berlaku, bilal,” kata Encik Maarof.

“Benda dah jadi...” sahut Bilal Jusoh.

“Anas minta maaf, mak cik, pak cik. Kirim salam kepada Naema. Anas akan jumpa dia esok.”

“Tak payah. Jangan nak tambah sedih Naema,” Puan Kuntum memberi amaran.

Bilal Jusoh menggeleng kepada Anas, memberi isyarat agak akur pada kata-kata Puan Kuntum. Dia memahami isterinya. Melihat anak terluka, seorang ibu lebih lagi sakit akibat kelukaan si anak. Sebagai ayah, dia pun alami rasa yang sama. Cuma tidak terlalu emosi dalam mempamer kemarahan.

“Kami balik dulu,” Bilal Jusoh meminta diri. Puan Kuntum sudah berada di luar rumah. Siap menyarung selipar mahu masuk ke dalam kereta.

“Elok-elok bertunang, buat hal pula. Nak bernikah esok lusa dah,” Puan Sanisah menyindir.

“Mulut awak...” Encik Maarof rasa geram. Patutlah saudara-mara mengata, bagaimana dia boleh bertahan dengan mulut isterinya itu selama bertahun-tahun.

“Kenapa? Saya cakap yang betul. Dapat malu kita hari ni.”

“Malu apa? Anak saya. Bukan anak awak.” Encik Maarof tidak mampu mengawal perasaan

geramnya.

“Heh, orang tua ni...” jeling Puan Sanisah.

“Kita ni jangan nak seronok sangat tengok orang jatuh. Nanti bila kita jatuh, tahulah sakit macam mana orang pandang sinis. Belum tentu Anas ni bersalah. Apa yang orang nampak, tak sama dengan apa yang orang fikir.”

“Eh, bela anak dia pula.”

“Yalah. Nak harap awak bela? Tunggu kiamat.”

“Abang ni...”

“Ayah, Anas masuk dulu. Anas minta maaf sangat dengan apa yang berlaku. Anas tak tahu-menahu fasal ni.”

“Rehat. Jangan fikir sangat,” pesan Encik Maarof. Dia turut beredar selepas Anas masuk ke dalam bilik.

Puan Sanisah mencebik. Dipandang Hilmi yang murung.

‘Ini sorang lagi...’

Namun dalam hati Puan Sanisah, dia rasa puas dengan apa yang berlaku petang tadi.

 

No comments:

Post a Comment