DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 9 March 2023

Bakawali, Bunga Suci - Bab 1


HIDUP di kampung, selepas maghrib sahaja suasana sudah bertukar sunyi. Bunyi cengkerik menyanyi-nyanyi itu sahajalah yang buatkan malam tak terlalu sepi. Lagu kampungan, kata orang.

Selesai solat sebentar tadi, cepat-cepat Cempaka berlari ke luar, duduk di beranda rumah. Malam ini bulan penuh, jadi memang rutin kebiasaan dia untuk duduk menghadap bulan. Kebiasaan yang tak boleh nak ditinggalkan. Sudah sebati sejak kecil lagi dengan dirinya. Bukan apa, cahaya bulan nampak indah sangat. Damai sahaja jiwanya setiap kali dapat menatap bulan mengambang. Kata Eton, dia ini jenis jiwang. Ah, tak adalah! Dah memang bulan itu cantik, dan dia suka, apa salahnya?

Kalau tengok bulan, kadang-kadang Cempaka boleh rasa sebak. Walaupun tak faham kenapa, tapi Cempaka tetap seronok. Rasa puas dan rasa selamat. Kadangkala, dia rasa terlebih teruja. Terlalu bersemangat! Dan semua perasaan yang dia rasa, semuanya bagi dia bermakna belaka. Tak ada satu pun perasaan yang perlu dia buang walaupun dia tak faham kenapa perasaan tersebut timbul.

Bagi Cempaka, jiwa manusia terlalu unik dan hebat. Banyak yang boleh kita rasai walaupun dalam satu masa yang sama. Cuma kita sahaja yang perlu bijak menilai dan mengurus jiwa sendiri supaya tak terbabas ke mana-mana.

Zaman sekarang, kalau tak diurus perasaan dengan baik, banyak mudaratnya. Boleh menyebabkan sakit dan kemurungan. Banyak punca kemurungan sebenarnya, dan salah satunya adalah tak bijak mengurus perasaan.

Cempaka tinggal di kampung, jadi topik begitu agak tabo di sini. Tak ada satu pun yang boleh dibawa berbual tentang hal-hal begitu. Kalau dengan Eton, setiap hari bercakap tentang makan, tentang baju yang kena basuh, tentang rumah lama ini yang kena jaga sana dan sini. Dan tak lupa juga tentang bunga-bunga yang ditanam di sekitar rumahnya ini.

Teringat tentang bunga, pagi tadi Cempaka ada menyemai pokok bunga matahari. Dah lama dia berkenan nak tanam bunga matahari yang kembang besar itu di laman  rumahnya ini. Jadi apabila dia ke pekan kelmarin, dia belilah benih pokok bunga tersebut. Teruja dia nak tunggu benih tersebut naik dan membesar.

Sedang asyik mengelamun, suara Bulat mengembek buatkan mata menyorot ke bawah pokok mangga berdekatan pangkin di bawah sana. Bibir merekah dengan senyuman apabila melihat Bulat menggeleng-geleng kepala. Kambing busuk dia itu memang tak reti nak tidur lagi waktu-waktu begini. Ada sajalah perangai tu nak menegur dia di sini.

“Tidurlah, Bulat. Dah malam ni. Tak payah nak main lagi dah,” tegurnya dengan tawa kecil. Lucu melihat telatah Bulat yang selalu sahaja banyak perangai.

Malas nak hiraukan lagi keletah Bulat, Cempaka kembali menyangkut dagu dan merenung bulan dan bintang di atas sana. Dulu, tok nek dia pernah pesan - sifat orang wanita kena lembut dan tenang. Perlu bijak dan yakin diri. Jadi seperti bulan, walau pada malam kelam, ia tetap bersinar biarpun hanya sendirian. Dan apabila dia sudah dewasa sekarang ini, Cempaka banyak berfikir sendiri, macam mana nak jadi wanita seperti tok nek yang sentiasa dihormati orang ramai.

Hidup yang sejak remaja berdikari seorang diri, tak banyak inspirasi yang boleh dia dapat. Ibu meninggal sewaktu umur dia 14 tahun lagi. Seterusnya, dia hanya hidup dengan ayah sebelum ayah pula pergi waktu dia habis SPM.

Sedih dan pilu, sudah banyak diratap sendiri. Ada Eton, tapi apalah sangat yang Eton boleh buat. Wanita yang sudah lebih 30 tahun itu tak normal macam orang biasa. Jadi semuanya Cempaka simpan seorang diri. Menyimpan rasa sudah jadi sebati dengan dia. Sudah tak rasa terbeban langsung. Habis teruk, dia menangis seorang diri. Tapi biasanya, kerja-kerja mengurus ladang dan kebun banyak mengajarnya untuk terus bijak mengurus kehidupan.

Sejak ayah meninggal, Cempaka terpaksa mengurus sendiri semua ladang getah dan kebun berekar-ekar yang ditinggalkan. Walaupun dia seorang perempuan, tapi hidup di kampung, semua itu biasa sahaja di mata semua orang. Dan dia bernasib baik sebab ada pekerja-pekerja yang boleh dipercayai dan baik-baik belaka. Tak adalah berat kerja-kerja yang dia kena hadap.

Makin ralit mengelamun, bunyi motosikal yang masuk ke laman rumahnya buatkan bibir tersenyum kecil. Sudah kenal sangat dengan bunyi enjin motosikal tersebut. Sebelum masuk pintu pagar sana lagi dia dah boleh cam.

Melihat Aathif turun dari motosikal dan membimbit plastik di tangan, Cempaka bangkit daripada duduk dan bergerak ke anak tangga.

“Bawa apa pulak tu?” soalnya, menegur.

“Ni haa... ikan keli. Petang tadi Aathif cuci kolam ikan tu. Ada yang besar dua tiga ekor, Aathif ambillah. Akak cakap nak makan keli hari tu, kan?”

Cempaka menggeleng kecil. Si Aathif ni memang selalu sangat manjakan dia. Terlepas cakap sikit aje pun dah usaha pergi carikan. Pantang keluar sahaja daripada mulut dia ni, laju sahaja sampai depan mata.

“Terima kasih. Sedaplah pagi esok makan nasi dengan paprik ikan keli.”

“Haa, boleh Aathif datang makan samalah tu.”

“Datang ajelah. Macam tak biasa pulak dapur buruk akak tu kamu jenguk.”

Aathif tertawa kecil sambil menghulur plastik di tangan. Duduk kemudian dilabuhkan pada anak tangga ketiga.

“Ni kamu bawa ikan keli ni, mak tak ada cakap apa-apa ke?”

Aathif mencebik kecil.

“Mak, apa sangat yang dia tak cakap? Macamlah akak tak kenal mak tu,” balasnya acuh tak acuh. Tadi masa nak datang, dia sengaja senyap-senyap start motosikal ke mari. Alah, kalau mak dia tanya balik nanti, dia cakap ajelah dia pergi solat isyak di surau.

“Sebab akak kenal mak tulah akak tanya. Akak tak suka tau kamu bergaduh dengan mak. Lagi-lagi pasal akak.”

“Tak payahlah akak fikir pasal mak tu. Biarlah dia.”

“Tak bolehlah macam tu.”

“Akak, minggu lepas masa dia serang akak dekat kedai Abang Isa pun orang tak puas hati lagi dengan dia, tau!”

Cempaka mengeluh kecil dengan rungutan tersebut. Alah, bukan apa sangat pun. Mak mentua dia tu memang jenis lantang sikit, biasalah kalau dia kena sembur. Dia tak anggap apa-apa sangatlah. Terkilan kecil tu bukan apa-apa pun. Tapi macam biasa, Aathif yang melebih-lebih berbanding dia.

“Mak bukan cakap apa punlah. Macam yang dia duk selalu cakap tu aje,” balasnya dengan nada tak terkesan apa-apa.

“Dah tujuh bulan Abang Lan tak ada, kak. Mak tu lebih-lebih sangat. Geram Aathif kalau fikir semula.”

“Tahu... akak tak salahkan mak kalau dia terkesan lagi. Akak pun sama macam mak jugak.”

“Kak, tuduhan mak tu teruk, tau. Dia duk jaja dekat orang kampung pasal akak, ingat tu apa, elok sangat?”

Cempaka tersenyum pahit. Teringatkan kata-kata perit yang mak mentuanya lemparkan, dia sendiri terkejut dan takut. Banyak mata yang mula memandang serong ke arahnya. Tapi nak buat macam mana, dia sendiri tak faham apa yang terjadi. Mungkin tuduhan tersebut benar.

Jujurnya, Cempaka sendiri mula turut terkesan apabila setiap kali terdengar orang bercakap. Perit, tapi apa saja yang mampu dia buat selain tutup telinga sendiri. Nak tutup mulut orang dia tak mampu, jadi tutup telinga sendiri sahajalah yang boleh dia buat.

“Kak, jangan nak diam sangat bila mak serang-serang akak. Akak kena lawan!”

Tertawa kecil Cempaka.

“Nak lawan apa? Jangan nak buat kelakarlah,” balasnya dengan tawa yang jelas dibuat-buat.

“Sekurang-kurangnya akak balaslah. Cakap dekat mak, dekat orang-orang kampung yang tuduhan diaorang tu mengarut. Dah zaman moden ni, kak. Cerita mengarut macam tu pun ada orang nak percaya!”

“Mungkin betul.”

Bulat mata Aathif membalas pandangan bekas kakak iparnya itu. Tak percaya yang Cempaka boleh cakap begitu.

“Apa, tak betul? Dah dua orang, Thif... suami akak. Mungkin betul akak ni terbawa sumpah.”

“Tak, tak, tak. Akak tak payah nak mengarut sama. Tak, Aathif tak percaya!” Bersungguh Aathif membantah ucapan Cempaka. Sungguh, geram dia apabila setiap kali dia dengar daripada mulut emaknya dan mulut orang-orang kampung, kata Cempaka terkena sumpah.

Sudah dua orang suami Cempaka meninggal dunia pada hari perkahwinan. Pertama, tiga tahun lepas – Fattah anak Penghulu Rahim, meninggal disebabkan kemalangan sebelum sempat bersanding. Dan kedua, abangnya Azlan. Malam pengantin yang sepatutnya ceria dan penuh indah bertukar sadis apabila abangnya rebah tak sedarkan diri. Doktor sahkan yang abangnya terkena serangan jantung.

Dan semua itu sudah cukup untuk buatkan orang kampung menjaja cerita mengatakan Cempaka terbawa sumpah. Sesiapa sahaja yang berkahwin dengan gadis itu akan meninggal dunia tanpa sempat ‘menyentuh’ Cempaka. Orang kampung menjaja cerita tersebut dengan jolokan Sumpah Si Dara Suci – Cempaka akan kekal suci sampai ke mati.

Aathif tak mampu bayangkan bagaimana peritnya tuduhan tersebut. Dia yang dengar pun sudah pedih hulu hati, apatah lagi empunya badan. Kagum sendiri dia dengan sikap tabah dan sabar Cempaka.

“Tak luruh punlah isi kulit akak dengar orang menjaja cerita akak tu.”

Sekali lagi Aathif mengeluh keras mendengar ayat balas Cempaka. Begitulah sikap kakak iparnya ini. Tak pernah sekali nak cuba tegakkan kebenaran.

“Masalahnya sekarang, benda tu buat nama akak buruk. Ya Allah, tak boleh bayanglah Aathif bila dengar diaorang mengumpat pasal akak. Kolot sangat dakwaan tu!”

“Kamu tak kenal tok nek akak, Thif.”

“Kenapa dengan tok nek akak pulak?”

“Orang lama, Thif. Faham-fahamlah. Ilmu orang lama ni kadang-kadang pelik!”

“Kejap.” Kening Aathif berkerut rapat. Bingung dengan cerita yang cuba disampaikan. “Akak nak cakap yang benda ni betul?”

“Entahlah, Thif. Banyak kali dah akak mimpi tok nek datang jumpa akak. Nak cakap apa pun akak tak reti. Mungkin benda ni ada kena-mengena dengan ilmu tok nek dulu.”

“Ya Allah, kak!” sanggah Aathif laju. “Tak payahlah akak percaya benda pelik-pelik macam tu. Biar orang kampung aje yang jadi benak. Akak tak payahlah!”

Ketawa kecil Cempaka dengan reaksi Aathif. Dia bukan apa, dia tahu orang lama ada mengamalkan ilmu yang tak kita fahami. Dan untuk dia kaitkan dengan situasi dirinya, tak adalah berkait sangat pun. Tapi itulah, apabila ramai orang bercakap ke hulu ke hilir, dia sendiri jadi sangsi.

Dia yang menanggung. Dia yang kehilangan suami. Tuhan sahaja yang tahu betapa lelah menanggung rasa. Tapi apakan daya, dia tetap perlu teruskan hidup.

Dulu sewaktu nak bernikah dengan Fattah, dia sudah mencipta angan-angan untuk mencipta keluarga yang bahagia. Nak ada anak-anak yang ramai. Dia tak nak keluarganya nanti senasib sepertinya. Hidup sebagai anak tunggal, langsung tak ceria. Dan semua itu diimpikan dengan penuh indah. Namun Tuhan lebih memilih untuk memberikan dia duka. Memberi ujian yang cukup perit. Ternyata malam yang penuh bintang berakhir dengan mendung. Tiga tahun dia bersendiri kembali. Ditinggalkan sang suami yang selama ini mencipta impian bersama.

Kemudian muncul pula Azlan. Jiwa yang kesepian akhirnya berjaya diisi lelaki itu. Dan begitulah cerita seterusnya, dia akhirnya ditinggalkan sekali lagi. Belum sempat bermadu kasih dengan seorang suami yang sepatutnya mengasihi dan menyayanginya, sekali lagi dia ditinggalkan tanpa sempat membina bahagia.

Dalam membasuh luka sendiri, tanpa sedar, timbul pula ujian baharu. Jolokan Sumpah Si Dara Suci terlalu berat untuk diterima. Lebih-lebih lagi daripada mak mentua yang dulunya cukup baik dan sangat menyayanginya. Cempaka faham. Cukup faham bahawa Mak Wan mungkin terluka dengan pemergian anak sulungnya. Tapi hakikatnya, dia juga sama, ditinggalkan suami yang cukup baik dan prihatin dengan nasibnya.

Sudah berbulan rasanya dicemuh orang. Mata-mata lelaki di kampungnya juga dia perasaan sudah lain benar memanah ke arahnya. Takut agaknya kalau-kalau dia ajak bernikah.

Begitulah takdir Tuhan. Terlalu bersirat dan payah untuk ditafsirkan oleh akal manusia. Dia sendiri rasanya sudah mengalah untuk menyebut satu patah perkataan tersebut – berkahwin!

Bodoh rasanya kalau Cempaka langsung tak terkesan dengan cerita sumpahan tersebut. Lihatlah dia sendiri, hidup menyendiri jauh daripada orang ramai. Rumahnya agak jauh sedikit dari jalan utama kampung mereka. Tinggal pula dengan Eton yang kurang normal. Dikelilingi hutan dan ladang yang sunyi sepi. Siapa sahaja yang tak nak berprasangka dengan diri dia? Mungkin sebab itulah mudah orang percaya dengan cerita yang mak mentuanya bawa.

“Akak?”

Pandangan jatuh semula ke arah Aathif di bawah.

“Sudahlah tu, Thif. Akak malas nak bercakap pasal benda ni.” Nafas akhirnya dikeluh penuh lemah. Tak sanggup lagi nak berdalih tentang hal tersebut.

“Tak boleh, kak. Ini soal maruah dan masa depan akak!”

“Biarlah... akak sendiri tak rasa nak fikir pasal masa depan akak lagi dah. Cukup banyak dah apa yang akak ada sekarang. Tak perlulah nak meminta benda yang belum tentu mampu kita syukuri.”

“Akak cakap dengan Aathif sekarang... cakap yang akak tak percaya dengan benda karut tu semua.” Cempaka sekadar tersenyum tawar. Tak mampu nak bersungguh-sungguh menolak.

“Kak?”

“Pergilah balik, Thif. Nanti bising pulak mak tu.”

Aathif bangun dengan perasaan serba salah. Pandangannya tajam memanah ke dalam mata Cempaka. Memang betul Cempaka tu kakak iparnya, tapi tak salah kalau dia mula jujur dengan niat dan perasaannya sendiri.

“Jom kita kahwin, kak!” ujarnya penuh yakin.

Terpaku Cempaka seketika mendengar ucapan yang entah berpunca daripada mana itu. Kemudian terbit pula tawa di bibir.

“Nak bergurau apa kamu ni, Thif? Pergi balik cepat!”

“Tak! Aathif serius ni, kak! Kita kahwin, dan kita tengok sendiri mati atau tak Aathif ni nanti.”

Kesat sahaja liur yang cuba ditelan Cempaka. Terkebil-kebil matanya, membalas pandangan yakin Aathif kepadanya.

‘Oh Tuhan... apa lagi takdir yang kau hamparkan untuk aku?’

 

No comments:

Post a Comment