DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 12 October 2016

Mimpi Yang Sempurna - Bab 15

“BAU apa ni?”
Orang keenam yang menegur. Hati aku dah
berbunga-bunga. Perasan juga Encik Haiman akan wangian
Teddy Tales ini. Tak sia-sia aku melabur RM15.90 di Lovely
Lace semalam. Merasmikan duit yang dimenangi daripada
pertandingan membina istana pasir walaupun hakikatnya aku
tak sentuh langsung pasir pantai PD tu. Baki duit kemenangan
yang telah dibahagi sama rata dengan Ben dan Fatin ini akan
aku gunakan untuk memborong novel pada hujung minggu
nanti. Dah janji dengan Meen untuk sama-sama terjah ke
kedai buku di Jalan TAR yang sentiasa ada diskaun untuk
setiap novel yang dijual di situ.
“Bau ke, bos?”
Dia angguk.
“Bau apa eh?” Aku pura-pura tidak tahu.
“Bau lipas. Kamu carilah mana lipas tu. Entah mati
entah tersepit...” arahnya sebelum bergerak meninggalkan
mejaku.
Bunga dalam hati terus gugur tak tunggu layu. Buta
bau betullah si sewel ni. Mr. Kevin, Encik Ilham, Puan Dian
dan paling best Encik Marzuki, semua duk puji cakap tempat
aku wangi macam kedai Lovely Lace, tapi bos aku ini boleh
cakap bau lipas. Jauh benar bau antara Teddy Tales dengan
makhluk warna coklat kehitaman tu. Mau menangis pengasas
Teddy Tales kalau dia dengar komen tu.
Tidak lama kemudian, Enck Haiman datang semula
ke mejaku, dengan sapu tangan yang ditekap pada hidungnya.
Melampau sungguh! Aku sepit batang hidung tu dengan
penyepit baju jenis kayu, baru tau...
“Mana sarapan saya?”
Aku tersentak. Adeh, lupa pula... Terus tayang
senyum dan muka tak bersalah kepadanya.
“Ada, bos. Kejap lagi saya hantar ke bilik bos, bagi
saya masa dua minit.” Kelam-kabut aku berlari ke pantri
untuk memanaskan bekalan di dalam microwave.
Untuk hari terakhir ini, aku bawakan Encik
Haiman nasi goreng kampung, hasil masakanku sendiri.
Nasi goreng kampung versi aku ini, aku kurangkan jumlah
cili api memandangkan bos aku yang sorang ni ada gastrik.
Marah-marah aku kepada dia pun, tak ada la sampai tahap
aku nak dajalkan dia masuk hospital. Yang aku cakap kepada
Fatin nak masukkan racun Roundup itu pun setakat kata-kata
sahaja, tak sampai ke tahap pelaksanaan.
Duduk berdepan, aku menanti Encik Haiman
menghabiskan sarapannya dengan perasaan lapang dada.
Tak seperti empat hari sebelum-sebelum ini, hari ni hati
aku tenang setenang-tenangnya, gembira memikirkan yang
denda bakal berakhir dalam beberapa minit lagi.
Hmmm... macam khusyuk aje aku tengok Encik
Haiman menyuap nasi goreng. Sayur kangkung, ikan bilis
yang digoreng garing dan telur hancur semua selamat ditelan.
Sambal belacan, timun dan telur asin yang aku letak sebagai
hiasan juga turut dijamah. Suapan demi suapan dimasukkan
ke dalam mulutnya, tanpa sepatah pun berbual denganku.
Selesai makan, pinggan yang telah kosong ditolakkan
ke hadapanku seperti biasa, tanda aku sudah boleh membawa
pinggan tersebut ke singki pantri untuk dibasuh. Tanpa
sepatah kata, aku bangun dan membawa pinggan tersebut
bersamaku.
“Wardah...” Namaku diseru tatkala aku ingin
melepasi daun pintu.
“Yes, boss?”
“Thanks.”
Aku senyum.
“At least hari terakhir ni saya betul-betul dapat rasa
masakan kamu.”
Senyumanku terus hilang. Air liur yang aku telan
terasa kesat. Bila Encik Haiman bangun dari kerusinya dan
berjalan menghampiri, aku hanya mampu berdiri kaku.
“Nasi lemak hari Selasa lepas, kamu beli di gerai tepi
jalan yang penjualnya mak cik berbadan bongkok tu. Roti
canai hari Rabu tu pula kamu tapau dari kedai mamak dekat
bangunan kita ni. Hari Khamis punya mi goreng kamu beli
di kafe bangunan kita di ground floor dan sandwic yang saya
makan semalam tu kamu beli di kiosk di stesen LRT,” ulasnya
panjang lebar.
“Bossss...”
“Saya kerja di sini lagi lama berbanding kamu.
Setiap tempat makanan saya dah pernah jejak dan rasa,”
katanya lagi sebelum berlalu keluar meninggalkan aku yang
termangu-mangu di situ.
Huwaaargh, rasa nak sumbat muka sendiri dalam
laci fail aje sekarang ni. Disindir depan-depan oleh si sewel,
aku kantoi dengan jayanya!
TELAH dua hari, hidupku aman umpama laut tenang yang
langsung tiada gelora. Encik Haiman seperti kehilangan
dirinya yang sebenar. Dia masuk ke pejabat seperti biasa
namun tingkahnya berbeza. Duduk memerap di biliknya
tanpa sekali pun menggangguku. Aku hantar isyarat mulut
kepada Encik Fattah untuk bertanya kenapa, namun Encik
Fattah hanya menggeleng kepala. Aku tanya Miss Yen apa
yang tak kena.
“No idea...” jawab Miss Yen sambil jongket bahu. Bila
pusing keliling, masing-masing geleng kepala. Tetapi majoriti
bersetuju ada sesuatu yang tidak kena kepadanya.
Hendak pergi bertanya kepada Encik Marzuki, terasa
melampau pula. Tetapi hendak berpura-pura tidak terkesan,
tidak boleh juga. Semua pakat-pakat ingin tahu kenapa
si singa yang lantang mengaum telah berubah menjadi
bisu. Bermacam-macam spekulasi yang keluar. Bila dah
berderet versi cerita yang tercipta, tidak puas hati pula tak
ada pengesahan. Dan pengakhirannya, aku yang menjadi
mangsa. Ramai-ramai mendesak dan menolak tubuhku ke
arah biliknya. Alasan mereka, cik assistant adalah orang yang
paling layak untuk bertanya dan mencungkil cerita.
“Bos...” Sedikit teragak-agak aku menyapa. Kepala
pun sekadar terjengul di balik pintu selepas ketukan
mendapat sahutan.
“Masuklah. Yang kamu terintai-intai tu kenapa?”
Aku sengih malu sebelum mara lima tapak dan
berdiri di hadapannya.
“Bos ada nak suruh saya buat apa-apa ke?”
“Kenapa?”
“Tanya aje... Sebab bos senyap sangat semalam dan
hari ni.”
“Tak suka saya macam ni? Saya senyap, taklah kamu
kena marah.”
“Bos nak saya jawab jujur ke tipu?”
“Tak ada beza saya pilih mana sebab in the end, saya
akan tahu jugak apa yang benar.”
Aku mara lagi setapak. “Jujur saya cakap, mestilah
saya suka bila tak kena marah. Tapi bila bos diam pasif macam
ni, macam pelik aje. Bos dah tak macam diri bos yang selalu,
karakter yang sentiasa bersemangat buat kerja tu dah tak
ada.”
“Saya cuti esok dan lusa. Mak saya ada pembedahan
jantung.”
“Oh... okey.”
Aku tidak tahu apa reaksi yang harus kuberi.
Terkejut sebab tiba-tiba mendapat berita seperti ini. Dalam
banyak-banyak spekulasi yang dibuat oleh warga department
prihatin kat luar tu, tak ada satu pun yang melibatkan
perkataan emak.
“Saya tak nak diganggu oleh sesiapa pun selama dua
hari tu, tolong sampaikan pesanan ni kepada yang lain.”
“Noted.” Aku angguk. “Tapi kalau ada hal-hal yang
penting macam mana, bos?”
“Kamu boleh hantar WhatsApp kepada saya beritahu
isu tapi pastikan hanya yang betul-betul penting.”
“Maknanya saya masih boleh contact boslah untuk
esok dan lusa?”
“Yes. Tapi hanya WhatsApp. And only from you.
Orang lain kalau pandai-pandai hantar, saya kemungkinan
besar takkan baca langsung. It's their own risk.”
“Takkan sampai macam tu, bos?” Aku cuba
memujuknya.
“Kalau saya tak buat macam tu, nanti semua sibuk
nak kacau saya. Sikit-sikit nak ganggu. Bukan diaorang
kira situasi saya macam mana... Untuk dua hari ni, saya nak
khaskan untuk mak saya. Ni jantung tau? Silap sikit boleh
bawak ajal. Entah macam mana mak saya pulak yang boleh
kena. Harapkan doktor ajelah sekarang ni.”
Riak Encik Haiman yang jelas nampak risau dan
sedikit murung, aku tatap lembut.
“Bos, saya rasa kan... tak wajar kita mempertikaikan
ketentuan-Nya. Sama ada takdir kita tu membawa senyuman
atau tangisan, dua-dua kita kena terima sebab dua-dua tu
tanda kasih sayang Dia kepada kita. Setiap yang berlaku
mesti ada hikmah. Pasal ajal... ajal tu di tangan Allah, bos.
Doalah banyak-banyak kepada Allah, minta supaya segalanya
dipermudahkan. Insya-Allah semuanya akan okey.”
“Cakap memang senang...”
“Berdoa tu pun bukan susah, bos. Hanya menghadap
ke arah kiblat dan tadah tangan. Mudah. Benda tu ringan
kepada orang yang mengambil berat tapi jadi berat kepada
orang yang ambil ringan.” Aku ulang kembali tazkirah yang
pernah ku baca sebelum ini.
“Kamu perli saya?”
Aku senyum seikhlasnya.
“Lebih baik meminta kepada Allah daripada
bergantung harap kepada manusia waima doktor pakar
sekalipun.”
Bila dia hanya diam, aku menyambung lagi. “Allah
ada. He knows well, boss. Pertolongan Dia, tak cepat tak
lambat. Semuanya tepat pada masa dan sesuai dengan
keperluan kita, bukan dengan kehendak kita.”
“Keluar.” Dingin dia mengarah.
Akur dengan permintaan tersebut, aku berundur
dan melangkah meninggalkannya. Namun tatkala tangan
mencecah tombol pintu, aku teringat sesuatu yang mendesak
naluriku untuk meluahkan. Kembali aku mencari wajahnya,
ternyata dia sedang menunduk memandang skrin komputer
ribanya.
“Bos, doa saat tahajud adalah umpama anak panah
yang tepat mengenai sasaran. Mintalah apa sahaja, pasti Dia
akan tunaikan,” kataku perlahan seraya melangkah keluar
dan menutup pintu.
AKU tarik nafas dalam-dalam. Jarum jam dinding yang
bergerak dalam detik yang sekata aku renung resah. Nak
WhatsApp ke tak? Perlu ke tak payah?
Lepas 15 minit berbolak-balik, akhirnya dengan
separuh pasti aku capai telefon bimbit di atas meja. Pasrah
ajelah kalau kena tengking ni. Dasarnya memang tak penting
sangat pun tapi nanti dituduh membelakangkan tuan
empunya kuasa pula kalau tak diberitahu.
Bos, saya nak minta izin balik sejam
awal, boleh? Nak balik kampung.
Selesai menghantar WhatsApp tersebut, aku letakkan
kembali gadget itu ke atas meja dan merenung skrinnya,
menanti penuh sabar. Ikut protokol aje tu sebenarnya. Bagi
tak bagi, aku tetap akan keluar satu jam awal juga. Bas aku
di Pudu pukul 6 petang tepat jadualnya. Tak nak aku tempah
bala jalan kaki sampai ke Serom akibat terlepas bas.
Resah menunggu, sepuluh minit kemudian nama
Encik Haiman naik di skrin. Dengan sedikit debaran, aku
menjawab panggilannya.
“Assalamualaikum, bos.”
“Hah, apa kamu nak tadi?” Tegas suaranya di hujung
talian.
“Nak minta izin balik awal,” jawabku.
“Kamu ganggu saya kat hospital ni semata-mata nak
tanya pasal ni?”
Aku ketap bibir bawah. Patutnya tak payah WhatsApp
tadi.
“Sorry, boss. Saya nak minta izin aje,” balasku
perlahan.
“Berapa awal?”
“Satu jam, boleh?” Aku bertanya dengan nada
rendah.
“Itu ajelah kerja kamu, kan? Tuang waktu kerja,”
selarnya sinis.
“Sorry, boss...” balasku dengan lebih perlahan, jaga
adab.
Andai ikutkan hati, mahu sahaja aku bahasakan balik
“Bos selalu masuk ofis lambat dan balik cepat saya
tak cakap apa-apa pun...” Tapi nanti ada pula yang bergegar
seluruh bangunan IJN tu dengan jerkahan dia.
“Nak balik awal, kena buat satu benda dulu. Tak buat,
tak boleh balik awal.” Suaranya kembali tegas.
“Buat apa?”
Aku pandang jam. Waktu biasa tamat kerja pukul
6 petang, aku nak minta balik pukul 5 dan sekarang ni dah
pukul 4.15 petang tepat. Janganlah dia suruh buat kerja yang
berat-berat sekarang ini. Fikiran aku dahlah asyik nampak
laksa Johor yang umi masak tu aje.
“Nak balik awal, kamu kena buat...”
“Buat apa, bos?” soalku apabila dia tiba-tiba senyap.
“Nak balik awal... kena baca bismillah dulu. Nak buat
jahat, kan? Kenalah baca bismillah baru selamat.” Kali ini
suaranya seperti sedang menahan ketawa.
Rasa sedikit geram kerana dipermainkan namun
aku tolak tepi perasaan tersebut. Yang penting sekarang ini,
kebenaran untuk cabut awal.
“Maknanya saya boleh balik awallah ni?” Aku tanya
lagi untuk pengesahan.
“Boleh... kamu nak balik awal, kan? Baliklah, saya
benarkan.”
Rasa geram terus menjauh. Yes!
“Thank you, boss,” ucapku ikhlas.
Di dalam LRT, laju aku menaip.
Bos, thank you for being so sporting
today. Kalau selalu macam ni kan
bagus.
Tak sampai seminit kemudian, aku mendapat
balasan.
Hanya satu simbol, tapi aku rasa happy. Sangat!

No comments:

Post a Comment