DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 19 October 2020

Seikhlas Cinta Kayla - Bab 2

RAMBUT panjangnya disisir rapi sebelum diikat kemas. Setelah berpuas hati, Kayla memilih cekak rambut yang berkenan di hati. Hampir separuh cekak rambut yang dimilikinya adalah hadiah daripada Aryan. Setelah memilih cekak rambut, beberapa aksi comel digayakan di hadapan cermin.

“Barulah nampak lagi cantik!” Kayla tersenyum lebar sambil memandang wajahnya dengan perasaan bangga.

Dia mahu kelihatan cantik dan menarik di hadapan Aryan. Walaupun dia menjadi perhatian ramai pelajar lelaki di sekolah, hanya Syed Aryan Harraz sahaja yang berjaya mencuri hatinya.

Setelah berpuas hati dengan penampilan dirinya, Kayla lekas mengambil beg sekolah dan keluar dari bilik. Hari ini dia mahu tiba awal di sekolah.

Di meja makan, Encik Malik sedang membaca surat khabar sambil menjamah kuih.

Daddy,” tegur Kayla dengan nada ceria.

“Dah turun pun anak daddy ni. Ingatkan tak bangun lagi. Mimpi apa semalam sampai hari ni bangun awal?” sindir Encik Malik.

Kebiasaannya anak tunggal dia ini akan dipaksa bangun oleh orang gaji mereka. Perangai Kayla yang terlalu manja dan keras kepala itu merisaukan Encik Malik.

Di sekolah, prestasi pelajaran Kayla tidak cemerlang seperti Adel dan Aryan. Puas dia menasihati Kayla supaya rajin belajar tetapi ada saja alasan yang diberi.

“Sampai hati daddy ni.” Mencuka wajah Kayla.

Hari ini merupakan hari jadi Aryan. Oleh sebab itu, dia sanggup bangun lebih awal untuk bertemu dengan Aryan di sekolah. Sedar air minumannya masih belum disediakan di atas meja membuatkan Kayla menjadi marah.

“Mak Jah!”

Terkejut Encik Malik dengan nada suara Kayla.

“Ya, Kayla. Ada apa?” Mak Jah terus berlari keluar dari dapur sebaik sahaja mendengar suara Kayla.

“Air Kayla mana?” soal Kayla dengan nada yang tegang.

Err... Kayla nak air lain ke? Mak Jah ingat pagi ni Kayla tak kisah kalau Mak Jah buatkan Milo panas.”

“Sejak bila Kayla suka air Milo ni? Kan Kayla suka air Horlicks untuk sarapan. Buatkan Kayla air lain,” gesa Kayla.

“Kayla...” Keras suara Malik menegur.

Err... baik Kayla. Mak Jah...”

“Tak perlu Kak Jah. Biar Kayla minum air apa yang ada dekat atas meja ni. Kak Jah boleh sambung buat kerja di dapur,” arah Encik Malik.

Daddy...” Meleret nada suara Kayla.

Mak Jah masih berdiri kaku di situ. Silapnya juga kerana dia tidak menyediakan air kegemaran anak majikannya.

“Masuk, Kak Jah.”

Akhirnya Mak Jah akur dengan arahan majikannya dan berlalu ke dapur semula.

Setelah Mak Jah berlalu pergi, surat khabar yang berada di tangannya dilipat kemas. Tajam anak mata Encik Malik memandang ke arah Kayla.

“Tak boleh ke Kayla cakap elok-elok dengan Mak Jah? Dah 7 tahun Mak Jah jaga Kayla. Kayla patut hormat Mak Jah. Bukannya bagi arahan sesuka hati.”

Kayla tayang wajah tak bersalah. Kata-kata nasihat Encik Malik langsung tidak masuk ke telinganya.

“Dah namanya orang gaji. Bukannya daddy tak bayar gaji pun pada Mak Jah.”

Encik Malik menggeleng perlahan. Ternyata Kayla tidak terkesan dengan nasihatnya tadi.

Daddy tak suka Kayla layan Mak Jah macam tu. Umur Kayla dah 15 tahun, bukan budak-budak lagi. Setakat nak minum air segelas tu, Kayla boleh buat sendiri.”

Encik Malik semakin pening memikirkan sikap degil dan sombong Kayla. Mungkin silapnya juga kerana terlalu memanjakan Kayla sehingga bersikap kurang ajar seperti sekarang.

Daddy ni selalu aje nak menangkan orang luar. Tak sukalah macam ni. Kayla dah tak ada selera nak makan. Kayla pergi sekolah dulu,” rajuk Kayla.

Tangan dihulurkan kepada Encik Malik untuk bersalam sebelum dia pergi ke sekolah. Kebiasaannya setiap pagi, Kayla akan mencium pipi bapanya. Namun disebabkan teguran tadi dia tidak melakukan rutin itu hari ini.

Encik Malik mengeluh perlahan. Kayla semakin banyak berubah semenjak meningkat usia remaja.

“Delina, salah abang ke sampai Kayla jadi seperti ini?” Terpejam mata Encik Malik saat memikirkan sikap puteri tunggalnya.

 

SAMPAI SAJA di sekolah, Kayla segera keluar dari kereta. Sempat dia menjengah wajah pemandu keluarganya sebelum masuk ke kawasan sekolah.

“Pak Daud, balik nanti tak payah ambil Kayla. Kayla nak balik rumah umi,” pesannya.

“Tuan Malik dah tahu Kayla nak ke sana?” soal Pak Daud yang juga merupakan suami Mak Jah. Sudah hampir 7 tahun juga mereka suami isteri bekerja dengan Encik Malik.

“Anggap aje daddy dah tahu,” jawab Kayla dengan selamba. Terpinga-pinga Pak Daud ditinggalkan olehnya.

Sebaik sahaja masuk ke kawasan sekolah, Kayla segera mencari Aryan. Dari jauh dia ternampak kelibat Aryan yang segak memakai uniform pengawas sekolah. Ketika itu Aryan masih ralit dengan buku nota di tangan.

“Abang!” jerit Kayla sambil berlari anak ke arah Aryan.

Aryan mendongak memandang hadapan.

“Abang...” Termengah-mengah Kayla dibuatnya.

Aryan sekadar tersenyum nipis. “Awalnya adik abang datang sekolah hari ni. Biasanya selagi pintu pagar sekolah tu tak tutup, bayang Kayla pun tak muncul lagi,” perlinya sambil melihat jam di tangan.

“Bukannya dia nak puji kita datang awal. Kena ejek lagi adalah. Sampai hati,” kata Kayla dengan nada seolah-olah berjauh hati. Masam wajahnya tika ini.

Tergelak Aryan apabila melihat wajah cemberut Kayla. Dia kenal sangat dengan sikap Kayla yang rajuknya tidak panjang itu. Dia sekadar bercakap benar. Sudah beberapa kali dia terpaksa membantu Kayla terlepas daripada dikenakan denda. Ralat juga dia kerana terpaksa bersikap tidak adil dengan pelajar yang lain.

“Kan bagus kalau Kayla hari-hari macam ni. Esok datang awal lagi ya,” puji Aryan sambil menggosok kepala Kayla.

Kayla tersenyum lebar sehingga menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya.

“Petang ni abang ada kelas tambahan lagi ke?” Manja Kayla bertanya. Harap-harap Aryan tidak mempunyai aktiviti hari ini. Dia sudah merancang sesuatu yang istimewa untuk lelaki itu.

“Tak ada. Kenapa?”

Lengan Aryan terus dipeluk erat sebaik sahaja mendengar jawapan itu.

“Kayla nak ikut abang balik rumah. Dah lama Kayla tak jumpa dengan umi dan walid.”

Aryan segera melepaskan pautan tangan Kayla di lengannya. Risau jika ada mata-mata pelajar lain yang melihat aksi mereka. Walaupun sudah ramai pelajar di sekolah ini mengetahui hubungan rapat di antara mereka, dia masih perlu menjaga batas-batas pergaulan.

“Kayla, kita dekat sekolah. Jangan buat macam ni. Abang tak suka,” tegur Aryan dengan suara yang tegas.

Mencebik bibir Kayla. “Pegang lengan pun nak marah. Boleh tak Kayla ikut abang?” Sekali lagi dia bertanya.

“Ya. Boleh.”

Yes! Petang ni tunggu Kayla ya. Sayang abang...” Kayla menghadiahkan flying kiss kepada Aryan sebelum berlari anak menuju ke kelas.

Aryan menggeleng perlahan dengan aksi nakal Kayla. Jika hendak dibandingkan dengan Adel, rasanya Kayla lagi manja ketika bersama dengannya.

Kayla masuk ke dalam kelas dengan wajah yang ceria. Pada ketika ini, hanya beberapa orang pelajar sahaja yang ada di dalam kelas. Selalunya jika dia sampai di sekolah, hampir semua pelajar sudah berada di dalam kelas.

“Kayla, awalnya kau datang pagi ni?”

Kayla merengus kasar. Sakit juga telinganya mendengar pertanyaan yang sama dalam sehari.

“Masuk ni, dah tiga orang tegur aku soalan yang sama. Salah ke aku datang awal?” Bengang dia kerana asyik disindir.

“Janganlah marah. Aku cuma pelik aje tiba-tiba kau dah terpacak dekat dalam kelas ni,” kata Dhiya yang merupakan sahabat baik Kayla di sekolah sejak di tingkatan 1 lagi. Hanya dia sahaja yang bertahan dengan sikap sombong Kayla.

“Kerja sekolah aku, kau dah siapkan?” tanya Kayla dengan suara yang perlahan.

“Dah siap. Kejap, aku cari buku tu.” Dhiya lekas mengeluarkan buku latihan Kayla dari dalam beg sekolah dan buku itu diserahkan kepada Kayla.

“Tulisan ni kau buat sama tak macam tulisan aku?” soal Kayla inginkan kepastian.

“Mestilah. Nanti tak pasal-pasal aku kantoi dengan Puan Julia.” Laju Dhiya menjawab.

“Bagus. Seminggu ni aku belanja kau makan sebagai ganjaran,” kata Kayla sambil kenyitkan mata.

Tersengih-sengih Dhiya. Dapatlah dia berjimat selama seminggu ini di sekolah.

No comments:

Post a Comment