DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 4 September 2015

DEMI BAHAGIA INI - BAB 4

DEMI BAHAGIA INI - BAB 4



Segala persiapan sudah disediakan. Beg yang baru dibeli dipenuhi baju, seluar yang kebanyakannya jean, beberapa pasang baju kurung, seluar slack dan beberapa helai blaus, juga tudung-tudung yang baru dibeli. Waktu penerbangan pukul 11.00 pagi nanti. Syukur abang Khairul, yang mempunyai sedikit tugasan di Kuala Lumpur selama beberapa hari ini, sudi menghantarnya ke KLIA. Dapatlah Timah turut menghantarnya sehingga ke KLIA.

Wajah sugul Timah yang duduk di sebelah begnya dipandang sayu. “Tim, kau jangan lupa pesanan aku.”

Timah mengangguk lemah. Dia tidak akan lupa. Pesanan yang sama yang diucapkan Qistina semenjak Timah pulang dari kampung. “Aku ingat. Aku tak dibenarkan bagi tau sesiapa pun pasal kau lari ke mana. Nanti kau akan ambik nombor telefon baru bila dah sampai London nanti. Aku langsung tidak dibenarkan bagi tau sesiapa pun nombor telefon kau kat London kecuali famili aku…Ada lagi yang tertinggal?”

“Aku tak tau sama ada aku boleh e-mel kau ke tak macam dulu. Kalau aku susah nak dapat access, aku akan tulis surat pada kau, macam orang dolu-dolu,” Qistina cuba berjenaka. “Alamat aku pun kau tak boleh bagi sesiapa, okey?”

Qistina mencapai tangan Timah. “Tim, kau okey, kan?”

“Aku okey. Aku at least ada mak dan ayah. Along pun ada. Tapi aku sedih sangat mengenangkan nasib kau. Dah lama sangat kau bersendirian, Ina. Aku doa sangat-sangat yang kau akan jumpa jodoh kau cepat-cepat. Sekurang-kurangnya nanti, kau tak lagi keseorangan dan ada suami yang akan lindungi kau dari segalanya.”

Qistina terharu. Tangan Timah digenggamnya erat. “Aku ada kawan macam kau pun dah cukup, Tim. Dan Allah sentiasa ada dengan aku. Selama ni Allah yang jaga aku daripada keburukan keluarga aku sendiri. Aku tak risau, Tim. InsyaAllah aku akan okey. Kau doakan aku, ya?”

Timah masih lesu. “Tim, jaga diri kau baik-baik. Aku pergi InsyaAllah setahun je, melainkan aku dapat cari kerja kat sana. Pejam celik, pejam celik dah setahun. Entah-entah aku balik nanti, kau dah kahwin pun. Manalah tau kan?”

“Hish, kau ni!” Timah pantas mencubit lengan Qistina. “Aku tak lakulah beb!”

Qistina mencebikkan mukanya. Tidak suka mendengar Timah berkata begitu.

“Dah! Pergi mandi. Along datang kejap lagi. Kau siaplah, ya? Aku pun nak mandi ni.”

Qistina mengangguk.

************

Urusan daftar masuk bagasi telah pun selesai. Kelibat majikan Qistina masih belum kelihatan. “Tim, abang Khairul, kalau nak balik dulu, baliklah…tak pe. Ina boleh tunggu bos Ina tu. Mungkin dia check-in lambat, kot. Kalau naik Business Class memang boleh lambat.”

“Eh, mana boleh tinggal Ina macam tu je. Kita tunggu, tak pe.” Khairul membantah.

Qistina tersenyum. “Tak pe ke abang Khairul? Dah lah ambik time off untuk hantar Ina ke sini.”

“Tak pe, Ina. Small matter.” Wajah halus gadis itu ditatapnya lama. Hatinya telah lama menyatakan bahawa jodohnya tiada dengan Qistina, namun sukar benar untuk dirinya menghapuskan rasa sayang yang sudah sekian lama terpupuk di dalam hatinya, sejak pertama kali matanya terpandang ke wajah gadis itu. Ketika itu Qistina baru berusia sembilan belas tahun. Rasa baru semalam ia terjadi.

Sebelum pulang ke kampung, sempena cuti semesternya, Khairul telah singgah ke rumah agam papa Qistina untuk bertemu ibu dan bapanya. Qistina yang juga baru pulang bercuti dari London sedang menolong Mak Esah di dapur. Hatinya terus terpaut kepada gadis itu. Sungguh manja di sisi ibunya. Sungguh mesra dan berbudi bahasa. Amat menghormati Mak Esah dan Pak Atan, walaupun mereka merupakan orang gaji sahaja di rumah itu.

Khairul mengeluh perlahan. Mungkin apabila Qistina kembali ke Malaysia nanti, pada waktu itu Khairul sudah pun mendirikan rumahtangga. ‘Eloklah begitu’, fikirnya.

Tidak jauh dari tempat mereka berdiri, Ian Iskandar yang sedari tadi duduk di atas kerusi di celah-celah orang ramai, memerhatikan Qistina bersama dua orang kenalannya itu. Qistina sungguh santai mengenakan seluar jean berwarna biru dan kemeja berlengan panjang berwarna biru muda. Ian Iskandar sudah lama sampai dan sudah lama menyelesaikan urusan bagasinya. Hanya menunggu kedatangan gadis itu.

Siapakah jejaka di sebelah Qistina yang merenung Qistina dengan penuh rasa kasih dan sayang itu? Bukankah Qistina sudah menyatakan bahawa dirinya tiada teman lelaki?

Ian Iskandar mengilas pandang jam di tangannya. Dia bangun dan menggalas beg komputer ribanya. Dia berjalan dengan perlahan mendekati Qistina.

“Assalamualaikum,” Ian Iskandar menyapa.

Serentak mereka bertiga menjawab salam Ian Iskandar. Ian Iskandar memandang Qistina dan dengan pergerakan kepalanya, dia bertanya, “Ready?”

“Errr…yes. Encik Ian. Saya dah sedia. Sebelum tu kenalkan dulu kawan saya Timah dan abangnya Khairul…ni bos Ina, Encik Ian.” Hairan Qistina melihat Timah yang sedikit ternganga memandang Ian Iskandar. Qistina tidak pula menceritakan kepadanya tentang majikannya ini. Timah terpaksa mendongak untuk memandang wajah tampan Ian Iskandar. Kini barulah dia mengerti apa sebenarnya maksud ‘God’s gift to women!’ Ian Iskandar menepati maksud ayat itu. Khairul pula kelihatan tidak selesa, namun tangan dihulurkan juga untuk menyalami Ian Iskandar.

Ian Iskandar mengangguk dan mengukirkan senyuman kepada Timah dan Khairul. Kemudian dia pantas mengalihkan pandangannya ke wajah Qistina. “We have to go in now. You’d better say your goodbyes now.”

Qistina memeluk Timah sekuat hatinya dan Timah juga begitu. Lama. Tiada ucapan perlu diungkapkan di antara mereka lagi. Kedua-dua pipi Qistina dikucup lembut. “Aku akan rindu kau, Ina.”

Qistina mengangguk. Tangan Timah masih dalam genggaman. “Abang Khairul, selamat tinggal, ya? Tolong jaga baik-baik kawan Ina sorang ni.”

“Ina…abang…errr…abang sayangkan Ina. Ina jaga diri, ya?” Khairul terlepas kata. Dia tidak tahu mengapa dia mengucapkan kata sayang itu namun dia tidak menyesal.

Qistina terkedu. Segan dia dengan Ian Iskandar yang masih berdiri tercegat di situ menantikannya. Wajah lelaki itu berubah seketika tatkala Khairul mengucapkan rasa sayangnya sebentar tadi. “Ina pun sayangkan abang Khairul…” Ikhlas Qistina melahirkan perasaannya terhadap Khairul. Memang dia sayangkan Khairul. Sayang kepada seorang abang dan juga kepada seorang teman.

Khairul mengangkat beg kecil dari atas lantai dan menghulurkannya kepada Qistina. Qistina menyambutnya. Qistina memandang Timah. Timah telah berjanji tidak akan menangis dan Timah sedang berusaha sedaya-upayanya untuk memegang kepada janjinya itu. Merah-merah matanya menahan tangis.

“Ina pergi dulu. Assalamualaikum.” Qistina mengekori langkah panjang Ian Iskandar. Dia melambai ke arah Timah dan Khairul hingga melepasi pintu pelepasan antarabangsa. Qistina mengambil nafas dalam-dalam. Dia harus tabah. Dia harus kuat.

***********

Qistina asyik memandang ke luar tingkap. Matanya masih tidak mengantuk, walaupun malam tadi dia tidak bisa tidur. Syukur dia hanya berseorangan duduk di barisan tempat duduk itu. Senang untuk keluar masuk. Tidak perlu mengganggu orang yang duduk bersebelahan dengannya.

Setelah meninggalkan Timah dan Khairul tadi, Ian Iskandar langsung tidak berbicara dengannya. Qistina tetap mengekorinya sehinggalah Ian Iskandar masuk melalui pintu Golden Lounge yang dikhaskan untuk penumpang Business Class sepertinya. Qistina meneruskan perjalanan berseorangan ke pintu pelepasan.

Wajah mama dan papanya kini bermain di ruangan matanya. Kata-kata terakhir yang diucapkan papanya masih terngiang-ngiang di telinganya. Terlalu mengguris hatinya.

‘Kenapa Remy, papa? Why him?’ Sekiranya seorang manusia itu dibenarkan membenci seorang insan yang lain, pastinya Remylah orang yang paling dibencinya dalam dunia ini.

Spoilt brat, arrogant, selfish, irresponsible…semuanya itu mencerminkan diri Remy yang sebenarnya. Walaupun umurnya sudah menjangkau dua puluh lima tahun, namun tiada tanda-tanda dia mahu berubah daripada cara kehidupan yang diamalkan sejak zaman remajanya. Mengunjungi parti dan kelab malam sudah sebati dengan jiwanya. Rokok, arak dan perempuan merupakan nadi kehidupannya.

Sejak Qistina pulang dari London, dia sering dipaksa keluar bersama Remy oleh kedua orang tuanya. Mama dan papanya tidak membantah dengan cara kehidupan Remy, malah menggalakkan Qistina untuk melayan sahaja permintaan Remy yang gemar mengheretnya ke tempat-tempat yang tidak disukainya itu.

Temu janji yang pertama, masih okey. Mereka hanya keluar makan malam berdua di sebuah restoran di Hotel Hilton. Sejak pertemuan pertama lagi Qistina tidak menyukai Remy namun ditelan sahaja perasaan itu. Remy terlalu angkuh dan memandang rendah kepada golongan yang tidak ‘setaraf’ dengannya. Malu melihatkan kesombongannya melayan pelayan yang bekerja di restoran pada malam itu. Terlalu bongkak apabila mahu dilayan mengalahkan putera raja!

Pada temu janji yang kedua, Remy membawanya mengunjungi kelab malam. Suasana yang bingit dengan muzik yang membunuh gegendang telinganya membuatkan Qistina memaksa Remy untuk menghantarnya pulang atas alasan pening kepala. Remy menurut walaupun kelihatan merajuk kerana terpaksa meninggalkan kawan-kawannya di kelab malam itu. Meluat Qistina melihatkan Remy yang asyik memuncungkan mulutnya sepanjang perjalanan pulang ke rumah papa Qistina.

Pada temu janji yang ketiga pula, Remy membawanya menghadiri parti hari jadi rakannya yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Qistina menolak namun terpaksa menurut juga apabila kereta Remy sudah pun dipakirkan di hadapan lobbi hotel. Majlis yang sesak dengan asap rokok dan bau alkohol amat meloyakan tekak Qistina. Tubuh-tubuh yang berpelukan dan terhenjut-henjut menari di atas lantai tari menyesakkan pandangan mata Qistina. Tidak putus-putus Qistina beristighfar di dalam hati dan berdoa agar Allah tidak mencabutkan nyawanya ketika itu, pada saat dia berada di tempat yang penuh dengan kemaksiatan itu.

Entah berapa kali Qistina terpaksa menepis tangan Remy yang sering menggatal hendak berlabuh di bahu atau pinggang atau pahanya. Ketika Remy menghulurkan segelas minuman keras kepadanya, Qistina sudah hilang kesemua kesabarannya. Dia lantas bangun dan mahu beredar daripada kesesakan itu. Namun Remy yang sudah mula mabuk, terhuyung-hayang mengejarnya sehingga ke dalam lif. Di dalam lif hanya ada mereka berdua. Remy mendekati Qistina dan menghimpitnya hingga ke dinding lif. Qistina panik dan cuba menolak tubuh Remy, namun apalah dayanya. Ternyata Remy terlalu kuat untuknya.

Tiada gunanya dia menjerit, bukan bisa didengar manusia lain. Cubaannya untuk menekan butang kecemasan di dalam lif juga tidak berjaya. Remy terlebih dahulu dapat meneka akan niat Qistina itu dan pantas menghalangnya. Tangannya dikunci ke belakang tubuhnya. Di dalam hati hanya mampu berdoa agar lif berhenti dengan segera agar dia bisa mendapatkan pertolongan. Allah terlalu menyayanginya. Doanya dimakbulkan dan Qistina dapat meloloskan dirinya, lalu lari keluar dari perut lif. Tubuh lelaki yang dilanggarnya di pintu lif tidak dihiraukannya. Jeritan Remy memanggil namanya juga tidak diendahkan. Qistina pantas berlari…lari ke dakapan Timah yang setia memujuknya. Namun tidak sanggup dia mengenangkan kembali apa yang terjadi kepada dirinya di dalam lif ketika masih dalam pelukan Remy. Dirinya terasa jijik dan kotor. Ingatannya dikaburkan. Itulah kali terakhir dia keluar bertemu janji dengan Remy, ketiga-tiganya dalam tempoh kurang dua minggu, sebelum dipaksa berkahwin oleh papanya.

Suara pramugara membuat pengumuman di dalam pesawat mengembalikan Qistina ke alam nyata. Matanya dibuka. Ketika dia menoleh ke kiri, terkejut melihat kelibat Ian Iskandar yang duduk bersandar di tempat duduk, selang satu tempat duduk darinya. Mata biru Ian Iskandar melekap di wajahnya, entah sudah berapa lama begitu. Qistina tidak senang duduk ditenung begitu. Dia menelan air liur. “Encik…kenapa duduk kat situ?” ‘Hish mamat ni. Kenapa dia mengadap muka aku ni? Bukan ke dia patut duduk kat Business Class?’

Why were you crying?” Soalan Qistina dibiar tanpa jawapan. Sudah hampir sepuluh minit dia duduk di situ, namun Qistina langsung tidak sedar akan kehadirannya itu. Bermacam-macam riak bermain di wajah Qistina, mengalahkan pertukaran adegan di layar perak. Air mata yang mengalir di pipi halus gadis itu juga tidak diseka. Dibiarkan sahaja mengalir. Mungkin gadis itu tidak pun menyedari tangisannya sendiri. Tatkala melihatkan air mata tumpah dari mata gadis itu yang masih terpejam, suatu perasaan yang halus menerpa ke dalam hatinya. Dia sendiri tidak tahu apakah sebenarnya perasaan itu, tetapi yang pasti, dia tidak suka melihat gadis itu bersedih. Sedih meninggalkan lelaki yang bernama Khairul tadi ke?

Qistina tersentak mendengar pertanyaan Ian Iskandar. Spontan tangannya naik ke pipi yang baru disedarinya sedang basah.  Malu dia ditangkap dalam keadaan begitu. ‘Tulah, terlampau melayani perasaan sampai menangis pun tak perasan!’ Pipinya dikesat dengan belakang tangannya.

No, nothing!”

Crying over nothing? That’s strange…” sinis nada suara Ian Iskandar menyindirnya. Keningnya dijungkitkan. “Who was that guy at the airport? I thought you said you didn’t have a boyfriend?”

Qistina kehairanan. Mengapa bunyinya seolah-olah menuduh sahaja?

He is not my boyfriend. Just a friend…”

Somehow I don’t believe it…” Masih dia ingat cara renungan Khairul terhadap Qistina tadi. Panas hatinya mendengar ucapan sayang lelaki tadi kepada Qistina dan juga ketika Qistina membalas ucapan sayangnya kepada lelaki itu. Tetapi kenapa?

Qistina diam tidak menjawab. Baginya, lagi banyak yang dijelaskan, lagi banyak persoalan bakal menyusul. Dia tidak mahu Ian Iskandar mengenali dirinya lebih daripada yang seharusnya. Lagi sedikit maklumat mengenai dirinya yang diketahui Ian Iskandar, lagi selamat.

“Oh ya, memandangkan awak tak beri resume awak pada saya masa interview minggu lepas, saya terpaksa tanya awak beberapa soalan lain.”

Dahi Qistina berkerut. Kontrak sudah pun ditandatangani. Bukankah sudah terlambat untuk menyambung sesi temuduga sekarang?

Ian Iskandar terus mengamati wajah Qistina. Gadis itu tidak bijak menyembunyikan perasaannya. Semuanya jelas terpampang. ‘Tak boleh main poker minah ni. Tak de poker face langsung! Tapi bagus jugak. Senang aku nak baca perasaannya.’

“Kenapa? Ada masalah?” Keningnya dijungkitkan sebelah. Bertambah menawan. Qistina pantas mengalihkan pandangannya. Takut dengan perasaannya yang tidak tentu arah sejak Ian Iskandar duduk di sebelahnya.

“Eh, tak…cuma isn’t it a bit too late? Encik dah ambik saya bekerja dah pun…”

Ian Iskandar tesenyum. “Saya bukan nak batalkan kontrak. Saya cuma nak tau awak ni orang macam mana. Saya lupa nak mintak resume awak sebab terdesak nak cari orang hari tu.”

Qistina mula merasa cuak. Takut sekiranya Ian Iskandar bertanyakan hal-hal peribadi, terutama perihal keluarganya atau tahap pelajarannya. Dia tidak mahu menipu namun kalau terpaksa, dia sanggup asalkan tiada siapa tahu yang dia anak kepada Tan Sri Ali Saifuddin.

Daripada perbualan ringkas dengan Lisa, setiausaha Ian Iskandar tempoh hari, dia sempat bertanya serba ringkas mengenai pekerjaan Ian Iskandar. Qistina diberi tahu bahawa Ian Iskandar merupakan seorang ahli perniagaan, seperti papanya juga. Walaupun perniagaannya beribu pejabat di kota London, syarikat Ian Iskandar mempunyai rangkaian di serata negara-negara Asia, dan pejabatnya di Kuala Lumpur merupakan pejabat singgahan untuknya. Jadi tidak mustahil sekiranya Ian Iskandar mengenali papa Qistina, kalau pun tidak secara peribadi, tetapi daripada namanya.

“Kenapa your parents tak hantar you ke airport tadi?”

‘Ya Allah! Apa nak jawab ni?’ Qistina mula meramas-ramas tangan di atas pahanya.

“Dia orang tak de kat KL.” Okey, itu belum dianggap menipu sebab memang mama dan papanya tiada di Kuala Lumpur. Dia ada terbaca di surat khabar tentang pemergian papanya, yang diiringi mamanya ke Singapura untuk menandatangani suatu perjanjian usaha sama dengan sebuah syarikat di Singapura. ‘Fuh! Lega tak perlu tipu.’

Siblings?”

“Sibuk.” Okey. Yang ini pun bukan suatu penipuan. Memang abang dan kakaknya sentiasa sibuk. Sibuk bersosial!

Ian Iskandar tidak berkenan dengan cara Qistina menjawab pertanyaannya. Sudahlah tidak membuat eye-contact. Tangan kirinya pula yang asyik meramas tangan kanannya, seakan menggambarkan perasaannya yang sedang gemuruh. Adakah gadis itu menyembunyikan sesuatu?

“Awak pernah kerja sebelum ni?”

“Tak pernah, Encik.” Jawapan ini juga jujur.

“Awak ni cakap dengan saya atau dengan kerusi kat depan awak tu?” Ian Iskandar sudah mula hilang sabar dengan kegelisahan gadis di sebelahnya itu. Qistina menoleh dan memandang wajah Ian Iskandar yang sedikit tegang. Dia tidak tahu mengapa Ian Iskandar mampu membuat dia kehilangan sikap tenangnya selama ini.

“Maaf, Encik. Encik ada apa-apa soalan lagi nak tanya saya? Kalau tak de, saya nak tidur kejap.” Pandai Qistina cuba melarikan dirinya.

Ye, banyak lagi soalan,” balas Ian Iskandar, tegas. Dia cuba menyembunyikan senyumannya tatkala Qistina mengeluh kecil sejurus mendengar balasan Ian Iskandar. “Kenapa mengeluh?”

“Encik, sebenarnya I am a very private person. Saya tak suka soalan berbentuk peribadi. Soalan-soalan yang Encik tanya ni tak de kena mengena pun dengan tugas saya sebagai peneman ibu Encik.” Qistina memberanikan diri menyuarakan pendapatnya.

Kening Ian Iskandar dijungkitkan lagi. ‘Hai, suka betul mamat ni main-main dengan kening dia ni. Macam mana dia boleh angkat kening sebelah ek? Nak kena belajar ni…Bertambah handsome!’

Are you hiding something from me?” Rasa macam hendak tersembul biji mata Qistina mendengar soalan itu.

“Kenapa Encik tanya macam tu? Salah ke saya cakap saya tak suka kongsi hal peribadi saya? Tak semestinya saya menyembunyikan sesuatu, kan?”

Ian Iskandar tidak percaya. Daripada reaksi Qistina sebentar tadi, jelas Qistina ada menyembunyikan sesuatu. Kalau tidak, takkan sampai terkejut begitu sekali?

“Lagipun, I will make sure my personal life will not interfere with my duties.”

“Ah! Jadi memang awak ada personal issues lah ni?” Tajam pandangan yang dihalakan Ian Iskandar kepada Qistina. Terkulat-kulat gadis itu mencari balasan yang sesuai. “Sebab itu ke awak menangis tadi?”

“Encik…jangan salah faham. I was just making a general statement.” ‘Hish! Pandai jugak aku ni, ek!’ Qistina memuji diri sendiri. “Saya pun tak sedar saya menangis tadi, Encik. Saya tak ingat kenapa.” Penipuan yang pertama diucapkan Qistina. ‘Habis tu, takkan nak cakap aku menangis sebab teringatkan apa Remy pernah buat kat aku?’

We’ll see. I will be watching you very closely! Saya tak nak ibu saya kecewa dengan prestasi awak. Depan ibu saya, awak kena sentiasa ceria, sentiasa happy. She has had enough sadness in her life. Awak kena jaga tingkah laku awak depan ibu saya. Jangan sebab masalah peribadi awak, awak tunjukkan mood awak depan ibu saya, faham?”

Qistina mengangguk. “Saya faham, Encik. Encik tak perlu risau. Saya tahu tugas saya.”

Good! Rutin ibu saya senang saja. Pagi pukul 8.30, awak sarapan dengan ibu saya dan bacakan surat khabar pada dia. Lepas tu berbual-bual pasal apa saja. Pukul 11.00, awak temankan dia minum teh. Pukul 12.00 sampai pukul 2.00 dia makan tengah hari dan berehat. Lepas tu, ikut suka ibu nak buat apa. Pukul 5.30 awak boleh berhenti.”

Qistina pantas memasukkan semua maklumat yang diberi di dalam kotak memorinya. Semua yang dimaklumkan tadi, tiada dalam kontrak yang baru ditandatanganinya.

“Dah, I’ll see you later. Makan dulu baru tidur. They will be serving food shortly. Saya tak nak awak sampai London je terus sakit sebab tak makan.” Ian Iskandar bangun dan berlalu dari kelas ekonomi menuju ke tempat duduknya di Business Class. Qistina mencebikkan mukanya ke arah Ian Iskandar sebaik sahaja Ian Iskandar berlalu. Terasa berani kerana mengetahui Ian Iskandar tidak mungkin dapat melihat aksinya.

‘Eeee…membebel! Dahlah banyak soalan!’ getus Qistina di dalam hati. Namun lega segala rahsia masih kekal rahsia. Nyaris-nyaris terkantoi sebentar tadi, tetapi pantas ditutup Qistina. Kedatangan pramugari dan pramugara yang bertugas sambil menghulurkan dulang makanan melegakannya. Harap-harap Ian Iskandar tidak akan mengganggunya lagi selepas ini.

Di ruang hadapan, Iskandar melabuhkan punggungnya di kerusinya yang empuk dan selesa. Kerlingan pramugari jelita yang sejak tadi cuba bermain mata dengannya, tidak dihiraukannya. Wajah Qistina juga yang masih dikenangkannya.

Pada usianya yang sudah mencecah tiga puluh tahun, Ian Iskandar sudah lama tidak merasakan tarikan di hatinya untuk seorang wanita. Apatah lagi gadis yang dia rasakan masih terlalu muda untuknya. Namun sejak gadis itu hadir dalam ruang pejabatnya minggu lalu, hanya wajah gadis itulah yang hadir di depan matanya siang dan malam. Sehingga terasa lama menantikan hari Rabu dan terasa sedikit kebudak-budakan bila tidak sabar-sabar untuk bertolak ke KLIA pagi tadi.

Apa istimewanya gadis itu? Wajahnya ayu, cantik, menawan tetapi matanya memancarkan cahaya kesedihan. Mengapa? Lesung pipitnya, yang muncul di sebelah pipinya sahaja, sungguh mengasyikkan. Jarinya terasa gatal hendak menyentuh lekuk di dagu gadis itu. Kulitnya putih kemerahan serta halus mulus. Perwatakannya lembut, mempesonakan.

Apa yang cuba disembunyikan gadis itu? Apa rahsianya? Ah, semua orang ada rahsia mereka yang tersendiri. Namun mengapa hatinya meronta-ronta ingin tahu segala-galanya tentang gadis itu? Terasa segala yang tersembunyi di dalam hati gadis itu ingin dikupasnya satu demi satu. Selama setahun, mereka akan duduk di bawah bumbung yang sama. Ian Iskandar tersenyum. Dia mempunyai banyak masa dan ruang untuk lebih mengenali Qistina. Dia mampu bersabar.





No comments:

Post a Comment