BERSAMA debaran yang menggila, aku lontarkan
setiap ayat yang telah aku hafal selama dua hari. Segala ilmu
dan pengalaman melakukan public speaking semasa di
universiti dulu aku aplikasikan dalam penyampaianku. Hati
turut berselawat tidak henti-henti sambil memohon supaya
segalanya berjalan lancar.
“That’s the end of my presentation. Any questions,
Mr. Mohd. Haiman?”
Aku menyoal sambil tayang riak tenang.
“No.”
Jawapannya yang sepatah itu membuatkan aku rasa
hendak melompat-lompat kegembiraan namun aku cuba
kawal diri.
“So, would you be interested to invest in this
project?” Aku terus berlakon seolah-olah mengharapkan dia
melabur dalam projek tersebut.
“Are you out of your mind? Projek ni dah jalan
separuh pun, nak melabur apa lagi?” Spontan suaranya
bertukar sinis.
“Tapi Encik Haiman jugak yang suruh saya buat
presentation. Kononnya...”
“Dah!” Dia memintas kata-kataku. “Mana report
yang saya suruh buat tu?”
Laporan sebanyak 20 muka surat dan siap berbinding
itu aku serahkan kepadanya. Dalam hati rasa berdebar-debar.
Harap-haraplah dia tidak mengamuk.
“Kenapa buat macam ni?” soalnya tanpa
memandangku. Tangannya menyelak helaian demi helaian
yang bercetak.
Aku tarik nafas dalam-dalam.
“Encik Haiman tak cakap pun mesti buat dalam
format Words. Jadi saya campurlah format Words, PowerPoint
dan Publisher sebab saya rasa kalau kesemua 20 muka surat
dalam format Words semata-mata, mesti bosan nak baca,”
jelasku.
Habis menyelak muka surat terakhir, dia terus
bangun.
“Thanks,” ulasnya sepatah seraya melangkah ke arah
pintu bilik mesyuarat tersebut.
“Err... report ni?” Teragak-agak aku bertanya apabila
report itu hanya ditinggalkan di atas meja.
“Tu report kamu, kamu baca. I don’t need it,”
balasnya selamba sebelum menghilang.
Tanpa pengetahuan sesiapa, waktu itu juga aku
hantukkan kepalaku pada papan putih yang terpasak kukuh
di dinding. Hantu punya bos! Macam hendak mati aku perah
otak dan tenaga siapkan semuanya, alih-alih dia tak nak pun.
Satu sahaja perkataan yang terlintas di benakku waktu itu.
S-E-W-E-L. Sewel!
AKU mula resah. Nombor-nombor yang banyak dan
perbincangan yang terlalu laju menyebabkan aku hilang
punca.
Aku pandang senior di sebelahku.
“Encik Ilham, saya tak faham,” bisikku perlahan.
“Macam ni...”
Encik Ilham mengambil kertas kosong dan mula
menconteng langkah demi langkah cara pengiraan yang
betul. Sedaya upaya aku cuba memahami.
“Wardah?”
Suara Encik Marzuki yang tiba-tiba memanggil
membuatkan darahku berderau.
“Kamu ada apa-apa masalah ke?”
“Err... tak.” Dengan segan bercampur takut aku
menjawab. Takut sebab kena tegur dan segan sebab aku sedar
yang semua mata kini sedang terarah kepadaku.
“Betul?” soal Encik Marzuki lagi.
“Betul, Encik Marzuki. Tak ada. Cuma saya kurang
faham tentang pengiraan tadi tu dan Encik Ilham tolong saya
fahamkannya.”
“Okay, good. Let’s continue our meeting.”
Lega aku dengan kata-kata tersebut. Fuh!
“Wait!”
Rasa lega hilang. Mati. Matilah aku sekejap lagi.
“Since Ilham has helped her to understand the topic,
why don’t we test her limit of understanding now?”
Aku telan air liur.
“Macam mana, Wardah? Boleh?” Encik Marzuki
menyoalku lembut.
Beruntungnya la Kak Gee dapat bos yang tak lokek
dengan senyuman ni. Walaupun berpangkat sangat tinggi,
namun masih pandai senyum dan berlemah lembut, tidak
seperti hamba Allah di depanku yang hanya tahu ketatkan
muka.
“Ehem!”
Amaran pertama dah kedengaran. Tanda aku perlu
bertindak sebelum amaran kedua dikeluarkan.
Menarik nafas seraya berselawat, perlahan aku
bangun dan melangkah ke arah papan putih. Dengan
hati-hati, aku tulis semula langkah demi langkah pengiraan
untuk P/E Ratio (price-earnings ratio) sebijik-sebijik seperti
yang diajar oleh Encik Ilham kepadaku sebentar tadi.
“Good, Wardah. Thanks. You may sit.”
“Thank you, Encik Marzuki.” Penuh kelegaan aku
tutup kembali marker pen di tanganku.
“She was just repeating Ilham.”
Tidak sempat aku melabuhkan duduk. Tatkala
bersabung pandang, senyuman yang sedang terbit dari bibir
yang bersuara itu kelihatan sinis.
“Saya tak faham maksud Encik Haiman.” Aku
membalas perlahan.
Tubuh tegap itu bangun dan mendekati papan putih.
“Explain this,” ujarnya dingin lalu menulis satu
soalan pengiraan baru.
Melihatkan nombor-nombor yang semuanya
telah bertukar, aku rasa seperti telur di hujung tanduk.
Lambat-lambat aku berjalan ke arah papan putih. Dapat aku
rasakan yang peluh mula menitik di dahiku walaupun bilik
mesyuarat yang sedang kami guna ini sejuk berhawa dingin.
Hampir seminit menatap soalan tersebut, dengan
tidak berapa yakin aku redah menconteng mengira jawapan.
“Salah.”
Aku diam tidak membalas. Kerana terlalu takut, aku
hanya mampu menundukkan wajah di hadapannya yang kini
sedang betul-betul berdiri menghadapku.
“Your answer is wrong!” ulangnya lagi dengan suara
yang dah naik seoktaf.
“Sss... sorry, Encik Haiman. I... I couldn’t find the
answer.” Aku tahan mata supaya tidak menangis. Lembik
lutut hanya menunggu masa untuk jatuh ke lantai.
“Takkan tak tahu? Tadi kata dah belajar dengan
Ilham?” soalnya sinis.
“I’m sorry...” Aku geleng perlahan. Langsung tidak
berani untuk mengangkat kepala dan memandangnya.
“Sorry... sorry... sorry! Itu ajelah yang kamu pandai!”
Dari ekor mata, aku nampak dia berpusing
menghadap meja mesyuarat.
“Orang sibuk bagi perhatian dalam mesyuarat, dia
sibuk bercakap dengan orang sebelah! Jangan ada sesiapa pun
dalam bilik ni yang berani cakap dia ni assistant aku!”
AGAK lama aku berteleku di atas sejadah memohon
pertolongan Allah. Bila difikir-fikir semula, mungkin ini
adalah kerja paling gila aku buat sepanjang 23 tahun aku
hidup di dunia ini - membalas dendam kepada bos sendiri.
Tak nak mengaku aku ni assistant kau ya?
Kau tunggu, lepas setahun aku akan pastikan yang
kau tak nak lepaskan aku sebagai assistant kau!
Saat aku baru hendak menarik telekung dari kepala,
Shila menerjah masuk ke dalam surau wanita.
“Wardah, cepat. Encik Haiman mengamuk! Dia
tengah cari awak satu level kita tu.”
Keberanian yang kuhimpun sejenak tadi terus
berterabur. Tingkah Shila yang kelam-kabut dan sedikit cuak,
turut mempengaruhiku untuk cemas sama. Kelam-kabut
aku menyarung tudung tanpa sempat mencalit apa-apa pun
di wajahku.
“Ya, Encik Haiman.”
Aku berdiri di hadapannya dengan nafas yang sedikit
semput. Masakan tidak, department kami ini di tingkat 12
manakala surau di tingkat sembilan. Nak cepat punya fasal,
aku ikut tangga belakang dan tidak menggunakan lif seperti
selalu.
“Hah, mana kamu pergi? Merayap aje kerjanya!
Company tak bayar kamu untuk merayau ke sana sini!”
“Saya pergi solat tadi.”
“Masa kerja? Kenapa tak solat masa lunch!”
“Sorry.”
Aku menjawab perlahan sambil tunduk. Bibir aku
ketap menahan geram. Tidak puas hati betul bila terpaksa
meminta maaf sebab pergi solat. Tapi kalau tak minta maaf
karang, bertambah mengamuk pula encik singa di depanku
ini.
“Lain kali, make sure that you're within reach and
always available when I need you. Nak solat ke, apa ke, lantak
kamulah... Asalkan bila saya cari, kamu ada. Faham?!”
“Yes, Encik Haiman.”
“Good! Sekarang, kamu pergi jumpa Gee dan bagi
borang cuti saya ni.”
Lailahaillallah... Aku mengucap panjang di dalam
hati. Pasal ini aje dia mengamuk cari aku? Daripada dia ke
hulu ke hilir penatkan kaki mencari aku, lebih baik dia terus
hantar kepada Kak Gee yang tempatnya dekat sangat dari
bilik dia tu.
Dengan hati yang mendongkol geram, aku bawa
borang tersebut kepada Kak Gee.
“Nah Kak Gee, ni borang cuti Raja Maha Pahit Punya
Muka,” kataku dengan perasaan geram.
Mata Kak Gee meneliti borang tersebut sejenak
sebelum ketawa besar. “Apa nama awak bagi dia tadi?”
“Raja Maha Pahit Punya Muka.” Aku ulang sebut
nama yang baru aku reka.
Kak Gee gelak lagi.
“Apa kes ni?” soalnya selepas habis gelak.
“Saya pergi solat pun dia nak mengamuk, Kak Gee.
Bengang betul! Dia tanya kenapa solat masa kerja, patutnya
buat masa lunch. Habis tu, dia solat waktu bila? Masa lunch,
dia pun pergi makan jugak!” luahku penuh geram.
“Shhh... slow sikit cakap tu.”
“Kenapa?”
“Haiman bukan jenis yang ke surau atau masjid.”
“Habis tu dia solat kat mana?”
Kak Gee geleng kepala. “Bendul jugak awak ni. Kata
mudahnya, dia tak solat. Faham?”
Aku terkedu untuk beberapa saat. Wajah Kak Gee
aku pandang tepat, kot-kot dia bergurau tapi Kak Gee tetap
tidak berubah riaknya.
Air liur aku telan perlahan. “Orang lain tahu tak
pasal ni?”
“Tahu...”
“Tak ada sesiapa yang tegur atau ingatkan?” Suaraku
semakin perlahan.
Kak Gee mengeluh. “Awak pun kenal kan Haiman tu
macam mana? Siapa aje yang berani tegur dia tu...”
No comments:
Post a Comment