ANAK mata Kak Gee aku pandang tepat. Cuba
mengesan kalau-kalau apa yang terlafaz dari mulutnya
sebentar tadi tidak selari dengan isi hatinya. Namun begitu
Kak Gee hanya sengih membalas pandanganku dengan
kening yang dijongket-jongketkan.
“Ala, kena ke?” Sengaja aku merengek, meminta
simpati.
“Kena la...”
“Kenapa mesti saya?”
“Dah awak assistant dia.” Sengihan Kak Gee semakin
melebar.
Aku garu bahagian atas tudung. “Tapi kat notis tu
dah tulis perkataan ‘WAJIB’, kan?”
Kak Gee gelak.
“Awak ingat Haiman tu makan saman baca perkataan
‘WAJIB’ tu?”
Dalam kepayahan, aku terpaksa mengaku. Kak Gee
memang betul. Perkataan ‘WAJIB’ seakan-akan tidak pernah
memberi apa-apa kesan kepada seorang lelaki yang bernama
Mohd. Haiman.
“Dah tu, kenapa Kak Gee fikir saya boleh ubah
pendirian dia pula? Ingat dia nak dengar cakap orang lain ke?”
soalku layu.
Kak Gee dekatkan mukanya kepadaku.
“Memang Haiman tu tak pernah dengar cakap orang
lain tapi awak berjaya buat dia gelak lepas balik cuti raya tu.”
Aku pejam mata dua saat seraya menggeleng lemah.
“Entah apa angin dia masa tu sampai boleh gelak.”
Kak Gee ketawa kecil.
“Macam ni la, biar akak terus-terang. Encik Marzuki
yang mahu awak cuba pujuk Haiman untuk join.”
“Encik Marzuki??” Aku dah duduk tegak.
“Ya, our sporting big boss punya kemahuan ni. So,
nak cuba sekarang?” Kak Gee tunjuk kepada Encik Haiman
yang baru melangkah masuk ke biliknya.
Aku geleng tapi Kak Gee dah menarik aku agar
bangkit dari kerusi sebelum menuntun aku beberapa tapak ke
depan. Lambat-lambat, dengan mulut yang membentak tak
puas hati tanpa suara, aku menghampiri bilik yang menjadi
ruang kerja Encik Haiman. Tiga kali aku ketuk pintunya
sebelum tanganku memulas tombol.
“Assalamualaikum, bos.” Aku tayang riak seperti
biasa, sembunyikan segala rasa yang bermukim.
“Mimpi apa ni? Saya tak panggil kamu pun. Selalunya
selagi tak dipanggil, selagi tu la kamu takkan jenguk muka.”
Aku telan liur. Nampaknya ini bukan satu permulaan
yang baik.
“Urmm... Maybe I changed for the better?” Aku main
belasah cipta alasan.
“Duduk.”
Akur dengan arahan tanpa nada tersebut, kerusi
kosong di depan mejanya aku tarik dan aku duduk. Dalam
hati mula sibuk merencana ayat-ayat yang patut dilontarkan.
“Latest Share Performance Report ada?” soalnya
sambil menaip sesuatu di atas komputer ribanya.
“Ada, as at yesterday's closing. Memang hari-hari
saya update.”
“Good. Keep monitoring. Our biggest shareholders,
saya perlu tahu movement mereka. Any extreme selling or
buying, please highlight me.” Dia memberikan arahan tanpa
langsung memandangku.
“Noted, boss.”
“Lagi satu, kamu follow tak semua news berkaitan
syarikat yang keluar dalam newspaper? Saya tahu Corporate
Comm ada compile semua artikel tu dalam satu fail khas
untuk rujukan tapi saya nak IR pun ada simpanan sendiri, so
please do the necessary.”
“Saya ada compile, bos. Tapi dalam bentuk soft copy
yang saya dapat online dan juga artikel daripada surat khabar
yang saya scan. Saya simpan based on two aspects; sumber
dan tarikh published. Yang hard copy memang saya tak ada
simpan langsung.”
“That’s enough for me.”
Aku menghela nafas lega.
“Lepas tu, slide presentation for Analyst Briefing
lusa tu, bagi saya hard copy satu.”
“Bos nak sekarang ke?”
“Kalau ada.”
“Kejap.”
Laju aku meluru keluar. Ambil peluang untuk tarik
nafas sementara mengambil salinan slaid Analyst Briefing
yang telah siap bercetak.
“Nah, bos.” Tidak sampai lima minit, aku telah
kembali berada di hadapannya.
“Thanks. You may go.”
Selawat aku lafaz dalam hati. “Urmm... bos! Saya
tanya sikit, boleh?” Aku membuka bicara.
“Five U.S. dollar per question.”
Selamba sahaja dia menutur. Tamak duit betul.
“Daripada saya bagi kat bos, baik saya bayar zakat
lima belas ringgit tu. Dapat jugak pahala. Bagi bos buat apa,
dah terlebih kaya.” Dalam lembut aku memerli.
“Kamu banyak cakap sekarang ni kan?”
“Bos jugak yang tak suka assistant gagap. Ni dah laju
cakap pun, tak puas hati jugak? Saya jadi gagap balik karang.”
Semakin berani aku membalas apabila tiada riak marah di
wajahnya walaupun aku telah memerlinya tadi.
“Dah! Apa kamu nak tanya tadi?”
Aku sengih.
“Bos, pergi tak family day tu nanti?”
“Tak.” Mukaku langsung tak dipandang.
“Kenapa bos tak pergi?”
“Buang masa. Banyak lagi benda lain yang saya boleh
buat.”
“Sesekali, bos.”
Kali ini mata kami bersabung pandang.
“No means no,” tekannya sebelum kembali
menghalakan mata pada skrin komputer di depannya.
“Jomlah, bos. Sesekali kita lepak ramai-ramai.”
“Which part of my sentence that you didn’t
understand?”
Aku hilang patah kata.
“Kamu kena faham satu perkara. Saya hanya buat
apa yang penting. Yang tak penting, saya ketepikan sebab
masa yang saya ada sekarang tak cukup untuk cover tugasan
saya yang berlambak-lambak ni.”
Aku senyum kelat. “Bos workaholic.
“And workaholic is good,” tekannya.
Aku geleng. “Tapi saya tak rasa macam tu.”
“Why is that?”
“Tengok macam bos. Workaholic. Kerja, kerja, kerja.
Bos tak ada masa untuk fikirkan diri sendiri, famili... dan saya
yakin bos dah lupa cara untuk bergembira.” Aku bagi jawapan
berani mati.
“Kalau kata-kata saya tadi salah, bos patutnya
buktikan dengan join sekali family day tu. Tunjukkan kepada
semua orang yang bos ni jenis yang work hard and play hard,
bukannya si Jack the dull boy.”
“Saya tak perlu buktikan apa-apa. Terpulanglah
diaorang nak anggap saya ni macam mana.”
“Kita yang memilih sama ada mahu dikenali dengan
cara yang baik atau buruk, bos.” Sedas lagi aku bagi. Tapi
dengan nada lembut.
“Ingat senang nak puaskan dan jaga hati semua
orang yang bermacam ragam?” Suaranya naik sedikit.
“Memang susah. Tapi tak mustahil, kan?”
“Saya takkan bazirkan masa saya untuk ambil hati
orang keliling.”
Aku senyum.
“Ustazah yang paling saya sayang masa sekolah
menengah dulu pernah cakap, yang penting adalah hubungan
dengan Allah. Jaga hubungan kita dengan Allah, dan Allah
akan pelihara hubungan kita dengan orang keliling.”
“Do I look like I care?”
Sebaris ayatnya membuatkan aku hilang sabar. “Bos
ni memanglah, hati batu!”
“Wardah!”
“Takut sangat pride tu jatuh kalau bergaul dengan
orang lain. Kenapa? Bos ingat darjat bos tu tinggi sangat?”
bidasku geram.
“Stop it, Wardah!”
“Saya tak tahu apa yang pernah jadi dekat bos
sebelum ni sampai bos susah sangat nak senyum. Saya tak
peduli pun pasal tu, tu hal peribadi bos. Tapi sebagai seorang
assistant, saya nak cakap satu perkara. Bos sedar tak yang
orang keliling anggap bos ni bapak segala singa? Singa dalam
zoo tu pun pandai senyum bila pengunjung datang. Tapi bos
ni... agaknya kalau letak bos ni bersebelahan dengan singa tu,
nampak bos lagi ‘singa’ daripada singa tu.”
“Get out!!”
Aku mencicit berlari keluar. Sebaik sahaja aku tutup
pintu, aku terdengar benda jatuh melantun pada permukaan
pintu. Kuat.
“Wardah, apa hal tu?” Kak Gee yang kebetulan lalu,
menegur.
Aku jongket bahu dan tayang muka selamba.
“Entah. Tak tahu apa yang dia baling kat pintu.”
“Awak buat dia marah ke?”
“Taklah. Tarik ekor singa dia sikit aje.”
“Haa??”
“Don’t worry, Kak Gee. Kejap lagi dia kutiplah balik
barang yang jatuh tu. Dia kan tak suka bilik dia sepah-sepah...”
Aku berjalan ke mejaku. Senang hati.
No comments:
Post a Comment