DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 12 October 2016

Mimpi Yang Sempurna - Bab 11

VALENTINE'S Day. Hari Kekasih. Hari di mana
couple-couple yang kononnya berfikiran terbuka meraikan
hubungan masing-masing. Hari yang disambut istimewa
dengan hadiah, kek, bunga, coklat, dan segala kejutan lain
yang kononnya tak boleh tidak, mesti disambut.
Tapi apa yang aku belajar sewaktu di sekolah dulu,
tiada sambutan sebegitu dalam Islam. Secara logiknya
juga, untuk sesiapa yang mahu berfikir, berkasih sayang itu
seharusnya diamalkan setiap hari, bukan setahun sekali.
Islam tidak menyuruh umatnya supaya hanya menghargai
pasangan dalam hari tertentu, sehari dalam setahun.
“Hai, sayang!”
Aku pejam mata, mengeluh dalam diam. Di hujung
talian, suara Adib kedengaran ceria. Aku duk tak bersetuju
dengan Hari Valentine's, Adib pula masa itulah yang dia akan
muncul tanpa gagal. Kalau tidak, Chipsmore sepanjang masa.
Sekejap ada sekejap tak ada. Sehari muncul seminggu hilang.
Tiga hari muncul sebulan hilang. Sebulan muncul, tiga bulan
dia menghilang.
“Assalamualaikum, Adib.” Aku sindir halus.
Walaupun tua enam tahun daripadaku, tiada panggilan Abang
Adib untuknya. Lepas kahwin... itu alasan aku beri apabila dia
meminta.
Adib ketawa. Nampak tidak terkesan dengan sindiran
yang aku lontarkan.
“Jom jumpa! Celebrate.”
Kali ini aku tidak dapat sembunyi keluh. Susah
hendak bercakap dengan orang tidak faham bahasa ini.
“Adib...” Aku jeda.
“Tahu kan yang sa...”
“Adib tahu. Tapi ni aje yang Adib ada masa. Please,
sayang. Bukan kita buat perkara tak elok pun. Keluar lunch
aje.”
“Tapi hari ni 14 Februari,” tekanku lagi.
“Okey, jangan fikir yang kita celebrate Hari Kekasih.
Hanya anggap seorang Megat Adib tengah rindu nak jumpa
tunang dia.”
Aku hilang kata. Ayat manis bergula enau. Betul ke
memang itu yang lelaki ini rasa?
“Adib datang jemput pukul 12.30 okey! Jumpa kat
lobi.”
Tanpa menanti persetujuanku, talian diputuskan.
Allah...
AKU pandan g hidangan yang tersaji di depan mata.
Beef steak di tengah-tengah, makanan kegemaran
Adib.
Tepi kiri terletak sekotak coklat yang tersusun cantik.
Mungkin juga kegemaran Adib sebab aku tidak suka coklat.
Tepi kanan pula ada sejambak besar bunga mawar
merah yang entah berapa kuntum. Rasa terkilan bermukim.
Adib tidak pernah sedar yang aku tidak suka bunga mawar.
Keluhan terlepas lagi.
“Kenapa, sayang? You don’t look happy. Tak suka
jumpa Adib ke?”
Aku geleng. Bukanlah tak suka. Tapi...
“I miss you.” Adib lontar madah sambil kenyit mata.
Tidak dipedulikan mata-mata orang sekeliling di dalam
restoran mewah ini yang mungkin sedang memandang.
“I miss you... a lot,” ulangnya.
Aku senyum tawar. Tidak mampu untuk menipu
diri sendiri. Ungkapan kata manis daripada dua ulas bibirnya
entah kenapa rasanya tidak sampai ke dalam jiwa.
“Kenapa ni?” Wajah Adib bertukar riak. Garpu dan
pisau yang dipegangnya diletak ke atas pinggan.
Aku geleng. Brokoli peneman beef steak aku
kuis-kuis dengan garpu. Tidak ada rasa hendak menjamah.
“Tell me, sayang. Apa yang tak kena ni?” Hidungku
dicuit tanpa sempat untuk aku menghalang.
Lelaki yang bernama Megat Adib Megat Azimuddin
memang macam ini. Selalu terlepas laku. Bila dijegil
mata tanda marah, alasan yang dia berikan, itulah cara dia
menzahirkan kasih sayang. Tetapi bila di hadapan along atau
ahli keluargaku yang lain, pijak semut pun tak mati, sopan
sangat. Itu yang along berkenan sangat hendak menjodohkan
aku dengan rakan seuniversitinya ini.
“What is it, hmm?” Dia merenungku dalam.
Bila aku hanya membungkam, dia menyambung.
“Marah sebab Adib dah lama tak muncul ke?”
Aku rasa tercabar. Puas aku berusaha untuk
buat-buat tak tahu tetapi nampaknya sekarang ini Adib yang
membuka cerita.
“Mana awak pergi, Adib? Kejap ada, kejap lagi hilang.
Dah beberapa bulan awak tak datang rumah jenguk abah
dan umi.” Sedaya upaya aku cuba melembutkan suara walau
hakikatnya aku telah bosan dengan tingkah Chipsmorenya.
“Adib busylah sayang, jadi broker hartanah ni
bukannya senang.”
“Setengah hari dalam masa tiga bulan susah
sangat ke? Saya tak tahu apa alasan nak bagi bila umi tanya
kenapa awak tak jenguk muka ke Serom masa raya hari tu.
Sekurang-kurangnya awak call abah, beritahu awak busy
atau apa-apa saja.”
“Sorry, okay? Adib lupa.”
“Lupa???” Aku rasa marah. Juga kesal.
“Sayang, Adib minta maaf okey? Salah Adib sebab
lupa. Sibuk sangat kumpul duit sampai lupa benda lain.”
“Baguslah. Amalkan selalu.” Aku perli dengan nada
lembut. Kalau tak faham-faham lagi tak tahulah...
Lama kami berdua senyap tanpa kata sebelum Adib
tiba-tiba bangun dan duduk di sebelahku. Kerusi tempatnya
berlabuh punggung dirapatkan sehingga menyentuh
kerusiku.
“Awak nak buat apa ni, Adib? Jangan bukan-bukan
ya!” Aku mengingatkannya.
Namun Adib tetap dengan senyumannya dan
mendekatkan kepalanya ke mukaku. Walaupun tidak
bersentuhan, dapat kurasa nafasnya yang hangat.
“Adib, I'm warning you...”
“Jom kahwin, sayang? Adib ready dah!”
Kata -kata Adib terus terngiang-ngiang di telingaku
walaupun kaki telah mencecah lantai pejabat. Di tanganku
hanya ada sekotak coklat yang dihadiahkannya sementara
jambangan bunga telah kucampakkan ke dalam tong sampah
hijau di tepi bangunan. Coklat, walaupun aku tidak suka, aku
boleh bagi kepada Meen yang suka. Tapi bunga, aku dan Meen
dua-dua bukan peminat bunga mawar, jadinya membazir aje
kalau aku bawa balik pun. Hendak diberikan kepada kawan di
pejabat, nanti jadi gosip, kecoh pula satu tingkat 12 ini.
Sungguh aku rasa tidak teruja bila diajak berkahwin
oleh Adib tadi. Tidak ada rama-rama di dalam perut dan darah
di dalam badan tidak menderu laju. Jantung juga berdetak
macam biasa dan pernafasan juga teratur. Kenapa ya?
Memang dia bukan pilihan hatiku sebaliknya pilihan
along. Namun secara keseluruhan, aku akui tiada apa yang
kurang dengan Adib. Ada rupa, kerjaya tetap, sopan dengan
orang tua dan setahu aku, dia juga seorang yang menjaga
solat walaupun sering kali terlepas laku menyentuh tangan,
hidung dan pipiku. Kekurangannya, dia jarang berada di
sampingku tidak seperti tunang-tunang orang lain tapi jika
difikirkan, bukankah itu yang sebaiknya menurut Islam?
Bertunang bukan lesen untuk melekat macam belangkas,
kan? Aku bersyukur untuk itu tetapi aku tidak tahu kenapa
aku tidak teruja apabila Adib ingin menghalalkan hubungan
kami.
Bunyi dentuman pintu yang kuat memeranjatkanku.
Pandang keliling, mata masing-masing menghala ke arah
bilik Encik Haiman. Sah, dia yang menghempas pintu tadi tu.
Dalam masing-masing bertanya sesama sendiri apa
yang sedang berlaku, pintu biliknya terkuak semula dan dia
melangkah keluar. Tiba di mejaku dia berhenti dan sebuah
fail sederhana tebal diletakkan ke atas mejaku kasar.
“Make a copy and pass it back to me in five minutes,”
arahnya serius sebelum masuk ke biliknya semula.
Aku pandang Encik Fattah di hadapanku dan Encik
Fattah seperti selalu, hanya senyum.
“Nak saya tolong ke?”
Aku geleng.
“Tak apa, saya boleh buat. Tapi apa hal tiba-tiba nak
mengamuk tu?”
Encik Fattah jongket bahu.
“Mungkin Cik Wardah boleh dapat jawapan kalau
berani tanya dia.”
Bersama keluhan, aku berjalan ke mesin fotostat.
Selesai semuanya, bilik yang pintunya dihempas oleh tuannya
sebentar tadi aku tuju.
“Bos... ni yang bos minta tadi.”
Aku letak fail asal dan helaian salinan fotokopi secara
bersebelahan di atas mejanya.
“I said five minutes, Wardah!”
Aku tengok jam sendiri. Lebih 15 saat aje pun...
“That’s the fastest I could do, boss.”
“Berangan lagi! Orang tengah mabuk cinta macam
tu la, angau! Tak ingat orang keliling, tak tengok kiri kanan.”
Aku kerut dahi.
“Bila masa pulak saya mabuk cinta ni, bos? Apa
kaitan dengan kerja saya?”
“Keluar. Saya tak mahu diganggu sekarang ni.”
Dengan rasa tidak puas hati, aku tinggalkan bilik
tersebut. Rasa seperti hendak hempas juga pintu itu macam
yang dia buat tadi tapi aku tahankan diri.
“Settle dah Cik Wardah? Tahu dah punca puting
beliung bos kita tu?” Encik Fattah menegurku.
Aku angguk.
“Dia mabuk. Trimester kedua,” jawabku selamba.

No comments:

Post a Comment