DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 4 September 2015

DEMI BAHAGIA INI - BAB 1




“Kalau Ina tak mau dengar cakap papa, papa nak Ina keluar dari rumah ni!! Tapi ingat, sekali Ina keluar dari rumah ni, Ina bukan anak papa lagi!!”

Ugutan dan dengusan keras Tan Sri Ali Saifuddin bin Ali Sarafuddin membuat Qistina tersentak. Air mata yang sedari tadi mengalir, kini tersembur semakin deras, tidak dapat dibendung lagi. Sampai hati papanya membuat ugutan sebegitu terhadapnya. Sampai hati papa!

Puan Sri Ani Suraya binti Muda turut menangis. Tidak sangka suaminya tergamak mengeluarkan kata-kata menidakkan hak Qistina untuk mengaku Tan Sri Ali Saifuddin sebagai bapa kandungnya. Walaupun hatinya marah terhadap kedegilan anak bongsunya itu, tidaklah sampai hendak dihalaunya anak itu. Qistina masih darah dagingnya. Masih anaknya. Dia pasti dengan pujukan demi pujukan, hati Qistina akan lembut jua.

“Apa papanya cakap ni?” Puan Sri Ani Suraya mahukan kepastian.

Tangisan Qistina semakin kuat. Bahunya terhenjut-henjut dek tangisannya itu. Sayu hati si ibu melihat anaknya menangis begitu.

“Saya dah hilang sabar dah dengan anak awak ni! Biar dia keluar dari rumah ni, degil sangat tak nak dengar cakap orang! Kalau ingat dah bijak sangat, pergi hidup sendiri! Papa tak nak tengok muka Ina lagi!!” Bersama kata-kata itu, Tan Sri Ali Saifuddin berlalu meninggalkan ruang tamu rumah banglo mewah tiga tingkat itu.

Qistina berhenti menangis ketika melihat papanya berlalu. Hatinya sakit mendengar kata-kata papanya tadi. Namun Qistina pasti dengan keputusannya. Di dalam hati, dia berdoa agar keputusannya tidak akan membuatkan dirinya tergolong dalam kalangan anak yang derhaka. Mana mungkin dia boleh digelar sebegitu sedangkan apa yang dipilih papa untuk dirinya tidak menepati suruhan agama?

Qistina memalingkan mukanya dan menatap wajah bondanya. Dia menghampiri ibunya yang masih kelihatan terkejut dengan kata dua papanya tadi. Dipeluknya ibunya itu semahu hatinya. “Mama, relakan Ina pergi. Maafkan Ina sebab tak sanggup tunaikan permintaan mama dan papa.” Serak suara Qistina memohon keampunan daripada ibunya.

Puan Sri Ani Suraya membalas pelukan anaknya itu. Sesuatu yang jarang-jarang dilakukannya. Apatah lagi anaknya kini sudah mengenjak dewasa. “Ina, jangan pergi, sayang. Ikut je lah apa yang papa suruh tu. Mama tak sanggup kehilangan Ina.” Rayuan Puan Sri Ani Suraya sungguh merenggut hati halus Qistina. Direnungnya wajah ibunya dalam-dalam seolah-olah itulah kali terakhir dia akan menatap wajah ibunya itu.

“Ina tak boleh mama. Please understand. Ina doa suatu hari nanti mama dan papa akan dapat terima Ina kembali. Ina terpaksa pergi, mama. Ampunkan semua dosa Ina, mama. Halalkan makan minum Ina selama ni. Ina akan selalu doakan mama dan papa.”

Qistina melepaskan pelukan ibunya dan menyeka air mata ibunya itu. Dikucupnya kedua-dua pipi Puan Sri Ani Suraya. Tangan kanan si ibu digenggam dan dikucup. Dengan perlahan, Qistina melepaskan genggaman. Dicapainya beg galas Nike di atas sofa dan tanpa berpaling lagi, Qistina keluar meninggalkan rumah. Dia langsung tidak berniat mengemaskan barangnya atau mengambil apa-apa dari kamar tidurnya. Apa yang dia perlukan semuanya ada di dalam beg galas itu. Sudah memadai baginya.

Panggilan dan tangisan si ibu tidak dipedulikan lagi. Kakinya terus melangkah. Syukur malam masih muda. Hati tidak terlalu risau mengenangkan dirinya yang berjalan keseorangan. Kenderaan masih banyak yang lalu-lalang di jalan raya. Hilang sedikit kegusaran di hatinya ditemani hiruk-pikuk deruan enjin di jalan raya.

Qistina tahu ke mana harus dituju. Dia hanya perlu meredah jalan sejauh satu kilometer sebelum bertembung dengan jalan utama. Di jalan utama nanti, lagi mudah untuk mendapatkan teksi bagi menyambung perjalanannya.

Tercungap-cungap Qistina berjalan. Dia mahu lekas sampai ke jalan utama. Takut terlalu lewat sampai ke rumah sahabat sejatinya. ‘Ya Allah. Biarlah Timah ada di rumah. Aku tak tau lagi ke mana hendak ku tuju kalau Timah tak de nanti.’ Qistina tidak mahu menelefon Timah mengkhabarkan kedatangannya. Dia tidak mahu Timah menghubungi sesiapa sehinggalah dia selamat sampai ke rumah Timah. Biarlah kedatangannya ini dirahsiakan. Qistina pasti Timah akan menyimpan rahsianya apabila dia mendengar segala cerita daripada A-Z sebentar nanti.


************

Panggilan salam Qistina bersambut. Qistina melepaskan nafas panjang. Lega dia mendengar Timah menjawab salamnya. Pintu flat dibuka. Timah terkejut melihat Qistina berdiri di muka pintu dengan mata yang sembap dan bengkak.

“Ina, kenapa ni? Kau okey ke?” Timah pantas mendapatkan Qistina. Dipeluknya Qistina sekejap sebelum menarik Qistina masuk ke dalam rumah. Pintu flat dikunci.

Qistina melabuhkan punggungnya di atas kusyen kerusi rotan di ruang tamu kecil, flat tumpangan Timah. Beg galas Nike yang sedari tadi tersangkut di bahu, diletakkan perlahan di atas lantai. Timah duduk bersebelahan kawannya itu dengan wajah penuh kehairanan.

“Kau lari dari rumah ke, Ina?” Timah cuba meneka. ‘Tapi takkan lari dari rumah dengan beg galas je,’ fikir Timah sendirian.

“Aku tak lari, Tim. Aku kena halau…” perlahan suara Qistina menjawab pertanyaan Timah.

Timah menarik nafas. Terkejut betul dia mendengar balasan Qistina. Matanya membulat dan mulutnya ternganga.

“Tim, tutup mulut tu. Nanti masuk lalat.” Sempat Qistina berjenaka. Mungkin dengan berjenaka, dia dapat menutup kesedihan yang dirasakan ketika ini.

Timah geram lalu dicubitnya lengan Qistina. Boleh pula dia bergurau pada waktu-waktu begini.

“Kau nak cerita pada aku ke atau kau nak tunggu aku tanya?” sinis Timah bertanya.

Qistina memandang sayu kawannya. Inilah kawannya sejak Qistina berumur empat tahun dan Timah berumur lima tahun. Bermain pasir bersama, bermain masak-masak bersama dan menangis bersama. Inilah juga teman gaduhnya. Terkadang bergaduh sehingga menangis. Ibu Timahlah yang akan memujuk mereka agar berbaik kembali.

“Hei, Timah. Kenapa nama kau Timah dan bukan Fatimah macam orang lain?” Soalan itu mungkin yang ke-seribu kali ditanya oleh Qistina untuk menaikkan amarah temannya itu. Bukan Qistina tidak tahu mengapa nama Timah diberikan sedemikian. Sudah seribu kali juga Timah memberi jawapan. Sengaja dia mahu mengambil sedikit masa sebelum memulakan langkah penceritaannya.

Timah mendengus. Dia sudah tidak sabar-sabar mendengar penjelasan daripada Qistina tetapi Qistina sengaja melengah-lengahkan menjawab soalannya tadi.

“Kau ni memang nak kena dengan aku, kan?” Timah sudah mula menyinsing lengan bajunya.

Qistina mengeluh kecil. “Kalau ya pun, ambiklah segelas air untuk aku minum dulu. Kau tak nampak ke aku penat gila ni? Kering tekak aku ni tau tak? Apa punya tuan rumah pun tak taulah…” Qistina menggumam sambil menggelengkan kepalanya.

Yelah, yelah! Mengada-ngada!” Timah bangun lalu menapak menuju ke dapur. Qistina tersenyum memikirkan hubungan antara dirinya dengan Timah. Dia lebih rapat dengan Timah berbanding dengan abang dan kakak kandungnya sendiri.

Qistina bersandar di kerusi rotan menantikan hidangan air daripada Timah. Dia memejamkan matanya sebentar. Tiba-tiba terasa teramat rindu kepada Mak Esah dan Pak Atan, ibu dan bapa Timah, yang kini menetap di Tapah, Perak. Mak Esah merupakan orang gaji kepada kedua orang tua Qistina selama lebih dua puluh tahun manakala Pak Atan pula merupakan bekas pemandu papanya. Semasa Qistina dilahirkan, Mak Esahlah yang telah menjaga dan mengasuhnya, sehinggalah Mak Esah berhenti kerja ketika Qistina berumur sembilan belas tahun.

Mak Esahlah menjadi peneman dan pendengar setia kepada keluh kesah Qistina, yang sentiasa sunyi bertapa seorang diri di dalam banglo mewah yang baru ditinggalkan sebentar tadi. Rindu dengan air tangan Mak Esah, rindu kepada pujukan dan belaian Mak Esah. Rindu serindu-rindunya kepada seorang yang dianggapnya sebagai ibu angkatnya itu.

Qistina membuka mata setelah derapan tapak kaki Timah kedengaran. Dia membawa dulang berisi dua gelas air oren. Timah kembali duduk di sebelah Qistina.

“Hah, minum! Air kosong je…” pelawa Timah kasar.

“Air kosong je? Kesian kat aku. Dahlah kena halau dari rumah. Kena halau pulak sebelum sempat makan malam…” Qistina mengeluh lalu dicapainya segelas air oren di atas dulang. Dengan lafaz Bismillah, diteguknya air itu perlahan-lahan. Setelah habis air diminum, gelas kosong diletakkan kembali ke atas dulang.

Timah terkedu. Dia tidak tahu samada Qistina serius atau sekadar bergurau. Dengan Qistina, susah untuk meneka. Walaupun mereka telah berkawan berkurun lamanya, kadang-kadang masih sukar untuk Timah meneka hati dan perasaan kawannya itu.

“Kau nak apa? Aku tak masak nasilah hari ni. Aku diet. Aku makan roti je.”

Qistina mengerling ke arah Timah. ‘Diet?’ Memanglah tubuh Timah sedikit berisi, namun bagi Qistina, Timah tidak perlu berdiet. Baginya, Timah masih belum mencapai tahap perlu berdiet.

“Taklah…Aku gurau je. Aku mana lalu nak makan…tak de selera…”

“Kau kenapa ni? Ceritalah kat aku cepat!” Timah sudah tidak sabar-sabar lagi. Rasa macam nak korek sahaja mulut Qistina agar cepat menceritakan apa yang telah berlaku tadi. “Pasal Remy lagi ke?” Timah cuba meneka.

Qistina mengangguk perlahan. “Pasal aku berkeras tak mau kahwin dengan si Remy tu, papa sanggup halau aku keluar dari rumah…”

“Astaghfirullahalazim…” Itu saja yang mampu disebutkan Timah. Kepalanya digeleng-gelengkan.

“Selama ni abang dengan kakak aku tak pernah berani lawan cakap papa. Dengan siapa papa suruh kahwin, diaorang menurut je. Kau bukan tak tau dah berapa banyak ‘joint ventures’ yang berjaya diusahakan papa. Semua atas nama business dan mengumpul harta kekayaan.”

Qistina diam sejenak. Abang sulong Qistina, Ali Sufian dikahwinkan dengan anak Tan Sri Basir, Maya Liza. Tan Sri Basir merupakan rakan perniagaan papa Qistina sejak bertahun-tahun yang lalu. Begitu juga dengan kakak Qistina, yang dikahwinkan dengan anak sulong Dato’ Malek bin Mohammad, Farid. Qistina terkenangkan bagaimana kakaknya, Sarah Qireena pada mulanya tidak mahu mengahwini Farid. Namun terpaksa akur dengan arahan papa mereka. Dengan perkahwinan abang dan kakaknya itu, rangkaian perniagaan papanya dapat dikembangkan dan diperhebat.

Kini tiba gilirannya pula. Qistina tidak sanggup berkahwin dengan Remy, anak tunggal Dato’ Idris Mansor.

“Takkan papa kau tak tau perangai Remy macam mana? Macam manalah papa kau boleh paksa kau kahwin dengan jantan tak guna tu?” Timah mendengus. Meluap-luap api kemarahannya terhadap papa Qistina.

“Aku tak taulah papa tu tau ke tak dengan perangai Remy. Yang aku tau, papa memang ada business dealings dengan bapak si Remy tu. Kalau aku kahwin dengan Remy, then it would be another joint venture in the making!” Mendatar sahaja suara Qistina. Kesal dia dengan perangai papanya yang tidak pernah mahu berubah. Lebih mementingkan rangkaian perniagaannya daripada hati dan perasaan darah dagingnya sendiri.

Timah menggelengkan kepalanya.

“Entahlah Tim. Aku dah bosan tinggal kat rumah tu. Dahlah nak solat pun kena sorok-sorok. Entah-entah solat aku pun tak diterima Tuhan. Macam mana Tuhan nak terima solat aku kalau botol arak penuh kat dalam rumah tu? Yang pasti, malaikat memang langsung tak masuk rumah tu, Tim. Aku dah tak sanggup dah…” ujar Qistina dengan suara yang melirih.

Memang sejak lahir, ibu dan bapa Qistina langsung tidak pernah mendidik anak-anak mereka untuk membesar dengan mengikut jalan yang diredhai Allah. Pelajaran agama tidak dititikberatkan. Mereka bertiga dihantar ke sekolah antarabangsa beraliran British. Tiada pendidikan agama Islam diajar di sekolah itu.

Namun Allah terlalu menyayangi Qistina. Dibiarkan kehidupan ibu dan ayah Qistina sibuk dengan hal-hal business dan persatuan agar tidak lekat di rumah. Qistina bebas belajar mengaji dan bersolat bersama Mak Esah dan Pak Atan, walaupun secara bersembunyi. Tak tahulah apa yang bakal dilakukan kedua orang tua Qistina sekiranya mendapat tahu Qistina mendapat bimbingan agama daripada orang gajian papa dan mamanya sendiri.

Anak bongsu Mak Esah pula, Timah, dibiarkan tinggal bersama-sama Mak Esah dan Pak Atan di banglo itu. Cuma anak sulong Mak Esah sahaja yang tinggal bersama ibu dan ayah Mak Esah di kampung.

Qistina tumpang belajar agama dengan meminjam buku-buku pelajaran agama yang digunakan di sekolah kebangsaan Timah. Barulah dia tahu tentang hukum-hakam agama yang telah ditinggalkan ahli keluarganya yang lain. Puasa, zakat, haji dan sebagainya, dipelajari dengan pertolongan Timah. Satu pun tidak pernah ditunaikan papa dan mamanya. Naik bulu roma Qistina mengenangkan dosa yang ditanggung ahli keluarganya kerana ingkar dengan suruhan Allah. Takut jikalau dirinya turut dianggap bersubahat dengan kelalaian dan kealpaan mereka.

“Habis tu kau nak buat apa sekarang?” Timah bersuara lagi.

“Aku ingat aku nak balik kampung kau kejap, boleh tak? Aku rindu sangat dengan mak bapak kau. Sejak aku balik UK, aku tak jumpa dia orang lagi. Berkurun rasanya aku tak jumpa dia orang. Belum sampai dua minggu balik dah kena paksa kahwin!”

Qistina baru sahaja menamatkan pelajarannya di dalam bidang Perakaunan di London School of Economics. Pulang dengan segulung ijazah dan segunung harapan untuk berbakti kepada ibu dan bapanya, walaupun kehidupan mereka begitu mewah sekali. Namun di hati kecilnya, dia mahu mencurahkan khidmat dan tenaganya di dalam syarikat milik papanya. Dia mahu bekerja keras untuk meluaskan empayar papanya, tanpa perlu menggadaikan maruah serta prinsipnya. Tidak perlulah mengikut jejak langkah abang dan kakaknya untuk mencapai kemahuan papanya itu.

“Aku memang nak balik kampung pagi esok, Ina. Mak dan abah ada nak buat kenduri kesyukuran untuk aku lepas Maghrib. Sempena aku grad baru-baru ni.”

“Aku ikut kau boleh tak?” soal Qistina sedikit teruja.

Timah mengangguk. Bukan dia tak tahu bagaimana Mak Esah dan Pak Atan juga terlampau merindui Qistina. Walaupun Qistina belajar di luar negara dan Timah di universiti tempatan, persahabatan mereka tidak pernah terputus. Lima tahun Qistina berada di perantauan sejak tamat peperiksaan SPM, Qistina pasti akan pulang ke Malaysia setiap tahun sempena cuti musim panas. Setiap kali berpisah dan bertemu kembali, mereka boleh terus sahaja menyambung cerita yang terputus, seolah-olah baru semalam mereka berpisah.

“Eh Ina, kau ada satu beg ni je ke?” Timah menunjukkan ke arah beg galas kepunyaan Qistina.

Qistina turut memandang beg galasnya lalu mengangguk. “Dari semalam aku dah rasa tak sedap hati. Jadi aku pack apa yang penting je. Passport, sijil aku, telekung, dan beberapa helai baju je. Kau taulah baju-baju yang mama paksa aku pakai selama ni kan? Tu semua aku tak perlu. Buat apa aku nak ambik?” Qistina memandang ke wajah Timah seolah baru memikirkan sesuatu. “Tim, baju-baju kurung aku kau masih simpan, kan?”

“Mestilah ada,” balas Timah. “Masih ada dalam almari bilik aku tu. Blaus dengan seluar panjang pun ada.” Tiba-tiba Timah terbayang Qistina yang sering dipaksa memakai gaun singkat atau skirt berparas lutut oleh mamanya, setiap kali ingin keluar rumah. Langsung tidak berpeluang memakai pakaian yang sopan serta menutup aurat. Sehinggakan Qistina lebih gemar memerap di rumah, daripada keluar dengan mama atau ahli keluarganya yang lain, terutama ke pesta-pesta keramaian yang tidak digemarinya.

Lega Qistina mendengar balasan Timah. Sekurangnya, dia masih mempunyai baju kurung yang dibeli dan dikumpul sejak sekian lama, bersama-sama dengan blaus berlengan panjang yang menutup aurat. Jangan harap dia boleh berpakaian begitu sekiranya masih tinggal di rumah orang tuanya, melainkan suasana majlis memerlukan dirinya memakai pakaian yang sopan seperti baju kurung, yakni ke kenduri kahwin dan sebagainya.

Since papa dah tak anggap aku anak dia, jadi apa yang aku buat sekarang bukan lagi menjadi hal dia, betul tak?” Qistina memandang Timah inginkan kepastian. Timah sedikit teragak-agak namun masih mengangguk menunjukkan sokongan kepada temannya itu.

“Tapi, selagi kau belum kahwin, kau masih bawah tanggungan papa kau, Ina.”

“Aku tahu. Tapi apa yang aku nak buat ni bukannya menambahkan dosa dia, menambahkan pahala ada lah lagi.”

Timah terpinga-pinga tidak mengerti. “Kau nak buat apa?”

Qistina tersenyum kecil. Bahagianya rasa di hati dapat melakukan suatu perkara yang telah lama diidamkannya.

“Apa yang dah lama aku nak buat, Tim. Mulai esok, aku akan pakai tudung, macam kau!”

Timah membalas senyuman Qistina. Ya, memang Qistina telah lama berhajat untuk memakai tudung, namun dia tidak tahu bagaimana untuk menyuarakan hasratnya itu kepada papa dan mamanya. Segala ibadah yang dilakukan Qistina terpaksa dilakukan dalam diam. Penuh rahsia.

“Sementara aku nak beli tudung, aku cilok tudung kau dulu ya, Tim?”

“Ambiklah, Ina. Aku tak kisah. Dari dulu lagi kita saling kongsi barang. Sekarang pun masih sama.”

Qistina terharu mendapat sokongan Timah. Air mata yang telah kering tadi, terbit semula. Sudah lama jiwanya meronta…sudah lama hatinya terluka dengan kehidupan keluarganya yang terlampau kebaratan. Selama ini Qistina tidak putus-putus mendoakan agar Allah membuka hati keluarganya untuk insaf dan kembali ke jalan Allah. Namun, doanya itu masih belum dimakbulkan.

Timah menggenggam tangan Qistina. Kini matanya pula berair. Bukan dia tidak tahu segala rahsia kehidupan Qistina dan betapa terseksanya hidup Qistina selama ini. Qistina hanya benar-benar rasa bahagia sekiranya berjauhan daripada keluarganya. Di London, Qistina bebas mengerjakan ibadahnya dan bebas menghadiri kuliah-kuliah agama yang dianjurkan persatuan pelajar-pelajar Islam di London. Bukan seperti kehidupannya di banglo mewah itu. Sungguh terseksa!

“Sabarlah, Ina. Allah terlampau sayangkan kau. Ada hikmah di sebalik semua ni. Kau pun sendiri cakap pada aku yang kau nak hidup sendiri lepas balik UK kan? Kau yang tak nak duduk dengan parents kau, kan?”

Ina mengangguk. “Aku kena cari kerjalah, Tim. Walaupun savings aku banyak, tapi aku tak boleh duduk diam je. Aku rasa aku kena cari kerja jauh dari KL ni. Kenalan papa dan mama aku ramai sangat kat KL ni! Pergi mana-mana mesti terserempak dengan diaorang. Aku kena lari tempat lain…”

Timah tidak sanggup lagi berpisah dengan kawan rapatnya ini. Baru saja Qistina pulang dari London. Belum puas rasanya meluangkan masa bersama Qistina.

“Pasal tu, kita fikir lain kali jelah, Ina. Esok kita balik kampung. Kau rehat dulu kat rumah parents aku tu seminggu dua. Nanti kita bincang semula. Aku dah dapat kerja kat KL ni. Lagi dua minggu aku mula. So aku pun nak rehat sepenuhnya kat kampung sebelum aku mula kerja nanti.”

Qistina mengangguk tanda setuju. Tak sabar rasanya nak berjumpa dengan Mak Esah dan Pak Atan. “Hei kau jangan bagi tau Mak Esah aku balik dengan kau esok tau. Aku nak surprise kan dia.”

“Iyalah. Aku tahu. Dah pergilah tidur, Ina. Esok kita kena bangun pagi.”

Qistina menurut. Dibawanya beg galas ke dalam bilik tetamu flat Timah. Mujurlah Timah hidup bersendirian di dalam flat ini. Katanya senang sekiranya Mak Esah atau Pak Atan ingin melawatnya di Kuala Lumpur. Lagipun Timah dah malas nak berkongsi flat dengan orang lain. Bukannya tidak pernah. Tetapi ada sahaja masalah dengan teman serumah. Lebih baik hidup sendirian, katanya.

Qistina pantas membersihkan diri dan menunaikan solat Isyak. Dia baring di atas katil sambil merenung kipas yang sedang berputar ligat di siling. Kata-kata papanya tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. ‘Ina bukan lagi anak papa!’ Pedih!

‘Mengapa Remy, papa? Mengapa Remy?’ rintih hatinya. Qistina memejamkan matanya. Lekas-lekas bayangan wajah Remy mahu dihapuskan dari ingatannya. Tidak mahu mengenangkan siapa sebenarnya Remy dan apa yang Remy pernah lakukan kepadanya.

Dalam cuba menyahkan kenangan-kenangan lalu itu, Qistina terlena.

No comments:

Post a Comment