Rasa baru semalam Qistina meninggalkan Lapangan Terbang
Heathrow, London. Kini dia kembali menjejakkan kakinya ke bumi England ini,
tempat di mana dia belajar menjadi seorang dewasa. Lima tahun adalah suatu
jangka waktu yang lama untuk menumpang hidup di negara orang. Lima tahun
jugalah dia rasa terasing daripada keluarganya dan lima tahun jugalah dia
terseksa merindui Mak Esah, Pak Atan dan Timah. Namun pulang bercuti setahun
sekali seolah-olah tidak membawa sebarang makna kepadanya apabila jiwanya turut
berasa terseksa tinggal bersama keluarga yang begitu asing dengannya.
Ketika umurnya baru berusia lapan belas tahun, dia
dihantar papanya ke sini. Dibenarkan pulang setahun sekali ketika cuti musim
panas. Pada usia yang masih mentah, dia belajar hidup berdikari. Belajar
berkawan dengan orang asing, juga belajar membetulkan lidah agar accent bahasa Inggeris dipakari, bagi
mudah berkomunikasi dengan warga British. Tidak begitu sukar bagi dirinya,
memandangkan sejak kecil lagi dia dikelilingi warga asing ketika bersekolah di
sekolah antarabangsa aliran British di Kuala Lumpur. Namun di sebalik kesunyian
yang dirasakan, Qistina bersyukur dapat melaksanakan tanggungjawabnya terhadap
Ilahi tanpa rasa gentar atau secara bersembunyi. Biarlah dia merasa sunyi,
asalkan dia tidak tertekan dalam melakukan ibadahnya.
Qistina mengekori langkah Ian Iskandar keluar dari pintu utama
Terminal 4, Lapangan Terbang Heathrow. Troli bagasi ditolak perlahan. Seorang
lelaki yang sedikit berumur dan berkulit putih siap beruniform berlari-lari
anak mendekati Ian Iskandar. Tangkai beg roda di tangan Ian Iskandar dicapainya
dan dibawa ke kereta yang sedia dipakir di ruang menunggu. Qistina mengikut
sahaja langkah mereka.
Usai beg-beg Ian Iskandar dimasukkan ke dalam but kereta,
lelaki tadi mencapai pula beg Qistina di atas troli. Qistina ingin membantu,
namun tangannya ditepis lembut. “It’s
alright, love. I can manage.” Garau suara lelaki itu. Begitu biasa orang di
sini menggunakan perkataan ‘love’
ketika berbicara. Tiada maksud yang tersirat. Memang adat mereka begitu. Qistina
tidak menjawab. Takut terkeluar accent
bahasa Inggeris yang sudah sebati dengan lidahnya setiap kali bercakap dengan
warga British di sini.
Qistina berjalan menghampiri pintu hadapan kereta BMW
hitam, dengan niat untuk duduk bersebelahan dengan pemandu tua tadi. Namun
tidak dibenarkan. Qistina diminta duduk di belakang bersebelahan dengan Ian
Iskandar. Qistina menelan air liurnya. Akhirnya dengan teliti, dia bersuara. “I should sit in front with you.”
“No, no. You sit at
the back, love,” bantah lelaki tadi.
Qistina masih lagi teragak-agak. Ian Iskandar yang sedari
tadi memerhati Qistina mencelah, “awak nak berjemur ke kat luar tu? Tak puas
lagi berjemur masa kat KL? Masuk!!” Laju sahaja dia menyindir Qistina yang
terkulat-kulat di luar kereta.
Qistina menutup pintu hadapan dan beralih ke tempat duduk
bahagian belakang kereta. Cuaca memanglah panas pada bulan Julai ini. Nanti
bila dah masuk bulan Ogos cuaca akan menjadi lebih panas. Tetapi lebih panas
hatinya ditegur begitu oleh Ian Iskandar. ‘Nasib baik pakcik tua kat depan tu
tak faham.’ Qistina mencebik dalam diam.
Kereta mula bergerak keluar dari perkarangan Lapangan
Terbang Heathrow. Suasana sepi di dalam kereta. Hanya ditemani bunyi siulan
pemandu tadi. Qistina langsung tidak teruja memandang ke luar tingkap. Mungkin
kerana telah banyak kali dia melihatkan pemandangan dan panorama yang sama
ketika berulang dari Kuala Lumpur ke London dan sebaliknya. Namun, pandangan
kosong itu tidak terlepas pandang oleh Ian Iskandar.
“You don’t look at
all excited now that you have arrived in London…Kenapa? Tak suka?”
‘Hish. Mamat ni asyik perasan je apa yang aku rasa,’
gumam Qistina.
“Penat agaknya. Tapi mestilah excited…” Qistina cuba berpura-pura.
“Bila sampai rumah nanti, awak rehat dulu. Esok pagi baru
awak jumpa ibu saya.” Ian Iskandar memberi arahan. Ini bermaksud, Qistina akan
memulakan kerjanya pada keesokan harinya, hari Khamis.
Qistina mengangguk. Memang dia keletihan kerana tidak
dapat tidur lena sepanjang berada di dalam pesawat tadi. Fikirannya terganggu.
Mungkin emosinya juga tidak berapa stabil. Takut dia tidak boleh berlakon ceria
di hadapan ibu Ian Iskandar nanti.
“Encik, apa saya nak panggil ibu Encik?” Soalan yang
patut ditanyanya ketika sesi temuduga lagi dahulu.
“Nama ibu saya Mariam. Pekerja saya semua panggil dia ‘madam’ je.”
“Okey. Pemandu yang kat depan ni namanya Matthew”. Ian menepuk-nepuk
lembut bahu Matthew yang duduk di hadapannya. “Matthew, this is Qistina. She will be mummy’s companion.”
Matthew mengangguk. Siulannya terhenti seketika sebelum
disambung kembali. Qistina tersenyum.
Perjalanan pulang ke rumah Ian Iskandar mengambil masa lebih
kurang empat puluh lima minit. Akhirnya, kereta berhenti di hadapan sebuah
rumah di Southwick Mews, Hyde Park. ‘Wow! Kayanya keluarga Ian Iskandar ni!’
Tinggal di satu daripada kawasan yang dianggap sebagai prime location di kota London ini. Berdekatan pula dengan Hyde
Park, taman yang begitu terkenal di sini.
Rumah besar dua tingkat diperhati dari luar kereta. Perlahan-lahan,
Qistina melangkahkan kaki untuk keluar dari perut kereta. Pintu rumah dibuka. Seorang
wanita yang berumur dalam lingkungan lima puluhan berdiri di muka pintu. Wanita
itu kelihatan seperti daripada keturunan Pakistan. Qistina membalas
senyumannya. Dia ingin mengambil beg pakaiannya dari dalam bonet kereta namun
telah terlebih dahulu dibawa naik ke dalam rumah oleh Matthew tadi.
Qistina berjalan mengikut Ian Iskandar menuju ke pintu
masuk. Wanita tadi menyambut mesra Ian Iskandar. “Welcome home, sir!”
“Thanks Naseem.
This is Qistina. Qistina, this is the housekeeper, Naseem.”
Qistina menyalami tangan Naseem sambil tersenyum. “Come in, come in, Miss.” Pertuturan bahasa Inggeris Nasim masih berulit pelat
Pakistan.
“Please, just call me Ina” Qistina tidak selesa
dipanggil dengan sebarang gelaran, memandangkan dia juga seorang pekerja di
situ. Tiada bezanya.
Qistina dibawa masuk ke dalam rumah. Sungguh luas dan
selesa. Naseem membawanya ke serata bilik di dalam rumah tersebut. Qistina
mengambil maklum bilik ibu Ian Iskandar yang bersebelahan dengan bilik bacaan
di tingkat bawah rumah. Kemudian Qistina dibawa naik ke tingkat atas. Qistina
menelan air liurnya apabila mengetahui biliknya berhadapan dengan bilik Ian
Iskandar.
“Have a good rest,
dear. Dinner is at 7.30. I’ll see you then.” Dengan itu, Naseem
kembali ke tingkat bawah.
Qistina memulas tombol pintu dan mengangkat beg yang
ditinggalkan Matthew di muka pintu. Setelah pintu dibuka Qistina menarik nafas.
‘Cantiknya bilik ni…’ Untuk seketika dia tidak merasakan dirinya seorang
pekerja di dalam rumah itu, tetapi seorang tetamu. Biliknya luas dan dihias
indah. Katil-empat-tiang bersaiz queen terletak di tengah-tengah bilik dengan
kepala katil rapat ke dinding. Cadar dan langsir sekata berwarna emas, seakan
sama dengan warna perhiasan di bilik tidurnya di Kuala Lumpur.
Qistina memandang sekeliling. Lega bilik tidur dilengkapi
bilik mandinya sendiri. Kalau tidak, susah untuk dia ke luar bilik untuk mandi
dan sebagainya, lebih-lebih lagi bilik Ian Iskandar berhadapan dengan biliknya.
Qistina memandang jam di pergelangan tangannya. Masih ada
satu jam sebelum makan malam. Qistina membuka beg pakaiannya dan mula berkemas.
Sesudah itu dia mandi dan membersihkan diri. Sesudah berpuas hati dengan arah
kiblat di kompas, Qistina menunaikan solat asar dan zuhur secara jamak dan
mengqada’ semua solat yang tertinggal semasa di dalam pesawat tadi.
Tinggal lima belas minit sebelum makan malam. Qistina
baring di atas tilam dengan niat untuk merehatkan matanya. Matanya terpejam.
Dia terus hanyut.
Bunyi ketukan di pintu membuatkan Qistina terkejut bangun
duduk di atas katil. Jam di tangan menunjukkan pukul 7.45 malam. Walaupun
begitu, hari masih cerah dan matahari masih belum berlabuh. Tergopoh-gapah
Qistina melompat dari katil dan mengenakan tudungnya. Pintu dikuak. Ian
Iskandar berdiri terpacak di hadapan biliknya.
“Maaf Encik, saya tertidur,” Qistina cepat-cepat meminta
maaf sebelum sempat Ian Iskandar bersuara.
Ian Iskandar memandang wajah Qistina yang ternyata lesu
dan keletihan dan tidak jadi menegurnya. Dia sekadar mengangguk. “Time for dinner.” Ian Iskandar berkata
sambil berlalu.
Qistina berasa hairan. ‘Takkan aku makan malam dengan dia
kot? Dia kan majikan aku…’
Qistina mengikut Ian Iskandar turun ke bawah. Di ruang
makan, makanan telah siap terhidang. Kelihatan dua pinggan tersusun di atas
meja. Qistina semakin kalut. Ian Iskandar sudah menarik kerusinya ke belakang.
“Errr…Encik,” Qistina memanggil. Ian Iskandar mengangkat muka.
“Takkan saya makan dengan Encik kat sini? Sayakan pekerja je…Boleh tak saya
makan dengan Naseem kat dapur je?”
Muka Qistina yang terkulat-kulat dipandang lama. Geli
hati Ian Iskandar namun perasaan itu dipendam begitu sahaja. Riak wajahnya
dikekalkan bersahaja. Memang sebelum ini dia tidak bercadang untuk menikmati
makan malam bersama orang yang dipilih menjadi peneman ibunya. Dia tidak mahu
melibatkan diri secara peribadi dengan pekerjanya itu. Namun, apabila Qistina
dipilih menjadi peneman ibunya, cadangan asalnya itu diketepikan begitu sahaja.
Segalanya mengenai gadis itu ingin diketahuinya dan yang paling penting, dia
ingin meluangkan masa bersama Qistina.
“No! Awak makan
dengan saya.” Serius Ian Iskandar bersuara.
Qistina masih tidak puas hati. Dia tahu dia tidak akan selera
makan sekiranya harus duduk semeja dengan lelaki itu. Qistina menelan air
liurnya. Dia masih berdiri. Dia mencuba sekali lagi. “Saya tak selesa, Encik,
berdua dengan Encik macam ni. Saya harap Encik faham.”
Ian Iskandar memandang Qistina tajam. Suka betul dia
dengan gadis di hadapannya itu. Siapalah agaknya ibu dan bapanya? Sangkanya ibu
dan bapa Qistinalah yang berjaya membesarkan dan mendidik Qistina menjadi gadis
yang begitu bersopan dan beradab. Gadis yang tahu akan batas-batas
pergaulannya.
“Wahai Cik Qistina, kita bukan berdua je dalam rumah ni.
Ibu saya ada di dalam biliknya dan Naseem juga ada di dapur. Jadi awak tak perlu
risau, ya. Bukan saya nak apa-apakan awak! Saya nak makan je dengan awak. At least ada kawan bercakap. Faham?”
Sinis nada suara Ian Iskandar.
Terkebil-kebil Qistina memandang Ian Iskandar. ‘Dia ni
biar benar! Serius ke sinis?’ Akhirnya Qistina mengalah. Tidak mahu bertekak
dengan bosnya itu. Lalu kerusi ditarik perlahan lalu dia menghenyakkan punggungnya
di atas kerusi berhadapan Ian Iskandar kerana di situ sahaja ada pinggan yang
terhidang.
Lima minit berlalu dan masing-masing menikmati makan
malam tanpa sebarang bicara. Qistina rasa macam hendak tercekik sahaja ketika menelan
ketulan ayam panggang di atas pinggannya. Ayam yang empuk dan bersos cendawan
dirasakan tawar sahaja kerana tidak dapat menumpukan perhatian yang sebenar
kepada apa yang dilakukannya. ‘Yang si mamat ni asyik pandang aku je kenapa? Hish!
Macam mana aku nak makan ni?’
“So dah settle down? How’s your room?”
Qistina menelan cebisan ayam panggang yang terakhir
sebelum menjawab. “Selesa sangat, Encik, terima kasih.”
“Esok pagi awak turun, saya akan kenalkan pada ibu saya.”
“Baik, Encik.”
“Awak pernah datang London?”
Gulp! Qistina melangut dan memandang wajah Ian Iskandar. Fikirannya
berputar ligat untuk mencari jawapan yang paling sesuai untuk diberikan kepada
Ian Iskandar. Dia cuba untuk berkata dengan benar.
“Pernah, Encik.”
“When?”
“Errr…masa umur saya lima belas tahun, Encik.” Memang
pertama kali Qistina menjejakkan kakinya ke bumi England ini ketika dia berusia
lima belas tahun. Papanya yang ketika itu baru mendapat durian runtuh, membawa
mereka satu keluarga bercuti ke London. Jadi dia tidak menipu, bukan? Tidak perlu
agaknya bercerita dengan lebih lanjut lagi.
“Awak ni susah betul nak elaborate ya. Saya tanya sepuluh patah, awak jawab sepatah…” kata
Ian Iskandar sedikit bengang. Gadis itu direnungnya tajam.
Qistina tunduk. ‘Mamat ni tak ingat ke aku kata tak suka cakap
pasal benda-benda yang melibatkan peribadi. Tak faham bahasa betullah!’
“Encik, saya kemas dulu pinggan ni, ya?” Qistina bangun
dan mula mengangkat pinggan. Tidak mahu berlama dengan Ian Iskandar. Lelaki itu
bisa membuat perasaannya huru-hara.
“Awak housekeeper
saya ke atau Naseem?” Ian Iskandar menyindir Qistina. Dia tahu gadis itu cuba
melarikan diri darinya. “Dah! Tinggal je kat situ. Nanti Naseem kemas.” Seperti
mendengar namanya dipanggil, Naseem tiba-tiba muncul.
“Eh, tak pe, Encik. Tak salah kan kalau saya tolong
Naseem. Lagipun saya dah biasa.” Cepat-cepat Qistina membawa pinggannya ke
dapur.
‘Huh! Degil betul!’ dengus Ian Iskandar.
Di dapur, Naseem tidak membenarkan Qistina mencuci
pinggan. Dihulurkan kepada Qistina dulang berisi kopi berserta dua cawan kosong
untuk dibawa masuk ke ruang makan. Qistina mengeluh. Ingatkan sesi makan malam
sudah habis. Rupanya kena minum kopi lagi.
Ian Iskandar tersenyum sumbing melihat Qistina masuk
kembali dengan membawa air kopi. Dia tahu gadis itu lekas-lekas mahu naik ke
bilik tidurnya, namun hasratnya itu terbantut seketika. Dia hanya melihat
Qistina menuangkan kopi ke dalam satu cawan dan satu cawan lagi dibiarkan
kosong. Qistina masih berdiri. Dihulurkan cawan yang sudah berisi kepada Ian
Iskandar. “Minum, Encik. Saya nak naik dulu.”
Hilang terus senyuman di bibir merah Ian Iskandar. “Awak
tak minum sekali?”
Qistina menggelengkan kepalanya. “Saya cuba tak minum
kopi pada waktu malam, Encik. Nanti susah nak tidur. Saya minta diri dulu,
Encik. Assalamualaikum.”
Dapat juga Qistina melarikan dirinya. ‘Tak pe. Larilah
buat masa ni. Aku ada setahun nak korek rahsia kau! Aku boleh bersabar,’ bisik
Ian Iskandar sendirian.
No comments:
Post a Comment