DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 12 October 2016

Mimpi Yang Sempurna - Bab 14

“BOS, ketepilah.” Aku sudah tidak dapat
menahan sabar.
Masa kian berjalan namun selepas 10 minit, pak cik
sorang ni masih diam tak buat apa-apa. Aku toleh kumpulan
sebelah, Encik Marzuki telah mula membancuh pasir. Bila
kalih sebelah lagi satu, Puan Mahani tengah sibuk melakar
atas pasir. Hailaaa...
“Bos, keluarlah. Bagi Encik Ilham aje yang buat,”
desakku lagi sekali.
Memanglah bukan apa-apa. Walaupun Run for
Your Life pagi tadi kami langsung tak menang sebab Fatin
cedera, tak ada la aku sedih sampai frust menonggeng. Istana
pasir ini pun aku tak kisah kalau kalah, sungguh. Tapi aku
tak mahulah kalah disebabkan pasir yang langsung tidak
berusik. Sekurang-kurangnya kalau kalah sebab design tak
cantik, kumpulan kami kalah dengan bermaruah sebab dah
berusaha. Ini...
“Kamu nak masuk sini, masuk ajelah.”
Aku bengang. Hesy, si sewel ni! Tadi kan Encik
Wahed dah cakap segala peraturan pertandingan yang perlu
dipatuhi.
“Mana boleh saya masuk. Setiap masa kan hanya dua
orang yang boleh ada kat dalam. Ni bos dah dengan Fatin,
kuota dah cukup.” Aku mengingatkannya.
“Jadi, tukarlah dengan Fatin.”
Aku kerling Encik Ilham di sebelahku. Ternyata dia
sedang senyum. Orang tengah risau, boleh pula dia buat killer
smile dia kat sini. Bukannya nak tolong aku handle orang tua
kepala batu kat depan aku ni.
“Mana boleh, bos! Saya langsung tak pandai. Hancur
nanti semuanya.” Aku tekan suara.
“Tak pandai, duduk diam-diam.”
Aku tumbuk tepi kepala sendiri beberapa kali,
mengundang tawa Encik Ilham, Ben dan Fatin. Aku tengok
jam tangan, dah 20 minit masa kami terbuang tanpa apa-apa
kemajuan.
“Kalau kami balik ke sini nanti tengok tak gerak
apa-apa lagi, bos siap. Saya mogok tak nak kerja seminggu!”
Aku beri amaran yang bukan-bukan. Tak ada maknanya si
sewel ni nak takut kalau aku mogok kerja. Tak ada effect
pun pada dia. Tanpa aku duga, Encik Haiman bangun dari
bertinggung dan berdiri menghadapku. Tajam lontaran anak
matanya.
“Kalau team kita menang, kamu kena sediakan
breakfast untuk saya selama lima hari,” tukasnya serius.
“Okey!” Aku layankan aje otak tak betul dia tu. Bajet
menang aje, padahal nak sentuh pasir tu pun teragak-agak.
“Tapi saya nak breakfast yang kamu buat sendiri,
bukan tapau kat kafe atau gerai mamak yang famous kat
bawah bangunan ofis tu.”
Mataku hampir-hampir terbeliak mendengar ayat
tersebut. Eh???
“Let’s go Wardah, Ben... kita cari apa yang patut.
Sambil-sambil tu boleh dating.” Encik Ilham hantar lagi
killer smile hak cipta terpeliharanya. Mau aku tersangkut
juga kalau cukup sebulan aku dihadiahkan killer smile dia ni.
“It's go and search, Ilham. Not go and date. You
better behave, she’s my staff.”
Aku pandang Encik Haiman. Dia langsung tidak
memandang kami tetapi nada suaranya tadi buat aku
terpempan. Sangat tegas!
“Just kidding, Haiman. I pun tak nak sedekah muka
kacak I ni untuk penumbuk you.”
Aku rasa mahu ketawa dengan jawapan selamba
Encik Ilham tapi tubuhku ditarik untuk mengikut langkahnya
dan Ben. “Jom. Bos you dah hangat tu, kalau tunggu lagi, ada
yang kena panggil ambulans nanti.”
Kali ini aku betul-betul tidak dapat menahan ketawa.
Dengan senang hati, aku menyaingi langkah Ben dan Encik
Ilham.
“Kita nak cari apa ni?” Aku menyoal usai gelak.
“Anything. Benda-benda yang boleh dijadikan hiasan
atau pelengkap untuk sandcastle.”
“Contoh?” Aku memang buta seni tentang istana
pasir. Sentuh pasir tu pun tak pernah.
“Botol. Ranting kayu. Buluh. Tali. Cengkerang
siput...”
Sambil berborak-borak, kami meredah kawasan
pantai mencari bahan-bahan yang boleh digunakan. Bila
terserempak dengan ahli kumpulan lain, Ben cepat-cepat
sorokkan hasil carian kami daripada pandangan mereka. “Tak
nak mereka tiru,” jelasnya bila aku bertanya kenapa dia buat
begitu.
Setengah jam kemudian, kami kembali ke tapak
projek. Dari jauh, kelihatan susuk tubuh Encik Haiman dan
Fatin yang sedang khusyuk membuat sesuatu.
“Fokus betul Haiman...” komen Encik Ilham.
Sebaik sahaja kami sampai, aku hampir tercengang.
Benar komen Encik Ilham tadi, bos aku ini memang tengah
serius jadi jurutera istana pasir. Fatin juga ralit membantu.
“Ni yang kami jumpa. Cukup tak?” Ben
menghulurkan plastik yang sudah berisi.
Encik Haiman membelek plastik tersebut. “Thanks.
Ilham, carikan I lumut dan lima plastik warna biru?”
“Lumut?”
“Kalau ada la...”
“I’ll try.”
“You bawaklah Ben untuk tolong you. I need Wardah
to do something for me.”
Aku dah rasa lain macam. Apa lagi yang orang tua ni
nak kenakan aku?
“Dah, berhenti merenung Ilham dan Ben. Now you
have to serve me.”
Pandanganku pada Encik Ilham yang semakin jauh
melangkah terus mati.
“Serve bos?” Aku cuba mencerna kata-katanya.
“Maksud bos apa?”
“Saya haus. Saya nak air sedap.”
“Air sedap?” Seumur hidup, tak pernah aku dengar
nama air sedap.
“Air yang rasa dia sedap. Kalau tak sedap, tambah
lagi seminggu kamu kena sediakan breakfast untuk saya.”
Dengan hati yang memberontak, aku menapak ke
kawasan hotel. Air sedap? Gila ke apa? Tekak lain-lain, karang
aku rasa sedap, sampai ke tekak dia, tak kena cita rasa pula.
Eee, geram betul!
AKU rasa hendak meraung. Kumpulan kami dinobatkan
sebagai juara untuk istana pasir yang 90 peratus dibina oleh
Encik Haiman.
Jujurnya, aku sendiri terpegun dengan hasil yang
terbina. Sekali tengok ada iras-iras bangunan sekolah sihir
Harry Porter, cumanya ini versi ringkas. Yang menjadikannya
bertambah menarik adalah persekitaran istana tersebut. Ada
hamparan rumput yang meluas, yang aku pasti daripada
lumut yang berjaya dicari oleh Ben dan Encik Ilham, serta
sungai yang mengalir cantik, kukira hasil daripada plastik
warna biru yang dipinta oleh Encik Haiman. Kemudian ada
jambatan kecil, rimbunan pokok dan bunga-bungaan serta
longgokan batu-batu sebelum kawasan binaan lengkap ini
dilindungi oleh satu tembok tinggi yang mengelilingi seluruh
kawasan.
Memang wow!
Tetapi malang untuk aku yang sah-sah akan didenda
tidak lama lagi. Dengan wajah muram, aku pandang Encik
Ilham.
“He will kill me after this,” aduku perlahan.
“Lain kali jangan rajin sangat sumpah seranah bos
sendiri dalam hati, kan dah kalah.” Encik Haiman tiba-tiba
muncul di sebelahku dengan sekeping sampul.
“Ni duit untuk juara. Kamu bahagikan bertiga
dengan Ben dan Fatin. Is it okay, Ilham?”
“Yes, sure! Bagi aje pada junior tiga orang ni.”
Perlahan aku ambil sampul tersebut.
“Isnin nanti saya tak masuk office. So the first
breakfast for me would be on Tuesday,” pesan Encik Haiman
sebelum berlalu meninggalkan kami.
“Kau nak bagi dia makan apa nanti, Wardah?” Fatin
menyoalku setelah Encik Ilham turut berlalu.
Aku ketap bibir. “Nasi lemak.”
“Wah!” Fatin separa melopong.
“Yang dimasukkan dengan racun Roundup,”
sambungku sebelum melangkah dengan kaki yang dihentak
geram. Siaplah kau kat ofis nanti, si sewel!
“BOLEH saya tolong?”
“Wardah! Terkejut saya...”
Aku sengih dengan reaksi Zaki. Jad yang berada di
sebelah aku, turut senyum. Sebetulnya tadi aku bertembung
dengan Jad ketika melangkah keluar dari bilik hotel lalu Jad
mengajak aku turun ke kawasan BBQ ini.
“Sorry, encik koordinator. Nak saya tolong apa-apa
tak?”
Sebuah senyuman Zaki hadiahkan untukku. “Tak
payahlah, ni kerja orang lelaki. Yang perempuan just relaks
dan tunggu untuk makan.”
Aku angguk tetapi masih tidak berganjak dari situ.
“Penat?” soal Zaki.
“Sikit.” Aku mengaku. “Tapi sangat-sangat enjoy.”
Aku terus berdiri memerhatikan tingkah Zaki yang
sibuk. Ingin membantu tetapi tidak tahu celah mana. Mahu
tolong membakar pun tidak boleh sebab api masih belum ada.
Hendak mengharapkan aku untuk menghidupkan api, lagi 10
tahun pun belum tentu hidup apinya.
Fatin muncul tidak lama kemudian dan mengajak
aku berjalan-jalan di tepi laut. Diheretnya sekali beberapa
orang lain termasuk Kak Gee.
Bertemankan cahaya bulan penuh, kami mengatur
langkah demi langkah sambil berborak-borak kosong
sehinggalah menginjak ke waktu isyak. Terus aku meminta
diri dan kembali ke hotel.
Selepas solat, aku turun semula. Masing-masing
nampaknya telah mula menikmati hidangan BBQ sambil
berbual sesama sendiri. Sedikit segan, aku menghampiri
tempat pemanggang.
“Wardah, belum makan kan?”
Aku hanya menjawab pertanyaan Zaki dengan
anggukan.
“Nah!” Pantas tangan Zaki mengisikan segala jenis
makanan yang ada ke dalam satu pinggan hingga penuh
sebelum menyerahkannya kepadaku.
“Banyaknya!” Aku jadi bertambah segan.
“Tak apa, it's on the house!” balasnya bersama
senyuman.
Aku membawa pinggan ke kumpulan yang ada Fatin
dan Kak Gee. Riuh-rendah kami berborak sambil makan
sebelum seorang demi seorang yang telah habis makan
bangun dan akhirnya meninggalkan aku dan Fatin berdua.
Tengah seronok-seronok bergosip, tiba-tiba susuk
tubuh Encik Haiman berdiri di hadapan kami.
“Bos dah makan?” Aku menyapanya tatkala dia
duduk di atas batu di sebelahku.
Pingganku yang tadinya penuh dengan makanan
kini hanya tinggal dua ekor udang. Aku kerling sebelah, Fatin
sedang khusyuk menikmati ketam bakar. Boleh kena gout
kami kalau hari-hari makan makanan laut banyak macam ni.
“Bos nak udang ni tak?” Dengan tak malunya aku
menyoal.
Bukan tak malu, malu. Tapi sekarang malu tolak tepi
dulu asalkan pembaziran yang menjadi amalan syaitan tidak
berlaku.
“Ambil lagi banyak-banyak. Tamak... kan tak habis.”
Sinis dia membalas.
“Ni bukan salah Wardah, Encik Haiman.” Fatin yang
leka menyuap menyampuk. “Wardah ni mana boleh makan
udang, alergi. Si Zaki la ni, dia yang isikan pinggan Wardah
tadi, habis semua makanan dia letak. Meh sini udang tu.
Sayang weh, sayang!” Sekelip mata udang di pingganku dah
beralih tempat.
Ceria dan selamba, dua perkataan yang paling sesuai
untuk Fatin.
“Mana kamu hilang tadi? Gayut dengan pakwe?”
“Hah?” Aku jadi blur.
“Orang dah nak habis makan, baru kamu muncul.”
“Oh, yang tu...” Baru aku faham soalan yang diaju.
“Saya pergi solat sekejap tadi. Ingatkan lambat lagi
nak mula makan, so saya balik bilik dulu solat. Nanti dah
kenyang, mata mengantuk, mulalah malas...”
“Hmm...”
“Cop! Aku nak pergi letak pinggan kotor ni kejap.
Meh aku angkat sekali pinggan kau ni. Nak apa-apa lagi tak?”
Tanpa menunggu balasanku, Fatin terus menarik pinggan
kertas yang aku letak ke atas riba.
“Tak. Thanks.”
Kini hanya tinggal aku berdua dengan Encik
Haiman. Aku senyap, dia pun sama. Terasa janggal dengan
keadaan tersebut, sedikit ragu-ragu aku membuka mulut.
“Bos?”
“Hmm...”
Datar aje nadanya. Yang keluar dari mulutnya pula
balik-balik hmm... balik-balik hmm...
“Saya dah buat silap ke sebab tiba-tiba hilang tadi?
Tak sopan ya?”
“Kamu rasa?”
Lemah sungguh aku bila aku tanya soalan, lepas tu
aku disoal balik.
“Bos tahu tak saya pernah sesat?” Aku membuka
topik baru.
“Kalau bos nak tahu, dulu saya pernah sesat.” Aku
mengulang pernyataan aku tadi.
“Sesat?”
“Haah, sesat.” Tangan aku buat gaya inverted comma.
“Masa tu saya dah sekolah menengah. Disebabkan
saya selalu tak dapat apa yang saya inginkan, saya jauhkan
diri daripada Allah. Sikit demi sikit saya tinggalkan solat,
sampai tahap setiap kali saya dengar azan, saya dah tak rasa
apa. Masa tu saya fikir, buat apa saya nak penat-penat solat
sedangkan apa yang saya minta, Allah tak makbulkan pun.
Saya lupa yang setiap satu ujian Allah tu sebenarnya adalah
sentuhan kasih sayang Dia untuk saya.”
“Jadi apa yang buatkan kamu...”
“Kembali ke pangkal jalan?” Aku menyambung
ayatnya yang putus bila nampak dia seperti serba salah.
“Saya ingat lagi, satu hari tu, saya outing dengan
kawan-kawan saya. Masa lalu depan pasar raya kat bandar
Muar tu, ada sorang kakak ni tengah duduk dengan sebiji
kole di depan dia, mengharapkan belas ihsan orang yang lalu
lalang untuk menghulurkan bantuan. Tapi kakak tu bukan
duduk saja. Kaki dia, dia gunakan untuk melukis di atas
kertas A4 menggunakan pensel. Saya tak dapat larikan mata
daripada melihat kaki kakak tu yang sibuk melukis. Hairan,
macam mana dia boleh melukis menggunakan kaki.”
Aku berhenti untuk tarik nafas.
“Tiba-tiba, kakak tu tanya saya, jam kat tangan
saya ni pukul berapa. Saya jawab, dah 1.20 tengah hari dan
kakak tu terus mengemas barang-barangnya dan diletakkan
ke dalam sebuah kotak kayu di belakang badan dia sebelum
dia bangun. Saya tanya dia, nak pergi mana sebab nampak
tergesa-gesa. Dia cakap, tak sampai lagi 10 minit, nak masuk
waktu zohor, jadi dia nak ke surau.”
“Saya pegang tangan kakak tu sebab tak puas hati.
Saya cakap kat dia, walaupun dia kekurangan anggota badan,
hidup melarat lagi, dia masih ada hati untuk solat?”
Aku pandang muka Encik Haiman sekilas.
“Bos tahu apa jawapan kakak tu bagi dekat saya? Dia
kata, siapalah dia untuk menyombong dengan Allah. Memang
dia tak ada kedua-dua belah tangan tapi dia masih ada sepasang
mata yang boleh melihat dengan terang, telinga yang boleh
mendengar dengan jelas, mulut yang boleh berkata-kata,
hidung yang boleh menyedut udara dengan sempurna dan
sepasang kaki yang tegap untuk dia melangkah. Katanya lagi,
dengan nikmat yang sebegitu banyak, mana dia nak letak
muka di padang mahsyar nanti jika dia menyombong dengan
Allah? Kata-kata dia tu memang membuatkan saya terkedu.
Balik ke asrama, lama saya berfikir. Nak dibandingkan dengan
kakak tu, Allah telah aturkan kehidupan yang jauh lebih
sempurna untuk saya tapi saya masih tak reti nak bersyukur.”
Fatin muncul di hadapan kami dengan riak serba
salah. “Sorry, Encik Haiman. Kak Gee nak pinjam Wardah
sekejap, urgent katanya.”
Tubuhku yang duduk di atas batu ditarik Fatin
supaya mengikut langkahnya.
“Kak Gee cari aku kenapa?” Aku menyoalnya.
“Entah, dia kata ada hal nak bincang. Mungkin
untuk majlis penutup.”
Aku mengangguk tanpa kata sambil terus berjalan.
Tiba-tiba, Fatin bersuara perlahan. “Aku tak sangka
kau dulu pun pernah lost sekejap?”
“Kau curi dengar?”
“Terdengarlah, bukan curi. Tapi serius aku tak
sangka.”
Aku senyum. Aku pun tak sangka aku boleh create
cerita spontan macam tu...

No comments:

Post a Comment