SANGAT menyakitkan hati apabila wanita itu enggan melepaskannya. Tetapi dalam masa yang sama, sibuk juga keluar sana sini dengan lelaki lain. Kemudian, dia pula yang akan dipersalahkan kerana tidak memberi perhatian kepada gadis itu.
Sepertimana saat ini, Iqmal terserempak dengan Syamsinar ketika gadis itu duduk di hadapan seorang lelaki Melayu di dalam sebuah restoran. Tidak sedar yang Iqmal berada di sebalik tembok, memerhatikannya dari jauh.
Lelaki itu mengeluarkan telefon dan mula bertanya di mana Syamsinar berada.
Awak kat mana? Abang baru habis
kerja ni. Nak lunch sama?
Dari jauh Iqmal nampak gadis itu kelam-kabut melihat telefonnya. Kemudian menjawab dengan pembohongan.
Kat rumah mak ni. Nak datang ke?
Tunggu kejap. Syam baru nak drive
balik rumah.
Iqmal tersenyum sendiri membaca mesej itu. Dia tidak menjawabnya, sebaliknya terus berpaling dan berlalu. Ketika di kereta, dia mendapat panggilan daripada Syamsinar. Namun dia tidak menjawabnya.
Abang tak pernah nak jawab bila
Syam call. Tadi abang yang mesej
Syam.
Iqmal tetap tidak menjawabnya. Dia sudah bosan dengan penipuan gadis itu. Jadi, dia layankan sahaja kerenah Syamsinar.
Sepanjang memandu pulang, lelaki itu hanya memikirkan hubungannya dengan Syamsinar. Hubungan yang sangat kosong dan aneh. Permulaannya dia diperkenalkan oleh adiknya Eliyana dengan Syamsinar. Gadis itu bersungguh-sungguh ingin berkawan dengannya. Namun sehingga kini, hubungan itu masih terlalu hambar. Atau dalam erti kata yang mudah, dia tetap tidak mampu menerima Syamsinar dalam hatinya.
Ketika sedang memandu, Iqmal menerima panggilan daripada seseorang.
“Helo,” ucap Iqmal setelah menjawab panggilan itu.
“Mal, you kat klinik ke?”
“Nope. I tak kerja hari ni,” jawab Iqmal.
“Dia ada kat Suria KLCC petang ni. Anak dia ada masuk contest anjuran Petronas. Pergilah tengok,” ucap seorang wanita di hujung talian.
“Okay. Thanks...” ucap Iqmal perlahan.
“Mal...” panggil wanita itu.
“Ya.”
“Dia isteri orang, Mal. You kena lupakan dia,” ucap Maisarah perlahan.
“I tak boleh...” balas Iqmal perlahan.
“Ada banyak benda atas dunia ni I menyesal, Mai. Salah satunya kerana I hanya berdiam diri,” ujar Iqmal.
Maisarah diam seketika.
“Masa dah cukup lama berlalu. I tak tahu sama ada you ataupun Iqbal yang ada dalam hati dia. I cuma teka aje... dia pernah sukakan you. Sebab dia ada mesej I pasal you baru-baru ni.” Maisarah diam, tidak mampu meneruskan bicara kerana itu hanya akan menambah beban dalam hati Iqmal. Deborah pernah mendekati Iqbal kerana Iqmal sangat pendiam suatu masa dahulu. Sebagai perempuan, kalau dah lelaki bisu sangat, sudah tentu dia malu untuk mendekati lelaki yang disukainya.
“Apa dia cakap tentang I?” tanya Iqmal.
“Dia takut, Mal.”
“Kenapa?”
Maisarah diam. Seharusnya dia tidak beritahu apa yang ditakuti Deborah saat itu. Tiada sesiapa ingin keadaan itu berlaku. Deborah masih isteri orang.
“I minta maaf, I tak boleh nak beritahu you apa yang dia cakap kepada I,” ujar Maisarah.
“I kesal... I lepaskan dia demi cita-cita,” ucap Iqmal.
“Jangan salahkan diri sendiri. Okeylah, kalau you bertembung dengan dia, jangan beritahu dia yang I beritahu, okey?” ucap Maisarah perlahan. Dia hanya boleh membantu. Tinggal dia belum beritahu Iqmal yang Deborah ada masalah rumah tangga semenjak beberapa tahun ini. Tidak tergamakmemberi harapan kepada lelaki itu. Tentang itu, dia tetap simpan rahsia.
“Thanks, Mai.”
“Most welcome.”
Bersungguh-sungguh lelaki itu pergi mencari semata-mata mahu melihat wanita itu sekali lagi. Cukuplah sekadar memandang dari jauh untuk meredakan rindunya.
Di pekarangan Suria KLCC, ada ramai kanak-kanak menyertai pertandingan melukis anjuran beberapa syarikat terkemuka. Ramai orang berada di situ untuk melihat hasil bakat anak-anak bawah 13 tahun itu.
Dan Iqmal terpandangkan Deborah sedang berada di bawah khemah bersama dua anaknya. Tiada kelibat suaminya di situ. Salah seorang anaknya sedang mengerjakan kanvas. Betapa dia ingin mendekat. Namun akalnya melarang. Cukuplah sekadar memandang dari jauh.
Lelaki itu tersenyum saat memandang wanita itu melayan anak bongsunya yang duduk di atas ribaannya. Anak itu sedang menuding ke arah air pancut yang berada dekat dengan khemah itu.
Namun lama-kelamaan hatinya merasa kian perit dan pedih. Betapa sakitnya mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin akan dimilikinya lagi. Dia rasa seperti mahu meraung serata alam untuk menyatakan kekesalannya kerana meninggalkan wanita itu tanpa pesan 13 tahun yang lalu.
Sementara wanita itu, kian leka melayani dua anaknya, tidak sedar dirinya sedang diperhatikan dari jauh oleh Iqmal. Jacqueline sibuk dengan lukisannya sementara Isabel pula sibuk hendak bermain air terjun tidak jauh dari situ. Setelah kekecewaan demi kekecewaan dihadiahkan kepadanya, tinggal dua anak itu sahaja yang mampu menghiasi dunianya.
DUA MANUSIA itu berdiam saat saling berhadapan. Lelaki itu membuang pandangan dengan helaan nafas panjang.
“Betul. Syam mengaku Syam ada keluar dengan lelaki lain malam tu. Petang tu pun Syam keluar dengan dia,” ujar Syamsinar. Dia sengaja membalas sakit hatinya kerana Iqmal enggan membawa dia ke majlis makan malam anjuran HMA Lab And Pharmacy beberapa bulan yang lalu. Sayangnya, sehingga kini dia masih berhubung dengan Jonathan tanpa pengetahuan Iqmal.
Iqmal hanya tenang mendengarkan itu. Langsung secebis pun rasa marah atau cemburu tidak mengenai hatinya. Kerana semua itu sudah diagak olehnya.
“Abang marah?” duga gadis itu.
“Entah,” jawab Iqmal perlahan.
“Abang sendiri pun secara tidak langsung tak setia.
Abang masih ingat dia, kan?” tanya gadis itu.
Iqmal kembali memandang si perempuan yang merenungnya tanpa berkelip.
“Kalau abang rasa Syam tak setia, keluar dengan lelaki lain waktu abang tak ada... abang pun apa kurangnya? Syam buat macam tu sebab abang. Syam tahu abang masih tak boleh lupakan cinta pertama abang. Syam tahu... sebab Syam nampak betapa kosongnya pandangan abang terhadap Syam selama ni. Semenjak kebelakangan ni, abang asyik mengelak daripada Syam,” luah Syamsinar.
“Ya, abang mengaku abang tak mampu lupakan dia sepenuhnya,” akui Iqmal perlahan.
Gadis itu membuang pandangan dengan gelengan kesal. Sudah setahun mereka berkawan, sangkanya dia mampu menundukkan hati Iqmal agar datang kepadanya. Sayangnya, lelaki ini masih tidak mampu melepaskan cinta pertamanya sepenuhnya. Hatinya merasa amat sakit.
“Abang minta maaf. Tentang kita... ia semakin susah. Abang reda sajalah,” ucap Iqmal perlahan.
“Senang abang minta maaf. Macam abang seorang sahaja ada perasaan. Mana dia? Dia bukan lagi untuk abang. Kenapa abang terus kenang perempuan yang bukan lagi untuk abang???” tekan Syamsinar sedikit keras.
Iqmal diam. Tiada jawapan hendak diberikan kerana dia tidak mampu membuka pintu hatinya kepada wanita lain. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia jadi begini. Sekurang-kurangnya dia mahu tahu wanita yang dicintainya dalam diam bahagia dengan suaminya sekarang. Jika benar Deborah bahagia, dia akan melepaskan wanita itu dari hatinya.
“Syam, bagi abang masa...” pinta Iqmal perlahan.
“Dah setahun. Syam nak beritahu keluarga Syam tentang kita. Syam sayangkan abang sangat-sangat. Tapi Syam rasa, abang semakin lama semakin jauh,” ujar Syamsinar.
Iqmal memejamkan matanya rapat-rapat. Inilah sebabnya mengapa dia tidak ingin didekati oleh mana-mana wanita. Kini dia tersepit antara hatinya sendiri dengan harapan orang lain ke atasnya.
“Syam mampu jaga abang. Syam mampu bahagiakan abang lebih daripada perempuan tu. Dia tak pernah wujud pun dalam hidup abang! Sampai bila abang nak terus ingat dia???” tekan Syamsinar.
“Lelaki tu... dia sukakan Syam?” tanya Iqmal pula.
“Kami cuma berkawan. Dia temankan Syam waktu abang tak ada dengan Syam. Hanya itu,” balas Syamsinar. Nadanya mengendur kerana ada sedikit penipuan sudah dibuatnya untuk menyelamatkan hubungannya dengan Iqmal.
Iqmal mengangguk mendengarkan itu.
“Abang tak marah langsung?” duga Syamsinar. Betapa sakitnya dia dengan reaksi Iqmal. Kaku. Tiada rasa cemburu sedikit pun.
“Abang tak mahu buat kesilapan lebih banyak,” ucap Iqmal. Dia enggan membiarkan Syamsinar tahu sebelum ini dia ada terlihat cinta pertamanya. Biarlah itu menjadi rahsianya seorang.
“Kenapa abang macam ni? Dia isteri orang!” tekan Syamsinar.
Iqmal hanya diam. Ya, ini salah. Wanita idaman kalbunya isteri orang. Tetapi hatinya teramat degil. Semenjak ternampak Deborah bersama suaminya beberapa hari yang lalu, perasaan rindu dendamnya itu kian menyala, membuatkan dia jadi hilang arah. Sukar untuk memaksa hatinya untuk menerima Syamsinar.
Kadangkala dia rasa lebih baik dia pergi jauh dari Malaysia agar dia tidak akan terserempak dengan cinta pertamanya itu. Agar dia tidak merana dalam diam begini. Dia merasa terluka melihat Deborah ditinggalkan suaminya di lobi itu. Jika dia diberikan peluang, dia tidak ingin melayani wanita yang disayanginya seperti itu.
Tetapi apalah haknya untuk mendekati Deborah. Dia tidak berdaya. Dia tidak berdaya untuk melepaskan Deborah. Dia juga tidak berdaya untuk membuat hatinya menerima Syamsinar.
“Apa yang kita ada tak memadai. Abang tak mahu Syam berharap banyak kepada abang. Abang tak marah sebab Syam bukan isteri abang. Kalau dia mampu layan Syam lebih baik daripada abang... abang reda. Pergilah kepada dia,” ujar Iqmal. Jawapan selamat. Tidak sampai hati hendak berterus terang mengaku yang dia tidak mencintai Syamsinar sedikit pun.
Syamsinar diam. Teringat malam itu, dia bukan sekadar keluar dengan Jonathan, sebaliknya dia bermalam di apartmen lelaki itu. Mati hidup semula pun takkan dia beritahu.
“Syam dengan dia tak serius pun,” ujar Syamsinar.
Iqmal melepaskan keluhan.
“Kita tak patut teruskan lagi.”
“Abang, maafkan Syam. Kita boleh bermula sekali lagi. Kali ni kita serius,” ujar Syamsinar.
“Syam...” keluh Iqmal.
“Abang tak akan mampu tunaikan harapan Syam. Cukuplah kita sekadar di sini. Abang tak mahu dipersalahkan kemudian nanti jika hubungan ni tak berjaya,” ujar Iqmal.
“Abang, Syam sayangkan abang. Maafkan Syam kalau tindakan Syam sebelum ni memalukan abang,” pujuk Syamsinar. Dia tahu harapannya tipis untuk meraih hati Iqmal. Namun dia tetap berharap selagi Iqmal tidak tahu dia dan lelaki itu pernah terlanjur.
“Jangan buang masa. Abang tak mahu Syam kecewa. Abang sayangkan orang lain, Syam. Soal perasaan, abang sendiri tak mampu kawal hati abang. Kalau abang mampu, kita takkan jadi macam ni,” akui Iqmal akhirnya. Biar wanita ini berpatah arang kepadanya. Dia juga letih untuk bertahan dalam hubungan yang tidak membahagiakan.
“Abang mampu, cuma abang degil. Abang tak mahu buang perempuan tu dari hati abang. Syam tak akan mengalah, abang. Syam percaya abang akan sedar juga yang Syam paling sayangkan abang. Bukan isteri orang tu! Bukan orang lain yang layak untuk hidup dengan abang!”
Iqmal memandang ke arah lain. Mula menayang wajah bosan. Sayang untuknya... Syamsinar keluar juga dengan lelaki lain sekali-sekala. Liar di belakangnya. Jadi, dia tak kuasa nak percaya lagi bicara gadis ini.
No comments:
Post a Comment