DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 9 March 2023

Bakawali, Bunga Suci - Prolog

 

 

MERIAH. Itu sahaja sudah cukup untuk menggambarkan suasana majlis perkahwinan yang diadakan. Cukup sahaja jam 5 petang, gulai kawah yang disediakan sebanyak tiga kawah sudah pun habis. Ramai tetamu datang ke majlis perkahwinan Cempaka dan Azlan. Dan Mak Wan tentunya sangat gembira apabila ramai kenalan dan kaum kerabat memuji majlis perkahwinan yang meriah dan indah itu. Sudah boleh jadi wedding of the year di kampung mereka.

Kata mereka lagi, gulai daging yang disediakan sangat sedap. Semua orang berselera menjamu juadah kendurinya. Memang kembang jugalah dada Mak Wan. Itu belum lagi dia dengar pujian-pujian tentang anak menantu baharu dia itu, Cempaka. Tuhan sahajalah yang tahu betapa bangganya dia. Anak sulung dia akhirnya bernikah dengan orang yang elok-elok. Bersyukur sangat dia!

Selesai urusan budak-budak yang diupah untuk menguruskan segala kelengkapan dan bahan-bahan rewang, Mak Wan duduk berehat dengan keluhan lega. Dada tak sudah-sudah mengucap syukur. Majlis yang dirancang selama lebih dua bulan ini berjalan dengan sangat lancar.

“Mak, mak nak duduk sini ke nak balik?”

Panggilan Aathif menyentak Mak Wan. Memandang ke arah Aathif, mata menjeling kecil. Anak kedua dia itu suka sangat bercakap tak tengok kiri kanan. Kalau dia terlalu ralit dalam angan-angan, entah-entah boleh sakit jantung terkejut.

“Nak baliklah. Nak duduk sini buat apa?” balas Mak Wan dengan kerut kecil.

“Haahlah. Malam ni malam pengantin baru yang punya. Kita nak duduk sini buat apa, kan?”

Mak Wan tersengih kecil. Suka dia apabila terkenangkan Azlan yang sudah berbini. Mungkin tak lama lagi, dia akan dapat cucu pula. Alahai, tak sabar dia dibuatnya.

“Mak!”

Suara jeritan dari dalam membuatkan Mak Wan dan Aathif sama-sama termangu.

 “Kak Cempaka kamu ke tu?”

“Siapa lagi, mak...”

“Ya Allah, kenapa pulak dah?”

Cepat-cepat Aathif mendaki anak tangga. Emaknya yang terpinga-pinga dilintas begitu sahaja. Berlari-lari dia masuk ke dalam rumah.

“Kak?” jeritnya, mencari di mana kakak iparnya itu berada.

“Aathif...”

Terdengar sahaja suara Cempaka, cepat-cepat Aathif berlari ke bilik pengantin.

“Kak, kenapa ni?” Melihat Cempaka yang menangis di sebelah abangnya, laju sahaja Aathif menyoal.

“Cempaka. Kenapa, ada apa?” Muncul pula Mak Wan yang tercungap-cungap mengambil nafas. Rumah Cempaka ini luas, ambil nyawa juga dia nak berlari sampai ke bilik ini.

“Lan? Kenapa ni?”

“Abang...” rayu Cempaka, pilu.

Mak Wan menerkam ke arah Azlan dengan cemas. Badan anak sulungnya itu disentuh dan digoncang-goncang perlahan namun tiada sebarang reaksi yang diterima. Dada berdebar hanya Tuhan sahaja tahu. Cemas dia menepuk-nepuk wajah Azlan.

“Cempaka rasa nadi abang dah tak bergerak.”

Mencerlung sahaja wajah Mak Wan mendengar ucapan yang keluar daripada mulut Cempaka.


No comments:

Post a Comment