DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 19 October 2020

Seikhlas Cinta Kayla - Bab 9

HAMPIR 3 hari Kayla tinggal di rumah Aryan. Hari ini dia akan pulang ke rumah setelah demamnya kebah. Sepanjang tinggal di sini, dia berasa sangat gembira kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga angkatnya terutama dengan Aryan. Esok dia perlu kembali ke sekolah seperti biasa.

Sementara menunggu Encik Malik datang menjemputnya, Kayla mengambil angin di kawasan kolam. Sehingga hari ini, dia masih enggan bercakap dengan Encik Malik. Hatinya masih terkilan kerana bapanya terlupa tarikh penting dalam hidup mereka.

“Buat apa rendam kaki tu dalam air? Nanti kan jatuh sakit lagi.” Muncul Aryan tiba-tiba di sisi Kayla.

“Abang dah habis study ke?” Tersenyum Kayla apabila Aryan duduk di sebelahnya. Dia tidak mahu mengganggu Aryan kerana dia tahu lelaki itu sedang sibuk membuat ulang kaji. Adel pula sudah lama keluar bersama rakan sekelasnya.

“Otak abang ni pun perlukan rehat juga. Kalau asyik belajar, takut satu apa pun tak masuk.” Aryan turut sama merendamkan kaki ke dalam air.

“Abang budak pandai. Belajar last minute pun abang mesti dapat jawab juga.”

Aryan ketawa kecil mendengar pujian itu. Lega hatinya apabila melihat Kayla sudah kembali sihat dan ceria. Namun dia dapat merasakan Kayla sedang menyembunyikan sesuatu daripadanya.

“Kayla buat apa dekat sini? Abang tengok macam ada masalah aje.” Aryan cuba mengorek masalah yang dihadapi oleh Kayla.

“Tak ada masalah. Kayla cuma sedih sebab dah nak kena balik.” Wajah Kayla jelas kelihatan sugul.

Terdiam Aryan seketika. Bukan dia tidak tahu Kayla masih lagi melancarkan perang dingin terhadap Encik Malik.

“Kayla tak sayangkan daddy ke?” tanya Aryan tiba-tiba.

Lekas Kayla menoleh ke arah Aryan. Pelik dengan soalan yang diajukan oleh lelaki itu.

“Mestilah Kayla sayang.” Laju dia berikan jawapan.

“Kalau sayang, Kayla kenalah faham dengan daddy. Daddy kerja bukan untuk orang lain, tapi untuk Kayla juga. Selama ni abang tengok daddy selalu tunaikan permintaan Kayla. Jangan marahkan daddy lagi ya,” nasihat Aryan.

Terdiam Kayla. Satu keluhan nipis terlepas daripada bibirnya.

“Kayla tak marahkan daddy.” Perlahan dia berikan jawapan.

“Baguslah macam tu. Sebab kalau marahkan daddy, Kayla pun kena marahkan abang juga sebab terlupa hari jadi Kayla.”

Kayla tersenyum hambar. Tipulah kalau dia tidak kecewa apabila Aryan dan Adel langsung tidak mengingati hari jadinya beberapa hari yang lepas. Hanya Dhiya sahaja yang mengingati tarikh lahirnya.

“Kayla tak kisah kalau tak ada sesiapa pun yang tak ingat hari jadi Kayla. Kayla cuma tak suka bila daddy lupa tarikh arwah mummy meninggal,” jawab Kayla dengan rasa sebak.

Aryan semakin dihambat rasa bersalah. Dia bukan sengaja terlupa tentang hari jadi Kayla tetapi dia terlalu sibuk dengan persediaan peperiksaan.

“Abang yakin, daddy pun tak sengaja. Macam abang juga tak sengaja terlupa hari jadi Kayla. Sebelum ni, setiap tahun daddy buat kenduri untuk arwah mummy. Abang minta maaf kalau buat Kayla kecewa,” pujuk Aryan. Dia mahu hubungan Kayla dan Encik Malik kembali pulih.

Terkesan Kayla dengan nasihat Aryan. Sebagai seorang anak, dia sepatutnya mengalah.

“Lepas ni Kayla kena minta maaf dengan daddy. Abang tak nak Kayla bersikap dingin dengan daddy lagi. Boleh?” Rambut panjang Kayla dielus lembut.

Kayla sekadar mengangguk perlahan. Aryan tersenyum lega dengan reaksi Kayla. Dia tahu, hati adik angkatnya itu mudah lembut jika bijak diajak berbincang.

“Sekarang, abang nak Kayla tutup mata,” pinta Aryan dengan tiba-tiba.

“Hah? Nak buat apa?” Pelik pula Kayla dengan permintaan Aryan. Takut juga jika Aryan ingin menolaknya jatuh ke dalam kolam. Tak pasal-pasal dia jatuh sakit lagi.

Haip, tutup mata dulu. Nanti baru Kayla tahu,” gesa Aryan.

Terpaksalah Kayla memejamkan kedua-dua matanya. Tiba-tiba terasa tangan kanannya diraih dan dia dapat merasakan ada sesuatu yang sejuk di pergelangan tangannya.

“Sekarang Kayla dah boleh buka mata,” arah Aryan.

Sebaik sahaja Kayla membuka mata, wajahnya jelas terkejut melihat gelang Pandora yang terletak cantik di pergelangan tangannya.

“Ini... ini hadiah untuk Kayla ke?”

“Ya. Selamat hari jadi dan abang doakan semoga Kayla sentiasa berjaya dalam hidup Kayla. Harap Kayla suka gelang tu.”

Puas Aryan berjalan di Pavilion semalam untuk mencari hadiah yang sesuai untuk Kayla. Akhirnya dia membuat keputusan untuk membeli gelang Pandora ini kerana merasakan ia sangat unik.

“Kayla suka sangat. Terima kasih abang.” Kayla tersenyum lebar.

“Mulai tahun ni, abang akan hadiahkan satu biji charm untuk gelang Pandora Kayla. Jadi lepas ni Kayla bolehlah tuntut hadiah charm dari abang setiap tahun,” janji Aryan.

Aryan dan Kayla saling tersenyum sambil memandang antara satu sama lain. Hati Kayla tersentuh dengan pemberian Aryan. Sungguh dia tidak sanggup kehilangan Aryan dalam hidupnya.

 

KAYLA MASIH berdiam diri sejak Encik Malik menjemputnya untuk pulang ke rumah. Tidak senang hati Encik Malik melihat reaksi anaknya yang dingin itu.

“Abang Daud, bawa saya ke sana ya,” arah Encik Malik kepada pemandunya.

“Baik, tuan.”

Kayla semakin pelik kerana jalan yang dilalui oleh mereka sekarang bukan menghala ke arah rumah.

Tidak lama kemudian, kereta mereka berhenti di kawasan perkuburan Islam. Kayla kelihatan terkejut apabila tiba di sini. Encik Malik mengambil sesuatu dari beg kerjanya dan diserahkan kepada Kayla.

“Pakai selendang ni. Ini selendang arwah mummy. Daddy nak bawa Kayla pergi jenguk mummy hari ni.”

Tergamam Kayla. Dia mengambil selendang yang dihulurkan oleh bapanya. Mujur dia memakai pakaian yang agak sopan dari rumah Aryan lagi. Setelah memakai selendang, mereka keluar dari kereta dan berjalan menuju ke kubur arwah Puan Delina.

Setibanya di kubur arwah, Encik Malik menghamparkan tikar di hadapan pusara arwah isterinya. Botol air diletakkan di sebelahnya.

“Duduk Kayla,” arahnya.

Kayla duduk di sebelah Encik Malik. Buku Yasin diserahkan kepada Kayla dan mereka membaca surah Yasin untuk disedekahkan kepada arwah Puan Delina Maisarah.

Setelah selesai membaca surah Yasin dan berdoa, Encik Malik memegang batu nisan sambil menahan rasa sebak di dada. Sehingga kini, dia masih mencintai isterinya dan tidak mampu menggantikan tempat arwah Puan Delina dengan wanita lain.

“Assalamualaikum sayang... Maaf sebab abang dan Kayla datang lambat jenguk sayang. Tahun ni abang terlalu sibuk sampai terlupa tarikh penting dalam hidup abang.”

Kayla hanya mendengar sahaja kata-kata Encik Malik. Sayu perasaannya saat melihat wajah sugul orang tuanya.

“Abang rindukan sayang. Dah 15 tahun sayang tinggalkan abang tapi abang bersyukur sebab sayang tak tinggalkan abang seorang diri. Sayang tinggalkan tanda cinta kita bersama dengan abang... Mikayla Delaila, puteri tunggal kita.”

Bergenang tubir mata Encik Malik apabila teringatkan peristiwa sewaktu dia kehilangan isterinya hampir 15 tahun yang lalu.

Kayla yang sedari tadi mendengar bicara bapanya semakin sebak.

“Anak kita dah besar, sayang. Cantik macam sayang. Abang berjanji pada sayang yang abang akan pastikan Kayla bahagia dengan abang sampai akhir hayat abang,” luah Encik Malik. Tanpa dapat ditahan, mengalir air matanya.

Kayla turut menangis di sisi Encik Malik.

Daddy...” Lengan si bapa dipeluk erat.

Encik Malik menepuk perlahan belakang tapak tangan Kayla. Dia dan Kayla sama-sama menyiram kubur arwah Puan Delina.

Daddy, Kayla minta maaf,” ucap Kayla semasa bapanya sedang melipat tikar.

Encik Malik tersenyum gembira kerana dia tahu hati Kayla sama seperti arwah isterinya yang cepat berlembut.

“Tak apa. Daddy dah maafkan. Daddy pun ada salah juga. Daddy janji, ini kali terakhir daddy terlupa tarikh lahir Kayla.”

Kayla memeluk tubuh Encik Malik dengan erat. Hanya Encik Malik satu-satunya ahli keluarganya yang dia ada. Tidak sepatutnya dia bersikap dingin dengan orang tuanya. Pusara arwah ibunya dipandang dengan perasaan sayu.

Mummy, Kayla rindu dengan mummy. Walaupun Kayla tak sempat jumpa dengan mummy, Kayla tetap sayangkan mummy sampai akhir hayat Kayla.’

No comments:

Post a Comment