DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 September 2015

DEMI BAHAGIA INI - BAB 7

DEMI BAHAGIA INI - BAB 7



Hari kedua menemani Puan Mariam, Qistina diperkenalkan kepada doktor peribadi Puan Mariam, Dr. Ilyas Khan. Qistina tidak menyangkakan bahawa doktor yang menziarahi Puan Mariam dua kali seminggu merupakan doktor muda warganegara Britain berketurunan Pakistan. Orangnya tinggi, kacak dan pemurah dengan senyuman. Terlintas di hati Qistina seketika bahawa sekiranya pemuda ini tidak menjadi seorang doktor, pastinya dia akan disambar menjadi model atau hero filem Bollywood. Begitu terserlah aura dan ketampanannya.

Dr. Ilyas Khan melangkah masuk ke dalam bilik Puan Mariam tepat jam 9.00 pagi diiringi Ian Iskandar dan Natalie Brown. Qistina bersama Puan Mariam baru selesai bersarapan pagi. Terpegun Qistina seketika memandang wajah Dr. Ilyas Khan sebelum bangun untuk meninggalkan bilik Puan Mariam memandangkan ini merupakan sesi rawatan yang tidak memerlukan kehadiran Qistina. Dia juga merasakan terlalu ramai di dalam bilik itu dan tidak mahu berada dalam ruang ‘sesak’ bersama Ian Iskandar. Cukuplah dia merasa sesak ketika makan malam bersama lelaki itu.

Dr. Ilyas Khan perasan akan kehadiran Qistina sejak dia masuk ke dalam bilik Puan Mariam lagi. Dia tidak pernah bertemu dengan gadis itu dan dia tahu gadis itu bukanlah anak perempuan Puan Mariam. “Morning Mariam. How are you today?” Selepas Puan Mariam membalas sapaan Dr. Ilyas Khan, Dr. Ilyas Khan menoleh ke arah Qistina yang baru melangkahkan kaki untuk berlalu dari bilik Puan Mariam. “And who is this lovely young lady?” Dr. Ilyas Khan bertanya lagi sambil tangannya melambai ke arah Qistina.

Qistina berhenti melangkah. Semua mata bertumpu ke wajah Qistina. “Oh doc, meet my companion Qistina. She’s from Malaysia. Qistina, meet Dr. Ilyas Khan…” Puan Mariam bersuara.

Dr. Ilyas Khan menjungkitkan keningnya. “From Malaysia? That’s nice. Hi Qistina! Qistina? Hmmm…what a lovely name. Nice to meet you. Just call me Ilyas…”

Qistina mengukirkan senyuman manis menerima salam perkenalan Dr. Ilyas Khan. Ian Iskandar mengerutkan dahinya. Mengapa Qistina tidak pernah senyum sebegitu kepadanya sebelum ini? Dia turut perasan riak Qistina ketika pertama kali melabuhkan pandangan ke wajah Dr. Ilyas Khan tadi. Terpikatkah gadis itu kepada doktor ibunya? Hatinya diruntun rasa cemburu. Cemburu? Biar betul!

Nice to meet you too, doc!” Qistina kurang selesa untuk memanggil doktor muda itu dengan panggilan nama Ilyas seperti yang diminta. “Excuse me…I’ll leave madam into your hands…”

Dr. Ilyas Khan membalas senyuman Qistina. Hati Ian Iskandar semakin panas. Hati Puan Mariam pula tersenyum girang…suatu rancangan mula berligar-ligar di kepalanya.

Pemeriksaan Dr. Ilyas Khan mengambil masa lebih kurang setengah jam. Perbincangan mengenai prestasi Puan Mariam dibincang di antara Puan Mariam, Dr. Ilyas Khan, Natalie Brown dan Ian Iskandar secara tertutup. Qistina menunggu di ruang tamu.

Pintu bilik Puan Mariam dibuka. Jururawat berambut kuning keluar ke ruang tamu dan memanggil Qistina masuk ke dalam. Natalie Brown pula mengambil tempat Qistina di ruang tamu. ‘Hish, sombong betul minah ni. Tak reti senyum ke?’ getus Qistina di dalam hati apabila ucapan terima kasih Qistina tidak mendapat sebarang reaksi daripada jururawat itu.

Qistina mengetuk pintu bilik Puan Mariam dengan perlahan dan terus membukanya. Dia tahu dia tidak perlu menunggu sebarang panggilan daripada Puan Mariam untuk masuk. Hanya mengetuk sekadar untuk memenuhi adab masuk ke dalam bilik.

“Madam panggil saya?” lembut Qistina bertanya. Dia melihat Ian Iskandar dan Dr. Ilyas Khan masih berada di dalam bilik Puan Mariam.

Puan Mariam mengangguk sambil tersenyum.

“Qistina, I have been told that you are the reason why Mariam is feeling so cheerful today. You have lifted her spirits and this is good for her.” Dr. Ilyas Khan memuji. Qistina malu dipuji begitu sedangkan ini baru hari kedua dia menjadi peneman Puan Mariam. Pipinya terasa hangat.

I’m sure it’s not me, doc. This is only my second day as her companion…” Qistina mengambil sikap merendah diri. Renungan tajam daripada Ian Iskandar mendebarkan hatinya. ‘Kenapa pulak mamat ni tengok aku macam nak telan je? Apa salah aku? Takkan marah kot doktor tu puji aku?’

Well, don’t be so modest! You know, now that the weather is good, Mariam could do with a stroll outside. Maybe you can accompany her to the park?”

Qistina teruja mendengar cadangan Dr. Ilyas Khan. Tidaklah dia dan Puan Mariam asyik terkongkong di dalam bilik ini sahaja. Boleh juga keluar mengambil angin, memandangkan cuaca sedang panas. “I’d love to! Madam, are you okay with this?”

Puan Mariam tersenyum. Dia pun sudah lama tidak keluar dari biliknya. Dia tidak digalakkan keluar ketika cuaca sejuk. Tidak elok untuk kaki dan kesihatannya. Dia teringin sangat hendak bersiar-siar di taman namun Ian Iskandar terlalu sibuk untuk menemaninya.

Yes, absolutely! Maybe we can go this evening?”

Qistina mengangguk sambil tersenyum. ‘Cantiknya lesung pipit dia ni!’ Ian Iskandar memuji. Geram!

Good! I’ll be off now! I’ll see you beautiful ladies next Tuesday!” Dr. Ilyas Khan meminta diri.

Ian Iskandar mengetap bibir melihat Qistina tersipu mendengar ucapan selamat tinggal daripada Dr. Ilyas Khan. Ian Iskandar mengikut Dr. Ilyas Khan keluar dari bilik Puan Mariam.

Puan Mariam menggenggam tangan Qistina. “I am looking forward to this evening! Saya dah lama tak keluar bilik. Bosan sangat! Rindu nak tengok dunia luar…”

“Jangan risau, madam. Saya akan bawak madam keluar jalan-jalan hari ni. Kita pergi taman, ya? Ambik angin!”

Puan Mariam mengangguk. Tidak sabar dia! “So, what do you think of my doctor?” Puan Mariam cuba memancing. “Handsome tak?”

Di hati Qistina, Ian Iskandar lebih kacak daripada Dr. Ilyas Khan, namun pendapat itu sekadar dipendam di dalam diam. “Handsome, madam! Kenapa? Madam nak mengorat ke?”

Tawa Puan Mariam terletus dengan kuat mendengar usikan Qistina. Tiba-tiba Ian Iskandar masuk ke dalam bilik Puan Mariam. Tawa Puan Mariam masih bersisa. Ian Iskandar memandang ibunya kehairanan. Jarang-jarang sekali ibunya ketawa begitu sekali. Wajah ceria Qistina juga dipandang sekilas. “What’s so funny, mummy?”

Nothing, dear. It was just something Qistina said…” Puan Mariam sengaja membiarkan penjelasannya tergantung begitu sahaja. Ian Iskandar memandang Qistina yang masih tersenyum.

Said about what?” Ian Iskandar bertanya tidak puas hati.

About Dr. Ilyas…” Puan Mariam mengamati riak wajah Ian Iskandar. Ia berubah tegang seperti yang diharapkan. “Run along, dear. I know you’re already late for work…” Puan Mariam ‘menghalau’ Ian Iskandar. Dia tidak mahu anaknya bertanya dengan lebih lanjut lagi. Dia mahu Ian Iskandar memikirkan tentang perkara ini di dalam kepalanya hingga ke petang.

Ian Iskandar mengeluh. Dia menghampiri Puan Mariam dan mengucup dahinya. Tanpa berlengah, dia berlalu meninggalkan bilik Puan Mariam tanpa mengerling ke arah Qistina. Marah agaknya, tapi mengapa, ya?

Qistina mencapai surat khabar dari atas meja dan mula membeleknya. Dia mula membaca berita terkini yang terpapar di surat khabar dan Puan Mariam antara mendengar dengan tidak. Puan Mariam tidak dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada berita yang dibacakan Qistina. Dia masih teringatkan reaksi anaknya sebentar tadi apabila melihatkan Dr. Ilyas Khan memberikan perhatiannya kepada Qistina. Dia tahu rancangannya pasti akan berjaya.

************

Qistina duduk di atas bangku bersebelahan Puan Mariam yang duduk di atas kerusi rodanya. Suasana taman yang ceria melahirkan senyuman di bibir Puan Mariam. Kanak-kanak berlari berkejaran. Pengunjung taman Hyde Park ada yang berkelah dan ada yang berbaringan dan bersantai di atas rumput. Semua menikmati cuaca panas yang muncul begitu sekejap dalam masa setahun.

Qistina memerhatikan pasangan-pasangan yang berjalan berduaan dan ada juga yang membawa anak-anak mereka bersantai bersama. Ketika pandangan Qistina tertancap kepada sepasang orang tua yang kelihatan dalam lingkungan usia Mak Esah dan Pak Atan, hatinya dibuai rasa sayu dan kerinduan yang amat dalam.

What’s the matter, dear?” Qistina menoleh dan mendapati Puan Mariam sedang memandangnya. “You miss your parents back home?”

“Eh, taklah madam. Saja je tengok orang yang lalu-lalang depan mata…errr..madam selesa?” Pantas Qistina mengalihkan topik perbualan.

I’m okay. Seronok dapat keluar petang ni jalan-jalan…” Qistina dan Puan Mariam saling berbalas senyuman. “Qistina…kenapa saya rasa yang hati Qistina bukan di sini?”

Berkerut dahi Qistina memikirkan soalan Puan Mariam. “Maksud madam?”

“Qistina suka kerja dengan saya?”

“Mestilah suka, madam. Saya bersyukur sangat dapat menemani madam setiap hari…”

“Saya mengingatkan Qistina kepada ibu Qistina sendiri?”

Qistina melarikan pandangannya. Puan Mariam langsung tidak menyerupai ibu Qistina. Walaupuan Puan Mariam seorang muallaf, namun kepatuhannya terhadap suruhan Ilahi seharusnya membuat Puan Sri Ani Suraya berasa malu. Sangat malu!

“Puan Mariam tak macam ibu saya…” perlahan Qistina berbicara. “Ibu saya lain…”

“Lain macam mana?”

Qistina terdiam.

“Qistina, kalau awak tak mahu cerita pada saya, it’s okay. I don’t want to bring up something you’re not comfortable with.”

“Terima kasih, madam. Saya belum bersedia menceritakan hal peribadi saya pada madam. Tak menarik pun…” ujar Qistina sambil tersenyum. Tawar.

“Madam, ceritalah pasal pengalaman madam bekerja di KL dulu. Madam suka tinggal di Malaysia?”

You are very good at changing the topic, huh? Clever girl!” Puan Mariam berseloroh. Kepalanya digelengkan sedikit. Sengehan di bibir Qistina membuatnya tertawa kecil. “Okay, fine! We’ll do it your way!”

Masa di taman dihabiskan mendengar Puan Mariam menceritakan pengalamannya bekerja di British High Commission di ibu negara dan bagaimana dia telah jatuh cinta dengan segala apa yang berkaitan dengan Malaysia. Rakyatnya, makanannya, pantainya, cuacanya, sejarahnya…segalanya. Lama Puan Mariam bercerita. Cuma Puan Mariam langsung tidak bercerita mengenai bapa Ian Iskandar. Qistina pula tidak mahu bertanya. Seperti mana Puan Mariam tidak memaksanya menceritakan kisah peribadinya sebentar tadi, Qistina juga akan menghormati pendirian Puan Mariam jikalau dia tidak mahu menyentuh apa-apa perkara berkenaan bapa Ian Iskandar.

Qistina tergelak mendengar Puan Mariam memaksa dirinya membiasakan diri memakan buah durian, walaupun terlampau perit untuk ditelan pada mulanya. Setelah mencuba beberapa kali, barulah rasa buah durian itu selesa di tekaknya. Begitu juga dengan sambal belacan.

Hampir dua jam mereka berada di taman itu. Masa berlalu dengan pantas sekali. Qistina senang bersama Puan Mariam dan begitu juga sebaliknya. “Madam, we have to go home now...hari Isnin depan kita datang lagi, InsyaAllah ya?” Memandangkan Qistina hanya bekerja separuh hari pada hari Sabtu, cuaca yang terlampau panas pada waktu pagi dan tengah hari, tidak berapa sesuai untuk membawa Puan Mariam ke taman. Qistina bangun dari bangku dan mula menolak kerusi roda Puan Mariam menuju ke rumah.

Setibanya di rumah, Natalie Brown sudah pun pulang. Jadi Qistina menawarkan diri untuk membantu Naseem membersihkan tubuh Puan Mariam. Ian Iskandar pulang ke rumah tidak lama selepas itu. Ketika dia masuk ke dalam bilik Puan Mariam untuk bertemu ibunya, dia melihat Qistina sedang duduk di atas katil ibunya sambil menyisir perlahan rambut ibunya. Sejuk hatinya melihat gadis itu melayan ibunya dengan lembut. Qistina masih tidak menyedari kehadiran Ian Iskandar di dalam bilik itu.

Qistina juga tidak menghiraukan waktu kerjanya yang sudah lama tamat. Dia tidak mahu terlampau berkira dengan Puan Mariam, apatah lagi Puan Mariam begitu baik terhadapnya. Dia melakukan segalanya dengan ikhlas.

Puan Mariam mendongak dan melihat anaknya di muka pintu asyik memerhatikan Qistina. Dia biarkan sahaja. “Thanks, dear. Why don’t you take a break, hmm?”

Qistina bangun. Dia meletakkan sikat rambut di atas meja dan menghulurkan tangan untuk menyalami Puan Mariam. Tangan Puan Mariam dikucup lembut. “Saya masuk bilik dulu, madam. Esok pagi saya datang, InsyaAllah.”

Ketika Qistina memalingkan tubuhnya untuk keluar dari bilik Puan Mariam, dia melihat Ian Iskandar tercegat di muka pintu. Terkejut dia melihat Ian Iskandar yang memandangnya dengan pandangan yang redup. “Selamat petang, Encik.” Itu sahaja yang mampu diucapkan Qistina. Tidak tahu bagaimana hendak berlalu sahaja dari situ, sedangkan Puan Mariam masih di situ. Sedia memerhati. Ian Iskandar mengangguk sebagai balasan kepada ucapan Qistina tadi.

“Qistina, don’t be late for dinner. I’m hungry!” Ian Iskandar sempat berpesan.

“Baik, Encik.” Qistina terus meninggalkan Ian Iskandar bersama ibunya. Pintu bilik Puan Mariam ditutup rapat.

************

“Ibu saya seronok dapat keluar hari ni.” Ian Iskandar bersuara di antara mengunyah dan menelan daging stik.

Qistina mendongak sebentar. “Ya, Encik.”

“Saya terlampau sibuk. Tak dapat nak luangkan masa saya untuk temankan mak saya macam tu…” Ada nada kesalan di suara Ian Iskandar. Sesungguhnya, Qistina memahami apa maksud sibuk. Sangat-sangat memahami.

“Encik sibuk pun, Encik tak lupakan tanggungjawab Encik sebagai anak. Tu pun penting jugak!”

“Maksud awak?”

“Encik masih sediakan semua keperluan ibu Encik. Menggajikan jururawat untuk dia, doktor peribadi…semuanya cukup! Encik masih menjaga ibu Encik walaupun Encik sibuk…Cuma kalau boleh, Encik luangkanlah sedikit masa untuk madam…”

Ian Iskandar tidak berkelip memandang Qistina. Agaknya ini kali pertama gadis itu bercakap lebih daripada sepuluh patah perkataan kepadanya.

“Kenapa Encik pandang saya macam tu?” Qistina mula berasa cuak.

Ian Iskandar segera melabuhkan pandangannya.

“Kalau mak awak sakit, awak akan jaga dia macam saya?”

Qistina tersentak dengan pertanyaan Ian Iskandar. Sudah tentu Qistina ingin menjaga ibunya jikalau dia jatuh sakit tetapi sama ada dia berkesempatan atau tidak, itu suatu perkara yang lain. “Mestilah, Encik…”

Ian Iskandar perasan perubahan ketara di wajah Qistina sebentar tadi. Dia pasti ini ada kena mengena dengan ibu Qistina.

“Oh ya! Sejak awak sampai, awak tak de pun nak call ibu atau ayah awak untuk khabarkan yang awak dah selamat sampai. Kenapa awak tak guna telefon rumah ni je? Mesti mak atau bapak awak risau kalau awak tak call.”

Qistina menelan air liurnya. “Errr…saya baru cadang nak beli sim kad untuk handphone saya esok Encik. Nanti bolehlah saya call.”

“Tak payah! Tunggu kejap.” Ian bangun dan keluar sebentar. Tidak sampai dua minit dia kembali duduk. Dia menghulurkan satu plastik kepada Qistina. “Ambik ni. Saya dah belikan BlackBerry untuk awak. Sim kadnya ada sekali. Nanti awak boleh call atau e-mel pada famili awak.”

“Eh, kenapa pulak Encik yang belikan? Saya boleh beli sendiri,” kata Qistina sebaik sahaja plastik berisi kotak BlackBerry disambut.

“Awak mana ada gaji lagi…tak pe. Habis kontrak setahun, awak pulangkan balik pada saya.”

Walaupun Qistina masih belum dibayar gaji, namun duit yang dibawa dari Malaysia lebih daripada mencukupi. Dia masih mampu membeli barang keperluannya sendiri. Qistina masih teragak-agak.

“Kenapa? Kan saya kata pulangkan balik bila habis setahun nanti. Jadi awak tak payah risau. Ni kira awak pinjam je daripada saya.” Ian Iskandar terus bersuara pabila melihatkan Qistina yang masih ragu-ragu.

“Terima kasih, Encik. Mungkin lepas saya dapat gaji nanti, saya boleh beli sendiri…”
 
“Tak payah! Berapa kali saya nak kata? Kenapa awak nak bazir duit beli yang lain? Pakai je yang saya dah belikan tu…Awak boleh terus guna. Saya dah caj dah pun BlackBerry tu…”

Qistina tidak berani membantah lagi. Fikirannya sudah melayang kepada mesej yang bakal dihantar kepada Timah nanti. “Terima kasih, Encik.” Qistina mengulangi ucapan terima kasihnya.

Ian Iskandar mengangguk. “So, bila awak nak call ibu awak?” Ian Iskandar masih mendesak.

“Nanti-nantilah Encik. Saya tak pasti sama ada ibu saya dah balik KL ke belum.”

“Takkan ibu awak tak de handphone? Kalau dia tak balik KL lagi pun, awak masih boleh cakap dengan dia, kan?” Renungan Ian Iskandar semakin tajam. Dia tahu Qistina cuba berdolak-dalih. Jelas di matanya keadaan Qistina yang langsung tidak selesa.

Qistina nyaris tersedak. Cebisan daging yang ditelan tiba-tiba dirasakan liat dan pahit. “Betul, betul, Encik. Tapi sekarang dah lewat sangat kat sana, Encik…”

Ian Iskandar ingin tahu sejauh mana Qistina ingin mengelak daripada berlaku jujur dengannya. “Saya rasa, sebagai majikan awak, saya bertanggungjawab untuk bercakap dengan ayah awak pasal hal kebajikan awak di sini. Mesti ayah awak risau kan? Awak tu perempuan. Duduk pulak satu rumah dengan saya…”

Qistina semakin cuak. Dia tidak dapat bertentang mata dengan Ian Iskandar. “Tak perlu, Encik. Ayah saya okey…”

No, I insist. Saya yang tak sedap hati. Kalau anak dara saya bekerja di luar negara, lepas tu duduk serumah pulak dengan majikan dia, saya pun mesti akan risau” Mata Ian Iskandar tidak berkalih dari wajah Qistina yang semakin kehilangan warna. “Bagi saya nombor telefon ayah awak! Saya nak call.”

“Tak perlu, Encik. Betul!” Menggeletar sedikit suara Qistina. Takut Ian Iskandar akan benar-benar menelefon papanya.

“Qistina look at me!” tegas suara Ian Iskandar. Serius. Qistina menurut. Takut dia melihat wajah Ian Iskandar begitu. “Jujur dengan saya! Parents awak tau tak yang awak ada kat sini?”

Mata Qistina membulat. Nafasnya seakan tersekat-sekat. Haruskah dia menipu untuk kali kedua? Qistina telah pun nekad sebelum ini untuk mengira setiap pembohongan yang terpaksa dilakukannya. Pembohongan pertama telah pun dilakukan ketika di dalam pesawat lagi. Adakah dia akan melakukan pembohongan sekali lagi?

“Saya tunggu jawapan awak, Qistina!” bentak Ian Iskandar.

Kekerasan suara Ian Iskandar membuatkan Qistina pantas menggelengkan kepalanya. Tidak sanggup berbohong. Renungan Ian Iskandar semakin tajam. Qistina tunduk. Dadanya berdebar-debar. “Why?”

“Sa…saya…saya… tak bagi tau diaorang, Encik.”

Why not? I’m not going to ask again, Qistina!” Keras Ian Iskandar bersuara.

Qistina memberanikan dirinya untuk memandang Ian Iskandar. “Encik, I didn’t know this job required my parents’ prior approval?”

Ian Iskandar menjungkitkan keningnya. Tidak menyangka Qistina masih mahu berahsia dan memilih untuk tidak menjawab pertanyaannya.

“Ini lain, Qistina. Awak memohon pekerjaan di London. Memanglah mendapatkan kelulusan dari parents awak bukan salah satu syarat untuk awak dapatkan pekerjaan ni. Tapi awak anak perempuan, Qistina. Awak masih di dalam tanggungan ayah awak!”

“Encik, cukuplah kalau saya katakan yang saya tidak berdosa dengan bapa saya dengan mengambil pekerjaan ini.”

Ian Iskandar berasa marah dengan sikap Qistina. Kejutan pengakuan Qistina sebentar tadi masih terasa. Adakah Qistina melarikan diri daripada keluarganya sendiri? Mengapa?

Ian Iskandar bersandar ke kerusinya. Wajah Qistina dipandangnya. Lama. Qistina merenung lebihan daging stik di atas pinggannya. Seleranya sudah mati. Ingin sahaja dia bangun dan meninggalkan Ian Iskandar bersendirian tetapi dia pasti tindakannya itu akan dihalang lelaki itu.

“Qistina, kalau keluarga awak cari awak atau buat police report pasal kehilangan awak macam mana? Awak tak fikir pasal tu?”

“Tu takkan terjadi, Encik. Saya jamin! Encik jangan risau!” Qistina cuba meyakinkan Ian Iskandar namun riak wajah Ian Iskandar masih tidak berubah.

I hate puzzles, Qistina. Awak tidak jujur dengan saya!”

Qistina pantas mendongak. “Encik tak boleh cakap macam tu. Saya tak tipu Encik untuk dapatkan pekerjaan ini. Semua soalan Encik masa interview minggu lepas saya jawab. Perkara lain yang peribadi pasal diri saya, Encik tak perlu tahu. Itu tak melibatkan kerja saya.” Qistina tidak tahu di mana dia mendapat keberanian untuk berkata sedemikian kepada Ian Iskandar. Yang pasti, dia tidak rela dianggap telah menipu untuk mendapatkan pekerjaan ini.

Ian Iskandar menyilang tangan ke dadanya. Gadis itu benar-benar menguji kesabarannya. Tidak pernah Ian Iskandar rasa tercabar sedemikian rupa. Lebih-lebih lagi yang mencabarnya hanyalah seorang gadis yang telah membuatnya tidak keruan sejak dua menjak ini.

“Minta maaf, Encik. Boleh tak saya naik sekarang?” Qistina meminta kebenaran. Dia tidak mahu lagi duduk di meja makan asyik menerima panahan mata biru lelaki itu.

Ian Iskandar tidak mahu membenarkan Qistina meninggalkannya ketika banyak persoalan masih belum berjawab. Namun dia tidak tahu lagi bagaimana untuk memaksa Qistina supaya lebih berterus-terang dengannya. Adakah dia berhak memaksa gadis itu?

“Sebelum awak pergi, saya ada benda nak cakap dengan awak.” Ada perubahan pada nada suara Ian Iskandar. Sedikit mengendur. “Kalau sampai masa awak perlukan teman untuk berkongsi cerita awak, saya sedia mendengarnya.”

Qistina diam. Hatinya sedikit terusik mendengar kata-kata Ian Iskandar. Dia sekadar mengangguk kecil. Qistina bangun dan mengangkat pinggannya. Di dapur, dia meminta Naseem menghidangkan kopi kepada Ian Iskandar. Dia tidak mahu lagi bertentang mata dengan Ian Iskandar malam ini. Cukup-cukuplah.

No comments:

Post a Comment