15 tahun kemudian...
“RAFA gaduh dengan Mastura lagi ke? Nak dekat dengan hari nikah ni makin kerap gaduh. Kenapa ni?” Tengku Soleha menghulurkan pinggan berisi nasi goreng kampung kepada Rafa. Pening kepalanya bila Mastura menelefonnya tengah malam tadi. Mastura menangis sambil mengadu tentang Rafa.
“Dia yang tak matang bonda. Semalam kami fitting baju nikah, boleh pula dia main tarik-tarik rambut dengan pembantu kedai kat sana. Puncanya sebab pembantu tu panggil Rafa abang. Hal kecik tu bonda.” Rafa menceritakan hal sebenarnya. Dia rasa punca pergaduhan Mastura semalam sangat remeh. Dia langsung tak kisah kalau pembantu kedai memanggilnya abang. Lumrahlah pekerja baharu.
“Mastura cemburu tu. Patut Rafa menangkan tunang Rafa, bukan pembantu kedai tu.” Tengku Soleha membela Mastura. Anak kawan baiknya pastilah dia bela. Memang melampau pembantu kedai memanggil Rafa abang. Sepatutnya panggil encik atau tuan. Hanya perempuan gatal yang panggil suami atau tunang orang lain abang.
Rafa terdiam. Nasi goreng yang lalu ditekaknya ibarat butir pasir. Semuanya Mastura betul dan dia yang salah. Dia patut faham Mastura kerana gadis itu muda lagi. Padahal usia mereka sebaya, apa yang mudanya.
“Tengah hari nanti ajak dia makan kat luar. Belikan dia hadiah. Dia merajuk tu sebab Rafa salahkan dia semalam.”
“Hmmm.” Rafa jawab acuh tak acuh.
“Jangan hmmm aje. Call dia. Jangan buat malu bonda.” Suara Tengku Soleha sedikit meninggi. Nampak tanda-tanda lelaki itu akan membantah.
“Baik bonda.” Rafa jawab malas. Perhubungan dia dengan Mastura langsung tiada kemanisan. Sebulan lagi mereka akan bersatu dalam ikatan pernikahan, tapi dia langsung tak rasa gembira. Dia buat semua ni hanya sebab arahan bonda.
Rafa cepat-cepat habiskan nasi gorengnya. Sebelum bonda berceramah betapa untungnya dia menjadi suami Mastura, lebih baik dia cabut lari. Tidak ada untungnya jadi suami Mastura. Dia hanya nampak nasib malang sahaja.
“Rafa pergi dulu bonda.” Selesai sahaja dia makan dan menghirup tehnya yang sudah suam, terus dia minta diri. Dia bersalam dan mencium tangan wanita itu.
“Ingat Rafa pesan bonda tadi.”
“Tengoklah kalau Rafa tak busy nanti. Tengah hari ni ada lunch meeting dengan Tan Sri Iskandar.” Rafa memberi alasan. Takkan hanya kerana nak pujuk Mastura dia patut tinggalkan kerjanya.
“Nanti bonda call Tan Sri Iskandar. Rafa cepat-cepat call Mastura.”
Rafa senyum hambar. Demi Mastura, bonda sanggup masuk campur dalam hal kerjayanya. Kalau Nenda Tengku Ishak tahu pasti mengamuk orang tua itu. Rafa meninggalkan meja makan dengan hati kurang senang. Dia ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak.
Dia mencapai kunci kereta dari tempat letak kunci. Setiap pagi sebelum dia pergi kerja topik yang muncul pasti Mastura. Sudah muak rasanya mendengar segala ‘kebaikan’ Mastura yang bonda canangkan. Kalau boleh dia mahu tinggal sahaja di pejabat dan tidak perlu balik. Kereta Volvo S60 berwarna merah milik Rafa meluncur keluar dari Teratak Cinta Kasih.
Rafa memandu dengan berhati-hati. Masih awal lagi, jadi dia tidak perlu memandu terburu-buru. Bekerja di syarikat milik ayah mentua bondanya memang banyak memberi kesenangan kepada dia. Asalnya dia mahu berdikari dan bermula dari bawah tapi bonda mendesak agar dia bekerja dengan Nenda Tengku Ishak.
Melihat lampu isyarat berwarna kuning, Rafa memperlahankan kenderaan. Keretanya jauh lagi dari lampu isyarat dan amat berbahaya untuk dia memecut. Sebaik sahaja sampai di garisan, lampu bertukar menjadi merah. Rafa mencapai handsfree dan berniat mahu menelefon Mastura saat matanya terpandang susuk tubuh yang sedang membantu kanak-kanak melintas.
Rafa terpegun seketika. Mentari pagi baru mengintai untuk muncul namun wajah gadis itu kelihatan bersinar-sinar. Rambut panjang gadis itu beralun lembut mengikut gerak kepalanya. Walaupun hanya terlihat sisi wajah gadis itu, dia rasa sungguh bahagia. Senyuman yang terukir di bibir gadis itu sangat indah sekali. Begitu indah hingga terdetik di
hatinya mahu memiliki si gadis.
Pin! Pin!
Rafa terkejut. Gadis yang dilihatnya tadi sedang berdiri di seberang jalan sana. Lampu telah bertukar hijau rupanya. Dia masih belum puas menatap wajah gadis itu. Dengan berat hati Rafa meneruskan pemanduan. Sempat lagi dia melihat si gadis yang juga kebetulan sedang memandangnya. Inikah namanya jatuh cinta pandang pertama?
“Rafa... lagi sebulan kau akan nikah. Jangan jatuh cinta dengan perempuan lain. Nanti bonda bertukar jadi hijau.” Rafa bersuara kuat. Dia mahu sedarkan dirinya sendiri.
“Perempuan itu utusan syaitan, jangan dilayan.” Rafa cuba membuang wajah gadis itu jauh-jauh namun gagal. Senyuman si gadis bagai menari-nari dalam benaknya.
Rafa tarik nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan. Dia akan menikah dengan Mastura tak lama lagi. Dia tak harus melayan perasaannya saat ini. Rafa menyangkutkan earphone ke telinga. Jarinya menekan nombor 3. Nombor speed dial untuk Mastura.
Lama dia menunggu untuk panggilan dijawab. Rafa memutuskan panggilan. Dia cuba sekali
lagi. Namun tetap tidak berangkat. Dia mengambil keputusan untuk menelefon bakal ibu mentuanya.
“Assalamualaikum mama. Mas ada?” Rafa cuba bercakap dengan tenang. Kepalanya hanya terfikirkan bonda.
“Waalaikumussalam... Mastura tidur lagi. Call balik nanti dalam pukul 11 ya. Biasa memang dia dah bangun masa tu. Rafa ni... takkan tak tahu perangai Mastura? Dia memang suka bangun lambat. Macam mana nak jadi suami anak mama ni?”
“Okey ma, terima kasih. Assalamualaikum.” Tanpa menunggu salamnya dijawab dia terus tanggalkan earphone dengan kasar. Kenapa dia yang harus faham Mastura? Hati dia siapa nak jaga? Pukul 11 pagi baru nak bangkit dari tidur. Bila sudah nikah nanti memang pasti sangat dia kena bersiap sendiri. Memasak memang bukan kegemaran Mastura. Awal-awal lagi Mastura minta disediakan dua orang pembantu rumah dan seorang tukang masak.
Baginya permintaan Mastura sangat melampau. Tapi bagi bonda, permintaan gadis itu sangat bernas. Isteri tugasnya hanya untuk melayan suami. Bukan sebagai hamba atau orang gaji. Dia tak kisah semua itu andai Mastura ibarat bidadari turun ke bumi. Namun masalahnya perangai ibarat bakal isteri dari neraka, memang dia tak rela. Berat tugasnya sebagai suami nanti. Mampukah dia hidup tanpa campur tangan bonda dan juga mama Mastura nanti?
“Ya Allah... tabahkanlah hati hamba-Mu ini.”
No comments:
Post a Comment