PENUH excited, aku berdiri di hadapan bilik si
kembar dan pintunya aku ketuk perlahan.
“Yes?” Kepala Qayyim terjengul di balik pintu yang
dibuka separuh.
“Pinjam buku-buku psikologi dan motivasi yang
awak ada? Awak banyak beli, kan?”
“Nak yang mana satu?”
“Urmm...” Aku mengetuk jari pada pintu beberapa
saat berfikir.
“Semualah...”
Beberapa minit kemudian, beberapa buah buku yang
berlainan saiz dan ketebalan bertukar tangan. Hehehe... first
step is in progress!
“Nak buat apa ni, Kak Adah? Sengih sorang-sorang...”
“Ada projek sikit.”
“Projek?” suara Qayyim bertukar lantang.
“Shhh... ni projek P&C ni.” Aku letakkan jari pada
mulut sendiri.
“Macam menarik aje?”
“Ni projek jihad.”
“Jihad tu bukan perang ke?” Qayyim nampak keliru.
“Peranglah ni. Perang mental dan spiritual.”
Kembali ke bilik, sambil berbaring di atas tilam, aku
capai test pad dan pen yang terletak di dalam laci meja sisi
katil. Perkataan si sewel aku tulis besar-besar dengan pen
merah.
Misi membalas dendam.
Selepas lebih satu jam memerah otak, idea misi
membalas dendam pun siap. Cantik dengan pen yang
berwarna-warni, lengkap dengan gambar-gambar. Sekali
tengok macam projek sekolah tadika pun ada.
Huh, siaplah kau nanti si sewel!
Berpuas hati dengan hasil otak sendiri, aku
leraikan helaian tersebut dan bangun ke arah almari baju.
Menggunakan double tape, aku lekatkannya di bahagian
dalam pintu almari. Siap! Benda alah ini akan aku baca setiap
hari sebelum pergi bekerja.
Dengan senang hati, aku terus rebahkan badan ke
atas katil dan menarik comforter. Saat hampir terlena, aku
teringat sesuatu. Kata-kata keramat along!
Mata kembali celik. Melilau mencari-cari telefon
bimbit, keluhan terhambur jua. Telefon bimbit berwarna
putih di atas meja solek. Malasnya nak bangun...
RUANG pejabat menjadi lengang setelah masuk waktu
lunch. Aku meletakkan kepala di atas meja, berhajat untuk
melelapkan mata sekadar lima ke 10 minit sebagai ganti tidak
cukup tidur malam tadi, sebelum menyambung menelaah
projek-projek yang ada. Masa lunch sahaja yang aku ada
untuk lakukan personal learning sebab waktu lainnya
tugasan-tugasan untuk IR Executive telah sedia terlambak
untuk menghambatku.
“Ehem!”
Pantas aku angkat kepala. Encik bos sedang
elok berdiri di sisi mejaku. Memang tak boleh nak lari ke
mana-mana dah macam selalu.
“Yes boss, anything?” tanyaku. Sejak misi membalas
dendam bermula, panggilan Encik Haiman telah aku
gantikan dengan perkataan bos. Tuan punya badan juga tidak
membantah, mungkin senang dengan panggilan tersebut.
“Tidur ke?”
“Taklah.” Aku geleng. “Just ambil nafas sekejap. Bos
nak suruh saya buat apa-apa ke?”
“Later. It is lunch hour.”
“Saya tak kisahlah, bos.” Aku ambil pen dari
dalam bekas dan buka buku nota. Kisah sebenarnya. Tapi
bila teringatkan misi membalas dendam yang baru sahaja
bermula, aku perlu jadi tidak kisah buat sementara waktu.
“During office hours, bos boleh suruh saya buat
kerja bila-bila masa pun, asalkan saya masih ada masa untuk
solat. Nak saya buat kerja masa lunch macam sekarang ni pun
tak apa, tak ada hal,” tambahku lagi.
“Then your lunch?”
“Hal kecil aje tu. Ada roti dengan buah...” Aku tunjuk
buah pear dan roti jagung di atas meja. “... nanti saya ngap aje
sambil buat kerja.”
“Diet. Tipikal orang perempuan.” Dia menyindir.
“Saya bukan diet tapi memang dah terbiasa macam
ni. Dulu masa jadi student, saya ni JPKK kolej kediaman
jugak, jadi life memang hectic nak-nak bila masuk final year.”
Aku pusing-pusingkan pen di dalam tangan. “Nak
cope dengan masa dan segala tugasan, tu ajelah cara nak
survive, makan sambil buat kerja. Kalau nak mengada-ada
ikut selesa diri, ada yang saya tak habis study lagi sekarang
ni.”
Riak Encik Haiman sedikit berubah. Entah terkejut,
entah menyampah dengan kata-kataku.
“So,bos nak saya buat apa ni?” Aku mengulang tanya.
“Taipkan satu dokumen ni untuk saya. Original soft
copy is with Fattah tapi Fattah tak ada hari ni. Kamu kena
taip semula semuanya dari awal.”
“Mana dokumen tu?”
Beberapa helai kertas dihulurkan kepadaku.
“12 pages. How long would you take to complete it?”
Aku selak-selak helaian di tanganku. Ada tiga muka
surat yang mengandungi rajah yang akan mengambil sedikit
masa.
“Give me half an hour?” Aku kembali memandangnya.
“Good. Thanks.”
Hilang sahaja kelibatnya, macam lipas kudung
jari-jemariku berlari di atas papan kekunci komputer. Terus
terlupa pada roti jagung dah buah pear di sudut meja.
DERINGAN telefon mengundang keluh dari mulutku.
Jam masih jauh lagi untuk menghampiri ke pukul 8.30 pagi.
Baru sahaja ingin menikmati Milo panas dan nasi lemak, ada
sahaja gangguan tambahan yang mengganggu selera. Sedikit
kasar, gagang telefon aku angkat.
“May I speak to Cik Wardah, please?”
Aku pejam mata yang terasa perit. Aku pasti sangat,
slanga Inggeris yang pelik ini memberi makna yang pemanggil
itu bertujuan untuk mencari Mohd. Haiman Hussein dan
bukannya diriku. Kenalan-kenalanku malah saudara-mara
sendiri, setakat ini tiada selain berbangsa Melayu.
“Wardah speaking. Who’s on the line, please?”
Berbekalkan nafas panjang, aku menjawab menggunakan
nada sesopan yang boleh.
“Hi, Cik Wardah! How are you? Alex here. Research
analyst from Alliances Investment Bank Berhad.”
“Hi, Mr. Alex! What can I do for you?”
“Sorry for troubling you, Cik Wardah. I’m looking
for...”
Bermulalah aktiviti menadah telinga yang telah
aku jangka isinya. Mana tidaknya, ini bukan kali pertama
aku menerima aduan sebegini tetapi sudah banyak kali.
Semuanya tentang betapa susahnya hendak bercakap dengan
Head of Investor Relations syarikat kami. Panggilan tidak
berjawab, WhatsApp tidak berbalas. E-mel, lagilah haram
untuk mendapat maklum balas.
“Alright, Mr. Alex. I’ll try my best to help you,”
janjiku sekadar yang mampu. Janji yang lebih kepada mahu
menjaga hati.
“Thank you so much, Cik Wardah. I really hope to
see him as soon as possible.” Bersungguh-sungguh lelaki di
hujung talian ini meminta pertimbanganku.
“You’re most welcome, Mr. Alex. Thank you for
being patient with us. Have a nice day.”
Keluhanku terhambur usai meletakkan gagang.
Waiting list daripada panggilan yang aku terima saban
hari makin lama makin panjang. Bila semua tidak dapat
menghubungi tuan punya badan, akulah jadi tempat
sandaran. Sedangkan bos aku yang sorang tu langsung tidak
peduli sedikit pun.
Please call me.
Satu pesanan WhatsApp masuk. Sebaris ayat yang
memang telah aku hafal. Genap tiga perkataan, tidak lebih,
tidak kurang. Setiap kali si penghantar berada di luar pejabat
dan ingin bercakap denganku, inilah bunyi WhatsApp
yang akanku terima. Jangan harap dia sendiri akan terus
menelefonku. Alasannya, dia tidak mahu bil telefonnya
melambung tinggi. Selagi boleh guna kemudahan syarikat
untuk kerja, dia akan guna.
“Assalamualaikum, bos.”
Selamba aku memberi salam walaupun hakikatnya
salam yang kuberi tidak pernah berjawab. Orang kedekut
tidak kena tempat, inilah dia. Mahu menghulur ucapan
salam, terang-terang lokek. Hendak jawab lafaz salam juga
jelas berat. Yang ringan dan murah hatinya, bab kepala angin
dan marah-marah aje.
“Tasks for you today.” Seperti biasa, suara garaunya
dingin. Salam yang aku lafaz, hanya angin lalu yang menjawab.
“Shoot, boss.”
“Kertas dan pen dah ada ke?”
“Dah, bos. Satu test pad saya letak kat depan saya ni.
Pen pun banyak. In case tak cukup, saya taip aje kat komputer
ni.” Aku tahan sengih dengan ayat sarkastik sendiri. Paling
sadis pun, kejap lagi kena tengking di telefon ni. Macam tak
biasa.
“Sekarang bos nak suruh saya buat apa ni?” Aku
bertanya lagi bila dia masih diam.
“Draft me for this coming Board Meeting, asking
approval for soft launching on our new project in Sabah.
Second, please update our monthly report.”
“Monthly report done, boss. Tinggal nak bagi bos
semak aje,” balasku.
“Good. Next, arrange a two-hour meeting with
Finance, Engineering and Sales & Marketing tomorrow or
the next day. Invite only the Head and Team Leader involved
in Kayangan Hills project. Preferably after lunch.”
“Noted. Anything else?”
“Open my e-mail, penuh dah mailbox tu. Buang aje
e-mel yang tak penting.”
“Okey.”
“Good. Anything, just WhatsApp me.”
“Err, bos?” Teragak-agak aku bersuara bila sedar dia
mahu menamatkan panggilan.
“Apa dia?”
“Encik Khidir pesan minta bos untuk call dia semula,
katanya urgent.” Aku menyampaikan pesan.
“Who is Khidir?”
“From Sales & Marketing. Manager. North region.”
“Saya tahu tu. Tapi siapa dia nak arah-arah saya?
Kamu cakap dengan dia, saya sibuk. Kalau penting sangat,
suruh dia cakap dengan kamu aje.”
Aku tahan sabar dalam hati. “Saya nak cakap apa
kalau dia tanya soalan?”
“Cakaplah apa-apa. Otak ada, fikir. Akal ada, guna.”
“Tapi bos jugak yang cakap sebelum ni, apa-apa
keputusan dan pernyataan mana boleh keluar daripada mulut
saya.” Aku mengingatkannya.
“Memang pun.”
“Dah tu, yang bos suruh dia cakap dengan saya tu?”
Jujur aku tidak faham dengan cara si sewel ini berfikir.
“Saja. Sebab saya malas nak layan dia,” balasnya
selamba seraya meletakkan telefon.
No comments:
Post a Comment