DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 9 March 2023

Bakawali, Bunga Suci - Bab 2


MELIHAT jam yang sudah berganjak ke angka 8.40 minit malam, Mak Wan bangun dari sofa dan turun ke dapur dengan rasa sebal. Pinggan di rak diambil dan dia duduk di meja makan dengan wajah mencuka. Tak lain tak bukan, sebab anak lelakinya seorang itulah. Si Aathif itu keluar tak balik-balik lagi. Aathif ingat dia tak tahu ke yang dia tahu anak lelakinya tu ke rumah Cempaka? Geram sungguh dia!

Tak cukup-cukup lagi ke siang hari menghadap si Cempaka itu, sampai waktu malam pun nak lihat batang hidung gadis itu lagi? Tuhan sajalah tahu marah dia ni macam mana. Aathif tak pernah nak dengar cakap dia. Selalu sahaja cari jalan nak sakitkan hati dia.

Saji yang menutup hidangan makan malam diangkat dan diletakkan ke bawah. Nasi disenduk ke dalam pinggan. Tak lalu dia nak makan banyak kalau makan seorang diri.

Teringatkan wajah Cempaka, mendidih sahaja hati tuanya. Tak faham kenapa Aathif selalu membelakangkan kehendak dia demi si dara sunti yang tersumpah itu. Dia tahulah si Cempaka itu cantik, memang ramai lelaki muda di kampung mereka ini berkenan. Tapi kalau nak cakap si Aathif pun ada hati sama dengan Cempaka, dia yakin mesti si Cempaka itu ada pakai ilmu guna-guna. Mana taknya, anak lelaki dia tu dah macam hamba dia rasa. Apa sahaja kehendak Cempaka, laju sahaja si Aathif menurut. Cuba kalau dia cakap dia tak suka Aathif hari-hari berjumpa Cempaka, mulalah tak kena gaya. Dan dia yakin, tak lain tak bukan, anak lelaki dia tu duduk bawah pengaruh Cempaka.

Dia dah tak tahu dah nak buat macam mana. Ikutkan hati, nak sahaja dia lari ke Kuala Lumpur, duduk dengan Asmira. Si Aathif di kampung ni, biar saja kena tinggal. Duduk sorang-sorang. Tapi nak buat macam tu, dia tak berani. Mak Wan tak nak Aathif pula yang jadi mangsa macam anak sulung dia, Azlan. Terjebak dalam sumpah yang terkena batang tubuh Cempaka itu.

Demi Tuhan, kalau dari awal lagi dia sedar perkara itu, takkan sesekali dia bersetuju nak nikahkan Azlan dengan Cempaka. Sekarang tengoklah nasib dia, ditinggalkan Azlan untuk selama-lamanya.

Menyuap nasi ke mulut dengan perasaan geram, nikmat langsung tak terasa. Gulai nangka muda kegemarannya tak membangkitkan selera sedikit pun. Apa yang pasti, dia tak boleh nak buang resah dan gelisah fikirkan Aathif. Tak tahulah macam mana lagi dia nak buat untuk halang Aathif daripada berjumpa dengan Cempaka.

Usai sahaja Mak Wan habiskan nasi di dalam pinggan, dia bangun dengan keluh-kesah ke singki untuk mencuci pinggan. Belum selesai mencuci pinggan di tangan, kedengaran enjin motosikal Aathif di luar rumah. Haa, tahu pun balik anak bertuah dia itu!

Yakin yang Aathif akan terus masuk ke dapur, Mak Wan labuhkan semula duduk di meja makan. Butir bicara disusun elok-elok dalam kepala dengan niat untuk hamburkan semuanya sekali gus kepada Aathif sekejap lagi.

“Mak, tak makan lagi ke? Kenapa duduk aje?”

Memerhati Aathif turun dan bergerak ke arahnya, Mak Wan menarik nafas dalam. Geram sungguh kalau ikutkan hati.

“Tak payahlah nak berlagak prihatin dengan aku ni. Padahal kalau aku mati kering dekat rumah ni pun kau tak tahu-menahu.”

“Mak cakap apa ni? Orang tanya dah makan ke belum, kan? Kalau tak makan lagi, nak makan sama-sama.”

Mak Wan mencebik sinis dengan jawapan Aathif.

“Kau pergi jumpa Cempaka, kan? Kau ingat aku tak tahu? Dah berapa kali aku cakap tak payah pergi rumah perempuan tu. Kau tak faham bahasa ke, Thif? Nak aku cakap bahasa apa dengan kau ni. Degil sangat kau, kan!” 

“Apa mak ni, nak marah-marah tak tahu punca ni?”

Makin geram hati Mak Wan melihat Aathif berlagak selamba, bergerak mengambil pinggan dan duduk di kerusi sebelahnya. Sebiji pinggan diletakkan di depannya. Kemudian laju sahaja tangan Aathif bergerak menyenduk nasi ke pinggan sendiri. Saat Aathif cuba pula untuk menyenduk nasi ke pinggan lain, Mak Wan menolak pinggan ke tengah-tengah dengan aksi spontan.

“Aku dah makan dah! Nak tunggu kau tu, kebulur dulu aku dekat rumah ni.”

Pulak dah! Orang tanya tadi tak cakap.”

“Kau bukan faham bahasa pun kalau aku cakap apa-apa!”

“Mak ni... cuba cakap elok-elok. Orang ni bukan duduk jauh pun. Telinga ni boleh dengar jelas lagi.”

Mak Wan mendengus sahaja melihat Aathif menyudu kuah dan menggaul nasi di dalam pinggan.

“Kau ni dengar ke tak aku cakap apa tadi?”

“Apa mak? Orang nak makan nasi ni.”

“Aku tak suka kau pergi rumah perempuan tu! Susah sangat ke kau nak faham? Kalau jadi apa-apa, siapa yang susah? Kau tak fikir pun sampai ke situ, kan? Suka sangat jadi hamba dia tu. Tak fahamlah aku apa sangat yang lebihnya Cempaka tu?”

“Mak, Cempaka tu menantu mak, tahu tak? Bukan orang lain.”

“Bekas menantu. Abang kau pun dah meninggal. Ingat sikit!”

“Sama ajelah. Akak tu bukannya dah kahwin lain pun.”

“Kisah pulak aku pasal kahwin ke tak kahwin dia tu.”

“Mak ni, kan...”

“Siapa aje pun nak kahwin dengan dia tu? Semua orang dah tahu dia tu terbawa sumpah.”

Mengucap panjang Aathif mendengar ayat tersebut.

“Mak, boleh tak mak stop buat cerita mengarut ni semua. Letihlah orang nak dengar. Itu belum lagi tanya akak, agaknya dah lali sangat dengar cerita mengarut mak ni,” ujar Aathif sedikit tinggi. Tak habis-habis cerita mengarut itu yang maknya bawa. Tak penat ke?

“Dah memang betul. Kau nak aku cakap apa? Dua orang laki dia mati. Dua orang! Kau tak pelik? Ah, kau nak pelik apa. Kononlah belajar tinggi-tinggi sampai masuk U,  sampai cerita orang tua pun kau tolak tepi macam tu aje. Eh, kau dengar sini, Aathif. Keluarga Cempaka tu dulu bukan orang biasa-biasa tahu tak? Kau ingat diaorang berharta tu boleh dapat mudah-mudah? Tak! Jin apa yang diaorang bela pun kita tak tahu!”

“Ya Allah, mak!”

“Dengar sini. Kau ingat Nek Nah dulu tu baik sangat? Berapa orang laki dia kahwin sebelum dapat maknya si Cempaka tu. Laki yang dia kahwin tu pulak bukan orang biasa-biasa. Yang ada tanah berekar-ekar. Itu yang dapat dekat Cempaka sekarang tu. Nek Nah tu dulu bukannya cantik mana sangat. Tapi dapat laki, putih-putih, sasa-sasa belaka. Tak terfikir ke dia ada pakai ilmu apa-apa?”

Aathif menggeleng. Tak mampu nak terima cerita yang disampaikan.

“Tak percaya, tanyalah orang-orang kampung ni. Semua orang kenal Nek Nah tu macam mana.”

“Itu cerita zaman bila mak? Kita bercakap pasal Cempaka sekarang ni.”

“Haa, itulah yang kau tak faham! Ilmu Nek Nah tu agak-agaknya Cempaka yang amalkan sekarang ni. Atau mungkin sebab tak kena pantang larang, jadilah terkena sumpah tu. Tak boleh nak bernikah sampai ke mati.”

Aathif mendengus keras sambil membawa pinggan ke singki. Dada berdebar halus mendengar cerita yang disampaikan. Akal tak habis-habis mengulang perkataan ‘mengarut’ dalam kepala tapi hati ditunjal-tunjal dengan rasa bimbang. Takut untuk mengakui bahawa wujud ilmu-ilmu songsang yang pernah orang-orang dulu amalkan.

“Jadi tak payah lagi kamu nak dekat-dekat dengan Cempaka tu. Dengarlah cakap aku ni. Aku tak nak kau jadi macam abang kau, Aathif.”

Aathif menelan liur kelat. Tak, takdir dan ketentuan Tuhan yang sebabkan abang dia meninggal. Bukan sebab sumpahan mengarut yang mak dia ratibkan itu.

“Abang meninggal sebab serangan jantung, mak. Doktor yang sahkan! Berapa kali entah orang nak beritahu,” balasnya sedikit geram. “Fattah dulu tu pun sebab accident.”

“Apa-apa ajelah, Aathif. Kau nak percaya ke tak, aku tak kisah. Aku cuma nak kau jangan pergi jumpa batang hidung dia tu lagi. Aku tak suka!”

Aathif berpaling sambil menarik nafas perlahan.

“Ada benda orang nak beritahu mak ni,” ujarnya dengan nada sehabis lembut.

“Apa, kau dah setuju nak ajak aku merisik anak Yati tu?”  

“Hah?”

“Yalah, dah sebulan kau cakap nak fikir. Alisa tu dah habis belajar lama. Kau tu aje entah bila nak bersedia.”

Berkerut-kerut wajah Aathif mendengar nama Alisa disebut. Ya Allah, ada lagi rupanya niat nak kenenkan dia dengan Alisa itu.

“Bukanlah!” balasnya. Yakin!

“Habis tu bila? Kau ni, dah naik malu muka aku kalau orang tanya bila kau nak kahwin, tahu tak?”

“Memang orang nak kahwin. Tapi orang nak kahwin dengan Cempaka!”

Tergamam tiba-tiba Mak Wan mendengar ayat lancar yang keluar daripada mulut Aathif.

“Apa kau cakap? Ulang sekali lagi, aku nak dengar.”

“Orang nak kahwin dengan Cem...”

“Kau dah gila ke apa?” Laju sahaja Mak Wan memotong suara Aathif. “Dah gila? Dah tak betul?” soalnya dengan dada mendidih hangat. Ya Tuhan, nasib buruk apalah yang menimpanya? Si Aathif ni memang nak dia mati terkejut ke apa?

“Orang serius!”

“Kepala hotak kamulah serius! Tak payah nak buat gila. Minggu depan aku nak kau siap-siap, kita pergi merisik Alisa. Dah! Habis cerita.”

“Mak!”

“Kau jangan nak bantah cakap aku lagi. Sekali lagi aku dengar kau cakap mengarut ataupun sebut nama perempuan tersumpah tu, siap kau!”

Termangu-mangu Aathif tak mampu membalas apabila mata tajam dan jari telunjuk emaknya terhala ke arahnya.

“Mak. Orang dah beritahu Cempaka dah.”

“Cukup!” Keras Mak Wan menjerit menghalang Aathif daripada terus membuka mulut. “Cukup, Aathif. Kau tak payah nak buat kepala aku makin serabut lagi.”

Tak mampu menahan rasa terkejut di dada, Mak Wan bingkas bangun dari kerusi dengan lemah. Lama-lama lagi duduk di sini, boleh jatuh terduduk dia. Perlahan tubuh  bergerak dan melangkah menuju ke anak tangga untuk naik ke atas. Belum jauh meninggalkan meja makan, sempat dia mengangkat jari telunjuk sekali lagi ke arah Aathif. Memberi amaran sebenar dengan setiap apa yang dia ucapkan sebentar tadi.

Aathif tak mampu berbuat apa-apa. Hanya mata menghantar emaknya berlalu naik ke atas. Keluhan lemah dihembus perlahan. Bukan dia tak boleh nak agak reaksi yang akan dia terima, tapi hati tetap terkilan dengan penerimaan emaknya yang terlalu keras.

Teringatkan segala cerita yang disampaikan sebentar tadi, dada bergetar halus sekali lagi. Kalau betul apa yang diceritakan, maknanya adakah dia akan mati nanti kalau dia jadi bernikah dengan Cempaka?

Oh Tuhan, rasa kasih dan sayang dia untuk Cempaka dah banyak bercambah sejak dia mula mesra dengan gadis itu. Memang mulanya dia sekadar berasa bertanggungjawab untuk mengurus dan membantu menyediakan keperluan Cempaka atas dasar adik ipar kepada kakak ipar. Tapi sudah tujuh bulan berlalu pemergian abangnya Azlan. Cempaka sudah hidup semula dengan tenang. Jadi tak salah kalau dia berlaku jujur dengan perasaan dan hati sendiri.

Gadis seperti Cempaka, tak ramai yang dia jumpa. Bersifat lemah lembut tapi ada tegasnya. Kuat dan pandai berdikari. Belum lagi bercakap soal cara mengurus perniagaan dan ladang-ladang kepunyaan gadis itu. Dia sendiri kagum dari jauh. Pokoknya, gadis seperti Cempaka itu limited edition. Bodohlah kalau dia nak lepaskan gadis itu macam itu saja.

Terserahlah apa pun halangannya, dia yakin dia bersungguh nakkan Cempaka. Kalau mati sekalipun, dia yakin memang Tuhan yang dah takdirkan. Kalau emaknya kata Cempaka hanya bekas menantu, biar dia kembalikan taraf menantu itu semula. Mudah!

 

No comments:

Post a Comment