DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 19 October 2020

Seikhlas Cinta Kayla - Bab 7

RALIT Kayla memerhati wajah Aryan yang sedang khusyuk membaca buku nota. Tersenyum Kayla kerana dapat melihat wajah Aryan yang semakin kacak itu. Ada rasa bangga yang terbit di hatinya kerana berjaya menjadi orang yang paling rapat di sisi lelaki ini.

Pap!

“Aduh!” Menyeringai wajah Kayla menahan rasa perit di dahi.

“Tahu pun sakit. Latihan dah siap ke?” sindir Aryan. Panjang muncung Kayla tayangkan.

“Ada dua lagi soalan.” Dahi yang masih terasa perit itu digosok dengan perlahan.

“Sakit sangat ke?” tanya Aryan dengan perasaan bersalah. Kulit Kayla yang agak cerah itu sudah bertukar menjadi merah.

“Mestilah sakit. Dahlah abang jentik kuat,” adu Kayla.

Meh sini abang tengok.” Aryan menghampiri wajah Kayla.

Terkebil-kebil mata Kayla memandang mata Aryan yang sangat dekat dengan wajahnya. Aryan turut terpaku saat melihat anak mata Kayla. Masing-masing saling bertatapan.

“Ehem, sikit aje tu. Kejap lagi baiklah.” Tersedar perbuatannya yang agak kurang manis, segera Aryan menjarakkan diri mereka.

Kayla sembunyi senyum. Pasti Aryan berasa malu. Buktinya, telinga Aryan sudah berubah menjadi merah. Sudah menjadi tabiat lelaki itu sejak kecil lagi jika berasa malu telinga itu pasti akan bertukar menjadi merah.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Lekas dia mencari barang yang ingin diberikan kepada Aryan di dalam beg sekolahnya.

“Abang, hulur tangan,” pinta Kayla dengan manja.

“Nak buat apa pula ni?” soal Aryan dengan rasa curiga. Risau juga dia akan dikenakan oleh Kayla.

“Cepatlah abang...”

Aryan terpaksa menurut. Kayla meletakkan sesuatu di atas tapak tangannya. Terkedu dia apabila melihat sebungkus besar coklat kegemarannya iaitu coklat Hershey’s Kisses yang diserahkan kepadanya.

“Coklat?” soal Aryan. Wajahnya sudah berubah ceria.

Tersenyum lebar Kayla sebaik sahaja melihat reaksi Aryan.

“Sepatutnya Kayla bagi coklat ni beberapa hari yang lepas tapi...” Mati ayatnya apabila tersedar dirinya hampir mendedahkan kejadian beberapa hari yang lepas. Gara-gara ternampak Zatul berbual mesra dengan Aryan, dia terpaksa membatalkan hasratnya.

“Tapi apa?” soal Aryan.

Err... tapi sebab Kayla sibuk sangat dekat sekolah. Coklat ni sebagai tanda terima kasih sebab sanggup ajar Kayla. Terima kasih, abang.”

“Sama-sama,” balas Aryan tanpa rasa curiga.

Kayla menarik nafas lega. Selepas ini dia perlu lebih berhati-hati apabila bercakap dengan Aryan terutamanya tentang Zatul. Takut jika rahsia kemalangan itu terbongkar.

 

HARI INI, Kayla bakal menghadapi peperiksaan penting. Semua pelajar tingkatan 3 telah berkumpul di luar dewan peperiksaan. Kayla memberi tumpuan sepenuhnya dengan menghafal nota-nota penting sebelum masuk ke dalam dewan.

Dhiya di sebelah Kayla berasa pelik melihat kesungguhan temannya itu.

“Aku tengok kau bukan main semangat lagi study sejak akhir-akhir ni. Dah insaf ke sekarang?” perlinya sambil tersenyum mengejek.

Kayla terus memandang ke arah Dhiya dengan pandangan yang tajam. Bahu Dhiya dipukul dengan kuat. Menyeringai wajah Dhiya menahan rasa perit.

“Diamlah. Sibuk aje!” Keras Kayla memberi amaran.

“Gurau pun tak boleh. Itu pun nak sentap,” rungut Dhiya sambil mengusap bahunya.

Kayla masih beriak selamba. Jika tidak kerana ugutan bapanya, dia tak akan bersusah payah untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Sakit hati dia apabila teringatkan ugutan Encik Malik. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Sampul putih yang berada di poket baju kurung dikeluarkan dan diserahkan kepada Dhiya.

“Nah.”

Terkebil-kebil mata Dhiya melihat pemberian Kayla. Dia mengambil sampul putih itu dan melihat isi kandungannya. Bulat mata Dhiya melihat ada beberapa keping duit not RM50 di dalam sampul itu.

“Banyaknya Kayla! Duit hari tu ada lagi.” Dhiya semakin serba salah dengan bantuan yang diberikan oleh Kayla.

“Ambil ajelah. Lepas ni mungkin susah sikit aku nak bagi kau duit. Daddy aku dah kontrol akaun aku.”

Dhiya sangat terharu dengan pemberian Kayla. Selama ini gadis itu telah banyak membantu jika dia mengalami masalah kewangan. Bertuah dia kerana mengenali Kayla. Hanya dia sahaja yang tahu sikap sebenar Kayla.

Tidak lama kemudian, mereka diarahkan masuk ke dalam dewan peperiksaan. Mereka masuk dengan perasaan berdebar-debar. Setelah diberi taklimat, kertas peperiksaan diedarkan kepada mereka.

Kebetulan pula, Aryan dan Irwan berjalan beriringan melalui dewan sekolah. Dari jauh dia melihat Kayla sedang ralit menjawab soalan peperiksaan. Mudah untuknya mencari Kayla kerana hanya gadis itu sahaja pelajar Islam yang tidak bertudung di sekolah ini.

Tersenyum Aryan apabila melihat telatah Kayla di dalam dewan. Adik angkatnya itu kelihatan sangat comel ketika menggigit hujung pensel.

Irwan di sebelah sudah tersenyum nakal.

“Tengok buah hati ke?” usiknya.

Tersentak Aryan. Dia cuba berlagak selamba.

“Merepeklah tu. Sejak bila aku ada buah hati?” jawabnya dengan tenang.

“Sampai tersenyum-senyum tengok si Kayla tu. Sanggup pula jadi guru peribadi tak berbayar. Macam manalah Kayla tu tak melekat dengan kau 24 jam.”

Pelik juga Irwan melihat hubungan antara Kayla dengan sahabat baiknya itu. Walaupun Aryan menganggap Kayla seperti adiknya sahaja, namun cara layanan Aryan terhadap Kayla seolah-olah seperti pasangan kekasih.

“Salah ke aku ambil berat pada pelajaran Kayla? Famili aku dah anggap Kayla macam ahli keluarga aku sendiri. Kau tu yang suka fikir yang bukan-bukan,” bebel Aryan.

Dia kurang senang dengan kenyataan Irwan. Buat masa ini, dia tidak mahu memikirkan tentang perkara yang melibatkan hati dan perasaan. Masa depannya masih terlalu panjang.

“Baiklah Syed Aryan Harraz. Harap-harap betullah apa yang kau cakap tu. Tapi ingat... jangan terlalu baik sangat dengan Kayla. Takut kau jilat ludah sendiri pula.”

Terdiam Aryan. Dia sebenarnya turut keliru dengan perasaannya sejak akhir-akhir ini.

 

BERAKHIR SUDAH peperiksaan Kayla setelah hampir seminggu dia memeras otak. Tersenyum lega dia setelah berjaya menjawab kesemua kertas peperiksaan. Sepanjang tempoh itu, dia masih belum lagi berjumpa dengan Aryan.

Hari ini Kayla bercadang untuk ke rumah keluarga angkatnya. Tidak sabar dia untuk melihat wajah Aryan. Sebaik sahaja masuk ke dalam perut kereta, dia terus memejamkan matanya kerana terlalu penat.

“Pak Daud, hantar Kayla ke rumah walid.”

Pak Daud yang mendengar arahan itu terus menoleh ke belakang.

“Tuan Malik dah tahu ke Kayla nak ke sana?”

“Pak Daud ni boleh tak jangan banyak cakap? Ikut ajelah cakap Kayla!” Kayla terus membuka matanya sambil merengus kasar.

Sejak semalam dia masih belum berpeluang berjumpa dengan bapanya. Bapanya selalu lewat pulang ke rumah dan akan keluar pada awal pagi. Dia sudah malas menunggu kelibat Encik Malik di rumah.

“Baiklah, Pak Daud hantarkan.” Pak Daud terpaksa akur dengan arahan Kayla.

Sepanjang perjalanan ke rumah Aryan, Kayla cuba melelapkan mata. Badannya terasa sangat lemah sejak semalam lagi. Sampai saja di rumah keluarga Aryan, dia disambut oleh Adel.

“Kenapa kau tak tumpang kereta aku tadi? Tak perlu kau susahkan Pak Daud.” Terkejut juga Adel apabila kereta milik keluarga Kayla muncul di hadapan rumahnya. Ketika ini, ibu bapanya tiada di rumah kerana menghadiri majlis pembukaan kedai perabot cawangan baharu di Shah Alam.

“Tak apalah. Aku tak nak susahkan kau,” jawab Kayla dengan nada yang lemah.

Adel risau melihat wajah Kayla yang agak pucat itu. Dia mendekati Kayla yang sudah berbaring di atas katil.

“Kau okey tak ni?” Dahi gadis itu dijamah dengan tapak tangan. Terkejut dia apabila merasakan suhu badan Kayla terlalu panas.

“Panas badan kau ni Kayla...” Cemas Adel kerana Kayla jarang jatuh sakit.

Kayla masih lagi memejamkan mata. Tidak larat untuk menjawab setiap pertanyaan Adel.

“Kita ke klinik,” pujuk Adel.

“Tak nak. Aku nak tidur.” Perlahan sahaja suara Kayla menjawab.

“Kau ni degillah.” Geram juga Adel dengan sikap keras kepala Kayla. Terpaksalah dia menunggu abangnya pulang ke rumah untuk memujuk Kayla. Hanya lelaki itu sahaja yang boleh memujuk Kayla.

 

HAMPIR SATU jam kemudian, barulah Aryan pulang. Dia mahu segera masuk ke dalam bilik untuk membersihkan diri dan bersolat.

Ketika tiba di tingkat atas, Aryan terserempak dengan adiknya yang baru keluar dari bilik dengan membawa sedulang makanan di tangan. Hairan dia melihat perbuatan Adel itu. Malah, makanan di dulang itu langsung tidak luak.

“Eh, Abang Yan!” Terperanjat Adel apabila terserempak dengan Aryan.

“Kenapa bawa makanan masuk ke dalam bilik ni?” tegur Aryan dengan dahi yang berkerut.

“Ni makanan untuk Kayla. Puas Adel pujuk, tapi dia tak nak makan.”

“Kenapa dengan Kayla?” Aryan sudah mula gelisah.

“Kayla demam. Panas sangat badan dia. Macam mana nak makan ubat kalau makanan pun langsung tak nak jamah,” Adel mengeluh perlahan.

Laju kaki Aryan menapak masuk ke dalam bilik Adel. Ketika itu Kayla sedang berbaring sambil berselubung di dalam selimut tebal. Adel hanya mengekori saja langkah si abang.

Aryan duduk di birai katil. Tapak tangannya menjamah dahi Kayla.

“Panasnya. Dah lama ke Kayla macam ni?” soalnya.

“Balik dari sekolah tadi Kayla terus baring,” jawab Adel.

Aryan mengeluh perlahan.

“Bagi makanan tu. Abang Yan cuba pujuk dia. Sekarang ni Adel pergi ke dapur, buatkan air teh lemon suam.”

Adel menyerahkan dulang makanan itu kepada Aryan. Dia kemudian turun ke bawah untuk menyediakan air minuman seperti yang diminta oleh abangnya.

“Kayla, bangun Kayla. Makan dulu, nanti boleh makan ubat.” Aryan meletakkan dulang makanan di atas meja tepi katil. Ditepuk pipi Kayla perlahan.

Sebaik sahaja terdengar suara Aryan, Kayla membuka matanya perlahan-lahan. Dia tersenyum memandang Aryan walaupun masih dalam keadaan lemah.

“Abang...” Lemah Kayla memanggil Aryan.

“Ya, ni abang. Makan dulu.” Sekali lagi Aryan cuba memujuk Kayla.

Kayla cuba untuk bangun tetapi kepalanya terasa agak berat. Segera Aryan membantu dia dengan memaut bahunya supaya dapat bersandar di kepala katil.

Pinggan yang terisi nasi dan lauk sup ayam itu Aryan suapkan ke mulut Kayla. Perlahan-lahan Kayla menjamah makanan itu. Masuk suapan yang keempat, dia terpaksa menolak kerana tidak mampu menelannya lagi.

“Makanlah lagi...” pujuk Aryan sambil menyelit rambut panjang Kayla di belakang telinga.

Kayla menggeleng perlahan. Tidak lama kemudian, muncul Adel bersama secawan teh lemon suam.

“Nah, Abang Yan.” Adel menghulurkan air itu kepada Aryan. Melihat makanan yang sudah luak sedikit, membuatkan hatinya berasa lega.

‘Kalau dengan Abang Yan, makan pujuk juga budak bertuah ni.’ Tergeleng kepala Adel melihat telatah Kayla itu.

“Minum air teh lemon ni. Bagi berpeluh badan tu. Nanti demam Kayla cepat kebah.”

Aryan membantu Kayla meneguk teh lemon itu dengan berhati-hati. Setelah menghabiskan air itu hampir separuh, barulah dia menyerahkan dua biji Panadol kepada Kayla.

Kayla terpaksa menelan Panadol itu kerana tidak sampai hati mengecewakan Aryan. Setelah menelan ubat itu, dia kembali berbaring. Aryan lekas membasahkan kain tuala kecil dan meletakkan kain itu di atas dahi Kayla.

Mummy...” Perlahan suara Kayla menyebut nama itu.

Aryan dan Adel saling berpandangan. Hati Adel sudah mula terdetik sesuatu. Bergegas dia menuju ke meja belajar untuk melihat kalendar. Aryan hanya memerhati saja gelagat adiknya dengan riak wajah yang keliru.

“Ya Allah... macam mana aku boleh lupa ni!” Adel menepuk dahi sendiri.

“Kenapa Adel?” Aryan mendekati Adel.

“Abang Yan pun mesti terlupa dengan tarikh hari ni.” Wajah Adel jelas kelihatan kecewa dan bersalah.

“Kenapa dengan hari ni?” Makin pelik Aryan dengan reaksi Adel.

“Hari ni... hari jadi Kayla.”

Bulat mata Aryan memandang Adel. Dia benar-benar terlupa kerana sibuk dengan persediaan peperiksaan SPM. Terpejam matanya apabila sedar yang hari ini juga merupakan hari kematian arwah ibu kandung Kayla. Perlahan-lahan dia melangkah mendekati Kayla.

Kepala Kayla diusap dengan perasaan bercampur baur. Dia tidak boleh melihat Kayla berada dalam keadaan lemah seperti ini.

Adel yang melihat reaksi Aryan itu sudah mula berasa curiga. Mustahil Aryan tidak menyukai Kayla!

No comments:

Post a Comment