AKU buat bodoh bila Kak Gee ke hulur ke hilir
mencari wakil untuk pergi berbuka puasa bersama financial
community hari ini. Berbuka puasa di hotel, tiada apa yang
menarik bagiku. Selain topik perbualan yang tidak kena
dengan jiwa, makanannya juga tidak sampai ke hati. Baik
aku menjamu selera di kedai mamak di tepi jalan daripada
menghadap makanan hotel. Telur dadar kedai mamak itu lagi
umph daripada scrambled egg made in hotel.
“Ni, suruh Wardah ni pergi. Dah dua minggu puasa,
sekali pun dia tak pernah berbuka dengan klien.”
Aku angkat kepala. Terus nampak si sewel dengan
muka ketatnya dan Kak Gee yang sedang tersengih serba
salah.
“Tapi bos...”
“No excuses,” ujarnya dingin sebelum kembali ke
biliknya.
“Err... Awak ada hal ke hari ni, Wardah? Kalau ada
hal, tak apalah.” Kak Gee yang masih tidak berganjak dari
tempatnya berdiri memandangku.
“Taklah! Boleh aje pergi kalau tak cukup orang.
Yang tadi tu saya nak clarify sebab suka-suka hati dia aje buat
tuduhan melulu. Dah dua kali saya join berbuka puasa kat
luar, masa tu kebetulan dia tak ada.”
“Oh, jadi bolehlah akak letak nama awak ni?”
“No excuses, Kak Gee. Kan dia cakap tadi? Melenting
dia karang kalau saya ingkar.”
Tawa Kak Gee meletus. “Nasib awaklah Wardah,
dapat bos singa macam tu.”
“Ni bukan singa lagi dah Kak Gee, spesies apa pun
saya tak tahu. Singa dalam Zoo Negara tu pun tak garang
macam dia.”
Kali ini makin galak Kak Gee menghambur tawa.
“Hotel mana hari ni, Kak Gee?” Aku jenguk kertas
di tangannya.
“Hilton.”
Aku tarik nafas panjang. Bertambah kayalah selebriti
antarabangsa sorang tu...
“DAH berapa lama you kerja dengan Haiman ni?”
Salina. Research Analyst dari salah satu investment
bank yang melabur di dalam syarikat kami. Aku harus
mengaku yang aku sedikit kagum dengannya. Kagum kerana
sejak tadi, selamba sahaja dia mengenakan si sewel beberapa
kali, gaya macam kenalan lama.
“Ada rasa nak resign? Haiman ni selalunya assistant
dia semua lari,” kutuknya sambil ketawa.
Aku pandang wajah yang dimaksudkan. Riaknya
nampak tenang. Haih, boleh pula dia relaks bila diperli minah
ni?
“Jawab aje, tak payah nak takut dengan Haiman ni,”
gesa Salina lagi bila aku hanya mampu senyum.
“You tahu tak, Salina? Dia ni nama aje assistant I
tapi kerja dia nak mengelak daripada I je. Tiap-tiap kali dia
nampak I datang, sebelum I sampai dia dah bangun dulu,
buat-buat sibuk, pergi mesin fotostatlah, pergi fakslah... Tak
pun, dia pergi jumpa Fattah... Macam busy sangat padahal I
tak tahu dia buat apa. Bilik I tu, nak tunggu I panggil baru
dia nak jejak.”
Aku ukir senyuman palsu untuk Salina sambil
berusaha kumpul kesabaran. Tidak cukup mencederakan
emosiku di pejabat, kini depan-depan Salina aku dimalukan.
Kalau dia mesra alam seperti bos-bos lain, tak adanya aku
hendak mengelak dan menghindar seperti yang dia katakan.
“Cool, Haiman. Budak-budak zaman sekarang
memang macam tu, susah sikit nak lentur.”
Eh, batu api nampaknya Salina ni?
Ada hati nak komen ikut rasa kepala dia tanpa tahu
apa-apa. Awak tu yang rasanya susah nak dilentur Cik Salina
oi, berlagak minah salih pakai blaus ketat dan skirt pendek
masa bulan puasa ni.
“Budak-budak macam dia ni mungkin susah sikit
nak lentur tapi tak apa sebab insya-Allah, masih lagi rebung.
Yang dah tua bangka jadi mak buluh tu yang payah nak lentur
ke arah yang benar sebab dah keras kematu, kan Wardah?”
sampuk Puan Mahani di sebelahku, siap kenyit mata lagi.
“Urmm... Excuse me, I nak pergi ladies sekejap.”
Salina bangun meninggalkan meja kami. Encik
Haiman kemudian turut bangun dan pergi beramah mesra
dengan klien di meja lain.
“Padan muka si Salina tu. Perasan hot. Pakaian
tak pernah nak sopan, lepas tu menggedik dengan Haiman
tiap-tiap kali jumpa. Ingat dia boleh dapatlah Haiman tu bila
menggedik macam ulat nangka. Kalau I ni mak Haiman, tak
nak I menantu jembalang macam tu,” omel Puan Mahani.
Senak perut aku sebab terpaksa gelak dalam sopan.
Menantu jembalang - pertama kali aku dengar istilah ini.
TELEFON di meja yang berdering aku angkat dengan
perasaan malas. Masa lunch begini pun ada yang gatal tangan
hendak mendail...
“Kenapa suara macam orang setahun tak makan ni?”
Auch!! Rupa-rupanya yang gatal mendail itu adalah
bos sendiri.
“Masuk bilik saya sekarang.”
Arahan tanpa nada itu ditamatkan dengan hempasan
gagang di sebelah sana. Bersama buku nota dan pen di
tangan, aku melangkah dengan mulut yang terkumat-kamit
membaca selawat. Mencari kekuatan untuk menghadapi
semburan berapi naga celup sekejap lagi.
“Ada apa, bos?” sapaku setelah mengetuk pintu
sebanyak tiga kali.
“Saya nak bagi tugasan raya.”
“Tugasan raya?”
Aku rasa tidak sedap hati. Jangan kata si sewel ini
hendak suruh aku hantar kad raya atau ketupat rendang
kepada lebih 700 orang yang tersenarai dalam investor
database. Memandangkan anginnya yang sukar dijangka itu,
tidak mustahil kalau itu yang akan diarahnya.
“Duduk dulu.”
Mendengar dia menekan suaranya, aku duduk tanpa
banyak suara. Walaupun bulan puasa, jangan ingat dia bercuti
menengking ya? Marah dan barannya tetap macam hari-hari
biasa.
“Nampak tak hamper raya belakang kamu tu?”
Aku pusingkan badan dan kepala. Dah tahu benda tu
kat belakang, nak juga suruh aku duduk menghadap dia. Saja
nak mendera leher jinjang aku ni.
“Bos nak saya buat apa dengan hamper ni? Derma
kat anak-anak yatim?” soalku.
Di sepanjang atas kabinet separas pinggang yang
melekap di dinding itu, ada beberapa hamper raya yang
elok tersusun. Tidak perasan pula aku bila hamper-hamper
makanan tersebut berada di situ. Tapi kagum juga aku. Dalam
garang dan dingin dia, ramai juga klien yang bermurah hati
nak bagi dia hamper.
“Kamu ingat saya ni ustaz, nak derma pada anak-anak
yatim?”
Falsafah tak boleh pakai.
“Siapa cakap kena jadi ustaz baru boleh derma pada
anak-anak yatim? Siapa-siapa pun boleh jadi pihak yang
memberi.”
“Saya tak nak bertekak dengan budak mentah macam
kamu pasal ni. Apa yang saya nak, kamu buka hamper-hamper
tu, dan bagi pada orang-orang kat luar bilik saya ni. Tanyalah
siapa yang nak.”
Aku pandang mukanya beberapa saat. Kes pagi tadi
terhantuk tiang rumah masa bangun sahur ke apa ni? Hesy...
tak baik Wardah, tak baik!
“Semua ke, bos? Bos tak nak langsung?”
Aku bertanya untuk mendapatkan pengesahan yang
pasti. Manalah tahu kalau-kalau akibat lapar berpuasa ni
menyebabkan dia tak sedar apa yang dia cakap. Naya aje nanti
bila aku dah elok-elok edarkan, dia jerit suruh kutip balik.
“Ya, semua. Saya cuma nak serbuk Nescafe aje kalau
ada. Yang lain saya tak nak.”
“Noted, boss.” Aku bangun mendekati pintu.
“Hah, nak ke mana tu?”
Aku memandangnya. “Balik tempat sayalah.”
“Hamper ni?”
“Nanti petang sikit saya buatlah.”
“Buat sekarang!”
“Nanti ganggu bos nak buat kerja.”
“This is an order, Wardah!”
“Okey... okey...” Aku angkat tangan tanda akur bila
dia dah naik suara. Pintu bilik aku buka luas-luas.
“Kenapa bukak pintu tu?” soalnya.
“Rimas.” Aku jawab sepatah.
Tanpa memandang mukanya, aku memulakan
tugasan membuka hamper tanpa sepatah kata. Senyap sunyi
keadaan kami. Yang ada hanyalah bunyi pisau yang bergesel
dengan sellotape dan plastik hamper.
Selepas setengah jam, barang-barang di dalam
hamper semuanya telah dileraikan satu per satu. Empat botol
Nescafe dalam bentuk serbuk aku letakkan di atas mejanya
sebelum keluar mengambil troli di dalam stor.
Sekembalinya ke bilik tersebut, bos aku itu sedang
berdiri di sebelah kabinet sambil membelek makanan yang
ada.
“Sebelum kamu bagi diaorang, kamu pilihlah dulu
apa yang kamu suka. Ambil aje banyak mana yang kamu nak.”
Terkebil-kebil aku memandangnya sebelum
menggeleng.
“Kenapa muka kamu nampak takut? Ambil ajelah,
tak ada siapa nak marah.”
Aku tarik nafas dalam-dalam. “Saya bukan takut,
bos. Tapi saya tak nak. Terima kasih sebab offer.”
“Ni pun tak nak?” Dia menolak satu bekas besar yang
mengandungi coklat Ferrero Rocher.
“Tak nak.” Aku geleng.
“Kenapa? Kecil hati sebab saya buli kamu buat
kerja-kerja remeh macam ni?”
Aku letak satu per satu makanan ke atas troli.
“Tak ada sebablah saya nak kecil hati dengan bos,”
jawabku tanpa memandangnya.
“So, what’s the reason?”
“Abah saya dah didik saya supaya jangan sesekali
ambil barang orang lain.”
“Tapi yang ni saya yang bagi, bukan kamu ambil
tanpa kebenaran.”
“No, boss. Thank you untuk niat baik bos tu tapi saya
tak biasa.”
Tanpa menunggu dia membalas, troli aku tolak
keluar dari bilik tersebut.
“Ataupun kamu tak sudi nak terima pemberian
daripada orang yang tak baik dan teruk macam saya ni?”
Sekali lagi dia memprovokasi, menyebabkan langkahku mati.
Untuk beberapa saat, mukanya aku pandang tepat
tanpa sebarang kata-kata.
“Ya, saya mengaku bos ni teruk kalau itu yang bos
nak dengar. Tapi siapa saya untuk menghukum? Itu antara
bos dengan Allah,” tegasku.
“Saya tahu tu, tapi saya cuma nak tahu pendapat
kamu.”
“Maksud perkataan manusia tu sendiri adalah pelupa,
bos. Bila dah lupa, mesti ada khilaf. Kita ni sama aje, cuma
kekhilafan bos mungkin berbeza dengan kekhilafan saya.”
“Maknanya kamu pun pernah jahatlah sebelum ni?”
Aku hela nafas seketika. “Bos atau saya atau sesiapa
pun. Bagi saya, tak ada insan suci yang tidak mempunyai
masa lampau dan tiada insan berdosa yang tidak mempunyai
masa depan. Saya keluar dulu, assalamualaikum.”
No comments:
Post a Comment