SAAT kereta Encik Malik tiba di hadapan banglo mewah milik sahabat baiknya, Dato’ Syed Arman, lekas puteri tunggalnya melangkah keluar dari kereta. Tergeleng dia melihat telatah Kayla yang sentiasa tidak sabar jika bertandang ke sini.
“Umi! Walid!” Kayla terus berlari menuju ke arah pasangan suami isteri yang sedang bersantai di halaman rumah.
“Kayla... dah sampai pun.” Datin Yasmin menyambut kehadiran Kayla dengan memeluk erat tubuh kecil itu.
Tersenyum Dato’ Syed Arman melihat telatah manja Kayla. Sejak Encik Malik kehilangan isteri 5 tahun yang lepas, Datin Yasmin sudah menganggap Kayla seperti anak sendiri.
“Walid...” Tangan kecil Kayla dihulurkan kepada Dato’ Syed Arman.
“Comelnya Kayla hari ni. Ni mesti nak main dengan Abang Yan kan?” usik Dato’ Syed Arman. Malu-malu Kayla apabila diusik begitu.
“Betullah tu, Man. Dari pagi tadi lagi duk merengek nak datang ke sini. Maaf kalau aku ganggu masa keluarga kau hujung minggu macam ni.” Serba salah juga Encik Malik kerana terpaksa menurut kehendak si Kayla.
“Tak mengganggulah. Umi lagi suka Kayla datang ke sini. Jom kita masuk ke dalam. Umi ada buat puding roti,” ajak Datin Yasmin.
Ceria wajah Kayla apabila mendengar pelawaan Datin Yasmin. Mereka melangkah masuk ke dalam rumah. Manakala Dato’ Syed Arman dan Encik Malik duduk berbual di halaman rumah.
“Lama kau tak datang rumah aku. Banyak kerja ke sekarang?”
“Boleh tahanlah. Kesian juga aku dengan Kayla. Terpaksa tinggal dengan pengasuh bila aku terpaksa bekerja sampai lewat malam.”
Dato’ Syed Arman mengangguk perlahan. “Biarlah Min yang jaga Kayla. Dekat sini ada Aryan dan Adel. Tak adalah Kayla tu bosan duduk dekat rumah je,” tawarnya.
Encik Malik tersenyum nipis. Segan kerana sudah acap kali dia menyusahkan keluarga sahabat baiknya itu. Arwah isterinya meninggal dunia selepas melahirkan Kayla. Dia seorang yang membesarkan anaknya sejak kecil.
“Tak apalah, Man. Aku tak nak susahkan kau sekeluarga. Kesian dengan si Aryan tu nanti sebab asyik melayan kerenah si Kayla,” seloroh Encik Malik. Ketawa mereka saling bergabung.
Sejak kecil lagi Kayla sangat rapat dengan Aryan berbanding dengan anak perempuannya, Adel. Oleh sebab itu, Kayla selalu singgah ke sini demi Aryan.
“Kayla tu suka sangat main dengan Yan. Dengan Adel tak pula macam tu,” tambah Dato’ Syed Arman dengan sisa ketawa yang masih ada.
“Harap-harap, janganlah sampai ke besar melekat macam tu.”
“Apa salahnya. Manalah tahu kalau anak kita tu berjodoh.”
Encik Malik sekadar ketawa lucu dengan gurauan sahabatnya. Dia tidak menolak jika perkara itu terjadi pada masa hadapan. Namun sebagai orang tua, dia tidak mahu memaksa jika perkara ini melibatkan soal hati dan perasaan. Biarlah anak-anak mereka membuat keputusan sendiri tentang pilihan hidup mereka.
SELEPAS MENJAMAH puding roti di dapur, Kayla segera mencari kelibat Aryan. Ketika di ruang tamu, dia terserempak dengan Adel.
“Kayla, bila sampai?” Adel yang baru turun dari bilik terus menyapa Kayla. Lengan Kayla dipeluk mesra.
“Baru je sampai. Abang Yan mana?”
“Ada dekat bilik. Jom, kita main baby doll. Semalam walid ada belikan kita baby doll baharu,” ajak Adel dengan wajah yang teruja.
“Nantilah. Kita nak cari Abang Yan dulu,” tolak Kayla.
“Selalu macam tu. Asyik nak main dengan Abang Yan aje. Pergilah naik dekat atas. Adel tunggu Kayla dekat sini.” Masam wajah Adel.
“Okey.” Laju kaki Kayla menaiki tangga rumah menuju ke bilik Aryan.
Sampai di bilik Aryan, dia segera mengetuk pintu bilik. Lama dia menunggu tetapi masih tiada sahutan. Akhirnya dia sendiri yang buka pintu bilik itu. Makin lebar senyumannya saat melihat Aryan masih lagi tidur lena.
Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam bilik. Timbul idea nakalnya untuk mengenakan Aryan. Botol air yang berada di atas meja belajar segera dicapai. Setelah membuka penutup botol, dia merenjis sedikit air ke wajah lelaki itu.
Aryan terjaga daripada tidur. Bulat matanya memandang wajah Kayla.
“Kayla!” Dikesat wajahnya dengan kasar.
Bergegar tubuh kecil Kayla kerana ketawakan Aryan. Walaupun Aryan hanya tua 2 tahun daripadanya, dia selalu saja mengenakan lelaki itu.
“Dah pukul 10 pagi pun tidur lagi. Jomlah turun. Main dengan Kayla.”
Aryan menjeling tajam. Geram kerana tidurnya diganggu pada hujung minggu begini.
“Abang!” panggil Kayla dengan suara yang agak kuat apabila Aryan tidak mengendahkan dia. Sudah menjadi kebiasaan buatnya memanggil Aryan dengan panggilan abang sahaja.
“Ya, abang dengarlah. Abang tertidur tadi lepas sarapan.” Kadang-kadang rimas juga Aryan dengan kehadiran Kayla di sini. Suka sangat berkepit dengannya 24 jam.
“Kalau macam tu, jom turun. Adel dah tunggu kita tu.” Tangan Aryan ditarik supaya mengikut dia keluar dari bilik itu.
“Tak naklah. Kayla mainlah dengan Adel. Abang nak tidur.”
“Sampai hati abang tak nak main dengan Kayla...” Riak wajah Kayla terus berubah muram. Hampir saja dia menangis dengan penolakan Aryan.
Melihat wajah kecewa Kayla, tidak sampai hati pula Aryan mahu menolak. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Terpaksalah dia mengalah.
“Okey, abang turun sekarang tapi abang tak nak main anak patung. Kita main permainan lain,” cadang Aryan.
Laju Kayla mengangguk sambil tersenyum lebar. Dia lekas memegang erat tangan Aryan untuk keluar dari bilik tidur itu.
Aryan tersenyum lucu melihat telatah manja Kayla. Walaupun Kayla selalu merimaskan dia, tidak dinafikan dia sangat sayangkan Kayla seperti adiknya sendiri.
RAMBUT KAYLA diusap perlahan. Mereka pulang ke rumah hampir jam 5 petang. Pada awalnya, Kayla enggan pulang namun setelah dipujuk oleh Aryan, anak itu akhirnya mengalah.
Sudah menjadi rutin buatnya untuk ke rumah keluarga Dato’ Syed Arman pada setiap hujung minggu. Disebabkan jarak rumah mereka hanya mengambil masa 10 minit sahaja, tiada masalah bagi Encik Malik untuk menghantar anaknya ke sana.
Setiap kali dia melihat wajah Kayla, perasaannya menjadi sebak. Wajah puterinya sangat seiras dengan wajah arwah isterinya terutamanya lesung pipit di kedua-dua belah pipi itu.
“Anak kita seiras dengan sayang. Abang rindu dengan sayang,” luah Encik Malik perlahan. Saat dia menerima khabar gembira tentang kelahiran Kayla, dia dikejutkan dengan pemergian isteri tercinta, Puan Delina. Hampir saja dia hilang arah untuk meneruskan kehidupannya selepas kehilangan isteri tersayang.
Dia dan isterinya mempunyai banyak persamaan iaitu mereka sama-sama membesar sebagai anak yatim piatu. Mereka jatuh cinta ketika pertama kali bertemu di universiti.
Selepas 2 tahun tamat belajar, barulah Encik Malik dan Puan Delina membuat keputusan untuk berkahwin. Hanya 2 tahun sahaja dia sempat hidup bersama dengan arwah isteri tercinta.
“Abang Yan...”
Tersentak Encik Malik mendengar suara anaknya. Perlahan-lahan dia menggeleng. Sampai ke dalam mimpi pun Kayla masih teringatkan Aryan.
“Daddy janji, selagi daddy hidup, daddy akan cuba bahagiakan Kayla.”
No comments:
Post a Comment