DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 19 October 2020

Seikhlas Cinta Kayla - Bab 3

ARYAN masih ralit menyiapkan latihan yang diberi oleh guru mereka. Tahun ini merupakan tahun yang sangat penting buatnya kerana bakal menghadapi peperiksaan SPM.

“Yan, petang ni lepak rumah aku,” ajak Irwan tiba-tiba.

“Tak bolehlah. Kebetulan adik angkat aku nak ikut aku balik rumah,” jawab Aryan tanpa memandang Irwan.

“Adik angkat? Maksud kau, si Kayla tu ke?” Laju Irwan menyoal.

Aryan mengangguk perlahan.

Wajah Irwan sudah beriak ceria.

“Kalau macam tu, aku nak ikut. Boleh jumpa dengan gadis idaman aku tu,” pintanya tanpa rasa malu.

Aryan menoleh memandang Irwan di sebelah. “Tak payah nak menyibuk,” bantahnya. Bukan dia tak tahu Irwan  masih cuba memikat Kayla. Banyak kali juga Kayla mengadu kepadanya tidak suka diganggu oleh Irwan.

“Kenapa pula?”

“Kalau Kayla tahu kau nak ikut, tak pasal-pasal merajuk budak tu dibuatnya. Pening kepala aku ni nak memujuk.”

Cemberut wajah Irwan.

“Eleh, yalah tu. Kayla tu sombong sangat dengan aku. Dengan kau, bukan main lagi manja. Aku ni suka gila dekat dia, tapi langsung tak pandang,” sindirnya.

Tergelak Aryan dengan bebelan Irwan.

“Dari awal lagi aku dah cakap, Kayla tu susah sikit nak berkawan dengan orang lain. Dia rapat dengan aku pun sebab kami dah kenal dari kecil.”

Irwan memandang Aryan dengan rasa curiga. Sudah lama dia mengesyaki sesuatu.

“Kau memang tak ada perasaan dekat Kayla ke? Dia tu dahlah lawa, putih gebu, body mantap. Kalau aku... pergh! Memang untunglah dapat awek macam tu.”

Kenyataan Irwan itu membuatkan wajah Aryan berubah tegang. Dia tidak suka cara Irwan bercakap tentang tubuh badan Kayla.

“Kau cakap tu bertapis sikit. Aku tak suka kau cakap macam tu,” tegur Aryan dengan nada mendatar.

Sorry. Aku bergurau aje. Cuma aku dapat rasa Kayla tu macam sukakan kau.” Tersengih-sengih Irwan memandang Aryan. Sedar dia sudah melampaui batas.

Terdiam Aryan. Kenyataan Irwan itu sedikit mengganggu fikirannya ketika ini.

“Merepeklah. Kau aje yang fikir macam tu. Daripada aku melayan kau, lebih baik aku selesaikan kerja ni. Ingat sikit, 3 bulan lagi kita nak SPM.” Aryan cuba berlagak tenang.

Irwan mengangguk perlahan. Dia sendiri tahu prinsip Aryan yang tidak suka bercinta selagi mereka belum tamat belajar. Walaupun ramai pelajar perempuan yang meminati Aryan, temannya itu tidak pernah mengambil kesempatan ke atas mereka.

 

SUDAH HAMPIR 15 minit Adel menunggu Kayla di hadapan pintu pagar sekolah. Walaupun mereka berada di tingkatan yang sama, Adel dan Kayla berbeza kelas. Kayla berada di kelas yang tercorot berbanding dengan dia yang berada di kelas pertama.

“Mana pula Kayla ni? Aku dah panas duduk dekat sini,” rungut Adel.

Bah!”

“Oh mak kau meletup!”

Berdekah-dekah Kayla mentertawakan Adel.

“Kau ni... teruklah Kayla. Terkejut aku. Dahlah aku tunggu kau lama dekat sini.” Bengang betul Adel dengan telatah Kayla yang suka mengenakan orang.

“Muda-muda lagi dah melatah. Nak merajuk konon. Jomlah gerak. Mana kereta?” Dia langsung tidak menghiraukan wajah mencuka Adel. Pantas cekak rambut di kepala dibetulkan sedikit. Tidak mahu kelihatan selekeh di hadapan Aryan.

“Kereta dekat sana. Mesti Abang Yan dah bising sebab tunggu kita lama sangat.”

Tanpa menghiraukan bebelan Adel, Kayla segera berjalan ke arah kereta milik keluarga Adel.

“Eh, kejap! Aku lupa nak bagi barang ni dekat kau.” Satu kotak kecil yang telah dibungkus cantik diserahkan kepada Adel. Kayla mahu Adel meletakkan hadiah ini di dalam bilik Aryan. Sejak mereka meningkat usia remaja, Aryan tidak lagi membenarkan dia masuk ke dalam bilik tidur milik lelaki itu.

“Jangan lupa bagi,” pesan Kayla.

Adel sekadar mengangguk saja. Kotak hadiah itu disimpan ke dalam beg sekolahnya. Ketika mereka masuk ke dalam kereta, Aryan sudah berada di tempat duduk hadapan.

Sorry abang. Tadi cikgu lambat bagi kami keluar,” adu Kayla.

Aryan yang sedang membaca buku nota segera menoleh ke belakang sedikit.

“Tak apa,” balasnya pendek sambil tersenyum nipis.

“Lama tak jumpa Kayla. Biasanya, hujung minggu Kayla mesti datang ke rumah Datin,” tegur Abang Yusri yang merupakan pemandu peribadi kepada anak-anak Dato’ Syed Arman.

Kayla tersenyum kelat.

“Kayla sibuk sikit sekarang ni...”

“Ya ke? Kerja apa sangat yang kau ada?” celah Adel dengan nada curiga.

“Diamlah kau.” Tajam mata Kayla menjeling Adel.

Sejak sebulan yang lepas, Encik Malik tidak membenarkan dia kerap ke rumah Aryan. Semuanya berpunca daripada keputusan peperiksaan yang diperolehnya baru-baru ini.

“Kita gerak sekarang Abang Yus,” arah Aryan.

Tanpa membuang masa, Abang Yusri segera memandu. Hampir setengah jam kemudian mereka tiba di kediaman Dato’ Syed Arman. Laju kaki Kayla melangkah masuk ke dalam rumah itu kerana terlalu rindukan Datin Yasmin. Hampir 3 minggu juga mereka tidak berjumpa.

“Umi!”

Datin Yasmin yang sedang membaca majalah di ruang tamu terkejut apabila mendengar suara Kayla.

“Ya Allah, Kayla... kenapa tak beritahu umi hari ni nak datang? Kalau umi tahu Kayla nak datang, mesti umi dah masak lauk kegemaran Kayla.” Mereka berdua saling berpelukan.

“Saja nak bagi kejutan buat umi,” jawab Kayla dengan nada ceria. Datin Yasmin tersenyum lebar.

“Umi ni tak adillah. Kalau dengan Kayla, bukan main lagi umi manjakan. Siap nak masakkan lauk kegemaran lagi,” rungut Adel dengan rasa cemburu.

“Dengkilah tu...” ejek Kayla sambil menjelir lidah.

Adel tayang wajah menyampah. Tiba-tiba Kayla terasa rambutnya ditarik kuat dari belakang. Terjerit dia menahan rasa perit di kulit kepala.

“Sakitlah abang!” marah Kayla apabila rambutnya ditarik Aryan.

“Jelir lagi lidah tu, abang tarik bagi panjang nanti!” ugut Aryan.

Kali ini Adel pula tergelakkan Kayla. Masam wajah Kayla dengan teguran Aryan itu.

“Dah, jangan nak bergaduh lagi. Adel pun janganlah nak cemburu sangat. Hari ni umi ada masak nasi ayam kegemaran Aryan dan Adel. Itu pun menu kesukaan Kayla juga.”

Bersorak Kayla dan Adel mendengar kenyataan Datin Yasmin. Walaupun keluarganya mempunyai pembantu rumah, dia lebih suka memasak sendiri untuk suami dan anak-anaknya. Perkara itulah yang membuatkan anak-anak sangat rapat dengannya.

“Yan naik atas dulu. Lepas mandi dan solat baru Yan turun makan.” Aryan berura-ura ingin naik ke tingkat atas.

“Yalah. Adel dengan Kayla pun pergilah naik atas dulu. Mandi dan solat. Nanti kita makan sama-sama.”

“Baik umi,” jawab Adel dan Kayla hampir serentak.

Semasa menaiki tangga, mata Kayla tidak lepas memandang belakang tubuh Aryan. Tidak sabar pula dia mahu berikan kejutan sempena hari jadi Aryan.

Masuk saja di dalam bilik, Adel segera membersihkan badan sebelum menunaikan solat zuhur. Kayla pula masih berbaring di atas katil Adel sambil bermain telefon bimbit. Ralit dia melihat telefonnya sehingga tidak sedar Adel sudah siap menunaikan solat.

“Kau tak nak solat ke?”

“Aku uzur,” jawab Kayla dengan nada malas.

Adel mengeluh lemah. Sudah acap kali dia mendengar jawapan yang sama setiap kali dia mengajak Kayla bersolat.

“Takkan dalam sebulan, setiap minggu kau nak datang bulan Kayla,” perli Adel.

Kayla sengaja memekakkan telinga dengan mendengar lagu di telefon bimbit. Adel menggeleng perlahan. Malas hendak bertekak, dia segera menyimpan kain telekung ke dalam almari.

“Kau kenal tak dengan Kak Zatul?” Adel duduk di sebelah Kayla.

“Tak.” Kayla tayang wajah tak berminat.

Ternganga Adel dibuatnya. “Kau ni biar betul? Kak Zatul tu kan penolong ketua pengawas. Takkan kau tak kenal dia langsung?”

Kayla sekadar menaikkan kedua-dua bahunya.

Geram pula Adel dengan sikap acuh tak acuh Kayla itu.

“Kalau kau tak berminat nak dengar, malaslah aku nak cerita. Aku baru nak beritahu kau yang minggu lepas Abang Yan ada keluar dengan dia.”

Terus Kayla tegakkan badan.

“Kau cakap apa tadi?”

“Tulah, tadi tak nak dengar sangat. Abang Yan keluar dengan Kak Zatul minggu lepas. Berdua pula tu.” Sengaja Adel sakitkan hati Kayla.

“Tak guna. Perempuan tu memang nak kena dengan aku!” Bantal yang berada di atas ribanya ditumbuk geram.

Tertelan air liur Adel melihat reaksi Kayla.

“Kau jangan nak buat kerja gila lagi Kayla.” Dia sempat memberi amaran.

“Kau diam! Tahulah nasib dia tu nanti.” Bibirnya diketap geram.

Menyesal pula Adel menceritakan hal itu. Sejak mereka berusia 13 tahun, Kayla berterus terang kepadanya yang dia sangat sukakan Aryan. Oleh sebab itu, dia sangat risau jika Kayla hanya bertepuk sebelah tangan.

“Tapi kalau Abang Yan sukakan Kak Zatul, kau kenalah terima.”

“Jangan nak merepeklah! Aku akan pastikan Abang Yan akan jadi milik aku. Kalau betul dia sukakan orang lain, aku sendiri yang akan pastikan Abang Yan tetap pilih aku,” jawab Kayla sambil tersenyum sinis.

Tertelan air liur Adel saat mendengar kata-kata Kayla yang berbaur ugutan itu. Dia cukup kenal dengan sikap Kayla. Jika ada sesuatu yang diinginkan, Kayla pasti akan mendapatkannya dengan cara dia sendiri. Tidak kira dengan cara baik atau dengan cara jahat.

 

No comments:

Post a Comment