DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 9 March 2023

Bakawali, Bunga Suci - Bab 7


TURUN dari motosikal, Mak Wan melakar senyuman kecil. Mata dia dah jelas ternampak bakal menantu yang ayu dan sopan di dalam kedai Isa sana itu. Melihat Alisa yang tekun memilih ikan di dalam tong merah di sana, dada dingin sahaja terasa. Untung dia kalau Alisa dah jadi menantu dia nanti. Belajar pun tinggi, memasak dah tentu-tentu pandai. Lepas tu rajin pula datang ke kedai memilih barang-barang basah. Tak ke bangga siapa yang jadi mak mentua gadis itu?

“Alisa, pilih ikan ke tu?” tegurnya ramah dengan senyuman lebar.

“Eh, Mak Wan,” sambut Alisa, tersenyum kecil.

“Haah, cari lauk untuk malam nanti.”

“Sorang aje ke?”

“Mak ada. Mak dekat dalam pilih barang.”

Mak Wan berjalan masuk mendekati Alisa. Mata tajam sahaja memanah ikan-ikan di dalam tong.

“Mak Wan pun nak cari lauk ke?”

“Haah. Tapi hari ni rasa nak makan sup ayam. Nak beli ayamlah sikit.”

Alisa tersenyum sahaja sambil memasukkan seekor ikan selar terakhir ke dalam plastik. Kemudian diletakkan plastik tersebut di atas penimbang. Sekejap lagi, Abang Isa kiralah tu.

“Alisa, Alisa ada bercakap dengan Aathif? Dalam telefonlah, maksud Mak Wan.”

Tersenyum segan Alisa sambil bergerak ke arah bakul-bakul sayur. Aathif, seingat dia, dia memang ada berikan nombor telefon dia kepada lelaki itu. Tapi tak ada sebarang berita pun yang dia terima. Salam sepatah pun tak pernah sampai.

“Tak ada rasanya, Mak Wan. Kenapa ya?” soalnya kembali.

“Alisa tak cuba mesej-mesej dia dulu? Aathif tu, kan pemalu sikit. Kamulah yang kena ajak dia berbual.”

Kelat sahaja senyuman baru yang terlakar di bibir Alisa. Dia nak kena mulakan? Mulakan apa? Dia dengan Aathif sama-sama dah bersetuju untuk teruskan hidup macam biasa. Tak payah ikutkan sangat rancangan orang tua mereka yang terlebih-lebih teruja untuk sesuatu yang tak wujud. Daripada pihak dia, memanglah dia tak boleh nak berkeras sangat dengan ayah sebab daripada segi hukum pun, wali memang berhak tentukan yang terbaik untuk anak gadis mereka. Tapi tak pernah terdengar sekali pun daripada mulut ayah nak memaksa dia berkahwin dengan sesiapa.

Bercakap pasal Aathif, dia tak kenal rapat sangat dengan lelaki itu. Sewaktu di sekolah dulu pun, dia dan lelaki itu tak bercakap sangat walaupun sekelas. Aathif memang terkenal dengan sikap malu dan pendiam.

Kalau nak cerita soal hati, dia tak boleh nak cakap apa sangat. Lelaki itu pun memang dah terkenal dengan sifat baik. Jiwa wanita mana tak terusik dengan sikap lelaki itu. Belum bercakap pasal rupa paras, memang semua tahulah elok. Jadi, payah dia nak rumuskan perasaan sendiri. Aathif sendiri pun dah jelas beritahu yang idea untuk satukan mereka berdua itu mengarut. Dia pun sendiri sudah faham yang lelaki itu mungkin sudah ada pilihan sendiri. Jadi tak ada apa-apa masalah daripada pihak dia. Dia pun tak mahu menaruh hati terhadap Aathif.

“Ke kamu pun malu jugak? Dua-dua malu, tak jadi apalah!”

Sekali lagi senyuman kelat terlakar nipis.

“Tak tahulah!” balasnya ringkas.

“Tak payahlah malu-malu. Bukan kamu nak buat perkara bukan-bukan. Nak kenal-kenal rapat dulu aje.”

“Aathif tu dah ada orang lain ke, Mak Wan?” Terpacul juga soalan yang dah lama bermain dalam kepala.

Termati senyuman di wajah Mak Wan. Pelik semacam sahaja dia pandang wajah Alisa.

“Kenapa pulak kamu cakap macam tu?” soalnya, mula bersuara tegas.

“Tak adalah. Saya tanya aje.”

“Dia ada beritahu kamu apa-apa ke ni, Alisa?”

“Tak, tak adalah.”

“Cuba cakap dengan Mak Wan betul-betul. Mak Wan tak suka kamu sorok apa-apa daripada Mak Wan.”

Tak selesa jadinya Alisa disoal lurus seperti itu. Kenapa dia pula yang kena beritahu apa-apa? Sepatutnya Mak Wan tanya sendiri Aathif, bukan dia.

“Alisa, dengar sini. Mak Wan berkenan sangat dekatkamu. Mak Wan tahu Aathif tu tak bercakap banyak sangat. Mungkinlah kamu tak selesa dengan pembawaan dia. Tapi kamu tahu, kan dia tu budak baik. Kamu berdua memang sepadan sangat. Mak Wan harap sangat kamu berdua boleh cepat-cepat menikah. Jadi kamu kenalah mulakan langkah sikit, cuba dekati Aathif tu. Boleh, eh? Janji dengan Mak Wan, kamu dekati Aathif tu sikit. Alang-alang tak buat apa, datanglah rumah Mak Wan, jumpa sendiri dengan Aathif tu.”

Alisa diam sahaja, tak tahu nak membalas apa. Tomato dan sawi di tangan dibawa bersama sebelum bakul kosong diambil. Kepala terbayang-bayang perbualan dia dan Aathif sehari yang lepas. Lelaki itu sendiri yang mengaku tak bersetuju dengan aturan tersebut. Dia mungkinlah ada membuka pintu hati untuk menerima, tapi jika Aathif tak sudi, dia bukan siapa-siapa nak cipta drama yang tak laku.

Lagipun, dia bukannya terlalu berharap sangat. Macam yang dia katakan tadi, dia lihat lelaki itu atas pandangan umum sahaja. Dan pakej yang lelaki itu bawa, sesuai untuk dibuat suami, itu sahaja. Mereka belum libatkan soal hati dan perasaan lagi. Jadi, mereka masih selamat daripada drama swasta yang tak ada kesudahan.

“Aathif tu baik, Mak Wan. Memang beruntung siapa yang dapat dia sebagai suami.”

Berkerut dahi Mak Wan mentafsir maksud sebenar yang cuba disampaikan. Beruntung apanya lagi ni? Memang dia nak nikahkan Aathif dengan Alisa, kan? Kamulah Alisa yang beruntung, siapa lagi!

“Alisa, kamu tak suka dekat Aathif ke?”

Gelisah sahaja Alisa cuba menayang wajah tenang. Mak Wan mudah sangat berterus terang. Wanita itu bercakap, boleh tahan straight forward juga. Bukan main laju jantung dia ni mengepam darah. Kebas rasanya tangan dan muka.

“Alisa?”

“Jodoh ni, kan kat tangan Allah, Mak Wan. Kita merancang, Allah pun merancang. Tak ada siapa yang tahu untung nasib kita kat depan hari macam mana.”

Mak Wan mendengus kecil mendengar butir bicara Alisa. Hai, budak ni. Dah pandai nak cuba sekolahkan dia ke apa? Apa yang dia tak tahu sekarang ni, perasaan Alisa tu terhadap Aathif.

Anak-anak Mak Wan bukannya biasa-biasa. Semua belajar tinggi-tinggi belaka. Jadi kalau bercakap mudahnya, memang senang nak jumpa jodoh. Dia ini kalau ikutkan, boleh aje pinangkan sesiapa sahaja untuk si Aathif tu. Tapi dia ini pun memilih juga. Ingat senang-senang dia nak cari menantu? Anak gadis yang tak tentu hala, yang belajar ala kadar, mana nak setaraf dengan anak dia. Isy simpanglah malaikat 44, memang dia tak nak!

Dia nak pinangkan Alisa untuk Aathif tu, sebab dia yakin Alisa layak sangat untuk Aathif. Alisa pun cantik. Belajar pula tinggi. Setaraf elok dengan Aathif. Jadi jangan cakap apa-apalah kalau dia memang bersungguh nak nikahkan mereka berdua itu.

“Nanti Mak Wan cakap dekat mak kamu pasal merisik tu. Seminggu dua lagi Mak Wan sampai rumah kamu.”

Terkebil-kebil Alisa di situ apabila Mak Wan terus sahaja berlalu masuk ke dalam kedai. Tak sempat membalas, tak sempat berkata apa, menonong saja wanita itu dengan wajah ketat melintasinya.

Liur ditelan perit. Terbayangkan wajah Aathif, dada jadi berdebar halus. Mak Wan bersungguh nak nikahkan Aathif dengan dia, tapi Aathif terang-terang tak sudi nak

jadikan dia isteri. Habis tu, jiwa dia ni macam mana? Tak ada orang nak dengar daripada pihak dia ke?

 

BELUM SEMPAT tali minyak dipulas, Mak Wan menongkatkan semula kedua-dua belah kaki apabila sebuah kereta memberi signal untuk masuk. Melihat kereta mahal yang jarang dia nampak itu berhenti, mata tajam sahaja memanah, menunggu pemandu dari dalam keluar. Dan apabila seorang lelaki muda melangkah keluar dari pintu pemandu, kecil sahaja anak mata Mak Wan memerhati. Anak siapa pula ni? Dia tak pernah nampak pun sebelum ini.

Apabila tak disangka-sangka pandangan mereka berlaga, sebuah senyuman mesra dihantar lembut kepadanya. Tak membalas, tapi pandangannya tak langsung dilarikan. Saat anak muda tersebut melangkah pergi dan masuk ke dalam kedai Isa, Mak Wan mencebik kecil. Kemudian segera dia membonceng motosikalnya untuk balik ke rumah. 

Sampai di rumah, barang-barang basah dan beberapa jenis barang yang dibeli dibawa masuk ke dapur. Melihat baju kerja dan topi Aathif tiada, dia yakin yang Aathif ke kolam ikan. Menilik jam yang baru masuk ke pukul 6, fikiran berkira-kira untuk turun semula ke bawah. Rasanya dah banyak hari dia tak siram pokok-pokok bunganya di depan rumah.

Melangkah turun dari rumah, bibir mengeluh kecil. Sunyi seorang diri, makin buatkan Mak Wan teringin nak nikahkan Aathif cepat-cepat. Paip getah ditarik dengan rasa bosan. Kalau ada menantu atau cucu, kan bagus. Rumah dia ni mesti ceria sahaja.

Impian Mak Wan dulu dah dimusnahkan Cempaka. Hasrat hati nak tengok zuriat Azlan untuk keturunan dia termati begitu sahaja. Pedih dan terluka jiwa diratap sendiri. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa sampai sekarang dia masih berharap Azlan masih hidup.

Jujur, Azlan adalah satu-satunya anak lelaki yang menurun sikap dan perangai suaminya. Tak terbayang kasih dan sayangnya untuk Azlan. Aathif dan Asmira berbeza, dua beradik itu lebih dahulukan kehendak sendiri berbanding dia. Azlan tak. Azlan sentiasa cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaannya.

Mak Wan tak pernah terfikir yang Azlan akan tinggalkan dia terlebih dahulu. Jiwa ibu mana yang tak terluka jika anak yang dibesarkan dan dikasihi selama ini sekelip mata pergi tinggalkan dia. Semuanya sebab menikah dengan Cempaka. Berkali-kali dia dihimpit sesal. Sampai ke hari ini, dia masih tak mampu menutup kekesalan sebab dah aturkan hubungan Azlan dan Cempaka. Berjuta kali pun Azlan merayu untuk memperisteri Cempaka, dia tetap tak akan izinkan kalau dia tahu hal sebenar. Sumpah dengan nama Tuhan, dia tak akan satukan Azlan dengan si dara tersumpah itu.

Itu Azlan, cerita yang sudah lama berlalu. Sekarang Aathif pula. Kali ini memang dia tetap akan berkeras. Jangan pisang berbuah dua kali! Tak akan dia biarkan Aathif pula menjadi mangsa sumpahan si Cempaka. Merayu dan melututlah semahunya, dia tak akan sesekali izinkan.

Apa yang dia tahu, Aathif tetap perlu bernikah dengan Alisa. Anak Yati itu memang sesuai benar dengan Aathif. Kalau tak sesuai, takkanlah dia sanggup bersusah-susah nak satukan mereka berdua. Kalau jadi, kenduri nanti dia rela berhabis sebanyak mana pun. Dia nak tunjukkan dekat orang kampung, kali ini pilihan dia dalam memilih menantu adalah tepat.

Ralit mengelamun sambil menyiram pokok-pokok bunga di dalam pasu, badan Mak Wan terasa berat sahaja. Bulu roma terasa terangkat sendiri. Tegak sahaja! Mata jadi kalut memanah ke sekeliling. Apa benda pula yang tak kena ni? Tiba-tiba sahaja badannya terasa seriau.

Tak mahu berfikir yang pelik-pelik, tangan menyambung semula bekerja. Hati mengucap berkali-kali. Waktu nak maghrib macam ni, memang tak elok sebenarnya duduk di luar. Cepat-cepat sahaja tangan Mak Wan menyembur air paip supaya selesai dengan segera.

Beberapa saat kemudian, mata Mak Wan terasa kabur. Dikesat-kesat kedua-dua belah matanya beberapa kali. Dan apabila dibuka kembali matanya, jelas beberapa meter di depannya seorang gadis berdiri kaku. Berkerut-kerut dahinya, pelik. Dari mana datang pula ni?

Saat mata difokuskan dengan tepat, barulah dia dapat menangkap wajah empunya badan.

“Cempaka? Kau buat apa di sini?” Mata memanah tajam ke arah Cempaka yang  sedang membetulkan selendang di kepala. Setahu Mak Wan, Cempaka bertudung litup. Mana ada terdedah dada dan anak tengkuk dengan selendang nipis begitu.

“Kau diam aje kenapa, Cempaka? Ada apa kamu datang rumah aku ni? Nak apa?” Keras sahaja soalan yang dilemparkan Mak Wan. Baru sahaja kepala dia ni menyebut, dah tercegat pula depan mata. Ajaib sungguh! “Dah bisu ke apa kamu ni?”

Makin berkerut Mak Wan saat Cempaka berpaling muka begitu sahaja. Langkah kaki gadis itu perlahan sahaja bergerak ke arah pintu pagar rumahnya.

“Nak berhambus dah?”

Tak menghiraukan dia langsung, Cempaka seperti robot berjalan pergi meninggalkan laman rumahnya. Keluhan dihembus berat. Eloklah berhambus terus, tak ada sakit sangat hati dia ni nak menghadap muka konon suci itu.

Paip getah ditarik semula ke pili air. Dan saat dia bangun daripada tunduk menutup pili air, dahi dan wajah berkerut makin hebat. Dah ke mana pergi si dara tersumpah itu? Hilang macam tu saja ke?

Tak, tak mungkin sekelip mata macam tu aje!

Serta-merta sahaja bulu roma Mak Wan tegak berdiri. Digosok-gosok belakang tengkuk dan lengan. Isy pelik semacam!

Tak mahu fikiran jauh terbang ke arah yang bukan-bukan, cepat-cepat langkah dibawa ke tangga rumah. Lebih baik dia segera masuk ke dalam. Maghrib pun tak lama dah ni!

Dan saat langkah sampai ke anak tangga terakhir, bunyi motosikal Aathif menyapa telinga. Allah... lega terus rasanya. Lapang semula dada.

“Thif, kamu ada terserempak dengan siapa-siapa dekat depan sana tu?”

“Siapa?”

“Ada ke tak?”

“Entah! Tak ada siapa pun. Kenapa, ada orang datang rumah kita ke?”

Tak menjawab soalan Aathif, Mak Wan menelan liur kelat. Dada jadi sesak sekali lagi. Tak mahu terlalu fikirkan hal tersebut, hati mengucap kalimah zikir beberapa kali.  Minta jauhlah benda yang pelik-pelik!

 

No comments:

Post a Comment