DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 9 March 2023

Bakawali, Bunga Suci - Bab 5


SELESAI sahaja makan tengah hari, Cempaka terdengar suara orang memberi salam dari pintu utama. Disebabkan dia nak basuh pinggan terlebih dahulu, dia menyuruh Eton untuk keluar ke depan menyambut tetamu yang datang.

Tidak mahu ditunggu-tunggu terlalu lama, laju sahaja tangan Cempaka bekerja. Siap sahaja mencuci pinggan dan mengemas meja makan, cepat-cepat dia bergegas ke atas. Melihat tetamu yang datang itu ialah Kak Piah, bibir menayang senyuman mesra kepada wanita itu yang sudah mengambil tempat duduk di sofa.

“Ada apa, kak?” soalnya ramah, sebelum duduk berhadapan dengan wanita itu.

“Segan akak datang ni, Cempaka. Tapi kalau tak datang, akak tak tahu nak minta tolong dekat siapa lagi dah.”

“Apa dia, kak. Cakaplah.”

“Anak akak yang duduk kat asrama tu. Semalam dia telefon Abang Jali, kata nak guna duit nak buat beli buku. Tapi akak tak ada duit nak bagi dia. Jadi sebab tulah akak datang nak jumpa kamu ni. Kamu pun faham, kan susu getah tak tubik (keluar) sangat musim ni.”

Cempaka mengangguk kecil mendengar cerita yang disampaikan.

“Anak akak yang SPM tahun ni tu ke?”

“Haah, Sara. Anak sulung akak tulah. Dah banyak hari dah dia cakap cikgu duk tanya bila nak beli buku. Itu yang dia duk telefon akak dengan Abang Jali tu.”

Tersenyum sahaja Cempaka, memahami dan bersimpati dengan cerita tersebut. Dia kenal dengan keluarga Kak Piah. Mereka sekeluarga hidup tak senang sangat. Kak Piah dan Abang Jali, dua-dua menoreh getah sahaja. Dan dia faham macam mana pengeluaran susu getah yang tak terlalu banyak apabila tiba musim daun berpucuk muda. Tapi satu yang dia kagum, anak-anak Kak Piah dan Abang Jali semuanya pandai-pandai belaka. Mungkin rezeki Kak Piah di situ, pada anak-anak walaupun rezeki wang ringgit tak begitu banyak. Aturan hidup manusia, berbeza antara satu dengan yang lain.

“Akak nak berapa?” soalnya, tak mahu berlama-lama buatkan wanita itu kurang selesa.

“Akak segan dengan kamu sebenarnya.” Kak Piah membalas dengan teragak-agak.

“Tak apalah, kak. Akak macam tak kenal saya pulak.”

“Yalah. Tapi akak tak nak pinjam banyak pun. Sikit cukuplah.”

“Sekejap.” Cempaka bangun dan berlalu ke bilik seketika. Mengambil duit tunai yang ada tersimpan di rumah. Keluar dari bilik, Cempaka terus sahaja mendekati  Kak Piah. Tangan wanita itu dicapai dan diselitkan lima keping not RM50.

“Ya Allah, banyak ni, Cempaka. Risaulah akak tak mampu bayar.”

“Tak apalah. Akak guna elok-elok duit ni. Soal bayar tu, akak bayarlah bila akak ada duit nanti. Saya tak tetapkan pun akak kena bayar bila-bila.”

“Tapi banyak ni.”

Cempaka menggosok bahu Kak Piah lembut.

“Banyak sikit aje. Akak guna elok-elok,” ujarnya meyakinkan kata-kata.

“Terima kasih, Cempaka. Akak tak tahulah nak cakap apa. Kalau kamu tak ada, akak tak tahu nak pergi berhutang dengan siapa.”

“Yalah, kak. Lain kali akak tak payah seganlah. Macamlah akak tak kenal saya ni macam mana.”

Kak Piah tersenyum kelat sahaja dengan balasan Cempaka.

“Terima kasih, Cempaka. Akak balik dulu ni.”

Bangun menghantar Kak Piah ke tangga, Cempaka teringatkan pisang yang ditebang dua hari lepas.

“Pisang yang saya tebang kelmarin dulu ada, kak. Akak nak?”

“Pisang apa pulak? Tak payahlah.”

“Alah, pisang aje pun. Rezeki akaklah tu.” Tak menghiraukan Kak Piah yang menolak, Cempaka tetap menyuruh Eton ke dapur untuk ambilkan pisang emas yang dia letakkan di belakang pintu dapur.

“Banyaknya. Buat apa banyak sangat ni,” ujar Kak Piah, menerima huluran yang Eton berikan. Cempaka tersenyum kecil dengan reaksi Kak Piah.

“Alah, tak apalah. Rezeki akak sebab datang hari ni. Duduk kat rumah ni bukannya habis pun. Pagi tadi Eton buat jemput-jemput sikit. Lepas tu ada banyak lagi. Risau buruk di situ aje kalau tak ada siapa makan. Rezeki anak-anak akak,” beritahu Cempaka, ceria.

Hmm, yalah. Terima kasih, Cempaka. Duit ni, nanti akak bayar.”

Cempaka mengangguk sahaja memberikan keyakinan kepada wanita itu. Selesai bersalaman, motosikal Kak Piah berlalu pergi meninggalkan kawasan rumahnya. Kemudian Cempaka terus sahaja bergegas untuk bersiap. Lepas ni dia nak ke kandang kambingnya sekejap. Nak tengok anak kambing yang baru beranak. Kembar lagi kali ni, kata Jemin. Teruja dia pagi tadi mendengar Jemin bercerita.

 

MELEPASI PINTU pagar rumah Cempaka, mata Farrel pantas sahaja menangkap susuk seekor kambing bertompok hitam dan putih yang meragut rumput di ruang luas di hadapan rumah itu. Bibir tersenyum kecil, lucu mengingatkan peristiwa malam semalam. Ditegur kambing tersebut, agak terkejut juga dia. Dan dalam hari cerah macam ni, barulah dia dapat lihat dengan elok tubuh bulat kambing tersebut.

Apabila motosikal yang dibonceng pak teh berhenti dekat dengan pangkin, Farrel terus sahaja turun. Memerhati kawasan rumah yang luas, lapang, dan bersih itu, ada daya penarik yang cukup cantik di matanya. Rumah kampung gaya lama itu nampak cukup bergaya. Sudah jarang rasanya rumah kampung yang mengekalkan ciri-ciri lama seperti itu. Atap lama dan badan rumah yang masih berkilat itu buatkan dia kagum seketika. Tak silap dia, rumah lama seperti ini hanya dibangunkan elit sahaja pada zaman dahulu. Mungkin dah boleh cecah seratus tahun lebih. Sekali lagi, kagum sungguh Farrel!

“Kereta Cempaka dekat depan rumah ni. Dia nak keluar agaknya.”

Melihat Toyata Hilux yang dimaksudkan pak teh, Farrel mengangguk sahaja. Kalau nak keluar, mereka tak boleh nak bercakap lamalah.

“Haa, tu Eton,” beritahu pak teh lagi, mengisyaratkan kepada seorang wanita yang berada di atas rumah sana.

“Ton, Cempaka ada dekat rumah?”

“Ada, dia ada!”

Farrel kemudiannya mengikut sahaja langkah pak teh menuju ke tangga rumah.

“Naiklah,” pelawa wanita yang dipanggil Eton itu.

Farrel tersenyum kecil sambil mengikut pak teh mendaki anak tangga.

“Kita duduk dekat beranda ni ajelah,” ujar pak teh sambil duduk di atas papan kayu yang diletakkan memanjang, yang melekat di pagar kayu di situ.

“Duduklah. Saya pergi panggil Cempaka sekejap.”

Belum pun Eton berpaling ke dalam rumah, muncul empunya badan yang disebut-sebut.

“Ayah. Baru balik dari surau?”

“Haah, baru balik surau. Singgah rumah mak ngah sekejap tadi. Lepas tu terus datang rumah kamu. Ni, kamu nak keluar ke?”

“Cempaka nak pergi kandang kambing tu sebenarnya. Jemin kata ibu kambing yang bunting tu dah beranak. Sajalah nak pergi tengok. Petang nanti dah tak payah pergi.”

Farrel yang diam sahaja, tak melepas peluang untuk memerhati gadis yang disebut-sebut pak teh itu. Walaupun pelik kenapa Cempaka membahasakan pak teh dengan gelaran ayah, dia diam terlebih dahulu daripada bertanya.

Cempaka yang berseluar dan berbaju seperti gaya orang yang nak ke kebun itu menarik pula di matanya. Gadis itu kata, nak ke kandang kambing. Hmm, boleh tahan! Wajah manis yang mengenakan tudung sarung tersebut, jelas di matanya. Bukan lagi samar-samar seperti yang dilihat malam semalam.

“Habis tu, kamu nak cepatlah ni?”

Farrel masih memerhati Cempaka yang mesra berbual dengan pak teh.

“Tak apalah. Sebab ayah dah datang, saya pergi kejap lagilah.”

“Haa, yalah. Ni, Farrel, anak sepupu ayah yang ayah beritahu kamu tu.”

Menghantar sekilas pandangan kepada lelaki yang berada di sebelah bekas bapa mentuanya itu, Cempaka tersenyum kecil.

“Eton, pergi buat air, Ton.”

“Eh, tak payah. Ayah baru aje minum dekat rumah mak ngah kamu tu. Tak payah, tak payah.”

Tak jadi Eton untuk berlalu ke dapur. Duduk semula wanita itu di sebelah Cempaka.

“Ayah nak cakap pasal tanah sebelah tu ke?” soal Cempaka. Sudah faham niat sebenar lelaki itu datang ke mari.

“Yalah. Sebab tu ayah bawa Farrel sekali ni.”

Cempaka tersenyum kecil sekali lagi apabila mata bersambung dengan anak mata Farrel. Melihat lelaki muda itu, entah kenapa kepalanya tiba-tiba sahaja teringatkan Fattah. Namun kerana tak mahu kelihatan pelik di situ, dia segera berlagak normal semula. Menayang senyuman seperti biasa.

“Jadi tak kamu nak jual tanah tu?”

Agak sukar Cempaka nak menjawab soalan tersebut.

Dari dua hari lepas ketika pertama kali ditanya, dia sebenarnya dah ada keputusan. Sungguh, dia sayang nak lepaskan tanah pusaka tersebut kepada orang lain. Kalaulah bukan bekas bapa mentuanya yang bertanya, mungkin dengan yakin dia dah balas ‘tak’. Tapi disebabkan rasa kekok dengan lelaki itu, dia perlulah menolak dengan elok.

“Cempaka sebenarnya sayang, ayah.”

“Sayang, memanglah sayang. Tapi tanah seekar itu apalah nak sayang sangat. Berekar-ekar lagi kamu ada, hujung kampung sana tu.”

“Tahu, yah. Tapi tanah tu memang lotnya bersambung terus dengan tanah rumah ni. Sayanglah nak bagi dekat orang.”

“Awak cakap aje berapa awak nak letak harga, saya bayar.”

Terdiam seketika Cempaka mendengar ayat bersungguh yang dikeluarkan Farrel. Yakin benar lelaki itu mengusulkan pendapat.

“Betul, saya memang betul-betul nak beli tanah tu.”

Sekali lagi Cempaka menayang senyuman.

“Bukan itu masalah dia,” balasnya tenang. “Tanah tu tanah pusaka.”

“Tapi tak bermakna yang awak tak boleh jual, kan? Tanah, mana-mana pun sama aje.”

Tersenyum kelat Cempaka membalas pandangan bekas bapa mentuanya dan Farrel yang bersungguh-sungguh berharap. Jadi payah pula dia nak menjawab lanjut.

“Awak tahu kan orang luar tak boleh nak beli tanah negeri ni?” soal Cempaka, cuba mencari jalan lain untuk berusaha menolak. 

“Ayah saya orang sini.”

Serba tak kena jadinya Cempaka nak membalas. Pandangan bekas bapa mentuanya tak dibalas, malah dia memilih untuk diam sahaja. Berpura-pura untuk berfikir dengan serius. Kepala kemudiannya digeleng-geleng lembut.

“Maaflah. Saya tak rasa nak lepaskan tanah tu dekat orang lain,” jelasnya perlahan. “Walau apa pun berlaku, tanah tu tetap kena jadi tanah pusaka turun-temurun. Orang luar tak akan boleh hidup dalam tanah tu.”

“Orang luar? Maksud awak orang yang bukan asal sini?”

“Orang yang bukan keluarga. Saya memang tak ada sesiapa sekarang. Mungkin anak-anak saya nanti.”

So, memang awak tak nak juallah ni? Confirm?”

Sekali lagi Cempaka tersenyum kelat dan menggeleng perlahan.

Farrel mencebik kecil dan mengangguk faham. Agak terkilan rasanya dibahasakan sebagai orang luar, tapi dia faham maksud sebenar Cempaka. Nak buat macam mana, walaupun nampak lemah lembut, Cempaka sebenarnya punya pendirian yang tegas.

“Tak nak jual sungguhlah ni?” soal Penghulu Rahim setelah lama Farrel mendiam. Dia memang terkilan kalau tak jadi sebab dia yang bersungguh berjanji dengan Farrel untuk usahakan tanah tersebut. “Cuba fikir elok-elok dulu, Cempaka...”

“Maaf, yah. Cempaka tak nak lepaskan tanah tu. Sayang sangat.”

Hmm, tak tahu dahlah ayah nak cakap apa.”

“Maaflah, yah.”

“Farrel, macam mana?”

Farrel tersenyum kelat sebelum menganggukkan kepala.

“Cempaka cakap macam tu, macam tulah pak teh,” balasnya agak tenang.

“Kamu nak cari tanah lain?”

“Kita usaha nanti-nantilah.”

Hmm, yalah.”

Cempaka diam memerhati gaya Farrel bercakap. Dada berdetak agak laju dari biasa. Jadi kurang selesa rasanya. Tak pasti kenapa, gaya lelaki itu agak sama dengan Fattah. Arwah suaminya dulu, kalau bercakap dengan serius, pasti tangan juga naik menyentuh dagu. Kebiasaan yang agak normal. Tapi apabila Farrel yang buat macam tu, dia tak mampu nak anggap benda tu biasa-biasa. Kepala tak berhenti terbayangkan wajah Fattah.

“Tak apalah, Cempaka. Kalau memang itu keputusan awak.”

Kalut sedikit Cempaka melarikan wajah apabila Farrel bersuara kepadanya. Tunduk sahaja dia seketika mengambil nafas.

By the way, malam semalam tu awak dari mana sebenarnya?”

Cempaka mengangkat muka memandang Farrel yang mula ceria tersenyum. Malam semalam? Dahi Cempaka berkerut kecil. Tak faham apa sebenarnya yang cuba Farrel tanyakan.

“Malam semalam apa?”

“Malam semalam. Dekat depan pintu pagar awak tu.”

Cempaka keliru, tak tahu nak dijawab apa. Depan pintu pagar apa sebenarnya ni? Dia betul-betul tak faham.

“Malam semalam Farrel ada datang sini. Lepas solat isyak dekat surau, dia datang sini sorang-sorang. Dia kata dia jumpa dengan kamu. Tak ingat dah ke?”

Bertambah berkerut dahi Cempaka mendengar cerita bekas bapa mentuanya pula.

“Tak ada pun. Cempaka tak keluar mana-mana punlah malam semalam. Cempaka tak tahu pun Farrel ada datang sini,” jelasnya pula bercerita.

Aik? Habis tu...” Farrel menelan liur sendiri. Tak sempat menghabiskan ucapan di mulut.

“Kenapa?” soal Cempaka, masih keliru.

“Kambing awak tu. Saya nampak kambing awak tu sekali. Betul-betul dekat depan pintu pagar awak tu.”

“Oh, Bulat?” soal Cempaka spontan, apabila perihal kambingnya disebut. “Saya memang bela kambing seekor dalam kawasan rumah ni. Tu... di sana tu.”

“Haah. Kambing tulah. Tapi sebelum tu, saya bertegur dengan awak dulu. Err, sebenarnya saya yang tegur. Awak tak balas apa-apa pun.”

Cempaka makin berkerut hebat. Dekat pintu pagar, Farrel tegur dia? Apa ni, tak fahamlah. Dia tak keluar pergi mana-mana pun malam semalam. Ada dekat dalam rumah ni aje.

“Awak tegur saya tapi saya tak balas?”

“Haah. Awak buka pagar, lepas tu masuk macam tu aje. Saya dengan kereta berhenti betul-betul depan pagar tu.”“Err...” Dada Cempaka berdebar dengan gaya berbeza mendengar cerita Farrel. Demi Tuhan, dia memang tak keluar pergi mana-mana malam semalam. Dan dia yakin sesiapa saja yang Farrel jumpa tu, memang bukan dia. Entah-entah Eton? Eh, tak. Eton awal-awal dah tidur. Habis tu, siapa?

“Tak apalah. Lupakanlah,” pintas Farrel dengan wajah berlagak tenang. Namun dalam hati, dia sendiri sudah boleh faham. Tapi tak apalah, tak payahlah diperbesar.

“Mata saya yang tersilap kut,” tambahnya lagi.

Cempaka tersenyum sahaja agak kelat. Tak tahu nak balas apa.

 

No comments:

Post a Comment